PENGAMAL perubatan di negara ini perlu membantu meningkatkan tahap kesihatan rakyat dan memastikan mutu perkhidmatan kesihatan Malaysia setanding dengan negara lain, titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Baginda bertitah justeru, mereka harus mengikuti perkembangan teknologi terkini dan mengetahui hasil penyelidikan perubatan baharu supaya perkhidmatan yang diberikan dapat disesuaikan bagi memenuhi keperluan semasa.

“Ini kerana pembangunan negara kita haruslah bergerak seiring dengan kemajuan yang telah dicapai oleh negara maju dari segi ekonomi, alam sekitar dan sosial,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (AKKM) di Seremban, hari ini.

Dalam konvokesyen itu, baginda mengurniakan anugerah Felo dan Kepakaran, diploma serta sijil kepada 205 graduan.

Tuanku Muhriz yang juga penaung AKKM bertitah pengamal perubatan dalam bidang kepakaran Perubatan Keluarga atau Penjagaan Primer merupakan individu yang hampir dengan orang ramai kerana sentiasa bersemuka dengan masyarakat dalam memberikan perkhidmatan kesihatan.

Oleh itu, golongan tersebut adalah sumber paling tepat untuk mendapatkan analisis dan input mengenai keperluan kesihatan sekali gus membantu kerajaan menentukan status semasa kesihatan awam dan membuat perancangan program kesihatan yang sesuai dengan keperluan rakyat, titah baginda.

Selain itu, Tuanku Muhriz bertitah bagi memastikan tahap penjagaan primer di Malaysia selari dengan negara lain, doktor keluarga seharusnya mendapatkan status pakar dalam bidang perubatan keluarga supaya mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang kompetitif.

“Negara memerlukan 8,000 pakar perubatan keluarga seperti yang dinyatakan Kementerian Kesihatan. Namun, pada masa ini Malaysia hanya mempunyai 700 pakar perubatan keluarga yang sedang memberikan perkhidmatan di sektor kerajaan dan swasta,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda menyeru supaya lebih ramai lagi doktor keluarga meneruskan pengajian bagi memperoleh pengiktirafan kepakaran serta meningkatkan mutu perkhidmatan sekali gus memperkasakan lagi status dan kredibiliti seseorang pengamal perubatan.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan tahniah kepada kepimpinan AKKM kerana berusaha memantapkan lagi program pembelajaran dan melahirkan pakar perubatan keluarga seterusnya menjadikan AKKM diiktiraf dalam bidang pendidikan kesihatan negara.

Pada majlis berkenaan, Tuanku Muhriz turut menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Felo Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here