Author: Admin

  • Hasni beri bayangan Johor bakal dapat MB baharu

    Hasni beri bayangan Johor bakal dapat MB baharu

    PELANTIKAN Menteri Besar Johor mencetuskan persoalan apabila Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad hari ini membayangkan negeri itu bakal memiliki kepimpinan baharu.

    Menerusi satu kenyataan beliau petang ini, pelbagai spekulasi timbul selepas tiga nama untuk calon Menteri Besar Johor termasuk beliau, diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ibrahim.

    Menurut Hasni, beliau telah mencadangkan kepada kepemimpinan parti untuk memilih orang muda untuk memimpin negeri tersebut.

    Setakat ini belum ada pengumuman rasmi siapa Menteri Besar Johor, bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi disebut-sebut dilantik memegang jawatan tersebut.

    Berikut kenyataan penuh beliau:

    Salam Sejahtera dan Salam Makmur Johor,

    Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah berlangsung dalam keadaan harmoni dan lancar.

    Tahniah kepada semua calon yang berjaya memenangi kerusi yang ditandingi masing-masing, sama ada daripada Barisan Nasional (BN), mahupun daripada parti-parti lain termasuk calon Bebas.

    Dengan kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan jentera komponen BN yang telah bertungkus lumus berkempen bagi memenangkan calon dan parti.

    Kejayaan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan adalah berkat kerjasama dan kerja keras semua pihak dalam menarik sokongan rakyat Johor.

    Saya menghargai keprihatinan dan kepercayaan parti sepanjang menjayakan Pilihan Raya Negeri Johor ke-15, sehingga membawa kepada kemenangan besar Barisan Nasional di Johor.

    Melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri Johor, dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan agar pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri Johor.

    Kerajaan Negeri di bawah pimpinan saya telah berikhtiar sebaik mungkin untuk menjadikan negeri Johor berdaya tahan dalam mendepani cabaran-cabaran pandemik COVID-19.

    InsyaAllah di bawah kepimpinan baharu, negeri Johor akan menjadi lebih makmur dan sejahtera. Seperti yang saya ucapkan pada malam kemenangan BN Johor tempoh hari, tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih
    utama daripada Johor Darul Ta’zim. Kini merupakan masa untuk kita bersama-sama membina Johor yang lebih makmu
    r.

  • Zahid ‘kunci mulut’ isu siapa bakal jadi MB Johor

    Zahid ‘kunci mulut’ isu siapa bakal jadi MB Johor

    STATUS calon Menteri Besar Johor ke-19 terus menjadi tanda tanya apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengunci mulut sebaik kembali daripada menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, sebentar tadi.

    Ahmad Zahid dilihat kembali ke Pejabat Perhubungan UMNO Johor di Johor Bahru pada pukul 4 petang tadi selepas hampir satu jam menghadap Sultan Ibrahim.

    Beliau yang juga Presiden UMNO diiringi Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, naik ke tingkat tiga bagi mengadakan perbincangan.

    Semua pemimpin berkenaan dilihat turun setengah jam kemudian sebelum meninggalkan Pejabat Perhubungan UMNO Johor.

    Usaha mendapatkan komen daripada ketiga-tiga pemimpin itu gagal apabila mereka terus mengunci mulut walaupun disoal bertalu-talu oleh media.

    Mereka dilihat meninggalkan pekarangan pejabat itu dalam kenderaan berbeza.

    Difahamkan, ketiga-tiga pemimpin itu bergerak ke kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana, Johor Bahru bagi mengadakan perbincangan tertutup susulan pertemuan dengan Sultan Ibrahim.

    BN mengemukakan tiga nama sebagai calon Menteri Besar Johor yang baharu kepada Sultan Johor hari ini.

    Warta Rakyat difahamkan, tiga nama itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, ADUN Rengit,
    Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan ADUN Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

  • Pelantikan MB Johor: Sultan Johor akan putuskan petang ini – Hasni

    Pelantikan MB Johor: Sultan Johor akan putuskan petang ini – Hasni

    PERSOALAN siapa yang akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor akan diputuskan petang ini oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Datuk Hasni Mohammad.

    Beliau berkata Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menghadap Sultan Johor hari ini berhubung perkara itu.

    “Terpulang kepada keputusan petang ini,” kata beliau kepada pemberita secara ringkas di Bangunan Badan Perhubungan UMNO Johor hari ini.

    Dengan berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 kelmarin, perhatian kini beralih kepada pelantikan Menteri Besar baharu.

    Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN, ketika kempen pilihan raya telah menamakan ADUN Benut Hasni, yang dilantik semula sebagai calon tunggal Menteri Besar Johor.

    BN memenangi pilihan raya Johor dengan memperoleh lebih dua pertiga majoriti, memenangi 40 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.

    Terdahulu Ahmad Zahid dilihat tiba di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru pada 2.30 petang.

    Turut kelihatan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Beliau kemudiannya dilihat meninggalkan perkarangan Pejabat Perhubungan UMNO Johor kira-kira 20 minit kemudian. – Bernama

  • Kereta terbakar di stesen minyak disyaki cuba seludup bahan api

    Kereta terbakar di stesen minyak disyaki cuba seludup bahan api

    SEBUAH kereta jenis Perodua Kancil yang terbakar di stesen minyak di Rantau Panjang di Kelantan dalam kejadian 8.30 pagi tadi, disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan bahan api ke negara jiran.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, hasil siasatan dalam kenderaan tersebut turut ditemukan tong plastik terbakar disyaki digunakan untuk mengisi minyak seludup ke negara jiran.  

    Beliau berkata, saksi kejadian yang juga pekerja stesen minyak tersebut mendakwa telah ternampak api menyala daripada bahagian bawah kereta itu ketika pemandunya sedang mengisi minyak. 

    “Api dikatakan telah merebak ke bahagian belakang kereta sebelum lelaki tersebut terus melarikan diri. Saksi juga memaklumkan tiada unsur khianat yang menyebabkan kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Nasaruddin berkata polis kini sedang mengesan suspek berusia 36 tahun berasal dari Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

    Kebakaran yang berpunca daripada kereta tersebut turut menyebabkan sebuah pam minyak musnah.- Bernama

  • Kurang perpaduan, tidak guna logo sama punca PH gagal dalam PRN Johor

    Kurang perpaduan, tidak guna logo sama punca PH gagal dalam PRN Johor

    SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng berpendapat, kurangnya perpaduan dalam blok pembangkang yang disebabkan tidak menggunakan logo sama antara faktor kegagalan pembangkang untuk meraih undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Beliau berkata, ini termasuk visi bersama-sama atau sebarang perbincangan calon Menteri Besar dan pecahan sokongan sesama parti-parti pembangkang juga menjadi faktor kekalahan.

    Jelasnya, ini jelas kelihatan terutamanya bagi Parti Warisan (Warisan) yang bertanding di enam kerusi yang juga ditandingi PH, parti itu lebih banyak berkempen untuk mengalahkan PH berbanding Barisan Nasional (BN).

    “Tidak ada gunanya menyalahkan kekalahan PH ke atas peratusan keluar mengundi yang lebih rendah sebagai penafian diri untuk menutup keengganan berterusan untuk memahami atau enggan menangani punca utama kekalahan.

    “Hanya dengan memahami dan menangani punca utama kekalahan barulah kita boleh mengelak kehilangan semua kerusi kita dan menawarkan harapan kebangkitan dan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Justeru Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan itu berkata, terdapat keperluan mendesak untuk berfikir sebagai satu pakatan dan tidak sekadar tertumpu semata-mata pada yang kepentingan sempit parti sendiri.

    Katanya, sikap tidak mahu menerima kenyataan dengan tidak mengakui kelemahan dan kegagalan komunikasi tidak akan membantu untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

    “DAP menolak alasan bahawa gelombang baharu jangkitan Covid-19 adalah satu-satunya punca peratusan keluar mengundi yang rendah pada PRN Johor baru-baru ini.

    “Malah, pusat mengundi adalah lebih selamat daripada pasar dan kedai kopi di mana tempat orang ramai bergaul. Kluster jangkitan Covid-19 bagi mereka yang mengundi dan pekerja yang terlibat dalam kerja pengundian adalah tidak ketara berbanding kawasan awam seperti pasar dan kedai kopi, di mana calon sendiri telah dijangkiti COVID-19 semasa berkempen di sana,” ujarnya lagi.

    Dakwanya, walaupun BN telah bermain kotor dengan memastikan perlawanan yang tidak adil dengan penyalahgunaan jentera kerajaan, media dan mengamalkan politik wang, parti pembangkang perlu menghadapi realiti pahit bahawa mereka juga perlu memikul sedikit tanggungjawab atas kekalahan mereka.

    Kata Guan Eng, DAP tidak boleh melakukannya secara bersendirian dan memerlukan PH untuk bersama-sama menangani isu-isu ini.

    “Hanya dengan berkongsi kemenangan kita sebagai satu pakatan, kita boleh menang lebih banyak,” tambahnya.

  • PKR, PH terima tamparan besar kalah PRN Johor

    PKR, PH terima tamparan besar kalah PRN Johor

    KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memberinan satu tamparan besar kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH).

    Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Hari Krishnan berkata,faktor bilangan keluar mengundi kurang tidak boleh dijadikan alasan semata-mata atas kekalahan tersebut.

    Jelasnya, ini kerana boleh mengundang keputusan yang lebih berbahaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan datang.

    Bagaimanapun katanya, jumlah pengundi yang amat rendah di PRN Johor baru-baru ini sememangnya tidak dapat dinafikan namun undian daripada golongan muda juga turut kecundang apabila gagal mendapat undi seperti yang diharapkan.

    “Pandemik Covid-19 boleh dijadikan salah satu sebab tetapi faktor ‘fed up’ harus diambil kira kerana kerajaan PH sebelum ini tidak menunaikan sebarang janji manifesto seperti yang telah dijanjikan kepada anak muda.

    “Malah kita pula masing-masing sibuk memikirkan logo manakah yang patut menjadi logo rasmi PH namun keputusan PRN telah membuktikan bahawa logo tidak ada sebarang peranan dalam menjadi pilihan pengundi,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Hari Krishnan berkata, pemimpin PH seharusnya memikirkan bagaimana untuk menunaikan janji manifesto yang lepas sekurang-kurangnya di tiga negeri yang sedang diperintah.

    Jelasnya, sekiranya diimbau kembali, undian anak muda telah menjadi penentu kemenangan PH yang lalu dengan salah satu janji adalah untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

    Menurutnya, perlaksanaan janji itu adalah sukar untuk ditunaikan dengan hanya memerintah di tiga buah negeri kerana kuasa kini terletak di tangan kerajaan Persekutuan.

    “Namun sebagai langkah permulaan parti boleh membayar hutang PTPTN tahunan yang dibayar oleh pelajar B40 dan M40 kelahiran negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan untuk tempoh lima tahun pertama.

    “Jika kerajaan negeri dapat memberi pulangan hutang yang dibuat oleh pelajar kelahiran negeri di bawah kerajaan PH, ia sedikit sebanyak mampu membantu pelajar untuk tempoh lima tahun pertama sebelum mereka mampu mendapat pendapatan yang lebih baik,” katanya.

    Beliau berkata, dengan cara itu ia sedikit sebanyak boleh meraih keyakinan anak muda tentang keseriusan kerajaan negeri PH untuk menunaikan janji manifesto.

    Sehubungan itu, beliau menyeru kepada Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama dengan kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan untuk meneliti semula cara dan berusaha untuk melaksanakan janji manifesto di peringkat negeri secepat mungkin sebelum PRU-15.

  • MCA, MIC kembali di bawah telunjuk ‘Abang Besar’, kluster mahkamah

    MCA, MIC kembali di bawah telunjuk ‘Abang Besar’, kluster mahkamah

    KEMENANGAN MCA dan MIC pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, masing-masing di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membuktikan kedua-dua parti itu perlu mengikuti rentak ‘kluster mahkamah’ UMNO untuk terus ‘hidup’, kata penganalisis.

    Dr. Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, di mana sahaja kemunculan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kempen-kempen Barisan Nasional (BN), sudah pasti sambutan yang menggalakkan daripada pengundi bukan Melayu khususnya kaum Cina.

    “Walaupun Najib ini ada kes mahkamah malah dah dijatuhkan hukuman pun, tetapi nampak agak popular. Atas pertimbangan apa itu, kita lihat mungkin rakyat sudah lama penat lihat politik dan mahu lihat kestabilan,” katanya memetik laporan MalaysiaNow.

    “Dan mereka mahukan kestabilan walaupun pemimpin-pemimpin Umno ini ada masalah intergriti tetapi mereka rasa mungkin tak ada parti yang boleh tunjukkan mereka mampu berikan kestabilan kecuali BN.”

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kemenangan selesa BN pada PRN Johor kelmarin, empat tahun selepas gabungan itu ditumbangkan oleh Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

    PRN Johor juga menyaksikan MCA berjaya memperoleh empat daripada 15 kerusi yang dipertandingkan manakala MIC berjaya mendapat tiga kerusi dari empat kerusi yang dipertandingkan.

    Sebelum ini, MCA dan MIC kelihatan gagal menyaingi populariti PH terutamanya di kerusi-kerusi campuran dan majoriti bukan Melayu.

    Atas sebab itu Mazlan berkata sudah pasti, kedua-dua parti itu akan mengikut rentak pemimpin kluster mahkamah kerana mereka tidak mempeduli kes-kes mahkamah terpalit kepada pemimpin-pemimpin UMNO tersebut.

    “Yang penting adalah mereka dapat bertahan dengan adanya kerusi-kerusi yang diwakili oleh MIC dan MCA, mereka dapat memberikan khidmat kepada masyarakat bukan Melayu yang diwakili oleh mereka,” katanya.

    Dr Azmil Mohd Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, MIC dan MCA tidak akan memainkan peranan kluster mahkamah dalam kebangkitan semula kedua-dua parti itu kerana stigma-stigma yang terkait dengan tuduhan dan kes mahkamah.

    “(Sebaliknya,) mereka akan beri lebih tumpuan kepada pembangunan, pendidikan vernakular, peluang pekerjaan dan isu-isu lain yang berkaitan,” katanya kepada MalaysiaNow.

    UMNO kembali menjadi ‘abang besar’

    Kemenangan dengan majoriti dua pertiga kerusi DUN Johor semalam juga menyaksikan UMNO kembali menjadi ‘abang besar’ selain langsung tidak mengiktiraf peranan yang dimainkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Mazlan berkata selain itu, situasi itu boleh dilihat dengan memerhati tahap keyakinan pimpinan UMNO yang semakin lantang dan berani meskipun sedang terpalit dengan tuduhan-tuduhan mahkamah, malahan ada yang sudah disabitkan hukuman penjara seperti Najib.

    “Sebab itu kita lihat pemimpin-pemimpin seperti Ahmad Zahid Hamidi dan Najib secara terbuka mereka nyatakan perlu diadakan pilihan raya (umum) dalam kadar yang segera.

    “Seolah-olah gesaan itu bersifat macam mengasak atau memaksa kepada Ismail untuk diadakan pilihan raya umum,” katanya.

    Azmi turut bersetuju dengan kemunculan semula ‘abang besar’ dalam percaturan politik negara.

    “BN 2.0 sedang membuat kemunculan semula dengan susunan kuasa sebelum ini,” katanya merujuk kepada strategi yang dimainkan dalam siri-siri PRN sebelum Johor.

  • Hasni sahkan Ahmad Zahid menghadap Sultan Johor petang ini

    Hasni sahkan Ahmad Zahid menghadap Sultan Johor petang ini

    PRESIDEN UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berhubung pelantikan Menteri Besar Johor pada petang ini.

    Perkara itu disahkan oleh Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad.

    “Prosesnya memang begitu. Bila Suruhanjaya Pilihan Raya beritahu keputusan pilihan raya, Presiden (UMNO) kemudiannya menghadap (Sultan Johor),” kata beliau kepada pemberita secara ringkas ketika ditemui di ibu pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor, sebentar tadi.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung kelmarin, BN memperoleh lebih daripada dua pertiga majoriti iaitu 40 kerusi Dewan Undangan Negeri dari 56 kerusi yang dipertandingkan.

    Terdahulu, Ahmad Zahid dilihat tiba di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru pada pukul 2.30 petang tadi sebelum meninggalkan bangunan itu 20 minit kemudian.

    Semasa kempen, Ahmad Zahid menamakan Hasni, yang juga ADUN Benut sebagai calon menteri besar bagi BN untuk mengetuai kerajaan negeri baharu sekiranya parti itu memenangi PRN Johor. – Bernama

  • Tiga nama calon MB Johor diserah kepada Sultan Johor

    Tiga nama calon MB Johor diserah kepada Sultan Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BARISAN Nasional (BN) mengemukakan tiga nama sebagai calon Menteri Besar Johor yang baharu kepada Sultan Johor.

    Warta Rakyat difahamkan, tiga nama itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, ADUN Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan ADUN Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

    Tiga nama berkenaan diserahkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Kelmarin, BN mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Johor ke-15.

    Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH berjaya memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.

    Selepas diisytiharkan menang, Ahmad Zahid berkata, gabungan itu secara rasmi akan menamakan kembali Hasni sebagai Menteri Besar Johor dan keputusan itu dibuat sebulat suara.

  • Gaji minimum RM1,500 tidak akan dilaksanakan tahun ini

    Gaji minimum RM1,500 tidak akan dilaksanakan tahun ini

    CADANGAN untuk menetapkan kadar gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 tidak akan dilaksanakan pada penghujung tahun ini.

    Sebaliknya, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menegaskan, perkara itu akan diumumkan dalam terdekat memandangkan situasi ekonomi negara ketika ini bertambah baik.

    Katanya, kebanyakan perniagaan juga dilihat berkembang serta menunjukkan trend pemulihan.

    “Kerajaan mengambil maklum permintaan beberapa pihak untuk menyegerakan pelaksanaan gaji minimum baharu kepada kadar lebih tinggi berikutan keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup yang semakin meningkat. 

    “Namun, kadar gaji minimum yang baharu hanya akan dilaksanakan dengan melihat keperluan sebenar rakyat dan kemampuan majikan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) mengenai cadangan kerajaan melaksanakan kadar gaji minimum sekitar RM1,500.