Author: Admin

  • Polis siasat sumber benih pokok ganja penyanyi nasyid

    Polis siasat sumber benih pokok ganja penyanyi nasyid

    POLIS akan melakukan siasatan lanjut untuk mengetahui sumber benih atau anak pokok ganja yang ditanam di kediaman seorang bekas penyanyi nasyid yang juga komposer terkenal di Kota Damansara, Petaling Jaya.

    Soal siasat masih dijalankan sama ada suspek memperolehnya daripada medium dalam talian atau pun pembelian menerusi individu tertentu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kes itu masih lagi dalam siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

    “Setakat ini siasatan memfokuskan terhadap tangkapan terlebih dahulu dan tidak melibatkan individu lain.

    “Kita juga akan meneliti lebih lanjut untuk mengetahui sama ada suspek mendapatkan benih ganja itu daripada pembelian online atau individu lain,” katanya memetik Sinar Harian, hari ini.

    Serbuan polis semalam bertindak menahan suspek, 47, bersama-sama 17 pasu pokok ganja, yang dipercayai ditanamnya sejak dua bulan lalu.

    Selain itu, polis turut merampas ketulan mampat ganja seberat 214 gram.

    Mohamad Fakhrudin dalam sidang akhbar pada Jumaat berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap artis itu didapati positif dadah jenis THC (ganja).

    Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menanam ganja terbabit untuk kegunaan sendiri selain telah terlibat dengan penagihan dadah sejak 10 tahun lalu.

    Suspek kini direman tujuh hari sehingga Rabu depan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • MOM batal keahlian MDSB

    MOM batal keahlian MDSB

    MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) hari ini mengesahkan telah membatalkan keahlian ahli bersekutunya, Malaysian Dance Sport Berhad (MDSB), selaras perlembagaan majlis itu.

    Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, ia berikutan MDSB telah hilang pengiktirafannya daripada persekutuan antarabangsa iaitu World DanceSport Federation (WDSF).

    Di bawah artikel 24.2 perlembagaan MOM, ahli berdepan kehilangan status keahliannya jika tidak lagi menjadi ahli persekutuan antarabangsa.

    “Keputusan ini diambil setelah mendapat konsultasi daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), WDSF dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM di Wisma OCM di Putrajaya, hari ini.

    Mohamad Norza berkata, perkembangan itu bagaimanapun tidak menjejaskan nasib atlet sukan itu yang dijadual membawa cabaran negara di temasya Sukan SEA Vietnam di Hanoi Mei ini dengan mereka akan bertanding di bawah naungan MOM.

    Katanya, setakat hari ini jumlah kontinjen negara ke temasya Sukan SEA Vietnam adalah seramai 884 orang terdiri daripada 604 atlet dan 280 pegawai.

    Sementara itu, mesyuarat hari ini turut meluluskan pelantikan doktor pasukan kontinjen Malaysia ke tiga temasya sukan utama tahun ini iaitu Dr. Ahmad Munawwar Helmi Salim bagi Sukan SEA Vietnam, Dr. Kamarul Hashimy Hussein (Sukan Komanwel Birmingham) dan Dr. Azril Syazwan Mohd Ali (Sukan Asia Hangzhou).

    Dalam pada itu, mesyuarat turut meluluskan pelantikan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Majlis Sukan Negara Abdul Rashid Yaakob sebagai Ketua Kontinjen baharu ke temasya Sukan Perpaduan Islam Ke-5 Konya 2022 menggantikan Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin yang menarik diri.

    Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Norza berkata MOM menyeru Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula ekosistem kewangan bagi membolehkan lebih banyak sumber kewangan dapat disalurkan bagi tujuan pembangunan sukan negara. – Bernama
     

  • Exco Johor dibarisi peguam, guru, ahli perniagaan

    Exco Johor dibarisi peguam, guru, ahli perniagaan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BARISAN Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang dilantik hari ini terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional dan berkelayakan tinggi daripada beberapa bidang.

    Exco berkenaan terdiri daripada empat peguam, guru, perunding pendidikan awal kanak-kanak serta ahli perniagaan.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, mandat diberikan itu adalah penghargaan golongan muda yang diberi kepercayaan bagi menerajui barisan kepimpinan kerajaan negeri Johor.

    Beliau akan memastikan setiap tugasan yang dipikul mampu menjayakan dasar kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

    “Saya akan memulakan tugasan esok dan melihat apa isu, permasalahan dan penambahbaikan yang diperlukan hasil perbincangan dan pertemuan bakal dilakukan,” katanya.

    Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas pengumuman 10 Exco kerajaan Johor yang baharu di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Bagi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon pula, tidak akan berlengah untuk memulakan tugasan kerana portfolio dipikul itu adalah sesuatu yang penting ketika negara akan beralih ke fasa endemik.

    Malah susulan pembukaan sempadan Johor, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Saya akan berusaha sebaik mungkin dan tidak akan menghampakan pengundi yang memberi saya peluang menjadi Adun dan kini menggalas tugasan sebagai Exco,” katanya.

    Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan kesejahteraan penduduk.

    “Peranan saya sebagai pemudah cara bagi memastikan semua penduduk termasuk B40 dan di bawahnya tidak terlepas pandang,” katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh bersyukur atas mandat berkenaan dan akan berusaha memikul portfolio berkenaan dengan sebaiknya.

    “Saya akan berjumpa ketua-ketua jabatan yang berkaitan dahulu mulai esok,” ujar ADUN Johor Lama itu.

  • Segera naikan gaji penjawat awam, elak amalan rasuah – Cuepacs

    Segera naikan gaji penjawat awam, elak amalan rasuah – Cuepacs

    KERAJAAN digesa menguatkuasakan segera gaji minimum RM1,800 bertujuan mengekang gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam.

    Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd. Nordin, pihaknya telah mengemukakan cadangan kenaikan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,800 kepada Ketua Setiausaha Negara, pada 16 Februari lalu.

    “Kita berharap memorandum yang Cuepacs hantar itu dapat mengurangkan amalan yang tidak berintegriti sebab kes rasuah merugikan pendapatan negara.

    “Memang Cuepacs bimbang kerana amalan ini kadang-kadang tidak nampak, tetapi bila dilihat pada peningkatan kes itu kebimbangan jelas

    semakin meruncing kerana imej negara perlu dijaga,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Beliau berkata demikian selepas seminar memahami keperluan dan cabaran penjawat awan dalam persekitaran norma baharu di Banda Hilir, Melaka, hari ini.

    Antara kandungan memorandum itu, kata beliau ialah semakan semula gaji penjawat awam dengan kenaikan antara tujuh hingga 30 peratus.

    Menurutnya, menerusi memorandum yang dikemukakan kepada kerajaan itu, masalah gaji penjawat awam yang rendah akan dapat diatasi, sekali gus mengekang amalan rasuah.

    Cadangan semakan itu, jelasnya, dikekalkan sebagaimana kenaikan yang pernah dilaksanakan kerajaan pada 2012.

    Turut dicadangkan katanya ialah semakan terhadap beberapa elaun seperti perumahan dan sara hidup.

    Semakan itu juga ujarnya, dianggap perlu memandangkan ia tidak pernah dilakukan sejak 10 tahun lalu.

    Abdul Rahman dalam masa sama mengakui, terdapat segelintir daripada 1.6 juta penjawat awam terjebak dalam kegiatan rasuah yang berpunca berikutan tekanan hidup.

  • Pastikan mutu perkhidmatan kesihatan setanding negara luar: Tuanku Muhriz

    Pastikan mutu perkhidmatan kesihatan setanding negara luar: Tuanku Muhriz

    PENGAMAL perubatan di negara ini perlu membantu meningkatkan tahap kesihatan rakyat dan memastikan mutu perkhidmatan kesihatan Malaysia setanding dengan negara lain, titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

    Baginda bertitah justeru, mereka harus mengikuti perkembangan teknologi terkini dan mengetahui hasil penyelidikan perubatan baharu supaya perkhidmatan yang diberikan dapat disesuaikan bagi memenuhi keperluan semasa.

    “Ini kerana pembangunan negara kita haruslah bergerak seiring dengan kemajuan yang telah dicapai oleh negara maju dari segi ekonomi, alam sekitar dan sosial,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (AKKM) di Seremban, hari ini.

    Dalam konvokesyen itu, baginda mengurniakan anugerah Felo dan Kepakaran, diploma serta sijil kepada 205 graduan.

    Tuanku Muhriz yang juga penaung AKKM bertitah pengamal perubatan dalam bidang kepakaran Perubatan Keluarga atau Penjagaan Primer merupakan individu yang hampir dengan orang ramai kerana sentiasa bersemuka dengan masyarakat dalam memberikan perkhidmatan kesihatan.

    Oleh itu, golongan tersebut adalah sumber paling tepat untuk mendapatkan analisis dan input mengenai keperluan kesihatan sekali gus membantu kerajaan menentukan status semasa kesihatan awam dan membuat perancangan program kesihatan yang sesuai dengan keperluan rakyat, titah baginda.

    Selain itu, Tuanku Muhriz bertitah bagi memastikan tahap penjagaan primer di Malaysia selari dengan negara lain, doktor keluarga seharusnya mendapatkan status pakar dalam bidang perubatan keluarga supaya mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang kompetitif.

    “Negara memerlukan 8,000 pakar perubatan keluarga seperti yang dinyatakan Kementerian Kesihatan. Namun, pada masa ini Malaysia hanya mempunyai 700 pakar perubatan keluarga yang sedang memberikan perkhidmatan di sektor kerajaan dan swasta,” titah baginda.

    Sehubungan itu, baginda menyeru supaya lebih ramai lagi doktor keluarga meneruskan pengajian bagi memperoleh pengiktirafan kepakaran serta meningkatkan mutu perkhidmatan sekali gus memperkasakan lagi status dan kredibiliti seseorang pengamal perubatan.

    Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan tahniah kepada kepimpinan AKKM kerana berusaha memantapkan lagi program pembelajaran dan melahirkan pakar perubatan keluarga seterusnya menjadikan AKKM diiktiraf dalam bidang pendidikan kesihatan negara.

    Pada majlis berkenaan, Tuanku Muhriz turut menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Felo Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia. – Bernama

  • Nelayan putus jari tarik pukat

    Nelayan putus jari tarik pukat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG nelayan putus jarinya ketika menarik pukat di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi pada pagi ini.

    Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kejadian itu dilaporkan pada pukul 9.20 pagi.

    “Nelayan tempatan memaklumkan rakan mereka terputus jari akibat tersepit pada mesin penarik pukat dan bot nelayan itu dilaporkan tidak dapat bergerak kerana mengalami kerosakan.

    “Mangsa, Azmi Arifin, 46, putus satu jari akibat tersepit ketika melakukan kerja menarik pukat di kedudukan 10.8 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jari Azmi putus akibat tersepit ketika melakukan kerja menarik pukat di kedudukan 10.8 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar

    Katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) segera mengkoordinasikan bantuan dengan menghubungi komuniti maritim berdekatan untuk mengambil mangsa di lokasi.

    “Mangsa dibawa ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili pada 1.45 tengah hari dan dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk menerima rawatan awal seterusnya dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI),” katanya.

  • Chiew Sien-Vivian mara ke separuh akhir Terbuka Switzerland

    Chiew Sien-Vivian mara ke separuh akhir Terbuka Switzerland

    PASANGAN beregu wanita profesional negara Lim Chiew Sien-Vivian Hoo meneruskan rentak kecemerlangan apabila mengejutkan pilihan keenam untuk mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland di Basel.

    Pada aksi suku akhir berlangsung awal pagi tadi, gandingan itu terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menewaskan pasangan dari India, Ashwini Ponnappa-Reddy N.Sikki 22-20, 23-21 dalam tempoh 54 minit.

    Chiew Sien-Vivian bermula baik di set pertama apabila mendahului 7-2, namun sebaik pihak lawan mendapat rentak aksi bertukar menjadi sengit hingga mata terikat 20-20 sebelum dua mata terakhir berjaya diraih wakil negara untuk kemenangan set pertama.

    Momentum itu diteruskan Chiew Sien-Vivian pada set kedua yang turut menyaksikan perlawanan berlangsung sengit sekali gus memaksa pasangan negara mengerah segala kudrat untuk menoktahkan kejayaan 23-21.

    Menanti mereka di pentas separuh akhir yang dijadual berlangsung 2 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) adalah pasangan adik-beradik dari Bulgaria, Stoeva Gabriela-Stoeva Stefani, yang merupakan pilihan ketiga.

    Sementara itu, pasangan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin turut berjaya melayakkan diri ke pentas separuh akhir selepas cemerlang mengatasi pasangan Leo Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia 21-18, 19-21, 21-12.

  • ‘Seminggu lagi, masih sempat terima dos penggalak, kata Khairy

    ‘Seminggu lagi, masih sempat terima dos penggalak, kata Khairy

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menaruh harapan tinggi terhadap warga emas dan penerima vaksin Sinovac untuk segera mendapatkan dos penggalak dalam masa berbaki lima hari sahaja lagi sebelum kehilangan status lengkap vaksin.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, walaupun terdapat segelintir individu merungut dengan keputusan KKM membatalkan status tersebut, namun syarat yang diletakkan itu berdasarkan data bukan hanya di Malaysia tetapi juga di negara lain.

    “Ada masa lebih kurang seminggu lagi. Masih sempat untuk mereka menerima vaksin (dos penggalak).

    “Semalam kita sudah maklumkan cara-cara untuk mendapatkan link bagi membuat temu janji di MySejahtera,” katanya memetika laporan Sinar Harian, selepas Majlis Pelancaran MyCHAMPION Peringkat Kebangsaan, di Sepang, hari ini.

    Sebelum ini, Khairy Jamaluddin memaklumkan penerima vaksin Sinovac dan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang menerima semua jenis vaksin diberikan tempoh sehingga 31 Mac 2022 untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.

    Katanya, jika gagal berbuat demikian, status vaksinasi mereka akan bertukar kepada tidak lengkap.

    Pada Jumaat, beliau turut memaklumkan lebih dua juta penerima vaksin Sinovacbakal kehilangan status vaksinasi tersebut dan itu bukan perkara baru tetapi sudah dimaklumkan sejak 16 Disember tahun lalu.

  • Najib ‘drama king’ terdesak – Amir Razali

    Najib ‘drama king’ terdesak – Amir Razali

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa cuba meraih simpati orang awam ketika berkunjung ke Pulau Pinang, memandangkan dia mungkin berdepan hukuman penjara dalam kes rauah SRC International.

    Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Amir Ghazali menyifatkan Najib sebagai seorang ‘drama king desperado’ yang membuat ‘pementasan drama’ menyasarkan masyarakat Cina.

    “Siapa pun boleh mengatur orang-orang atau penyokong yang masih ada untuk ditumpukan ke ceramah.

    “Kami tahu, ramai yang hadir adalah saki-baki penyokong ‘Bossku’ yang telah disusun awal untuk memenuhi acara tersebut, itu saja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, masyarakat sudah celik untuk menilai tindakan individu yang sarat dengan tuduhan mahkamah dan bekemungkinan bakal ke penjara.

    Ekoran itu menurut Amir, individu sebegitu perlu melakukan tindakan ‘terdesak’ bagi meraih simpati rakyat.

    Terdahulu pada Jumaat, Najib menghadiri acara rasmi dan tidak rasmi dengan peserta kebanyakkanya dalam kalangan masyarakat Cina termasuk menyampaikan ucaptama dalam Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Pulau Pinang (Pibis).

    Dalam pada itu, gambar yang dimuat naik Najib di Facebooknya ketika berkunjung ke Teoh Kongsi, pasar malam di Jelutong dan juga jeti Chew, menunjukkan dia mendapat sambutan ramai.

    Namun bagi Amir, kebanyakan penduduk Pulau Pinang tidak akan melupakan Najib meminggirkan mereka ketika menjawat jawatan Perdana Menteri kerana negeri itu ditadbir DAP.

    “Justeru, saya ucap tahniah juga di atas pementasan drama yang boleh dijadikan kenangan terindah untuk di bawa ke penjara nanti oleh ‘Bossku’.

    “Saya juga menyeru agar seluruh rakyat Malaysia memahami sebaiknya akan trend terkini iaitu semakin UMNO, BN berkuasa, makin teruk rakyat merana terseksa,” katanya lagi.

  • SPM 2021 sesi kedua 5 April ini

    SPM 2021 sesi kedua 5 April ini

    MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Md. Jidin berkata, Lembaga Peperiksaan (LP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan peperiksaan SPM tahun 2021 sesi kedua Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 sesi kedua akan dilaksanakan pada 5 April hingga 19 Mei ini.

    Beliau dalam hantaran di Facebook rasminya berkata, KPM dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan peperiksaan SPM 2021 sesi kedua itu melibatkan Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), Ujian Amali Sains dan Ujian Bertulis.

    Katanya, ia dilaksanakan bagi calon yang tidak dapat menduduki kesemua ujian itu yang dilaksanakan pada 8 Februari hingga 29 Mac ini.

    “Calon tersebut adalah yang disahkan positif Covid-19, perlu menjalani tempoh kuarantin seperti yang diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), calon yang terkesan akibat banjir atau kes-kes khas yang mendapat kelulusan Pengarah Peperiksaan.

    “LP ingin mengingatkan semua calon yang terlibat dengan peperiksaan SPM 2021 sesi kedua untuk menyemak, mengesahkan dan mencetak Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang mengandungi maklumat pusat peperiksaan yang ditetapkan, tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan mulai 1 April ini,” katanya.

    KPM berkata, semua maklumat tersebut boleh didapati melalui pautan https://elp.moe.gov.my atau melalui aplikasi mobile e-Lembaga Peperiksaan yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store.

    Katanya, jadual waktu peperiksaan SPM 2021 sesi kedua serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung boleh dimuat turun dari portal rasmi LP di http://lp.moe.gov.my juga pada 1 April ini.

    “Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang dicetak ke pusat peperiksaan.

    “Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan KPM serta prosedur operasi standard ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan KKM,” katanya.

    KPM memberitahu, ketetapan ini adalah bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak Covid-19 dan rujukan garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM di https://www.moe.gov.my.

    Dr. Radzi berkata, pastinya calon serta ibu bapa yang anak-anak mereka tidak dapat menduduki peperiksaan SPM 2021 akibat Covid-19 atau terkesan dengan bencana banjir ternanti-nanti pemakluman tarikh baharu untuk mereka menduduki peperiksaan tersebut