Author: Admin

  • Sepasang kekasih didakwa edar dadah methamphetamine lebih 260kg

    Sepasang kekasih didakwa edar dadah methamphetamine lebih 260kg

    SEPASANG kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 260.58 kilogram, bulan lepas.

    Adam Tan Seng Tek, 30, yang merupakan seorang nelayan dan wanita warga Vietnam, Nguyen Thi Kim Thanh, 30, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana ia berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 260,580 gram di sebuah unit kondominium di Residensi Kiara Jalil 1, Kuala Lumpur pada 9.30 malam, 24 Feb lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Phulrani Kaur manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Kee Wei Lon dan Low Wei Loke.

    Pada 28 Februari lepas, media melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur telah menahan dua suspek (tertuduh) dengan rampasan dadah jenis syabu seberat kira-kira 260 kilogram dalam serbuan di sebuah kondominium yang dijadikan tempat penyimpanan dadah berkenaan. – Bernama

  • PN dakwa bahan kempen dirosakkan

    PN dakwa bahan kempen dirosakkan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) mendakwa bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk bendera, poster dan kain rentang mereka dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

    Seorang jentera parti PN, Sungip Awee, 68, dari Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang mendakwa, lebih 20 bendera termasuk poster dan kain rentang dirosakkan dipercayai pada sebelah malam.

    “Kejadian seperti ini sudah beberapa kali berlaku. Bendera dan bahan kempen di kampung ini dirosakkan dan kami boleh meneka pihak mana yang melakukannya tetapi tidak mahu buat sebarang tuduhan.

    “Kita harap dapat berkempen secara sihat pada PRN Johor,” katanya kepada pemberita semasa mengiringi calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Dr Karim Deraman berkempen di kampung itu, pada Selasa.

    Sungip berharap, apabila PN menang PRN tersebut, masalah di kampung itu dapat diselesaikan termasuk masalah jalan ke tiga atau empat buah rumah yang masih tidak berturap hanya kerana berlainan fahaman politik.

    Sementara itu, seorang lagi jentera PN di kampung itu, Mohd Hisham Md Jalani, 38, berharap masalah pencemaran di kawasan berkenaan dapat diatasi kerana sudah berlarutan terlalu lama.

    Dia mendakwa, pencemaran sering berlaku di kampung berkenaan yang berdekatan dengan Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat hinggakan kawasan pasir di Jeti Kampung Tanjung Langsat kini berwarna hitam.

    “Semuanya berpunca dari masalah sampah yang dibawa dari Sungai Tiga dan masuk ke kawasan laut. Begitu juga sebuah kilang gula berdekatan menyebabkan pencemaran hingga air laut kotor,” katanya.

    Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di kampung itu dan kawasan berdekatan mendapati, bukan sahaja bahan kempen PN dirosakkan tetapi juga bendera dan kain rentang Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

  • Pengalaman sebagai Exco, bekas ADUN keistimewaan calon PN

    Pengalaman sebagai Exco, bekas ADUN keistimewaan calon PN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi akan menggunakan pengalamannya sebagai Exco kerajaan negeri dan sebagai bekas wakil rakyat untuk kembali memenangi kerusi ditandinginya itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Beliau yang berusia 72 tahun berkata, tidak menjadikan umur sebagai halangan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi jika kembali dipilih di kerusi berkenaan.

    Tosrin yang merupakan calon paling tua dalam PRN tersebut berkata, apa yang penting adalah kualiti perkhidmatan akan diberikan nanti.

    “Pastinya bertanding (menentang calon lebih muda) mencabar kerana saya merupakan calon paling tua…tetapi usia bukan pemisah, yang penting semangat dan iktikad untuk berkhidmat kepada rakyat.

    “Ini adalah jiwa raga saya selama ini. Saya menjalankan tanggungjawab dan seterusnya semua terletak di tangan rakyat untuk menilai dan memilih sendiri siapa yang layak untuk mewakili mereka,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Pada PRN Johor, Tosrin akan menyertai pertembungan empat penjuru di DUN Bukit Permai melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Calon lain ialah Datuk Mohd Jafni Md Shukor (BN), Mohd. Azrol Ab. Rahani (Muda) dan Mokhtar Abdul Wahab (Pejuang).

    Tosrin berkata, cabaran besar pada PRN Johor berbeza berbanding siri pilihan raya yang lain kerana keadaan terkini yang masih belum mendapat gambaran jelas mengenai penerimaan golongan muda terhadap politik.

    Bagaimanapun, pihaknya telah bersedia bagi menangani perkara berkenaan selain berharap golongan muda boleh membuat keputusan berlandaskan kepada gerak kerja berbanding hanya terpengaruh dengan satu sumber sahaja.

    “Saya bersedia (cabaran pengundi muda), kita tidak membelakangkan mana-mana golongan dan berkhidmat untuk semua golongan. Untuk DUN Bukit Permai ini saya telah lama di sini dan bukan calon yang suka-suka bertanding.

    “Iltizam saya ialah menjadi wakil rakyat untuk rakyat, dan saya akan berikan sepenuhnya tenaga untuk menjadi suara dan terus mewakili penduduk di kawasan ini,” katanya.

    Dalam pada itu, ditanya mengenai cabaran berkempen pada PRN Johor, Tosrin memberitahu, kempen di DUN Bukit Permai bermula agak lewat kerana disahkan positif Covid-19.

    “Itu bukan bermakna saya akan memberi peluang mudah kepada pesaing lain. Ia bukan masalah besar kerana berpengalaman saya lama dalam politik. Saya kembali kepada kaedah lama iaitu pendekatan rumah ke rumah yang sering digunakan.

    “Jadi boleh kata selepas sembuh sahaja, saya terus memulakan kempen di kawasan ini. Alhamdulillah penerimaan masyarakat baik dan kerja keras ini akan diteruskan sehingga hari pengundian nanti,” katanya.

  • Gandingan mantap Muhyiddin-Hadi Awang mampu tawan hati pengundi

    Gandingan mantap Muhyiddin-Hadi Awang mampu tawan hati pengundi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang merupakan gandingan mantap dalam Perikatan Nasional (PN) yang akan menawan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Dr. Karim Deraman berkata, ini kerana kedua-dua tokoh tersebut dikenali mempunyai rekod bersih dan memiliki prestasi yang baik.

    Jelas Yang Dipertua Pas Kawasan Gelang Patah itu, gandingan tersebut memberi kelebihan kepada PN sekali gus menawarkan pemerintahan yang berintegriti, amanah dan bertanggungjawab.

    “Ketokohan dan keperibadian serta rekod bersih Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi PN memberi kelebihan kepada PN. Tentu orang masih boleh ingat bagaimana Tan Sri Muhyiddin enggan bersekongkol semasa isu 1Malaysia Development (1MDB).

    “Pendirian Tan Sri Muhyiddin sehingga menyebabkannya dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri hanya kerana tidak mahu terlibat dalam kemungkaran. Ini adalah contoh teladan yang harus diambil,” katanya.

    Beliau berkata demikian ditemui pemberita ketika berkempen di Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang, hari ini.

    Begitu juga katanya, pemerintahan kerajaan Pas di Kelantan sejak lebih 30 tahun lalu tiada Menteri Besarnya atau Exco kerajaan negeri terlibat dengan rasuah atau salah guna kuasa.

    Tambah beliau, faktor Muhhyiddin dan Presiden Pas, Tan Sri Hadi Abdul Awang perlu menjadi panduan untuk pengundi memilih PN dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.

    Mengenai kempen yang berbaki tiga hari lagi, bekas pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berpuas hati dengan sambutan diterima dan yakin PN akan mampu menawan hati pengundi terutama apa yang ditawarkan Ikrar PN.

  • Calon PN nekad atasi masalah pencemaran

    Calon PN nekad atasi masalah pencemaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Dr. Karim Deraman berazam untuk mengatasi masalah pencemaran di kawasan tersebut sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Yang Dipertua Pas Kawasan Gelang Patah itu mahu memastikan taraf hidup penduduk di DUN Tiram yang rata-ratanya B40 terbela selepas sekian lama didedahkan dengan pencemaran dari sisa buangan kilang.

    Menurut beliau, beberapa perkara mahu dilakukan sekiranya menang di kerusi DUN Tiram yang berada dalam Parlimen Tebrau.

    “Perkara utama adalah untuk meningkatkan infrasturkur iaitu selari dengan Ikrar PN. Kita mahu perbaiki jalan dan laluan utama di kawasan Cahaya Baharu, Kota Masai dan Kampung Pasir Putih.

    “Sebabnya kalau kita lihat jalan yang sedia ada sempit dan sesak, boleh dilihat setiap hari antara pukul 6.30 hingga 7 pagi, aliran trafik di laluan berkenaan sangat sibuk,” katanya.

    Beliau berkata demikian ditemui pemberita ketika berkempen di Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang, hari ini.

    Jelasnya, apabila menang nanti PN akan realisasikan manifesto atau Ikrar PN dengan membawa masalah ini kepada kerajaan negeri dan Persekutuan untuk diselesaikan.

    “Perkara kedua yang akan dilakukan adalah mencari penyelesaian pencemaran kilang-kilang di daerah ini yang berada di bawah DUN Tiram.

    “Masalah lebih 5,000 kilang di daerah ini ialah tidak mempunyai mempunyai kilang khas atau pusat pelupusan sisa kimia,” katanya.

    Disebabkan masalah itu katanya, terdapat kilang-kilang yang tidak bertanggungjawab membuang sisa berkenaan ke sungai dan laut berdekatan sekali gus mengakibatkan pencemaran alam sekitar.

  • Pengunjung menari, abai SOP:KKMM tidak kenakan sebarang tindakan

    Pengunjung menari, abai SOP:KKMM tidak kenakan sebarang tindakan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIADA sebarang tindakan akan diambil Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) terhadap pengunjung Program RIUH EK! Keluarga Malaysia di Ayer Hitam, Batu Pahat yang mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).

    Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, langkah KKMM tidak mengambil tindakan itu adalah selari dengan dasar keterbukaan media yang diamalkan pada ketika ini.

    Sebaliknya pihak KKMM akan memberi nasihat sahaja dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan berharap insiden itu yang kemudian tular dalam media sosial tidak berulang.

    “Program RIUH EK! ialah program yang kita adakan bagi meningkatkan industri kreatif dalam kalangan rakyat sebagai salah satu pendapatan untuk tingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    “Tetapi program yang baru-baru ini kita lihat mendapat sambutan yang cukup hebat, jadi masalah apabila anak muda terlebih seronok akibat terpendam lama disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Covid-19.

    “Ini menyebabkan berlaku perkara yang di luar kawalan dan melanggar SOP. Oleh itu, kita nasihatkan supaya perkara ini dapat dikawal dan kalau ada tindakan luar kawalan, itu kita serah pada polis untuk mengambil tindakan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membuat lawatan ke Pusat Media Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru, hari ini.

    Video yang tular baru-baru ini menunjukkan aksi sekumpulan anak muda dalam program itu yang berseronok termasuk menyanyi dan menari tanpa mempedulikan penjarakan sosial dan tanpa menghiraukan SOP.

    Program anjuran kementerian itu yang diadakan selama tiga hari sehingga Isnin bertujuan memperkasa dan mendukung usahawan kreatif serta pengamal seni tempatan.

    Program RIUH EK! Keluarga Malaysia itu dijangka akan diteruskan lagi membabitkan 14 siri jelajah di seluruh negara.

    Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Jumaat lalu.

    Mengulas lanjut, Zahidi berkata, program berkenaan itu bagi memberi hiburan serta meningkatkan industri kreatif seterusnya meningkatkan aktiviti seni dalam negara.

    Menurutnya, apabila video tersebut tular terdapat individu mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan mengganggu ketenteraman awam.

    “Walaupun kita mendapat ribuan aduan mengenai mereka yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, menghina pemimpin dan sebagainya, kebanyakannya kita hanya berikan nasihat,” ujarnya.

  • PRN Johor:Lapor polis jika ada pihak halang keluar mengundi

    PRN Johor:Lapor polis jika ada pihak halang keluar mengundi

    POLIS meminta orang ramai membuat laporan jika terdapat cubaan daripada mana-mana pihak untuk menghalang mereka keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya juga akan sentiasa membuat pemantauan termasuk melihat jumlah kehadiran orang ramai semasa hari mengundi.

    “Beritahu polis (sekiranya ada pihak menghalang) dan kita akan pastikan bahawa perjalanan (mengundi) dipantau.

    “Kita pantau daripada segi jumlah kehadiran, apabila sudah sampai tengah hari, tengok kenapa orang tidak hadir, atas apa sebab kita akan semak, sama ada terdapat halangan dan sebagainya,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau proses pengundian awal PRN Johor di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Kamarul Zaman mengulas mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya terdapat individu yang dihalang oleh mana-mana pihak untuk keluar mengundi.

    Beliau berkata, orang ramai juga diminta memberikan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat halangan lain seperti kawasan mereka dilanda banjir kilat.

    “Sekarang ini (apabila) petang selalu hujan dan dikhuatiri (boleh berlaku) banjir kilat. Jadi kita perlu kerjasama daripada masyarakat untuk maklum kepada kita, sekiranya mereka terhalang untuk ke pusat mengundi (sila) beritahu kita segera,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, seramai 11,500 anggota dan pegawai polis serta pasangan di negeri ini terlibat dengan pengundian awal PRN Johor di 83 saluran pada hari ini, dengan 1,500 daripadanya mengundi di Dewan Dato’ Onn.

    Beliau berkata proses pengundian berjalan agak perlahan awal pagi tadi berikutan hujan, namun berjalan lancar dua jam kemudian selepas cuaca kembali cerah.

    “Kita tidak dapat pastikan jumlah sebenar (keluar mengundi ketika ini) tetapi kita akan kemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Perancangan Muhyiddin semasa menjadi PM beri kesan sehingga kini

    Perancangan Muhyiddin semasa menjadi PM beri kesan sehingga kini

    SEMUA perancangan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menjawat jawatan Perdana Menteri dilihat membuahkan hasil dan berkesan sehingga hari ini.

    Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, antara contoh langkah diambil Muhyiddin ialah bagaimana kerajaan PN sewaktu menggesa rakyat Malaysia divaksinkan dan perancangan pelbagai jenis bantuan yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini.

    “Bagaimana kaedah Muhyiddin menangani, walaupun pada masa itu timbul kononnya kerajaan gagal dan tidak berjaya dengan kes Covid-19 pada masa itu agak tinggi.

    “Tetapi kita tidak melihat itu sebagai gagal sebab itu adalah fenomena yang kita hadapi ketika itu. Istilah gagal tidak boleh kita guna walaupun ada kelompok-kelompok sebelum ini gunakan perkataan gagal semasa Muhyiddin.

    “Bagi kita, itu adalah fenomena yang perlu kita hadapi dan tangani bersama,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Di bawah pemerintahan Muhyiddin, rakyat diminta untuk mengambil vaksin Covid-19.

    Selain daripada itu, antara bantuan yang diumumkan oleh Muhyiddin bagi membantu rakyat berdepan penularan wabak Covid-19 adalah seperti Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

    Pada 2 Mac, Muhyiddin kemudiannya melancarkan Ikrar PN Untuk Johor, manifesto gabungan itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan slogan ‘Demi Bangsa Johor’.

    Muhyiddin berkata, PN menyediakan ikrar berteraskan lapan tunjang utama, berpasukan 24 strategi dan berlandaskan 145 pendekatan.

    Mengulas lanjut, Khairul Faizi berpendapat dengan ikrar yang dilancarkan oleh Muhyiddin itu, calon PN bersedia untuk menjadikan agenda rakyat sebagai agenda utama.

    “Rakyat menjadi tumpuan kita. Segala bentuk permasalahan rakyat, menjadi keutamaan kita.

    “Dalam masa yang sama, untuk mencapai hasrat membantu rakyat kita letakkan integriti itu sebagai perkara yang paling utama dalam kerajaan PN yang kita akan bentuk pada masa akan datang,” ujarnya.

    Menyentuh mengenai pemberian bantuan yang diberikan menerusi bajet, Khairul Faizi menyifatkan pemerintahan pada waktu itu sangat kritikal sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang besar.

    “Dengan pelbagai dana yang telah disalurkan kepada rakyat dengan pelbagai pakej. Pada masa itu adalah masa yang sangat kritikal.

    “Ada yang menghadapi tekanan perasaan kerana tidak boleh keluar rumah dan ada yang tidak dapat berjumpa dengan keluarga dalam tempoh yang panjang,” ujarnya.

    Khairul Faizi juga berpandangan sewaktu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, keadaan ekonomi negara sudah semakin pulih.

    “Kalau kita lihat hari ini, tak ada isu orang sudah tidak boleh keluar kerja dan orang yang hilang kerja (sebelum ini) sebahagiannya sudah mendapat kerja.

    “Ketika ini kita tidak mendengar orang kena buang kerja kerana ekonomi sudah berjalan,” jelasnya.

  • Undi awal PRN Johor bermula 8 pagi

    Undi awal PRN Johor bermula 8 pagi

    SEBANYAK 63 pusat mengundi bersiap sedia dibuka bagi proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 yang bermula 8 pagi, hari ini.

    Lebih 22,000 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing layak mengundi hari ini.

    Kemudahan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor di Jalan Tebrau di sini dan 10 Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh negeri serta beberapa pejabat kerajaan turut dijadikan sebagai pusat mengundi.

    Anggota tentera akan mengundi di Kem Mahkota, Kluang; Kem Tebrau, Ulu Tiram; Kem Batalio Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Batu Pahat dan Kem Rejimen Keempat Artileri Diraja (4RAD), Segamat.

    Sementara itu, anggota PGA dan pasangan masing-masing akan mengundi di Batalion ke-5, pasukan PGA di Simpang Renggam, Kluang dan Batalion ke-6 PGA di Bakri, Muar.

    Seramai 239 calon bertanding merebut 56 kerusi pada PRN kali ini.

    Hari pengundian PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac (Sabtu) ini.– Bernama

  • Seorang anggota tentera maut, empat cedera dalam kemalangan

    Seorang anggota tentera maut, empat cedera dalam kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota tentera maut dan empat cedera dua selepas lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 16, Jalan Penawar-Punggai, Kota Tinggi, hari ini.

    Kemalangan pada pukul 3.40 petang itu berlaku semasa mereka dalam perjalanan dari Pos Tanjung Leman, Mersing ke Pos Tanjung Sepang, Pengerang dekat Kota Tinggi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora, kemalangan itu mengakibatkan seorang anggota tentera berusia 23 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kemalangan melibatkan seorang pegawai dan empat anggota tentera. Dua lagi anggota tentera cedera ringan manakala dua lagi anggota tentera cedera parah dan menerima rawatan lanjut di Hospital Kota Tinggi.

    “Semua mereka yang cedera berusia antara 22 hingga 38 tahun. Siasatan awal mendapati punca kemalangan berlaku dipercayai gagal memotong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pihaknya masih lagi dalam peringkat siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan kematian anggota tentera berkenaan.

    Katanya, kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Pihak Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mematuhi arahan lalu lintas di jalan raya,” katanya.

    habis