PRESIDEN UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berhubung pelantikan Menteri Besar Johor pada petang ini.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad.

“Prosesnya memang begitu. Bila Suruhanjaya Pilihan Raya beritahu keputusan pilihan raya, Presiden (UMNO) kemudiannya menghadap (Sultan Johor),” kata beliau kepada pemberita secara ringkas ketika ditemui di ibu pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor, sebentar tadi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung kelmarin, BN memperoleh lebih daripada dua pertiga majoriti iaitu 40 kerusi Dewan Undangan Negeri dari 56 kerusi yang dipertandingkan.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilihat tiba di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru pada pukul 2.30 petang tadi sebelum meninggalkan bangunan itu 20 minit kemudian.

Semasa kempen, Ahmad Zahid menamakan Hasni, yang juga ADUN Benut sebagai calon menteri besar bagi BN untuk mengetuai kerajaan negeri baharu sekiranya parti itu memenangi PRN Johor. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here