Author: Admin

  • Khairuddin keluar Pas tak perlu kelulusan – Takiyuddin

    Khairuddin keluar Pas tak perlu kelulusan – Takiyuddin

    SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, permohonan Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali untuk keluar parti tidak memerlukan kelulusan mana-mana pihak.

    Ini kerana, katanya keputusan itu dibuat sendiri oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus berkenaan untuk keluar parti.

    Takiyuddin mengesahkan menerima surat berkenaan pada jam 2.10 petang di bangunan Parlimen.

    “Dalam Pas, ada tiga kaedah seseorang ahli dipanggil berhenti menjadi ahli, yang pertama atas permintaannya sendiri, kedua seseorang itu dipecat berdasarkan tindakan tatatertib dan ketiga apabila seseorang ahli itu menyertai parti lain.

    “Saya hendak tegaskan dalam Pas ini tiada ahli sementara atau ahli tetap. Jika dia (Mohd. Khairuddin) berhenti menjadi ahli Pas, dia tidak lagi menjadi ahli Pas.

    “Permohonan seseorang ahli Pas untuk berhenti menjadi ahli tidak memerlukan kepada kelulusan mana-mana pihak, jadi apabila dia minta, dia akan dapat dan tidak perlu ada jawatankuasa untuk terima atau tolak,” katanya selepas Program Ceria Ke Sekolah Peringkat Parlimen Kota Bharu di pejabatnya, di Kelantan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, sekiranya selepas ini Mohd. Khairuddin hendak menjadi ahli Pas, dia perlu memohon semula.

    Beliau berkata, ia juga bergantung kepada keputusan parti sama ada hendak terima atau tidak permohonan kerana ia terlebih dulu akan dimasukkan ke Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat.

    “Hak seseorang yang keluar Pas jika mahu memohon semula, tetapi yang mahu melulus atau tidak bergantung kepada parti,” katanya. 

    Ketika ditanya Pas kehilangan satu kerusi Parlimen susulan tindakan Mohd. Khairuddin yang keluar parti, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, itu hakikat yang perlu diterima Pas.

    Beliau berkata, ia juga bukan kali pertama Pas hilang kerusi kerana pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Pas juga hilang kerusi selepas Ahli Parlimen parti itu menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

    “Itu biasa (hilang kerusi) kerana parti lain juga mengalami perkara sama. Malah, Pas juga pernah ada satu kerusi saja dalam Parlimen dan sekarang kita masih ada 17 kerusi lagi. Bersama dengan Perikatan Nasional (PN) kita ada 49 kerusi,” katanya.

    Sementara itu, ditanya berkenaan tindakan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu memilih berhenti daripada Pas bagi terus menegur kepimpinan parti, Takiyuddin berkata, perlembagaan Pas dalam Fasal 16 dengan jelas menyatakan setiap ahli berhak memberikan pendapat dan pandangan kepada parti.

    “Adalah amat tidak benar seorang ahli Pas, apatah lagi Ahli Jawatankuasa Kerja Pas, pimpinan tertinggi mengatakan dia tidak boleh memberikan pandangan kepada parti.

    “Dalam perlembagaan Pas menjamin hak ahlinya memberi pandangan dan pendapat mengenai parti. Cuma isunya jika kita tidak hadir mesyuarat, macam mana hendak bagi pandangan, jika kita hadir ke mesyuarat tidak bercakap, macam mana kita boleh kata tidak diberi ruang untuk beri pendapat.

    “Ahli pimpinan Pas Pusat ini adalah orang yang berkaliber, berpandangan jauh dan sebagainya. Jika dia kata tidak dapat peluang beri pandangan, itu satu pembohongan yang besar,” katanya.

  • EXCO Johor bakal dilantik perlu isytihar harta:Sultan Johor

    EXCO Johor bakal dilantik perlu isytihar harta:Sultan Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya calon-calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta.

    Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di Johor Bahru, semalam.

    “Mereka (bakal calon Exco) perlu juga melalui semakan latar belakang yang menyeluruh dengan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Jika ada yang tidak terpilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jangan kecil hati. Semua boleh memberi perkhidmatan yang sebaiknya,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO), hari ini.

    Pertemuan bersama-sama Sultan Johor itu berlangsung selama hampir sejam dan baginda turut bertitah supaya kelayakan akademik setiap calon-calon juga disemak kesahihannya dengan teliti.

    “Pilihan raya sudah pun habis. Kini tiba masanya untuk semua wakil rakyat merapatkan barisan dan bekerja bersama-sama dalam memakmurkan Johor.

    “Saya pegang kata-kata Datuk Seri Hasni Mohammad, tiada ideologi ahli politik dan parti yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim,” titah baginda.

    Sultan Johor bertitah supaya sentiasa mengutamakan nasib rakyat, begitu juga wakil rakyat yang dipilih perlu melaksanakan tanggungjawab dengan berkhidmat kepada rakyat.

    “Mana-mana Exco yang tidak mampu melaksanakan tugas mereka kelak, maka Menteri Besar perlu segera menggantikan Exco berkenaan.

    “Begitu juga nasihat saya kepada Menteri Besar supaya menumpu pada tugas dan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat. Jangan termakan budi.

    “Di peringkat awal ini, Datuk Onn juga perlu bekerjasama dengan Datuk Seri Hasni dalam mendapatkan pandangan atau nasihat,” titah baginda.

  • Strategi politik ala UMNO…heboh nak PRU, siapa calon PM tak nak umum?

    Strategi politik ala UMNO…heboh nak PRU, siapa calon PM tak nak umum?

    • Pemimpin UMNO kena strategik sikit

    Tebuan Tanah (TT) nak ketawapun ada bila tengok gelagat pemimpin-pemimpin UMNO bercakap pasal bila mereka nak pilihan raya. Beberapa hari sebelum hari pengundian PRN Johor, Presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi kata, PRU-15 kena buat sebaik sahaja MoU dengan pembangkang tamat Julai ini.

    Malam tadi pula, Timbalan Presiden UMNO, Tok Mat Hasan pula kata, PRU-15 perlu disegerakan. Sambil berderet alasan beliau beri, Tok Mat Hasan kata tak boleh tunggu tahun depan. ‘’Momentum apa lagi BN tunggu’’, kata beliau.

    TT faham, UMNO dan BN berada dalam keterujaan menang dua PRN dan keghairahan untuk singkirkan musuh-musuh politik yang dianggap lemah atau mungkin juga nak singkirkan pemimpin yang dianggap ‘gunting dalam lipatan’ melalui PRU tetapi jangan sampai menampakkan ‘kelunturan’ dalam bab-bab strategi.

    Sepatutnya, desakan atau gesaan minta buat PRU segera ini bincang senyap-senyap dalam parti, bukan heboh satu dunia tahu. Tu baru strategi, ini tidak buat kenyataan terbuka..cakap pula ni waktu terbaik sebab pembangkang dan parti lawan tengah lemah..kenapa nak bagi peluang mereka susun barisan?…aduh..

    Sebab itu, TT sokong apa yang Annuar Musa kata, ‘’…tidak pernah soal tarikh pilihan raya ini dibincang secara terbuka. Seingat sayalah, ini Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ke 41 saya hadir, tarikh pilihan raya tidak diputuskan secara terbuka kerana ia satu strategi parti yang sangat penting.’’

    Betul, itu strategi parti…yang Ahmad Zahid dan Tok Mat Hasan…ghairah sangat cakap pasal perkara itu kenapa? TT tak kisah, kalau desakan tu datang daripada pemimpin-pemimpin peringkat bawah, tetapi ini Presiden dan Timbalan Presiden.

    Kalaupun hujah mereka, kerajaan sekarang bukan kerajaan UMNO walaupun PM daripada UMNO tetapi itu bukan alasan nak cakap bila mahu PRU-15. Lagi pula sama ada Parlimen boleh dibubarkan atau tidak, ia perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat Perdana Menteri. Tak kan pemimpin UMNO tidak belajar-belajar lagi apa yang berlaku dalam pelantikan MB Johor baru-baru ini.  

    Jadi janganlah bincang secara terbuka bab PRU-15 ni, apatah lagi siap desak lagi kena buat segera. Seperti mana kata Annuar;

    ‘’Apabila dibincang secara terbuka, ia mendahului bidang kuasa Agong. […] Satu daripadanya (bidang kuasa Agong) ialah menerima atau menolak pembubaran parlimen.

    “Jadi soal pembubaran parlimen tak boleh dibincangkan di luar konteks perlembagaan negara. Sebab itu pada saya tarikh cepat atau lambat elok dibincangkan pucuk pimpinan secara tertutup dan mengekalkannya sebagai satu strategi parti bukan untuk bercakap secara terbuka.’’

    TT nak ingatkan pemimpin-pemimpin UMNO dalam soal PRU ini, sejak dulu bila PRU mahu dibuat tu rahsia strategi terbesar parti. Dulu tak ada mana-mana pemimpin tertinggi UMNO yang cakap secara terbuka pasal benda tu. Kalau wartawan tanya pun, mereka akan jawab, ‘’tunggu saja, sabar…’’, ‘’tak lama lagi’’. Apabila berucap pula, mereka akan minta ahli-ahli parti bersedia menghadapi PRU…tapi tak sebut pun nak bila?

    Bila mereka jawap atau cakap macam itu, semua orang dok meneka-neka  bila termasuk pembangkang…tu barulah pemikiran strategik.  Ni tak…siang malam dok ‘meratib’ nak PRU segera, nak PRU segera…sampai orang tanya..UMNO ni kerja nak buat pilihan raya saja ka?

    Yang pelik paling pelik, dok ghairah nak PRU..macam berani sangat…nak buat dalam pemilihan parti ‘macam takut’ pulak? Patutnya buatla pemilihan dulu…sekarang pun dalam UMNO tengah ‘’feel good factor’’…sebab dah menang beberapa PRK dan dua PRN…mesti team kepemimpinan sedia ada akan dapat sokongan.

    Kalau pemimpin UMNO hujah, kerajaan sekarang tak stabil sebab tak ada mandat rakyat…dalam UMNO pun ada cakap-cakap kalau pemilihan parti buat…kepemimpinan sedia ada belum tentu dapat sokongan…betul ke?

    *Siapa poster boy atau calon  PM daripada UMNO?

    Dalam keterujaan dan keghairahan semakin membuak-buak pemimpin UMNO nak buat PRU-15…TT nak tanya..siapa akan jadi ‘poster boy’ atau calon PM daripada UMNO?

    Selama ini, pemimpin UMNO dok canang…PAU (Perhimpunan Agung UMNO) adalah suara akar umbi UMNO..apa yang diputuskan oleh PAU kena ikut…jadi bolehlah kalau masa PAU ni, perwakilan sebut siapa mereka mahu jadi ‘poster boy’ UMNO.

    Janganlah dok ghairah sebut bila nak PRU-15 tetapi bila bab siapa ‘poster boy’ terus ‘lidah kelu’…silap-silap ada yang kata tu ‘strategi’ UMNO tak boleh umum. Aikk…

    TT rasa lebih baik, UMNO umum dulu siapa ‘poster boy’ BN. Bukan apa, TT dengar macam-macam cerita. Konflik dalaman UMNO bagaikan ‘bom jangka’ yang tunggu saja akan cetus perang saudara. Khabarnya ada sampai lima puak dalam parti itu, betul ke? TT tanya saja sebab, TT kasihan kat ahli-ahli akar umbi.

    Patutnya bila pemimpin dok desak nak PRU, mestilah UMNO dah ada calon untuk jadi PM. Adakah orang yang jadi Presiden UMNO? Adakah orang yang jadi Timbalan Presiden UMNO? Adakah orang yang jadi PM sekarang? Atau adakah bekas Presiden UMNO?

    Semua ini pemimpin UMNO kena jawab supaya rakyat boleh buat penilaian. Janganlah berdegar-degar desak PRU, tapi bila orang tanya sapa calon PM daripada UMNO…terus diam.Pemuda UMNO yang lantang bidas orang itu, kecam orang ini…tiba-tiba ‘senyap’.

    TT harap, kepemimpinan UMNO yang mempunyai keyakinan cukup tinggi nak minta pilihan raya, umumlah siapa ‘poster boy’ parti itu semasa PAU yang tengah berlangsung, senang sikit perwakilan bila pulang nak maklumkan kepada ahli-ahli di peringkat umbi. Tidak kira siapapun yang dipilih, umum saja…jangan malu-malu.

    *Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.

  • Situasi PRN Johor berulang dalam PRU-15 jika pembangkang terus berpecah

    Situasi PRN Johor berulang dalam PRU-15 jika pembangkang terus berpecah

    KEADAAN yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) dijangka berulang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika diadakan dalam masa terdekat.

    Menurut Pengerusi Parti Amanah Nasional (Amanah) Selangor, Ir. Izham Hashim, ini kerana perpecahan dalam kalangan parti pembangkang ketika ini sudah tentu akan memberi kelebihan kepada BN.

    “Situasi yang berlaku dalam PRN baru-baru ini sebenarnya tidak memperlihatkan kekuatan sebenar BN, namun kegagalan parti-parti pembangkang untuk bersatu telah mempengaruhi kemenangan BN sehingga memperoleh majoriti dua pertiga di Johor.

    “Ya, situasi yang sama akan berlaku jika PRU-15 diadakan dalam masa terdekat. Sebenarnya undi popular BN (pada PRN Johor) tidak bertambah banyak, hanya kegagalan pembangkang ialah terlalu berpecah.

    “Semua (parti pembangkang) nak bawa parti baharu dan jika kaedah ini berterusan tentulah yang untung BN dan nasihat saya supaya parti-parti pembangkang bersatu padu menghadapi BN (pada PRU15),” katanya memetik Sinar Harian hari ini.

    PRN Johor pada Sabru lalu menyaksikan cubaan 85 calon menjadi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya itu pulang dengan ‘tangan kosong’ selepas kehilangan deposit.

    Ini termasuk calon tiga parti baharu yang membuat langkah sulung iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mempertaruhkan 42 calon, Parti Bangsa Malaysia (PBM) (empat) dan Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) (satu).

    Mengulas lanjut, Izham tidak menolak kemungkinan calon-calon daripada parti baharu juga akan kehilangan deposit dalam saingan dengan calon sudah lama bertapak di Selangor sekiranya PRN negeri itu diadakan.

    “Parti-parti baharu agak sukar di Selangor kerana mereka tidak ada ‘power base’ dan ‘grass roots’ di sini namun Pakatan Harapan (PH) sedia bekerjasama untuk menjatuhkan BN di peringkat pusat,” katanya.

  • Kecoh Menteri dan Timbalan Menteri Kewangan hilang ketika sesi jawab soalan hutang 1MDB di Dewan Rakyat

    Kecoh Menteri dan Timbalan Menteri Kewangan hilang ketika sesi jawab soalan hutang 1MDB di Dewan Rakyat

    SESI pagi Dewan Rakyat hari ini yang baru 15 minit bersidang kecoh apabila Menteri dan Timbalan Menteri Kewangan tiada dalam Parlimen untuk menjawab soalan berkaitan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad pula menggantikan menteri dan timbalan menteri itu dan menjawab bagi pihak Kementerian Kewangan (MoF).

    Beliau berbuat demikian selepas Speaker, Datuk Mohd. Rashid Hasnon meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk menjawab kerana dimaklumkan tiada wakil dari MoF.

    Astro Awani melaporkan, sebaik keputusan dibuat, beberapa Ahli Parlimen menyuarakan rasa tidak puas hati, membuatkan Dewan panas seketika.

    “Menteri Kewangan tidak ada, diambil maklum. Minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk menjawabnya,” kata Mohd. Rashid.

    Dewan terus kecoh sebaik Mohd. Rashid membuat keputusan itu.

    “Ini tidak berapa betul Speaker,” kata salah seorang Ahli Parlimen.

    “Mana Timbalan Menteri? Macam mana nak jawab soalan tambahan nanti?” soal Ahli Parlimen lain.

    “Mana Timbalan Menteri? Takkan seorang pun tiada? Macam mana Timbalan Menteri Kewangan tiada?

    “Dua orang! Kenapa kita bayar mahal-mahal?” soal Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH – Lembah Pantai).

    Meskipun diasak dengan soalan sama, Idris tidak berganjak dan terus membacakan jawapan bagi mewakili kementerian tersebut.

    Ketika sesi soalan tambahan pula, Idris tidak menjawab soalan diberikan dan menyatakan kementerian akan menjawab soalan itu nanti.

  • KPWKM siasat kes dera bayi di Teluk Intan dan Gelugor – Rina

    KPWKM siasat kes dera bayi di Teluk Intan dan Gelugor – Rina

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang melakukan siasatan terhadap dua kes penderaaan bayi yang berlaku di Teluk Intan, Perak dan Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini.

    Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, dua kes yang tular di media sosial itu, membabitkan penderaan seorang ibu terhadap anak kandungnya dan seorang pengasuh terhadap anak asuhannya dan kementerian memandang serius kejadian itu.

    Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan terhadap kedua-dua kes berkenaan termasuk pihaknya akan mempertimbangkan sama ada untuk memberi khidmat kaunseling terhadap pelaku.

    “Kita akan menjalankan siasatan terhadap kes tersebut untuk melihat sejauh mana status kes berkenaan sama ada perlu diberi kaunseling atau pun tidak memandangkan kes berbeza antara satu sama lain.

    “Pihak kami memandang serius terhadap isu penderaan terutamanya membabitkan bayi mahupun kanak-kanak. Siasatan terperinci akan dilakukan dan diberikan perhatian segera,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM1.5 juta kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Malaysia di Kelantan, hari ini.

    Tajaan itu bagi penubuhan Better Brighter Anjung Kasih YKN-TNB Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang turut dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengarah HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali.

    Media sebelum ini melaporkan seorang wanita ditahan kerana dipercayai mendera hingga menyebabkan kematian bayi perempuannya berusia setahun 11 bulan di Teluk Intan dalam kejadian pada 9 Mac lepas.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata wanita berusia 33 tahun itu menyerah diri di Balai Polis Teluk Intan pada 5 petang, hari sama.

    Selain itu, turut tular di media sosial yang memaparkan seorang pengasuh wanita berusia 50-an yang menampar bahagian muka secara bertalu-talu terhadap seorang bayi selain badan dan tangannya juga dihentak ke lantai dalam kejadian di flat Taman Utama, Gelugor.

    Ciapan di Twitter @cocoandbrownie sejak Selasa lepas itu mendapat lebih 40,000 tontonan sekali gus membangkitkan kemarahan pengguna media sosial terhadap pengasuh itu – Bernama

  • Ketua balai polis didakwa minta, terima rasuah

    Ketua balai polis didakwa minta, terima rasuah

    SEORANG ketua balai polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas lima pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM21,800.

    Sinar Harian melaporkan, tertuduh, Abdul Halim Alias, 59, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

    Berdasarkan dua pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dia didakwa secara rasuah meminta suapan wang tunai sebanyak RM8,000 dan RM1,000 secara bulanan.

    Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemilik pusat hiburan atas kesalahan melanggar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

    Dalam prosiding yang sama, tertuduh yang berpangkat Sub Inspektor turut berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) iaitu secara rasuah bersetuju memperoleh wang tunai sebagai dorongan bagi tidak mengambil tindakan terhadap pemilik pusat hiburan itu atas kesalahan melanggar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Restoran The Stage Music Lounge Plt, Kota Shahbandar dan Balai Polis Tengkera di antara 4 hingga 11 Ogos 2020.

    Kesemua kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM Melaka.

    Tertuduh yang diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya SPRM.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM Melaka setiap bulan sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 20 April sebagai sebutan semula kes.

  • Rafizi sepatutnya terus lawan Anwar – Guan Eng

    Rafizi sepatutnya terus lawan Anwar – Guan Eng

    BEKAS Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sepatutnya bertanding melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mensasarkan jawatan Presiden dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bakal ditandingi beliau.

    Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Rafizi sepatutnya mensasarkan jawatan tertinggi dalam PKR bukannya sekadar jawatan Timbalan Presiden PKR.

    Guan Eng, menurut laporan Malaysiakini memberikan cadangan itu bagi membalas kritikan kononnya Pakatan Harapan (PH) sedang menimbang untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

    Berhubung kritikan Rafizi tersebut, Guan Eng menyifatkan ia sebenarnya ditujukan kepada Anwar dan Rafizi dilihat menggunakannya sebagai bahan kempennya dalam pemilihan PKR dalam masa terdekat nanti.

    “Saya malah keluarkan kenyataan sebelum dia (Rafizi) keluar (kenyataan) – saya mengatakan tidak kepada PN. Di mana isunya? Saya rasa yang ini pada dasarnya ditujukan kepada Anwar kerana dia menyebut bukan sahaja PH tetapi PKR (juga). Jadi, dari situ jelaslah kalau ada sebarang rundingan, mereka (PN) akan berbincang dengan Anwar.

    “Mereka tidak akan (bercakap) dengan kami. Jika perlu, anda minta kami (Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu) untuk sertai (perbincangan) tetapi pada asasnya, Anwar akan menjadi orang utama untuk ditemui. Jadi, sasaran dia (Rafizi) ialah Anwar. Saya fikir kerana ini adalah untuk kempennya bagi jawatan timbalan presiden, saya tidak mahu masuk campur. Mungkin, berbanding jawatan timbalan presiden, dia patut terus bertanding untuk jawatan presiden,” katanya.

    Guan Eng juga menjelaskan, Rafizi sebenarnya tersilap fakta berhubung dakwaan PH mahu bekerjasama dengan PN bagi melawan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

    Tambahnya lagi, sejak kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac, tidak ada mana-mana pemimpin utama PH yang mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan sebarang bentuk kerjasama.

    “Di pihak DAP, seperti yang saya katakan, tidak tidak berbincang dengan PN.

    “Setakat ketika atau selepas PRN Johor, di peringkat tertinggi, Mat Sabu dan saya tidak pernah bertemu Muhyiddin. Saya tak rasa Anwar ada berjumpa Muhyiddin,” terangnya lagi.

    Untuk rekod, Rafizi mengumumkan keputusannya untuk kembali aktif dalam kancah politik dan akan bertanding untuk merebut jawatan timbalan presiden PKR yang kosong sejak Datuk Seri Azmin Ali melepaskan jawatannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa Langkah Sheraton lalu. 

  • Shahrir jangan bawa fahaman tidak baik terhadap Bangsa Johor

    Shahrir jangan bawa fahaman tidak baik terhadap Bangsa Johor

    PEMUDA UMNO Pontian menggesa veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abd Samad segera menghentikan kritikan terhadap Datuk Onn Hafiz Ghazi kerana isu lantikan Menteri Besar Johor dianggap sudah selesai.

    Ketuanya, Mohd. Helmi Buang berkata, keputusan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu adalah muktamad dan jelas seperti yang termaktub di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

    Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru kata beliau, seharusnya menunjukkan teladan yang baik dengan merujuk kepada Perlembagaan UMNO yang menjunjung kedaulatan dan institusi Istana.

    “Bidang kuasa rakyat, ahli politik tidak boleh disamakan dengan bidang kuasa Sultan. Jika rakyat diberi kuasa untuk memilih siapakah wakil rakyat untuk mewakili suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Oleh yang demikian, Sultan juga berhak dan berkuasa untuk melantik Menteri Besar bagi mengetuai kerajaan baginda,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Jelas Mohd Helmi, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad pernah mengeluarkan kenyataan orang muda perlu diberi peluang mentadbir Johor kerana mereka mempunyai idea-idea yang kreatif dan kritis dalam mengatasi isu-isu ekonomi, sosial dan politik.

    “Pertumbuhan ekonomi di Johor perlu dirancakkan oleh idea-idea segar pemimpin yang baharu dan muda, kerana kami golongan muda hari ini adalah pelapis generasi akan datang bagi menerajui pentadbiran negara berjiwa besar memajukan negeri yang kami cintai ini.

    “Tambahan pula, dengan pelantikan dari generasi muda mampu menarik perhatian rakyat khususnya anak muda, dan juga pelbagai peringkat usia di bandar dan luar bandar.

    “Selain daripada itu, pemimpin dari generasi muda juga mampu mendepani serta berhujah dengan pihak pembangkang negeri ini yang rata-rata berusia muda,” katanya.

    Mohd. Helmi berharap agar Shahrir berpijak di bumi yang nyata dan menghayati budaya bersih dan proses pemutihan sedang berlaku untuk memilih ketua yang tergolong daripada dalam golongan muda.

    “UMNO Johor juga tidak pernah lupa sejarah lama di mana beliau pernah keluar dari UMNO kerana perkara yang kita pun tidak pasti, jadi jangan cuba-cuba membawa fahaman yang tidak baik terhadap masyarakat khususnya Bangsa Johor yang penuh dengan adab dan sopan santunnya,” katanya.

  • Pencarum memerlukan sahaja buat pengeluarkan khas KWSP:PN Johor

    Pencarum memerlukan sahaja buat pengeluarkan khas KWSP:PN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) Johor berharap pencarum yang benar-benar memerlukan sahaja akan membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000 daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    Ketua PN Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, ini memandangkan tabungan tersebut adalah simpanan sebenar untuk kegunaan hari tua dan keperluan lain pada masa depan.

    Katanya, walaupun PN mengalu-alukan keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran khas itu tetapi perkara tersebut perlu diambil kira.

    “Kami yakin ekonomi Malaysia semakin pulih dan ini akan mengukuhkan caruman serta meningkatkan kadar dividen sekali gus menokok kepada simpanan pada tahun-tahun akan datang.

    “Oleh itu, mempertahankan caruman KWSP sedia ada masing-masing adalah lebih penting berbanding mengeluarkan simpanan itu untuk perbelanjaan remeh dan tidak menentu atau bertujuan konon untuk disimpan semula dalam akaun simpanan peribadi di bank.

    solihan badri pemimpin PN
    MOHD SOLIHAN BADRI

    “Pencarum mesti ingat, pengeluaran caruman KWSP adalah penting bagi kegunaan yang benar-benar mendesak khususnya untuk urusan berkaitan pembiayaan perumahan, pendidikan dan rawatan perubatan keluarga yang akan diperlukan pada bila-bila masa yang tidak terjangka,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Johor Bahru hari ini.

    Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon mengumumkan kerajaan bersetuju meluluskan pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000.

    Ismail Sabri berkata, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP akan dibuat Kementerian Kewangan (MoF) dan KWSP.

    Menurutnya, PN faham tujuan pengeluaran khas itu adalah jalan penyelesaian masalah kewangan yang dihadapi namun pencarum dinasihatkan bertindak bijak dengan mengimbangi antara keperluan mendesak sekarang dan simpanan masa tua masing-masing.

    Justeru katanya, mengekalkan simpanan KWSP masing-masing adalah jalan terbaik kecuali keadaan atau masalah kewangan pencarum benar-benar mendesak dan pengeluaran tersebut akan membantu mereka menyusun semula kehidupan ke arah lebih lebih baik serta stabil.