Author: Admin

  • Pemilik syarikat keselamatan didakwa terima rasuah tutup kes kematian Covid-19

    Pemilik syarikat keselamatan didakwa terima rasuah tutup kes kematian Covid-19

    SEORANG pemilik syarikat kawalan keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM200,000 untuk menutup kes kematian seorang pekerja warga Bangladesh akibat COVID-19, tahun lepas.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, C. Mahenthiran, 51, didakwa menerima suapan berjumlah RM200,000 daripada pemilik kilang air batu sebagai dorongan bagi membantu lelaki itu daripada dikenakan tindakan dan menutup kes kematian pekerja warga asing akibat COVID-19.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah premis di Taman Sri Ehsan dan di hadapan sebuah bank di Kepong, Kuala Lumpur pada 29 Julai dan 3 Ogos 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi,  jika sabit kesalahan.

    Mahenthiran turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pilihan iaitu memperdayakan mangsa sama sehingga mendorongnya menyerahkan wang itu supaya tidak dikenakan tindakan daripada Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada tempat, tarikh dan masa sama dan pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa SPRM Selangor Mohd Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dan memohon kes yang dihadapi tertuduh hari ini dipindahkan ke Mahkaman Sesyen Shah Alam kerana ia melibatkan siasatan dan saksi-saksi yang sama.

    Peguam Datin M. A. Navamani yang mewakili Mahenthiran tidak membantah permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes ke Shah Alam dan memohon mahkamah mengguna pakai wang jaminan sama iaitu RM40,000 seperti yang dikenakan di Mahkamah Sesyen itu.

    “Sepanjang siasatan dijalankan, anak guam saya memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa dan kes yang dipertuduhkan hari ini berkaitan dengan kes sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan pasportnya juga telah diserahkan kepada mahkamah,” kata peguam itu.

    Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh mengguna pakai jaminan sama iaitu RM40,000 dan memerintahkan kes yang dihadapi tertuduh di mahkamah ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam selain menetapkan 25 Mac untuk sebutan semula kes itu di mahkamah berkenaan.

    Pada 25 Feb lepas, Mahenthiran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 16 pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM630,000 untuk menutup kes kematian seorang pekerja warga Bangladesh akibat COVID-19. – Bernama

  • Ahmad Zahid arah bekas SU Sulit keluarkan surat iringan lanjut kontrak UKSB

    Ahmad Zahid arah bekas SU Sulit keluarkan surat iringan lanjut kontrak UKSB

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan bekas Setiausaha Sulit Kanannya mengeluarkan surat iringan bagi melanjutkan tempoh pelaksanaan Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan eVisa kepada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) selama enam tahun bermula 2019. 

    Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar yang kini merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Operasi Kementerian Sumber Manusia berkata beliau telah diarahkan oleh bekas timbalan perdana menteri itu untuk mengeluarkan surat tersebut kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertarikh 14 Februari 2017. 

    “Bersama-sama surat tersebut, saya kepilkan sepucuk surat UKSB kepada Datuk Seri Ahmad Zahid bertajuk Lanjutan Tempoh Pelaksanaan Sistem VLN dan Evisa Bagi Tempoh Enam Tahun bermula 31 Oktober 2019 sehingga Tahun 2025 Adalah Sejajar Dan Seiring Dengan Pembangunan Dan Pelaksanaan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) bertarikh 8 Februari 2017,” katanya.

    Saksi kesembilan itu berkata sedemikian ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong.

    Pada 22 Disember tahun lepas, saksi pendakwaan keenam, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Alwi Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak berpuas hati dengan keputusan Ahmad Zahid yang melanjutkan kontrak UKSB bagi pelaksanaan sistem VLN kerana terlalu awal sedangkan tempoh tamat kontrak itu masih panjang.

    Muhd Khair, 56, berkata Ahmad Zahid juga mengarahkannya supaya mengeluarkan dua lagi surat iringan kepada KSU KDN, pada 16 Mei dan 16 Jun 2017.

    Surat bertarikh 16 Mei adalah bagi permohonan melanjutkan tempoh pelaksanaan kontrak perkhidmatan One Stop Centre (OSC) Bagi Kemudahan Visa di China untuk tempoh enam tahun manakala surat bertarikh 16 Jun mengenai cadangan lanjutan tempoh pelaksanaan kontrak perkhidmatan itu selama tiga tahun bermula15 Mei 2018.

    Sementara itu saksi kelapan, Datuk Abdul Halim Mohammad, 55, berkata beliau menandatangani surat iringan bertarikh 24 Okt 2016 yang dimajukan kepada KSU KDN (Alwi) berhubung permohonan kelulusan untuk melanjutkan kontrak VLN dan Evisa bagi tempoh enam tahun kepada UKSB. 

    “Surat iringan ini merupakan rutin yang diurus pejabat menteri bagi pengesahan bahawa surat telah sampai kepada pejabat menteri,” kata Abdul Halim iaitu bekas setiausaha politik kepada Ahmad Zahid.

    Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. – Bernama

  • Kes bicara pinda audit 1MDB Najib ditangguh, peguam masih di London 

    Kes bicara pinda audit 1MDB Najib ditangguh, peguam masih di London 

    PERBICARAAN kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan lagi hari ini, ia susulan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berada di London dan akan pulang esok.

    Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melapangkan tarikh perbicaraan perbicaraan audit 1MDB yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu bermula hari ini sehingga Khamis memandangkan Shafee perlu menjalani kuarantin wajib selepas tiba dari London nanti.

    Memetik laporan Agendadaily, pasukan peguam Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mengesahkan penangguhan kes perbicaraan berhubung pindaan audit tersebut.

    Untuk rekod, Shafee sebelum dilaporkan bertemu bakal peguam Diraja United Kingdom (QC) yang akan mewakili Najib dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd (SRC).

    Rahmat Hazlan berkata Shafee dijangka tiba di Malaysia esok dan masih perlu menjalani kuarantin selama lima hari, bermula esok.

    Selain itu, tarikh perbicaraan juga dilapangkan minggu ini berikutan peguam Arul Kanda, N. Sivananthan, mempunyai urusan mahkamah lain untuk diselesaikan.

    Ketika dihubungi, Sivananthan serta Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam mengesahkan tarikh prosiding minggu ini dilapangkan.

    Perbicaraan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan dimaklumkan juga ditetapkan untuk disambung semula pada 28 Mac.

    Najib dan Arul Kanda dilihat berada di galeri awam Mahkamah Tinggi, ketika pasukan peguam dan pendakwa raya menetapkan tarikh perbicaraan seterusnya dengan jurubahasa mahkamah.

    Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan itu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

    Pihak pendakwaan berhujah keputusan untuk melakukan pindaan itu dibuat semasa mesyuarat pada 24 Feb 2016, di pejabat Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Ali Hamsa.

    Pindaan itu didakwa dilakukan bagi mengeluarkan atau mengubah bahagian tertentu dalam laporan audit 1MDB, termasuk menggugurkan isu kehadiran Low Taek Jho (Jho Low) dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

  • PRN Johor: Masih ada masa tumbangkan calon ‘heavyweight‘ di Benut

    PRN Johor: Masih ada masa tumbangkan calon ‘heavyweight‘ di Benut

    MESKIPUN berdepan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, tiga lagi calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut yakin mampu memberi saingan sengit bagi merebut DUN tersebut pada ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih berbaki lima hari.

    Berdepan dengan calon ‘heavyweight’ atau ‘nama besar’ mewakili Barisan Nasional (BN) itu adalah calon Perikatan Nasional (PN) Senator Datuk Isa Abd Hamid, Haniff @ Ghazali Hosman daripada PKR dan Iskandar Noor Ibrahim bertanding di bawah tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Ketiga-tiga mereka yakin mempunyai kriteria serta kelebihan tersendiri untuk meraih sokongan pengundi DUN Benut yang meliputi seramai 28,165 pemilih berdaftar.

    Isa, 55, berkata beliau mampu memberi saingan ‘50-50’ kepada setiap calon bertanding termasuk Hasni yang dilihat sebagai pencabar utama dalam pertembungan empat penjuru itu.

    Selain menjadi Ahli Dewan Negara yang mewakili masyarakat Orang Asli sejak 2016 hingga kini, beliau berkata pengalaman terlibat dalam agensi kerajaan juga menjadi kelebihannya terutama daripada aspek pentadbiran.

    “Kekuatan saya adalah anak jati Benut, lahir dan membesar di sini. Kelebihan saya juga pernah menjadi guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Benut pada 1998 hingga 2008. Selama 10 tahun itu, ramai anak murid yang mengenali saya,” kata bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Pahang itu.

    “Sepanjang saya berkempen juga berpuluh-puluh anak murid saya temui malah kaum Cina juga ada berjumpa,” katanya.

    Hasni, yang merupakan Pengerusi BN Johor, telah tiga penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut sejak 2008 dan sebelum itu menjadi Ahli Parlimen Pontian selama satu penggal sejak 2004.

    Haniff, 42, pula mengakui berdepan pesaing hebat terutamanya Hasni, namun beliau yakin dapat menarik undi penduduk di kawasan tersebut memandangkan turut dikenali ramai melalui khidmatnya sebagai bekas Ahli Majlis Zon Benut sebelum ini.

    “Saya yakin tetapi tidaklah pandang remeh dan tetap kerja sedaya upaya kerana Menteri Besar (Hasni) bukanlah calang-calang, sudah tiga penggal jadi Ahli DUN (Benut). Cumanya, orang mungkin mahukan suatu pembaharuan daripada orang baharu sebab (pentadbiran) dah terlalu lama,” kata Ketua Cabang PKR Pontian itu.

    Iskandar Noor, 66, pula berkata walaupun pentas PRN Johor merupakan keterlibatan buat pertama kali dalam arena politik tetapi setiap calon mempunyai peluang untuk memenangi hati pengundi melalui pendekatan dan strategi masing-masing.

    “Calon baharu ini kelebihannya akan bermula baharu… jadi senang ‘kertas kosong’ ini kita nak rangka setiap perancangan dan itu perkara yang penting,” kata anak jati Benut itu yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sistem Maklumat Perniagaan dari Universiti East London.

    Mengenai pembangunan yang ingin diketengahkan sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat Benut yang baharu, ketiga-tiga mereka menetapkan beberapa fokus utama bagi kesejahteraan serta meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk.

    Isa menggariskan enam agenda utama antaranya menambah baik aktiviti penternakan kerang termasuk daripada segi pemasaran, memperbanyakkan perumahan dengan harga mampu milik dan mewujudkan hab perniagaan berkonsepkan barangan terpakai sebagai usaha memacu sektor perniagaan serta pelancongan di Benut.

    Seiring dengan Tawaran Tindakan PKR bagi PRN Johor, Haniff mahu membasmi kemiskinan dengan memperbaiki setiap dasar berkaitan kebajikan rakyat serta menawarkan pelbagai program kemahiran khususnya kepada golongan wanita bagi menjana pendapatan mereka.

    Iskandar Noor yang juga perunding hartanah beriltizam ingin memperkembangkan potensi sektor ternakan hasil sungai serta pertanian bagi meningkatkan produktiviti penduduk tempatan dalam menceburi bidang itu, selain menaik taraf infrastruktur termasuk jaringan internet di Benut.

    Hari pengundian bagi PRN Johor ditetapkan pada Sabtu ini manakala pengundian awal akan berlangsung esok.- BERNAMA

  • Muhyiddin antara faktor kekuatan, kelebihan PN

    Muhyiddin antara faktor kekuatan, kelebihan PN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETOKOHAN dan rekod bersih Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi Perdana Menteri dan Menteri Besar memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana sehingga kini rakyat Johor sehingga kini masih mengingati jasa Muhyiddin di peringkat negeri dan Persekutuan.

    “Apabila kita pergi di mana-mana di Johor, orang masih mengingati Tan Sri Muhyiddin dan ada keyakinan terhadap beliau. Ini kerana sumbangan beliau selama menjadi Perdana Menteri dan Menteri Besar.

    “Beliau merupakan antara Menteri Besar yang paling berjaya dalam sejarah moden Johor. Selain itu beliau juga mempunyai rekod bersih dan pengundi akan membanding-bandingkan legasi beliau sebagai Menteri Besar dengan rekod pemimpin parti lain yang rasuah.

    “Jadi ini yang akan dilihat pengundi. Selain itu beliau juga menjadi Pengerusi PN dan Presiden Bersatu dan ini juga memberi kelebihan,” katanya kepada pemberita di bilik gerakan Bersatu Bahagian Pasir Gudang, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini.

    Saifuddin berkata, pengundi juga akan menilai prestasi dan kecemerlangan Muhyiddin semasa menjadi Perdana Menteri.

    “Pengundi tahu Tan Sri Muhyiddin jatuh dari kerusi Perdana Menteri akibat mainan politik bukan atas kesilapan apa-apa dan orang faham keadaan ini. Pengundi cerdik dan faham apa yang berlaku,” katanya.

    Sementara itu, beliau yang merupakan Pengerusi Bersatu Pahang berkata, pihaknya menjadikan lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di zon tengah sebagai ‘DUN angkat’ pada PRN tersebut.

    Selain itu beliau juga dilantik menjadi Pengarah Bilik Gerakan PN Zon Selatan yang menjaga 17 kawasan DUN.

    “Setakat ini saya sudah pergi melawat separuh daripada DUN yang saya jaga dan mendapati, kalau nak banding dengan PRN Melaka, persediaan jentera di PRN Johor 10 kali lebih baik,” katanya.

    Mengenai sambutan pengundi selepas seminggu berkempen, beliau berkata, amat memberangsangkan namun tidak mahu terlalu yakin sebaliknya terus berusaha keras untuk menang PRN Johor.

    “Kita mengetengahkan kombinasi calon yang pelbagai. Ada yang berpengalaman, bekas Menteri Besar Johor, bekas Exco, bekas ahli majlis dan golongan profesional. Ini termasuk calon bukan Melayu yang ditampilkan PN,” katanya.

  • 4 lelaki aktif edar syabu, heroin ditahan

    4 lelaki aktif edar syabu, heroin ditahan

    POLIS Pulau Pinang menahan empat lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 31 tahun yang dipercayai anggota sindiket yang aktif mengedar dadah jenis syabu dan heroin di negeri itu.

    Kesemua mereka ditahan dalam enam serbuan berasingan di sekitar daerah Timur Laut, Georgetown sewaktu operasi yang bermula pukul 12 tengah hari sehingga lewat malam.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, turut dirampas dalam serbuan itu adalah dadah jenis heroin serta syabu yang keseluruhannya seberat 4.2 kilogram (kg) dan bernilai RM79,116.

    Menurut beliau, dadah itu dipercayai diperoleh sindiket berkenaan daripada pihak lain sebelum dibungkus semula oleh kesemua suspek ya dan mengedarkannya semula kepada pembeli.

    “Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak 2013 selain pernah ditahan beberapa kali sebelum ini.

    “Selain rampasan dadah, kita turut menyita empat buah kenderaan dan pelbagai barang kemas daripada suspek yang kesemuanya bernilai RM65,445,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Timur Laut hari ini.

    Menurut Soffian, ujian air kencing mendapati tiga suspek yang ditahan turut positif dadah selain mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

    Katanya, kesemua suspek kini direman sehingga 9 Mac dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Calon PN tawar manifesto sendiri untuk kesejahteraan rakyat di Permas

    Calon PN tawar manifesto sendiri untuk kesejahteraan rakyat di Permas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Tazul Arifin Nasri nekad melakukan pembaharuan di kawasan tersebut jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Beliau berkata, terdapat lima perkara yang menjadi teras manifesto yang ditawarkan khusus untuk DUN Permas.

    “Pertama adalah memastikan kebajikan rakyat di DUN Permas mendapat pembelaan sewajarnya bersesuaian dengan permasahalahan mereka.

    “Kita juga akan memastikan wakil Sabah dan Sarawak di DUN Permas mempunyai tempat dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan mereka mengenengahkan permasahalanan mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita di bilik gerakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pasir Gudang, Bandar Seri Alam, PAsir Gudang hari ini.

    Tazul Arifin tidak mahu mereka yang datang dari dua negeri itu merasa terpinggir apabila berada di Pasir Gudang.

    Perkara kedua katanya, akan melakukan pemerkasaan ekonomi antaranya melibatkan penternakan akuakultur, perikanan, perusahaan makanan laut dan pelancongan akan terus berkembang dan terbela.

    “Mengadakan siri siri kursus keusahawanan maya kepada peniaga kecil sederhana (PKS) terutamanya bagi golongan wanita untuk menambah kemahiran dalam perniagaan dengan bantuan agensi agensi yang berkenaan.

    “Ini termasuk mempromosikan dan menaik taraf Pasar Borneo dan Pasar Muafakat sebagai sebuah pusat tarikan pelancong. kita juga menyokong sebarang usaha untuk mengubah wajah kawasan perniagaan di bandar Masai agar menjadi sumber tarikan pelancong,” katanya.

    Sementara perkara ketiga yang akan dilakukan selari dengan ikrar tersebut, beliau berkata, proses kemampanan perancangan akan dilakukan dengan mengekalkan kampung-kampung yang mempunyai geran dan dipastikan segala fasiliti mencukupi serta diselenggara dengan baik.

    “Perkara keempat pula melibatkan kelestarian alam sekitar iaitu dengan menyokong dan menegakkan sebarang usaha pembangunan industri berteknologi tinggi yang boleh mengatasi masaalah pencemaran,” katanya.

    Jelasnya, ini termasuk memastikan sungai-sungai dalam Pasir Gudang mendapat perhatian sewajarnya agar tidak dicemari dengan sisa toksik melalui kerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan.

    Tambahnya, ini juga bagi memastikan sebarang penambakan tanah laut atau penerokaan hutan bakau tidak menganggu ekosistem sedia ada.

    Kata Tazul Arifin lagi, perkara kelima pula adalah menitikberatkan aspek kerohanian iaitu dengan mengadakan program ilmu bersifat
    kerohanian dengan bantuan agensi kerajaan dan pihak swasta.

  • Berpuluh tahun berlalu, Semarang masih mundur, bukan maju – Pengundi

    Berpuluh tahun berlalu, Semarang masih mundur, bukan maju – Pengundi

    WALAUPUN sudah berpuluh tahun berlalu masih tiada sebarang kemajuan nyata yang dapat dilihat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang di Johor.

    Pengundi di kawasan tersebut yang muak dengan keadaan itu mahukan perubahan nyata agar Semarang dapat menikmati kemajuan sebagaimana yang dirasakan di Ayer Hitam dan Yong Peng yang bersebelahan dengannya.

    Anak jati Semarang, Shahrudin Dinosalis Mohd. Salih, 52 tahun mendakwa, walaupun kawasan itu aktiviti utamanya perladangan, penternakan dan pertanian, tiada sebarang bantuan yang diberikan oleh kerajaan yang membolehkan mereka untuk memaksimakan pendapatan daripada aktiviti ekonomi tersebut.

    “Kalau orang yang ada banyak tanah sawit itu lainlah cerita kerana ekonomi mereka telah stabil dengan pendapatan sawit.

    “Tapi bagi orang kampung selaian mereka yang berminat untuk bertani, mereka tidak dapat berbuat demikian tiada sebarang bantuan yang diberikan untuk membolehkan hasrat itu dilakukan,” katanya ketika ditemui SatuBerita di Kampung Seri Mendapat di Semarang, Batu Pahat.

    Kekecewaan beliau turut digemari oleh seorang pengundi muda kawasan itu, Taufik Lubis Ashab, 32 yang menambah sehingga setakat ini Semarang masih tidak mempunyai fasiliti-fasiliti untuk kegunaan golongan muda berbanding kawasan lain yang berdekatan.

    “Bagi saya sejak beberapa penggal ini memang tiada sebarang kemajuan yang nyata di kawasan Semarang ini.

    “Semarang ini bagaikan dianaktirikan berbeza dengan Parit Yaani dan Yong Peng yang telah berkembang maju bahkan telah diiktiraf sebagai daerah. Kawasan ini amat kurang fasiliti yang warganya,” ujar beliau kecewa.

    Justeru, mereka menegaskan, rakyat di DUN Semarang mahukan seorang wakil rakyat yang mampu membawa perubahan nyata dan kemajuan di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri Johor yang bakal berlangsung 12 Mac depan. 

  • 22,531 anggota polis, tentera undi awal Selasa ini

    22,531 anggota polis, tentera undi awal Selasa ini

    SERAMAI 22,531 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasangan akan mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Selasa ini.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, seramai 11,576 pengundi adalah warga PDRM Johor di seluruh negeri itu.

    “Sebanyak 63 pusat mengundi dengan 83 saluran akan disediakan bagi proses undi awal tersebut.

    “Proses undi awal ini akan dijalankan di premis-premis PDRM dan ATM yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “Nasihat saya bagi yang mengundi awal, sentiasa peka kepada arahan-arahan semasa daripada petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Walaupun bergelar anggota polis, tetapi masih perlu patuh pada prosedur operasi standard (SOP) supaya perjalanan pengundian awal ini berjalan dengan lancar,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, seramai 382 orang yang terdiri daripada anggota polis Johor telah mendaftar undian pos bagi PRN Johor.

  • Tiga tawaran terbaik PN jika menang di DUN Parit Yaani

    Tiga tawaran terbaik PN jika menang di DUN Parit Yaani

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA inisiatif akan dilakukan Perikatan Nasional (PN) sekiranya menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani.

    Calon PN bagi DUN Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, pertamanya tiga fasa akan dilakukan untuk penambahbaikan infrastruktur perparitan, saliran dan pengurusan samah.

    “Kedua kita akan fokus ekonomi setempat khususnya untuk anak-anak muda dan wanita berniaga secara dalam talian, secara mikro dan terlibat industri kecil dan sederhana.

    “Ketiga adalah penambaikan fasiliti dan pengangkutan awam. Bersama kita memajukan Parit Yaani dan masyarakat setempat,” katanya dalam Facebook milik beliau, hari ini.