Author: Admin

  • Lelaki mabuk dipenjara, didenda sebabkan kematian anggota polis

    Lelaki mabuk dipenjara, didenda sebabkan kematian anggota polis

    SEORANG lelaki hari ini dipenjara empat tahun dan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis dan mengakibatkan kecederaan parah ke atas rakan setugas polis itu, empat tahun lalu.

    Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhkan hukuman itu ke atas N Mohan Rao, 48, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Mahkamah turut memerintahkan Mohan Rao dipenjara 10 bulan jika dia gagal membayar denda itu serta lesen memandunya digantung selama lima tahun.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Roshan Selvaratnam yang mewakili Mohan Rao untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara empat tahun itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, Mohan Rao didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan sehingga menyebabkan kematian terhadap Konstabel Mohd Zamiri Sinsian, 25, dan kecederaan parah ke atas Konstabel Osman Ibrahim, yang ketika kejadian berumur 23 tahun di Jalan Semantan menghala ke arah pusat bandar di sini pada 3.30 pagi, 5 Disember 2018.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda minimum RM8,000 dan maksimum RM20,000.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farhana Che Awang dan tertuduh turut diwakili seorang lagi peguam iaitu Tay Yi Kuan.

    Seramai 15 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula pada 2019 itu.

  • 485,939 pengundi baharu berusia 18 tahun adalah warga Sabah

    485,939 pengundi baharu berusia 18 tahun adalah warga Sabah

    SERAMAI 485,939 orang daripada 5.7 juta pemilih baharu berumur 18 tahun dari seluruh negara yang telah didaftarkan adalah warga Sabah berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) pertama diwartakan pada 14 Januari lepas, kata Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

    Beliau berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah pemilih berdaftar keseluruhan di Sabah meningkat daripada 1,184,415 orang sebelum ini kepada 1,670,354 orang.

    Hajiji berkata, pertambahan jumlah pemilih ini sudah tentu akan memberikan kesan kepada pertambahan jumlah pemilih di setiap Dewan Undangan Negeri.

    “Saya percaya semua wakil rakyat berbesar hati menerima pertambahan jumlah pemilih (berumur 18 tahun) kerana ia telah diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 16 dan 25 Julai 2019 lalu,” katanya pada Sesi Libat Urus Pelaksanaan Umur Kelayakan Mengundi 18 Tahun dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik di Kota Kinabalu, hari ini.

    Teks ucapan beliau dibacakan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.

    Hajiji berkata, pertambahan jumlah pengundi ini juga sudah pasti menjadikan tanggungjawab wakil rakyat semakin lebih besar.

    “Justeru, saya meminta kepada semua wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar terus berusaha untuk mendekati pengundi muda di kawasan masing-masing dan perbanyakkan aktiviti bersama golongan muda, yang akan memberi manfaat kepada mereka,” tambahnya. – Bernama

  • Enam PATI diberkas sembunyi dalam semak

    Enam PATI diberkas sembunyi dalam semak

    SERAMAI enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia diberkas dalam satu serbuan di Tanjung Ayam, Kota Tinggi, hari ini

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memberitahu, kesemua PATI itu terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 18 hingga 41 tahun.

    “Pada pukul 8.30 pagi, Tim Peronda telah mengesan mengesan longgokan pakaian yang basah di hutan sekitar Tanjung Ayam.

    “Kemudian pada 10.30 pagi tim Tim Quick Reaction Force (QRF) ke lokasi kejadian dan berjaya menahan enam PATI yang sedang berselindung di dalam semak.

    “Kesemua enam PATI berkenaan telah dibawa ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk proses pemeriksaan dan dokumentasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Semua PATI itu terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 18 hingga 41 tahun

    Menurutnya, ujian Covid-19 dilakukan ke atas mereka di Klinik Kesihatan Sungai Rengit, Batu Pahat pada pukul 11.30 pagi dan hasil ujian saringan mendapati kesemua PATI berkenaan negatif.

    Katanya, laporan kemudian dibuat di Balai Polis Bayu Damai dekat sini pada pukul 12.55 tengah hari.

    Mereka ujarnya, diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru pada 3 petang.

    Nilai keseluruhan rampasan katanya, dianggarkan berjumlah RM2,044 melibatkan wang tunai RM681, matawang Rupiah Indonesia IDR107,500 (RM31) dan sebuah telefon bimbit bernilai RM630.

    “Pasukan meneruskan atur gerak pasukan QRF dan pasukan Dron ATM serta dibantu pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” ujarnya.

  • Pemandu lori bunuh rakan penjara enam tahun

    Pemandu lori bunuh rakan penjara enam tahun

    MAHKAMAH Tinggi Melaka hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap seorang pemandu lori selepas didapati bersalah memukul rakannya hingga maut demi mempertahankan maruah isteri dan anak-anak.

    Keputusan terhadap tertuduh S. Saravanan,44, diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Maidzurah Mohamed, lapor Sinar Harian.

    Tertuduh yang sebelum ini didakwa atas Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (b) kanun sama.

    Berdasarkan pertuduhan pilihan itu, tertuduh didapati telah menyebabkan kematian P.S. Satiaseelan, 41, dengan mengetahui perbuatannya mungkin menyebabkan kematian mangsa.

    Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada pukul 10.30 malam di Tasek Taman Murai Jaya, Durian Tunggal pada 6 Ogos 2019.

    Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.

    Maidzura pada penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor hujahan yang membuktikan pergaduhan tercetus bukan dimulakan tertuduh namun oleh mangsa yang mana hubungan persahabatan mereka telah terjalin sejak lebih 10 tahun lalu.

    Tindakan tertuduh yang membuat pengakuan bersalah serta-merta dan tampil melaporkan kepada pihak polis pada hari sama kejadian juga membuktikan tertuduh bukanlah seorang penjenayah.

    Mengikut fakta kes juga, ketika kejadian tertuduh dan mangsa berada dalam keadaan mabuk dan bergaduh selepas mangsa dikatakan cuba mengeluarkan kenyataan menyentuh maruah isteri dan anak-anak tertuduh.

    Tertuduh dikatakan memukul mangsa menggunakan topi keledar dan bukan senjata tajam sehingga menyebabkan mangsa terpaksa menerima rawatan di Hospital Melaka.

    Mangsa kemudian mengambil keputusan melarikan diri dari hospital dan tertuduh bertindak membawa rakannya itu ke klinik kesihatan untuk menerima rawatan serta menyediakan makanan untuknya.

    Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman kerana kecederaan dialami akibat pergaduhan.

    Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muzila Mohamd Rasad, manakala tertuduh diwakili peguam S. Paul Krishnaraja.

    Mengambil kira semua fakta dan hujahan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut daripada tarikh ditangkap iaitu 18 Ogos 2019 dan memerintahkan semua eksibit dilupuskan.

  • Peniaga dipenjara 13 tahun sebabkan kematian kekasih ibu

    Peniaga dipenjara 13 tahun sebabkan kematian kekasih ibu

    SEORANG peniaga yang sebelum ini menghadapi tuduhan membunuh kekasih ibunya dihukum penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah menyebabkan kematian lelaki warga Pakistan itu.

    Hakim, Datuk Abd Halim Aman menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Shah Izwan Mohamad Zaki, 27, selepas meminda pertuduhan membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat terhadap mangsa, Muhammad Kashid.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut di Penjara Kajang bermula dari tarikh tangkap, iaitu pada 28 Mac 2019.

    Hakim Abd Halim dalam penghakiman ringkasnya berkata, berdasarkan keterangan menunjukkan bahawa tiada perancangan awal di pihak tertuduh untuk melakukan pergaduhan, apatah lagi melakukan pembunuhan.

    “Punca pergaduhan hingga membawa kepada kematian si mati bermula daripada bibit-bibit provokasi yang berjangkit sebelumnya. Peristiwa terjadi sebenarnya berpunca daripada perbuatan si mati sendiri yang tidak menghormati adat susila serta budaya ketimuran masyarakat di sini.

    “Dengan tidak terbendung perasaan amarah disertai dengan apa yang dilihat di hadapan matanya, telah membawa kepada insiden kes ini. Tidak dinafikan, apa yang dialami oleh tertuduh di ketika dan di saat itu, pasti akan melakukan sesuatu, demi maruah diri serta keluarganya serta demi keselamatan adik-adiknya,” katanya.

    Hakim Abd Halim berkata, berdasarkan kepada keterangan yang telah disampaikan, tidak wajar untuk mengatakan yang pembunuhan itu adalah sesuatu yang dirancang dan tindak tanduknya jelas menunjukkan tertuduh tidak mempunyai mens rea (niat) untuk membunuh si mati.

    “Antaranya, tertuduh telah menghubungi pihak polis untuk memaklumkan kejadian tersebut, dia jugalah yang menunggu di bawah rumah ibunya menanti kehadiran pihak polis dan dia jugalah yang melambai-lambai memanggil polis semasa polis tiba,” katanya.

    “Berpandukan kepada situasi tersebut, tindakan tertuduh ini adalah terjumlah kepada membunuh tanpa niat yang boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. Oleh itu berdasarkan keterangan, hanya kesalahan terhadap (membunuh tanpa niat) itu sahaja yang berjaya dibuktikan pihak pendakwaan terhadap tertuduh.

    “Lantas pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dipinda dan diperturunkan kepada suatu pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 304(a) kanun sama,” katanya.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang lelaki warga Pakistan, Muhammad Kashid di rumahnya pada 28 Mac 2019 antara 4 pagi dan 5.15 pagi dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

    Seramai 20 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil sepanjang perbicaraan kes tersebut yang berlangsung pada 7 Disember 2020 hingga 15 Februari 2022.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datin Zuraini Abdul Razak manakala Peguam Shah Rizal Abdul Manan mewakili tertuduh. – Bernama

  • Kelantan benar saf solat rapat, jamuan buka puasa secara bungkus

    Kelantan benar saf solat rapat, jamuan buka puasa secara bungkus

    MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan solat fardu, solat Jumaat dan solat tarawih dilakukan tanpa penjarakan fizikal di semua masjid dan surau di negeri itu bermula 1 April ini sejajar dengan Fasa Peralihan ke Endemik COVID-19.

    Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata perkara itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

    “Selain solat fardu dan solat Jumaat, turut dibenarkan solat tarawih sama ada lapan atau 20 rakaat dan qiamullail pada bulan Ramadan.

    “Semua aktiviti lain seperti majlis zikir, kelas al-Quran, kuliah khas, umum dan lain-lain termasuk program Ihya Ramadan adalah dibenarkan beroperasi seperti biasa tanpa penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata pihak masjid, surau dan musala hanya dibenarkan menyediakan menu jamuan berbuka puasa, moreh dan sahur secara bungkus dan diagihkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.

    “Hanya jemaah yang tidak mempunyai apa-apa gejala COVID-19 sahaja dibenarkan hadir manakala jemaah bergejala tidak dibenarkan hadir.

    “Semua jemaah diwajibkan memakai pelitup muka dan diwajibkan membawa sejadah masing-masing serta tidak dibenar bersalaman antara satu sama lain,” katanya.

    Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) masjid, surau dan musala yang lain dikekalkan sebagaimana yang telah dikeluarkan sebelum ini.

    “SOP masjid, surau dan musala ini adalah selaras dengan pandangan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

    Tengku Mohamad Rizam berkata MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini.

    “SOP sebagaimana di atas hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau, musala.

    “Tindakan sewajarnya akan diambil atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini. Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah S.W.T pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya. — Bernama

  • Sindiket didalangi warga asing guna gambar lelaki tampan perdaya mangsa

    Sindiket didalangi warga asing guna gambar lelaki tampan perdaya mangsa

    SATU sindiket penipuan Love Scam dan Parcel Scam yang didalangi warga asing dikesan menggunakan gambar lelaki tampan untuk memperdaya mangsa menerusi medai sosial.

    Bagaimanapun kelicikan sindiket itu tidak bertahan lama apabila polis memberkas enam anggotanya termasuk dua wanita warganegara Nigeria dalam dua serbuan berasingan di Melaka, Selasa lalu.

    Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, kesemua suspek ditahan berusia antara 23 hingga 44 tahun dicekup dalam serbuan di Pangsapuri Taman Bukit Beruang Bestari dan sebuah rumah di Bukit Melaka.

    Menurutnya, mereka dipercayai menjalankan aktiviti penipuan sejak enam bulan lalu dan ketika serbuan dilakukan mereka sedang ‘menjerat’ mangsa yang dikenali di media sosial.

    Malah katanya, rampasan buku yang mengandung skrip perbualan, jelas menunjukkan mereka melakukan perbuatan itu dengan ‘memancing’ mangsa menggunakan gambar individu tampan.

    “Turut dirampas 12 telefon bimbit, lima modem wifi, enam buah komputer riba, dokumen yang disyaki palsu dan dua ‘pendrive’.

    “Semakan lanjut mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah dan ujian air kencing yang dijalankan mendapati tiga daripada mereka termasuk dua wanita positif dadah jenis ganja,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, Melaka, hari ini.

    Mengulas lanjut, Razali berkata, pemeriksaan di kediaman itu turut menemui seketul ganja mampat seberat 600 gram selain satu peket ketamin (2.6 gram) dan satu peket ganja (34.73 gram) dengan nilai keseluruhan dadah yang dirampas RM5,000.

    Ujar beliau, siasatan lanjut mendapati dadah yang dirampas digunakan untuk kegunaan sendiri dan juga untuk diedarkan kepada pelajar institut pengajian tinggi swasta (IPTS) sekitar Ayer Keroh.

    “Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya, (ADB) 1952,” katanya.

  • Perintah cerai, nafkah serentak jika dapat persetujuan bersama

    Perintah cerai, nafkah serentak jika dapat persetujuan bersama

    PERINTAH perceraian dan perintah nafkah hanya boleh dilaksanakan serentak sekiranya mendapat persetujuan bersama antara suami dengan isteri yang memfailkan kes, kata Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

    Beliau berkata, apabila Mahkamah Syariah menerima permohonan perceraian yang disertai dengan persetujuan kedua-dua pihak ke atas perintah nafkah, maka hakim syarie akan mengeluarkan perintah perceraian dan perintah nafkah secara serentak.

    Menurutnya, hakim syarie dan peguam syarie mengesyorkan kesepakatan seperti yang dianjurkan dalam Islam iaitu setiap suami dan isteri yang berhasrat memfailkan perceraian mestilah mencari jalan perdamaian dengan berbincang berhubung tuntutan nafkah.

    “Dengan ada persetujuan kedua-dua pihak, itu jalan terbaik. Maka kita harap suami dan isteri berbincang dan selesaikan permohonan perceraian dan tuntutan nafkah dengan baik,” katanya pada sidang media berhubung isu hiwalah (pemindahan hutang) dan perintah nafkah bersama pembubaran perkahwinan di Putrajaya, hari ini.

    Kerajaan sebelum ini bersetuju mencadangkan supaya hakim Mahkamah Syariah membuat perintah secara serentak bagi permohonan perceraian dan urusan tuntutan nafkah untuk isteri dan anak-anak bagi mengelakkan masa terlalu lama diambil untuk menyelesaikan isu tersebut sehingga menyebabkan bekas isteri serta anak-anak tidak mendapat keadilan.

    Mohd. Na’im berkata, pihaknya mengesyorkan Persatuan Peguam Syarie memainkan peranan dengan menasihatkan klien masing-masing untuk mencari jalan perdamaian bagi mencapai persetujuan berhubung permohonan perceraian dan tuntutan nafkah.

    “Dengan adanya peranan ini, maka proses permohonan perceraian dan tuntutan nafkah akan berjalan lancar serta tidak mengambil masa yang lama. Kita (Mahkamah Syariah) ada KPI (petunjuk pretasi utama) penyelesaian kes tuntutan nafkah iaitu dua tahun,” katanya.

    Bagi kes yang tidak mencapai persetujuan bersama, Mohd. Na’im berkata, Mahkamah Syariah akan mengeluarkan perintah perceraian terlebih dahulu bagi mengelakkan tempoh masa penyelesaian kes tersebut berlanjutan.

    “Dalam situasi ini, Mahkamah Syariah akan tentukan secara adil berapa pendapatan sebenar suami sebelum menentukan taksiran sebenar nafkah yang perlu dibayar kepada bekas isteri dan anak-anak,” katanya.

    Bagi menjamin keadilan untuk bekas isteri dan anak-anak, beliau berkata sementara menunggu kes perbicaraan selesai, hakim syarie akan mengeluarkan perintah nafkah sementara berdasarkan Seksyen 70 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 atau merujuk kepada Arahan Amalan 5/2019 berhubung Garis Panduan Skala Pentaksiran Jumlah Nafkah Anak.

    Bagi proses perbicaraan tuntutan nafkah, ia dibicarakan berpandukan Seksyen 60 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang menetapkan bekas isteri perlu mengemukakan jumlah pendapatan bekas suami, harta yang dimiliki bekas suami serta keperluan bekas isteri dan anak-anak.

    “Ketika sesi pendengaran kes, Mahkamah Syariah memerlukan maklumat ini berserta bukti-bukti. Maka Mahkamah Syariah boleh taksirkan jumlah nafkah yang diperlukan bekas isteri dan anak-anak,” katanya. – Bernama

  • Polis klasifikasi penemuan mayat wanita dalam gaung kes bunuh

    Polis klasifikasi penemuan mayat wanita dalam gaung kes bunuh

    POLIS mengklasifisasikan penemuan mayat seorang wanita dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Bukit Putus Lama, Seremban pada Ahad lalu sebagai kes bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, siasatan kes itu kini hampir selesai dan pihaknya telah pun mengenal pasti identiti mayat berkenaan susulan terdapat individu yang mengaku sebagai waris.

    “Polis telah pun menjejaki waris dan mangsa dikenal pasti sebagai rakyat tempatan dan berusia 29 tahun.

    “Kertas siasatan kes ini akan disiapkan tidak lama lagi kerana sedang menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

    “Ia disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Terdahulu beliau ditemui pemberita selepas Sambutan Hari Polis ke-215 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di Seremban.

    Beliau bagaimanapun enggan membuat kesimpulan awal motif kejadian kerana sedang menunggu keputusan DNA yang dijangka diperolehi dalam masa satu ke dua minggu.

    Mengulas lanjut, Nanda berkata, tiga suspek termasuk seorang wanita yang ditahan Selasa lalu bagi membantu siasatan merupakan warga tempatan dan juga rakan kepada mangsa.

    Selain itu katanya, ujian Covid-19 terhadap mayat berkenaan juga didapati positif.

    Media pada 20 Mac lalu melaporkan mayat seorang wanita dalam keadaan tertiarap ditemukan dalam gaung di jalan berkenaan.

    Mayat berkenaan ditemui pukul 10.50 pagi oleh seorang lelaki berusia 50-an yang sedang berjoging di lokasi ketika mahu mengambil gambar.

    Selai itu mayat wanita yang tidak dikenali identitinya memakai seluar dan baju berwarna hitam.

  • Warga emas, budak mangsa pemerasan sebar video bogel

    Warga emas, budak mangsa pemerasan sebar video bogel

    WARGA emas berusia 64 tahun serta kanak-kanak berusia 13 tahun merupakan antara mangsa pemerasan melibatkan penyebaran gambar bogel menerusi ‘online’ di Pulau Pinang.

    Kedua-dua kes itu merupakan antara 108 laporan kes pemerasan ‘online’ penyebaran gambar bogel yang diterima Polis Pulau Pinang sepanjang tahun 2020 hingga kini melibatkan kerugian mencecah RM589,685.

    Lebih mengejutkan, terdapat satu kes tahun lalu yang membawa kepada insiden bunuh diri kerana mangsa berasa takut video bogelnya tersebar kepada umum selepas diugut sindiket berkenaan.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua mangsa kes jenayah itu membabitkan lelaki dengan seramai 39 individu ditahan manakala 15 kes berjaya diselesaikan.

    Bagaimanapun jelas beliau, kes pemerasan itu menunjukkan peningkatan ketara pada tahun lalu yang mana sebanyak 80 kes dicatatkan dengan kerugian RM404,335 berbanding tahun sebelumnya (2020) iaitu 17 kes dengan jumlah kerugian RM76,300.

    Daripada jumlah itu ujarnya, seramai 30 individu ditahan tahun lalu dengan lapan kes berjaya diselesaikan manakala lapan individu ditangkap dengan enam kes berjaya diselesaikan pada 2020.

    “Sementara itu, antara awal tahun ini hingga Februari lalu pula, terdapat 11 kes dilaporkan melibatkan kes sama membabitkan kerugian sebanyak RM109,050,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Polis ke-215 dan Soft Launching Penang 2nd Bridge PDRM 2022 Solidarity Fun Ride di perkarangan ibu pejabat polis daerah (IPD) Timur Laut, Georgetown hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, jenayah pemerasan melibatkan gambar bogel itu disifatkan amat merbahaya sekali gus brharap ibu bapa khususnya dapat memantau penggunaan telefon pintar anak-anak mereka.

    Dalam masa sama ujarnya, polis turut mengingatkan orang ramai lebih berhati-hati ketika menggunakan media sosial bagi mengelak menjadi mangsa jenayah pemerasan.

    Dalam perkembangan lain Mohd. Shuhaily berkata, polis Pulau Pinang menerima sebanyak 100 laporan samun palsu daripada keseluruhan 463 kes samun sepanjang tahun lalu.

    Jelasnya, laporan samun palsu itu termasuk daripada seorang remaja berusia 17 tahun yang mendakwa kononnya dia disamun dan dirogol yang sebenarnya telah hamil dan takut dimarahi oleh keluarganya.

    “Kita memandang serius dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang membuat laporan polis palsu di negeri ini.

    “Laporan palsu sebegini membuang masa dan tenaga pihak polis dalam menjalankan siasatan dan mereka boleh disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.