Author: Admin

  • Rumah panjang 36 pintu musnah terbakar

    Rumah panjang 36 pintu musnah terbakar

    SEBUAH rumah panjang yang menempatkan 36 buah rumah musnah dalam satu kebakaran dalam kejadian di Selangau, Sibu, pukul 6.50 pagi tadi.

    Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.58 pagi melibatkan Rumah Yamin di Batu 26, Jalan Sibu-Selangau.

    “Bomba telah mengatur gerak dua jentera ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dan Sungai Merah, dengan kekuatan 15 anggota.

    “Ketika ini, bomba masih melaksanakan kerja-kerja pemadaman dan overhaul.

    “Pun begitu, laporan awal mengatakan rumah 35 pintu ini telah musnah 100 peratus,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Difahamkan, rumah panjang yang terletak di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin itu, merupakan antara rumah panjang lama yang masih wujud di kawasan tersebut.

  • Lelaki warga asing mabuk, cederakan diri sendiri ditahan polis

    Lelaki warga asing mabuk, cederakan diri sendiri ditahan polis

    SEORANG lelaki warga asing yang dipercayai dalam keadaan mabuk sehingga mencederakan diri sendiri ditahan polis di sebuah rumah di Desa Indah, Persiaran Paya Terubong 2, Taman Sri Relau, Pulau Pinang Ahad lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Soffian Santung, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita pukul 1.57 petang pada hari kejadian yang memaklumkan terdapat pergaduhan di kawasan perumahan itu.

    Bertindak atas maklumat tersebut katanya, anggota ronda Balai Polis Sungai Nibong bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki warga asing dalam keadaan berikat dan berlumuran darah.

    Jelas beliau, hasil temubual awal anggota polis terhadap rakan serumah lelaki berkenaan memaklumkan rakan mereka itu berada dalam keadaan mabuk teruk dan hilang kawalan.

    Ujarnya, lelaki itu juga mencederakan diri sendiri dengan menghantuk kepala ke dinding sehingga mengalami kecederaan.

    “Bagi mengelakkan lelaki ini terus bertindak agresif, rakan serumahnya telah mengikat lelaki ini dengan menggunakan tali.”

    ”Pihak polis telah cuba untuk menenangkannya serta menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan dan rawatan perubatan, dan dia telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Soffian, hasil pemeriksaan doktor mendapati lelaki itu mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan tiada kecederaan lain.

    Dalam pada tambah beliau, polis menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta mensensasikan insiden tersebut.

    ”Pihak polis masih menyiasat kes ini dan meminta orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

    Terdahulu, video berkenaan kejadian itu yang memaparkan seorang individu dipercayai dalam keadaan mabuk dan mencederakan diri sendiri dan sedang diberkas polis di sebuah rumah tular di dalam media sosial.

  • “Saya tidak tergesa-gesa” dalam soal cuti hujung minggu” – Sultan Ibrahim

    “Saya tidak tergesa-gesa” dalam soal cuti hujung minggu” – Sultan Ibrahim

    Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa baginda tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan tentang cadangan kerajaan negeri untuk menukar semula cuti hari minggu negeri itu kepada Sabtu dan Ahad.

    “Saya tidak ingin gopoh dalam membuat keputusan. Cadangan kerajaan itu akan saya teliti setiap sudut baik buruknya, dan pandangan semua pihak akan diambil kira serta diperhalusi. Tidak payah kecoh-kecoh atau dipolitikkan.

    “Buat masa ini saya mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negeri Johor serta kepentingan rakyat.

    “Kerajaan Negeri boleh berikan apa jua cadangan kepada saya, dan saya akan mempertimbangkan sedalam-dalamnya sebelum memberikan apa-apa keputusan,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

    Justeru, Sultan Ibrahim bertitah agar semua pihak tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau membuat gesaan supaya satu keputusan diumumkan secepat mungkin.

    “Saya akan buat pengumuman apabila saya berpuas hati dan cukup yakin keputusan yang diambil itu adalah yang terbaik untuk negeri Johor,” titah baginda.

    Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama Negeri Johor.

    Perubahan itu sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan dalam negeri Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

    Negeri Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar.

  • Musnah kolam di Gunung Inas, Azeez jangan ikut sentimen orang tidak berilmu

    Musnah kolam di Gunung Inas, Azeez jangan ikut sentimen orang tidak berilmu

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menasihatkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim agar tidak terikut-ikut sentimen orang tidak berilmu sehingga mahu memusnahkan kolam takungan di Gunung Inas, Baling begitu sahaja.

    Muhammad Sanusi berkata, tiga kolam yang menjadi sumber air untuk tanaman durian Musang King di gunung itu tidak boleh dimusnahkan sewenang-wenangnya kerana ia dimiliki oleh pihak tertentu.

    Katanya, sesiapa sahaja perlu membaca laporan daripada jawatankuasa khas ditubuhkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) yang menyatakan bahawa kolam tersebut bukanlah punca kepada kejadian aliran puing serta banjir lumpur pada 4 Julai lalu.

    “Kolam itu ada pemiliknya jadi tak bolehlah senang-senang nak musnahkan orang punya. Selain itu, perlu juga baca laporan jawatankuasa khas ditubuhkan KetSA terdiri daripada ratusan pakar yang menyatakan kolam tersebut bukan punca kejadian banjir.

    “Menurut pakar geologis, kalau tiga kolam itu pecah serentak pun tanpa ada hujan, air itu tidak akan sampai ke bawah gunung sebab tak cukup kapasiti. Air dari kolam tersebut akan hilang di ‘jalan’ macam itu saja.

    “Sebagai pemimpin, beliau (Abdul Azeez) perlu bersandarkan kepada pakar geologi,” katanya selepas merasmikan mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan mammografi digital di pusat perubatan swasta tersebut, hari ini.

    Semalam, Abdul Azeez memaklumkan tiga kolam takungan air bersaiz gelanggang futsal di puncak gunung tersebut akan dimusnahkan dalam tempoh terdekat kerana dikatakan boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat.

    Menurut Abdul Azeez, beliau sudah merujuk masalah itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berjanji akan menyelesaikannya segera.

  • Lelaki ditahan miliki pistol, parang, sembilan pedang, dua keris

    Lelaki ditahan miliki pistol, parang, sembilan pedang, dua keris

    POLIS menahan seorang lelaki dalam serbuan di Kampung Air Belaga, Ulu Sat, Machang, pada pukul 11.50 malam, Isnin lalu kerana memiliki pistol dan pelbagai senjata tajam.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam serbuan itu pihaknya terpaksa memecahkan pintu hadapan untuk membuat pemeriksaan.

    “Semasa serbuan, berlaku pergelutan dengan seorang lelaki yang berasal dari Gua Musang yang ketika itu berada di atas katil dalam sebuah bilik.

    “Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut menjumpai sepucuk pistol jenis Glock 19 Austria warna hitam dan sebiji peluru di dalam ‘chamber’,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini.

    Beliau berkata, turut ditemui empat butir peluru hidup dalam kelopak, dua bilah keris kecil, sembilan pedang dan sebilah parang berhulu kayu.

    Muhamad Zaki berkata, satu plastik lut sinar mengandungi 165 biji pil berwarna kemerahan, satu straw berisi serbuk warna putih dan empat papan aluminium foil berwarna silver yang mengandungi 20 biji pil warna putih disyaki dadah turut dirampas.

    Katanya, suspek yang mempunyai enam rekod jenayah lampau dan empat rekod narkotik itu turut dikesan positif dadah jenis methamphetamine.

    “Suspek direman bermula 16 hingga 29 Ogos untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Kes akan disiasat bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958, Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (3) akta sama.

  • Polis tahan 92 PATI, lapan warga tempatan

    Polis tahan 92 PATI, lapan warga tempatan

    SEBUAH rumah di Kampung Belukar Pauh, Panji di Kota Bharu yang dijadikan transit pendatang asing tanpa izin (PATI) diserbu polis pada pukul 4.40 petang Selasa lalu.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil serbuan tersebut polis menahan 92 PATI warga Myanmar dan tujuh lelaki tempatan dipercayai ‘transporter’ (penghantar).

    “Polis menahan 21 wanita dan 71 lelaki warga Myanmar berusia dari 16 hingga 51 tahun yang masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah.

    “Siasatan awal ke atas tujuh suspek berusia antara 17 hingga 43 tahun mendakwa menerima arahan daripada seorang lelaki tempatan.

    “Transpoter itu memberitahu mereka dibayar sebanyak RM1,500 daripada setiap ejen yang terlibat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini.

    Beliau berkata, pada Rabu lalu tindakan susulan dilakukan pada pukul 5.15 pagi terhadap seorang lelaki di Wakaf Che Yeh di Kota Bahru selepas menahan sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna biru.

    Menurutnya, hasil temubual awal, suspek dipercayai merupakan seorang pengatur ‘transporter’ yang membawa PATI dari Kelantan ke Selangor dan Kuala Lumpur untuk bekerja.

    Muhamad Zaki berkata, kesemua PATI tersebut dikatakan masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram di Sungai Golok dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

    Katanya, hasil siasatan mendapati kesemua tangkapan ditempatkan di rumah transit tersebut sebelum dihantar keluar dari Kelantan.

    “Kami turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire, sebuah HRV jenis Honda hitam, sebuah Toyota Inova, sebuah kereta jenis Perodua Alza dan sebuah Perodua Bezza.

    “Sebanyak 14 telefon bimbit pelbagai jenis, wang tunai RM4,113, Thai Bhat 1,100 dan 10 kad sim juga dirampas,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Tuan Ibrahim nafi PAS bergerak solo PRU-15, kenyataannya disalah petik

    Tuan Ibrahim nafi PAS bergerak solo PRU-15, kenyataannya disalah petik

    PAS menafikan laporan media yang mengatakan parti itu mahu bergerak solo pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataannya sebelum ini telah disalah petik dan beliau menegaskan PAS akan bersama Perikatan Nasional (PN).

    “Salah petik itu. PAS komponen PN. Kita akan bersama PN dalam pilihan raya umum (PRU),” katanya kepada FMT.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengesahkan sama ada PAS mahu bergerak solo pada PRU15 seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

    Sabtu lalu, memetik laporan media, PAS dilaporkan bersiap sedia dengan pelbagai kemungkinan, termasuk bergerak solo pada PRU15.

    Tetapi, Tuan Ibrahim berkata, parti itu tetap akan memperkukuhkan PN dalam persiapan menghadapi PRU15.

    Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris yakin kenyataan Tuan Ibrahim itu disalah petik berikut PAS masih bersama PN untuk PRU15.

    Beliau berkata kenyataan rasmi yang boleh dipercayai hanyalah daripada keputusan tertinggi parti masing-masing dan selain itu hanyalah provokasi yang mahu melaga-lagakan parti-parti dalam PN.

    “Saya baca tulisan itu, kefahaman saya, PN bergerak solo, bukan PAS.

    “Kenyataan boleh pakai dalam PN adalah keputusan peringkat tertinggi. Contoh Bersatu melalui Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. Kalau PAS, PAS Pusat. Gerakan melalui Majlis Tertinggi Gerakan,” katanya kepada FMT.

    Beliau berpandangan selain kenyataan tertinggi parti itu hanyalah dianggap sebagai provokasi.

    Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman berkata secara peribadi beliau melihat tiada masalah hubungan PAS dengan Bersatu dalam PN setakat ini.

    Katanya, semua perkara biasanya dirunding dan disepakati secara musyawarah dalam kepimpinan tertinggi PN.

    “Kenyataan Timbalan Presiden PAS bahawa partinya mahu bergerak solo pada PRU15 hanya sekadar andaian dari pihak media saja,” katanya.

  • Lelaki mati dipercayai dilibas di leher

    Lelaki mati dipercayai dilibas di leher

    SEORANG lelaki ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Merua Batu 3, Jalan Haji Wahab, Parit hari ini.

    Keadaan mangsa, Norzi Jaafar, 58, disedari seorang penduduk kampung sekitar pukul 10.30 pagi selepas melihat mangsa tidak sedarkan diri di luar pintu rumah dengan darah di sekeliling badan dan pintu serta lampu terbuka.

    Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, pemeriksaan mendapati, terdapat kesan kecederaan di leher mangsa dipercayai kesan libasan senjata tajam.

    “Mangsa berkemungkinan meninggal dunia lebih dari 15 jam dari tempoh ditemui, berdasarkan keadaan tompokan darah yang telah beku dan bertukar warna.

    “Mangsa tinggal seorang diri dan kali terakhir lelaki itu dilihat sekitar pukul 6.30 petang semalam ketika berdiri di luar rumah. Mangsa ada menyapa penduduk kampung yang melalui jalan ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Katanya, selepas itu mangsa tidak kelihatan sehingga ditemukan pagi ini oleh seorang penduduk yang datang ke rumah kerana mahu meminjam pam racun,.

    Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, tiada sebarang pergelutan atau kesan pecah masuk rumah di tempat kejadian.

    Katanya, barang-barang berharga milik mangsa termasuk sejumlah wang tunai yang disimpan dalam dompet juga tidak terusik.

    “Jadi buat masa ini, kita menolak andaian bahawa kes ini membabitkan kes samun.

    “Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui motif sebenar kejadian termasuk suspek terlibat, senjata digunakan juga masih belum dapat dikesan,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.

    Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

  • Tiada buat transaksi tapi wang RM10,000 lesap

    Tiada buat transaksi tapi wang RM10,000 lesap

    SEORANG lelaki kerugian apabila pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000 lesap selepas ditipu sindiket penipuan kewangan.

    Menurut mangsa yang berusia 40-an dan enggan dikenali, dia membuat pengeluaran itu pada April lalu dan wang berkenaan sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun sebuah bank pada 21 April.

    “Namun, pada hari sama berlaku tiga transaksi iaitu dua pindahan wang dan satu lagi menggunakan e-walet.

    “Apabila saya menghubungi bank, pihaknya mengesahkan terdapat pengeluaran dan pembelian berlaku menggunakan wang di dalam akaun milik saya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya, hari ini.

    Dia sehingga kini hairan bagaimana pihak bank boleh membenarkan transaksi itu berlaku.

    “Saya tidak mengenali individu yang mengeluarkan wang saya itu, ketika bertanya pihak bank mereka memaklumkan tidak dapat berbuat apa-apa.

    “Saya juga membuat laporan polis pada 23 April lalu, dan turut diminta merujuk perkara berkenaan kepada pihak bank,” katanya.

    Sementara itu, Chean Chung berkata, pihaknya memandang serius kelemahan yang wujud pada keselamatan sistem perbankan.

    “Persoalannya mengapa tiada tindakan lanjut daripada pihak bank untuk membuat pengesahan pengeluaran wang berkenaan,” katanya.

    Dalam pada itu, Fahmi Fadzil berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memerangi penipuan kewangan dan scammer.

    “Dianggarkan tiga mangsa bagi setiap jam menjadi mangsa penipuan dengan kerugian sekitar RM30,000 bagi setiap seorang,” katanya.

  • Keputusan bubar Parlimen mesti dibuat semua parti kerajaan – PAS

    Keputusan bubar Parlimen mesti dibuat semua parti kerajaan – PAS

    TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan sebarang keputusan membubarkan Parlimen mesti diputuskan bersama oleh parti yang membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional (BN), termasuk komponen Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Menteri Alam Sekitar dan Air itu mengingatkan pentadbiran semasa di bawah teraju Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob “bukan didominasi oleh BN” dan UMNO.

    “Ia adalah dokongan daripada PN serta rakan GPS. Maka, apa sahaja keputusan untuk membubarkan parlimen mesti diputuskan bersama anggota kabinet serta parti yang mendokong kerajaan.

    “Dalam situasi kini, keutamaan bukan hanya kepada menyegerakan pilihan raya sahaja; sebaliknya aspek kepentingan kebajikan rakyat dan isu kedudukan ekonomi negara turut perlu dilihat juga.

    “Bukan soal takut atau tidak bersedia parti politik menghadapi pilihan raya umum, tetapi tindakan beberapa pihak yang menekan perdana menteri secara sepihak perlu menyedari realiti kerajaan hari ini,” katanya sebagaimana lapor Malaysiakini hari ini.

    Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yakin pihak berkepentingan yang tidak dinamakannya itu akan terus menekan perdana menteri tanpa melihat keadaan parti yang mendokong kerajaan sekarang.

    “PAS serta komponan PN telah bersedia dalam semua keadaan, bahkan telah melancar jentera pilihan raya negeri-negeri dan pada 3 Sept ini pelancaran jentera pilihan raya peringkat kebangsaan akan dilancarkan di Kedah sempena Muktamar PAS Pusat.

    “Manakala, PN dalam merayakan sambutan dua tahunnya, akan turut melancarkan jentera pilihan raya PN pada 27hb ini,” jelasnya.

    Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kebimbangan terhadap Parlimen yang digantung tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menangguhkan PRU15.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memetik pandangan penganalisis politik Wong Chin Huat yang menjadi penceramah pada Simposium Keluarga Malaysia yang dihadiri Ismail Sabri semalam.

    “Profesor sains politik dan demokrasi tersebut menjelaskan bahawa tiada apa-apa yang perlu ditakuti atau dibimbangkan jika berlaku hung parlimen atau parlimen tergantung.

    “Keadaan ini bukanlah situasi yang teruk seperti digambarkan pihak tertentu malah tidaklah menyebabkan kemusnahan sesebuah negara atau ekonomi terjejas teruk,” kata Zahid.

    Pun begitu, Ismail Sabri semalam telah membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan parlimen yang digantung atau situasi tiada satu parti pun akan dapat memperoleh kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan tanpa sebarang rakan gabungan.

    Selepas pilihan raya umum ke-14, PAS menjadi sebahagian pakatan Muafakat Nasional bersama Umno, dengan kerjasama dalam beberapa pilihan raya kecil sehingga pilihan raya negeri Johor lalu apabila parti itu mengisytiharkan sokongan kepada parti Bersatu dan PN.

    Menteri PAS dan Bersatu kekal dalam kerajaan di bawah Ismail Sabri dan BN, walaupun selepas Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meletak jawatan perdana menteri.