Author: Admin

  • Bekas pesakit Covid-19 bersyukur dapat mengundi

    Bekas pesakit Covid-19 bersyukur dapat mengundi

    SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) bersyukur dan gembira selepas keadaan kesihatannya beransur baik akibat dijangkiti Covid-19, sekali gus membolehkannya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan raya Negeri (PRN) Johor hari ini.

    Razak Abdullah, 62, berkata dia jatuh sakit sejak setahun lalu dan keadaan kesihatannya itu bertambah buruk selepas disahkan menghidap Covid-19 pada Januari.

    Walaupun dengan keadaan dirinya itu, katanya dia sanggup hadir ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Nong Chik di Johor Bahru, walaupun kini sudah menetap di Taman Nusantara di Iskandar Puteri.

    Warga emas ini bersyukur kerana ahli keluarga sedia membantu dan menemaninya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling.

    “Sebelum ini saya tinggal sekitar Nong Chik, namun selepas berpindah saya tetap mahu mengundi di sini kerana secara tidak langsung ia dapat mengembalikan nostalgia.

    “Saya lega kerana keadaan kesihatan juga mengizinkan saya mengundi walaupun terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda kerana masalah saraf.

    “Saya yakin dapat memilih calon yang berkewibawaan bagi menerajui Johor,” katanya, memetik laporan Berita Harian.

    Sementara itu, seorang petugas atau pemandu arah di pusat mengundi, Mohd. Faiz Mahmod berkata, pengalaman dilaluinya hari ini cukup bermakna baginya.

    “Kami dapat membantu pengundi terutama OKU dan warga emas yang bersemangat untuk mengundi,” katanya.

  • PRN Johor:Muhyiddin harap jumlah keluar mengundi capai 80 peratus

    PRN Johor:Muhyiddin harap jumlah keluar mengundi capai 80 peratus

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGURUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap, jumlah pengundi yang akan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini, mampu mencapai sehingga 80 peratus.

    Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, peratusan jumlah keluar mengundi yang tinggi berkemungkinan akan memberi kelebihan kepada PN.

    “Semalam diberitahu di Muar ini sesak. Mungkin petanda baik kerana ramai dari luar sudah pun balik mengundi pada pagi ini.

    “Bagi saya, ini adalah satu perkara yang amat penting kerana kalau peratusan jumlah mengundi itu agak rendah, nanti tidak akan mencerminkan hakikat realiti kehendak rakyat di Johor yang saya percaya mahukan satu perubahan dan sebuah kerajaan yang baharu,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar, Muar, pagi tadi.

    Muhyiddin dan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di SMK Sri Muar pada pukul 9.05 pagi dan selesai membuang undi pukul 9.18 pagi.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin turut menyeru kepada pengundi untuk keluar mengundi beramai-ramai.

    “Ini adalah satu tanggungjawab dan saya harap mereka yang berada di daftar pemilih ini akan beramai-ramai keluar mengundi,” katanya.

    Johor mempunyai lebih 2.5 juta pemilih yang bertanggungjawab memilih 56 Ahli Dewan Undangan Negeri.

    Keseluruhannya seramai 239 calon menawarkan diri yang terdiri daripada 10 parti dan Bebas.

    Sebanyak 1,021 pusat mengundi dibuka untuk proses pengundian hari ini.

    Sebanyak 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

  • Muhyiddin, isteri mengundi di SMK Seri Muar

    Muhyiddin, isteri mengundi di SMK Seri Muar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Muar di Muar pagi tadi.

    Ahli Parlimen Pagoh itu memuat naik foto beliau dan isteri mengundi di SMK tersebut dalam Facebook miliknya.

    “Alhamdulillah, saya dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman telah melaksanakan tanggungjawab mengundi di Sekolah Sri Muar, Muar, bagi kerusi N.15 Dewan Undangan Negeri Maharani pagi ini.

    “Cuaca pagi ini baik dan saya menyeru seluruh rakyat Johor agar dapat keluar mengundi awal.

    “Keluarlah mengundi beramai-ramai dan laksanakanlah peluang mengundi ini dengan penuh tanggungjawab.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas-petugas pilihan raya seperti kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian
    Kesihatan Malaysia dan semua anggota keselamatan yang terlibat. Selamat mengundi,” katanya dalam Facebook miliknya

  • Billboard gambar Muhyiddin disimbah cat merah

    Billboard gambar Muhyiddin disimbah cat merah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH billboard Perikatan Nasoional (PN) dan terpampang gambar Tan Sri Muhyiddin Yassin disimbah cat merah di bulatan Taman Putri, Kulai yang disedari pagi semalam.

    Kejadian disedari seorang lelaki yang merupakan petugas PRN Johor bagi PN sebelum membuat aduan polis pukul 8 pagi semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow, Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai ke lokasi kejadian menyiasat perkara itu.

    “Siasatan mendapati billboard gambar Pengerusi PN (Muhyiddin) pada billboard berkenaan disimbah cat merah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh didenda atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

  • PRN Johor:Pilih pemimpin yang bersih, amanah seperti dituntut Islam

    PRN Johor:Pilih pemimpin yang bersih, amanah seperti dituntut Islam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    HARI ini adalah hari yang amat penting dalam sejarah Johor moden. Ini kerana akan berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor iaitu pilihan raya pertama yang diadakan berasingan.

    Bagi pengundi PRN Johor sama ada baharu atau sudah lama, sudah tentu sukar membuat pilihan kerana terlalu banyak parti politik bertanding. Mereka tidak tahu adakah apa yang dipangkah nanti akan memberi kesan positif atau tidak untuk tempoh lima tahun akan datang.

    Semua yang akan dipilih itu melibatkan soal kepimpinan dan bagaimana caranya untuk mentadbir negeri ini.

    Kepimpinan adalah antara isu sangat mustahak diperbincangkan dan ditekankan kerana membabitkan masa depan negeri dan kemajuan rakyatnya. Dalam Islam sudah digariskan kaedah untuk memilih pemimpin.

    Tidak dapat dinafikan kepemimpinan hebat berupaya membangunkan masyarakat dan tamadun bangsa, sekali gus bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan daripada aspek fizikal mahupun spiritual.

    Kita tidak boleh pilih pemimpin secara semborono atau tangkap muat sahaja. Begitu juga dengan PRN Johor yang berlangsung hari ini.

    Dalam Islam terdapat tiga kriteria semasa kita memilih pemimpin iaitu pemimpin perlu beragama Islam. Tetapi jika perlu memilih calon bukan Islam dalam pilihan raya di Malaysia, mereka sebagai pemimpin adalah harus selagi tidak mengancam Islam dan penganutnya.

    Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, hasil penelitian terhadap ayat al-Quran dan pandangan pelbagai ulama tersohor, tiada dalil muktamad yang melarang mengundi calon bukan Islam.

    Katanya, ayat al-Quran yang dijadikan hujah oleh ulama untuk mengharamkan pemilihan bukan Muslim sebagai wakil rakyat, apabila diteliti sebenarnya merujuk kepada orang kafir yang memusuhi Islam dan penganutnya.

    Kriteria kedua adalah pemimpin yang mampu dan amanah. Dua sifat ini sangat penting dan wajib ada pada seorang pemimpin.

    Sementara kriteria ketiga pula adalah adil. Sifat ini sangat penting kerana apabila memilikinya akan mensejahterakan rakyat.

    Berbalik kepada PRN Johor, terdapat banyak parti dan gabungan politik yang memberikan pelbagai tawaran menerusi manifesto mereka.

    Terpulang kepada kebijaksaan dan penilaian kita dalam membuat keputusan sama ada berdasarkan sentimen kepartian atau condong kepada mana-mana sebab atau faktual yang mendorong untuk memilih pihak mana.

    Penulis berpandangan, sebagai seorang muslim, kita mempunyai pilihan untuk memilih dalam PRN Johor kerana masih ada pemimpin yang baik, bersih, amanah dan menolak kemungkaran.

    Apabila kita tahu seseorang pemimpin itu serta kepimpinannya mempunyai latar belakang dan rekod yang bersih, mengapa tidak memilih kepimpinannya? Bukankan ini dituntut dalam agama memilih pemimpin dan kepimpinan sedemikian?

    Adalah menjadi keganjilan dan kegilaan apabila kita masih mempunyai pilihan yang baik tetapi terus memilih pemimpin atau daripada kepimpinan yang rosak, mengamal rasuah dan salah guna kuasa.

    Jika ini berlaku, ini sesuatu yang sangat menghairankan. Adakah kita sebagai umat Islam sudah hilang pertimbangan dan kewarasan, tidak tahu menilai mana baik dan buruk? Adakah kita sudah buta mata hati?

    Sudah ada yang baik tetapi tetap memilih yang buruk? Atas alasan apa? Terlalu taksub pada parti politik hingga membelakangkan tuntutan agama? Tidakkah rasa bersalah atau dirasakan terus bersubahat sekiranya masih memilih pemimpin dan keimpinan yang sedemikian?

    Sekiranya kita tidak mempunyai pilihan, itu mungkin boleh difahami tetapi sebagai manusia bertamadun dan umat beragama, apabila ada pemimpin yang mempunyai tiga kriteria tersebut, mengapa masih mahu memilih yang sudah rosak?

    Bukankah dalam keadaan politik yang sudah dicemari pelbagai ketamakan duniawi, sudah sepatutnya kepimpinan negara perlu kembali kepada landasan Islamiah. Jika kita tidak mampu mengikut seperti yang nabi lakukan, memadailah dengan cuba mengambil contoh kepimpinannya.

    Menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr. Mohd. Afandi Mat Rani, kepemimpinan dan manhaj Rasulullah SAW, terlakar dalam sejarah, antara patut dicontohi kerana berjaya membina pentadbiran negara berkualiti dan menepati tuntutan syariat.

    Mohd. Afandi berkata, merealisasi kehebatan kepemimpinan Islam bukan mustahil, malah boleh diteladani tetapi kriteria wajib dalam diri individu perlu diketahui sebelum layak diangkat sebagai pemimpin.

    “Dalam Islam, nilai utama pemimpin ialah amanah, bukannya soal populariti. Rasulullah SAW menerangkan sifat amanah seperti sabda Baginda kepada Abi Dzar RA. Baginda menjelaskan kesan apabila hilangnya amanah dalam kepimpinan jika jatuh kepada orang yang tidak berhak menjadi
    pemimpin.

    Dalam hadis diriwayatkan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Maka sekiranya hilang sifat amanah, tunggulah hari pembalasan.”

    Abu Dzar berkata: “Bagaimanakah hilangnya sifat itu?” Baginda bersabda: “Sekiranya tampuk kepimpinan jatuh kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah hari pembalasan,” katanya.

    Jadilah pengundi yang bijak dan bertanggungjawab, selamat mengundi!

  • Pengawal keselamatan maut, seorang cedera ditembak perompak bank

    Pengawal keselamatan maut, seorang cedera ditembak perompak bank

    POLIS mengesahkan seorang pengawal keselamatan sebuah syarikat van membawa wang tunai maut ditembak manakala seorang lagi cedera berhampiran sebuah bank di Puchong Prima, Kuala Lumpur, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kedua-dua pengawal keselamatan berkenaan dipercayai sedang mengawal keselamatan van yang membawa sejumlah wang tunai.

    “Setakat ini, polis masih menyiasat sama ada mereka hendak mengambil wang dari bank atau mengeluarkan wang dari van untuk di bawa ke bank berkenaan.

    “Suspek yang terlibat berjaya meloloskan diri,” katanya kepada Bernama.

  • PRN Johor: Pengundi mula pulang dari Singapura untuk tunai tanggungjawab

    PRN Johor: Pengundi mula pulang dari Singapura untuk tunai tanggungjawab

    MENJELANG hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok, platform bas Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) di Larkin Sentral, Johor Bahru dipenuhi penumpang yang pulang ke tanah air dari Singapura antaranya mahu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

    Muhammad Hazeq Amir Aziz, 26, yang bekerja sebagai penghantar surat di republik jiran itu adalah antara mereka yang pulang untuk mengundi dan pada masa yang sama melepaskan rindunya terhadap tanah air tercinta dan keluarganya di Mersing.

    “Saya dah dua tahun berada di Singapura dan rasa bertuah sebab dapat tiket untuk balik ke Malaysia hari ini, agak susah nak dapat tiket sebenarnya.

    “Niat saya memang balik untuk mengundi dan guna kesempatan ini nak jumpa keluarga yang telah dua tahun saya tidak jumpa. Memang dah menjadi tanggungjawab kita untuk mengundi, saya teruja untuk mengundi buat pertama kali,” katanya kepada Bernama di Larkin Sentral hari ini.

    Lee Chen Seng, 36, turut menggunakan kesempatan pulang mengundi pada PRN Johor kali ini untuk bersatu semula dengan keluarganya setelah dua tahun tidak dapat pulang akibat penutupan sempadan negara.

    “Mengundi itu memang tanggungjawab kita, semua orang perlu keluar mengundi. Saya pulang kerana bagi saya setiap undian itu penting,” katanya yang bekerja sebagai pengurus kilang di Singapura.

    Muhammad Hazeq Amir dan Lee sependapat bahawa perjalanan mereka merentasi Tambak Johor berjalan lancar dan proses yang ditetapkan melalui VTL adalah mudah.

    Malaysia dan Singapura melancarkan VTL-Darat pada 29 Nov 2021 bertujuan melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen bertujuan membantu mereka yang terpisah daripada orang tersayang akibat pandemik untuk kembali ke Malaysia.

    Esok adalah hari pengundian bagi PRN Johor. – Bernama

  • PRN Johor: Pilihlah pemimpin yang terbaik

    PRN Johor: Pilihlah pemimpin yang terbaik

    Oleh DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

    ESOK nasib 239 calon bertanding merebut 56 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan ditentukan oleh 2.57 juta pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan serta 11,576 anggota polis dan pasangan selain 376 pengundi tidak hadir (PTH) Luar Negara.

    Daripada jumlah pengundi itu, hampir 750,000 orang adalah pengundi baharu dan sekitar 30 peratus daripada mereka berada dalam lingkungan usia 18 hingga 21 tahun. Johor memiliki kira-kira 3.52 juta penduduk ketika ini.

    PRN Johor diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 22 Januari lalu berkenan menandatangani dokumen watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, di Johor Bahru.

    Rentetan itu pelbagai polemik ditimbulkan khususnya kononnya UMNO yang meneraju Kerajaan Negeri Johor sengaja mahu DUN dibubarkan dalam usaha mengukuhkan kedudukan Barisan Nasional (BN) setelah mendapat ‘tiupan semangat’ daripada keputusan PRN Melaka sebelum ini yang menyaksikan BN berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga. Ia kemenangan ‘manis’ mereka selepas dimalukan oleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-13.

    Tidak mengapa, apa pun alasan dan sebabnya, pengundi Johor akan membuat pilihan mereka hari ini sebelum mana-mana parti yang bertanding iaitu Perikatan Nasional (PN), BN, PH dan PEJUANG.

    Johor diuji oleh Allah untuk memilih pemimpin yang akan memimpin sebuah negeri. Ia bermula dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang kemudian akan memasuki DUN untuk menentukan pelbagai bentuk undang-undang yang melibatkan kemaslahatan umat termasuk pengurusan kewangan negeri yang mencaturkan masa hadapan umat Islam.

    Semua pihak bebas untuk berkempen bagi mana-mana parti yang mereka pilih kerana itu hak masing-masing tetapi sedarkah bahawa itulah kefahaman politik Islam atau politik umat.

    Mereka yang terlibat secara langsung dengan proses amalan demokrasi ini adalah yang faham tentang politik dalam Islam kecuali mereka tidak berminat untuk mengambil tahu dan hanya berpegang kepada prinsip ‘gerakan’ atau bergerak untuk makan. Golongan ini akan membiarkan negeri atau negara mereka diterajui oleh pemimpin yang tidak baik.

    Allah SWT sudah pun mengajar manusia bagaimana cara memilih pemimpin dalam Islam seperti yang terkandung dalam al-Quran. Sehebat mana atau sebijak mana pun seseorang pemimpin itu sekiranya dia tidak memimpin umat berdasarkan perintah Allah dan Rasul-Nya, maka dia pasti akan melakukan kesilapan demi kesilapan sama ada disedari atau tanpa disedari.

    Ketidakpatuhan pemimpin kepada perintah Allah dan Rasul-Nya akan mengakibatkannya gagal untuk menyelesaikan permasalahan umat, jadi ciri nombor satu seorang pemimpin ialah mereka patuh dan taat kepada perintah Allah.

    Tadbir urus yang baik adalah suatu nilai dalam menguruskan negara yang dipandang tinggi di peringkat antarabangsa termasuk dalam institusi politik. Namun begitu al-Quran bukan sekadar menggariskan nilai urus tadbir yang baik semata-mata berkaitan politik sebaliknya menyentuh seluruh aspek kehidupan manusia sama ada individu, keluarga, masyarakat dan negara.

    Contoh terbaik berjaya ditunjukkan ialah Kerajaan Negeri Kelantan sejak ia diperintah oleh PAS dengan sifar korupsi. Ia berlandaskan konsep atau kod etika yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat iaitu UMI (Ubudiyah, Mas’uliyah dan Itqan).

    Ubudiyah merujuk kepada kedudukan manusia sebagai hamba Allah SWT yang diciptakan semata-mata untuk beribadat kepada-Nya. Ia memberi signifikan dari sudut sifat diri, tujuan hidup dan juga cara menjalani kehidupan yang lahir dari pancaran iman serta akidah yang jelas mana Mas’uliyah merujuk kepada kebertanggungjawaban atau akauntabiliti iaitu segala tanggungjawab yang dilakukan di dunia ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT pada hari pengadilan kelak. Itqan pula merujuk kepada kualiti kerja yang tekun, komitmen dan kesungguhan.

    Kerana itu penting untuk kita menilai bahawa apa yang berlaku di Johor ini adalah pilihan raya yang menentukan pemilihan pemimpin yang baik bagi melahirkan negeri yang baik.

    Pemimpin yang baik itu akan sedar bahawa parti-parti politik yang bertanding adalah parti yang masih bersama dalam Kerajaan Pusat, justeru mereka akan berhemah ketika berkempen, tidak menyerang lawan secara membuta tuli. Pemimpin dan parti yang baik ini akan menjual modal yang dimilikinya tanpa memburukkan pihak lawan.

    Rakyat Johor ada tanggungjawab besar hari ini. Keluarlah mengundi, yang jauh pulang dan tunaikan kewajipan anda sebagai pemilih, pilihlah pemimpin yang terbaik.

    Penulis ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus.

  • PRN Johor:Tolak mereka ‘yang bersalah’, tidak layak memimpin

    PRN Johor:Tolak mereka ‘yang bersalah’, tidak layak memimpin

    PERIKATAN Nasional (PN) menggesa pengundi muda keluar beramai-ramai membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi menyatakan pendirian mereka dalam menolak kemungkaran dan penyalahgunaan kuasa.

    Setiausaha Penerangan Bersatu Perak, Datuk Dr Zulkifli Abdul Aziz berkata, PNyang menggabungkan beberapa parti utama antaranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) konsisten dalam pendirian itu.

    “PN sendiri menawarkan satu wadah perjuangan kepada bangsa Johor iaitu memastikan kepemimpinan Johor bebas daripada penyalahgunaan kuasa.

    “Setiap pengundi haruslah menerima hakikat dan realiti bahawa ‘yang bersalah’ tidak layak untuk memimpin Johor.

    “Sebab itu wadah perjuangan PN iaitu bebas daripada penyalahgunaan kuasa. PN juga akan memastikan kepemimpinan PN yang ditawarkan kepada bangsa Johor adalah mereka yang berintegriti.

    “Dalam hal ini, PN mengajak bangsa Johor menerima hakikat ‘yang bersalah tidak layak memimpin’. Oleh itu, jangan pula kita bersubahat dengan mereka yang bersalah,” katanya memetika laporan Sinar Harian hari ini.

    Jelasnya, para pengundi muda menjadi penentu kepada masa depan bangsa dan negeri Johor dan kesempatan itu harus diterjemahkan dalam PRN Johor.

    “Jangan silap langkah memilih pemimpin ‘yang bersalah’ untuk mentadbir negara,” katanya.

  • Cikgu Lan pegang prinsip ‘ada dan berfungsi’

    Cikgu Lan pegang prinsip ‘ada dan berfungsi’

    CALON Perikatan Nasional (PN) DUN Tenggaroh, Roslan Nikmat tekad untuk sentiasa mengotakan janjinya kepada seluruh masyarakat di kawasan berkenaan tanpa mendiskriminasi masyarakat tidak kira latar belakang politik mahupun bangsa.

    Kata bekas guru itu, beliau tidak tunggu lama untuk bertidak dalam menyelesaikan permasalahan penduduk di DUN itu setelah mendengar keluhan mereka sedangkan calon-calon lain sedang sibuk berkempen.

    Menurut Roslan, Beliau memberikan contoh masalah ketiadaan lampu jalan dikebanyakkan tempat di kawasan itu yang sering menyebabkan kemalangan di jalan utama kawasan itu.

    “Saya terus pergi ke TNB unuk selesaikan masalah ini, saya minta mereka bertindak dengan pantas, lampu LED pun sudah memadai. Alhamdulillah mereka sudah pasang beberapa lampu LED di beberapa kawasan.

    “Saya memegang moto ‘ada dan berfungsi,’ malah sejak saya menjadi guru dahulu. Apabila saya telah tukar dari dunia pendidikan kepada dunia politik, saya cuba untuk mengaplikasikan perkara itu sebaik mungkin untuk menghubungkan masyarakat dengan kerajaan negeri,” katanya.

    Beliau berkata sedemikian ketika ditemui SatuBerita di Bilik Operasi Perikatan Nasional Mersing hari ini.

    Antara permasalahan lain yang sedang diusahakan oleh Roslan adalah berkenaan isu kekurangan peluang pekerjaan untuk anak muda, isu jalan raya dan jeti rosak, isu pertanian melibatkan anak muda, serta masalah ketiadaaan balai bomba di DUN berkenaan.

    Dalam pada itu katanya, walau apa jua keputusan pada Pilihan Raya Johor kelak, Roslan tetap akan terus memperjuangkan hak dan keluhan masyarakat di DUN Tenggaroh untuk didengari oleh pihak Kerajaan Negeri.

    “Kalau ditakdirkan saya kalah pun tiada masalah. Perikatan Nasional masih berkuasa di peringkat persekutuan, kita masih lagi berfungsi. Namun saya yakin untuk membantu negeri Johor dengan lebih telus dan prihatin jika diberikan kemenangan,” ujarnya lagi.