SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, permohonan Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali untuk keluar parti tidak memerlukan kelulusan mana-mana pihak.

Ini kerana, katanya keputusan itu dibuat sendiri oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus berkenaan untuk keluar parti.

Takiyuddin mengesahkan menerima surat berkenaan pada jam 2.10 petang di bangunan Parlimen.

“Dalam Pas, ada tiga kaedah seseorang ahli dipanggil berhenti menjadi ahli, yang pertama atas permintaannya sendiri, kedua seseorang itu dipecat berdasarkan tindakan tatatertib dan ketiga apabila seseorang ahli itu menyertai parti lain.

“Saya hendak tegaskan dalam Pas ini tiada ahli sementara atau ahli tetap. Jika dia (Mohd. Khairuddin) berhenti menjadi ahli Pas, dia tidak lagi menjadi ahli Pas.

“Permohonan seseorang ahli Pas untuk berhenti menjadi ahli tidak memerlukan kepada kelulusan mana-mana pihak, jadi apabila dia minta, dia akan dapat dan tidak perlu ada jawatankuasa untuk terima atau tolak,” katanya selepas Program Ceria Ke Sekolah Peringkat Parlimen Kota Bharu di pejabatnya, di Kelantan, hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, sekiranya selepas ini Mohd. Khairuddin hendak menjadi ahli Pas, dia perlu memohon semula.

Beliau berkata, ia juga bergantung kepada keputusan parti sama ada hendak terima atau tidak permohonan kerana ia terlebih dulu akan dimasukkan ke Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat.

“Hak seseorang yang keluar Pas jika mahu memohon semula, tetapi yang mahu melulus atau tidak bergantung kepada parti,” katanya. 

Ketika ditanya Pas kehilangan satu kerusi Parlimen susulan tindakan Mohd. Khairuddin yang keluar parti, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, itu hakikat yang perlu diterima Pas.

Beliau berkata, ia juga bukan kali pertama Pas hilang kerusi kerana pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Pas juga hilang kerusi selepas Ahli Parlimen parti itu menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

“Itu biasa (hilang kerusi) kerana parti lain juga mengalami perkara sama. Malah, Pas juga pernah ada satu kerusi saja dalam Parlimen dan sekarang kita masih ada 17 kerusi lagi. Bersama dengan Perikatan Nasional (PN) kita ada 49 kerusi,” katanya.

Sementara itu, ditanya berkenaan tindakan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu memilih berhenti daripada Pas bagi terus menegur kepimpinan parti, Takiyuddin berkata, perlembagaan Pas dalam Fasal 16 dengan jelas menyatakan setiap ahli berhak memberikan pendapat dan pandangan kepada parti.

“Adalah amat tidak benar seorang ahli Pas, apatah lagi Ahli Jawatankuasa Kerja Pas, pimpinan tertinggi mengatakan dia tidak boleh memberikan pandangan kepada parti.

“Dalam perlembagaan Pas menjamin hak ahlinya memberi pandangan dan pendapat mengenai parti. Cuma isunya jika kita tidak hadir mesyuarat, macam mana hendak bagi pandangan, jika kita hadir ke mesyuarat tidak bercakap, macam mana kita boleh kata tidak diberi ruang untuk beri pendapat.

“Ahli pimpinan Pas Pusat ini adalah orang yang berkaliber, berpandangan jauh dan sebagainya. Jika dia kata tidak dapat peluang beri pandangan, itu satu pembohongan yang besar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here