Author: Admin

  • 3 maut, 10 cedera dalam kemalangan lebih 50 kenderaan

    3 maut, 10 cedera dalam kemalangan lebih 50 kenderaan

    SEKURANG-KURANGNYA tiga maut manakala lebih 10 cedera dalam kemalangan melibatkan lebih 50 kenderaan di timur Pennsylvania, semalam.

    Kemalangan tersebut sehingga menutup sebahagian sempadan negeri di timur Pennsylvania, lapor Astro Awani, hari ini.

    Bagaimanapun, menurut koroner daerah, Dr. David J..Moylan, kerja-kerja menyelamat masih belum selesai kerana ada kenderaan yang terbakar dan jumlah kematian sebenar mungkin meningkat.

    Nahas yang berlaku sekitar pukul 10.30 pagi itu dipercayai berpunca daripada ribut salji yang mengaburkan penglihatan.

    Kira-kira 50 kenderaan termasuk beberapa lori dan treler terlibat dalam nahas.

    Kakitangan kecemasan dari empat daerah berbeza bergegas ke lokasi kejadian dan sehingga kini telah membawa kira-kira 20 pesakit ke hospital terdekat untuk rawatan.

    Rakaman yang tular dalam media sosial pada Isnin menunjukkan nahas berlaku apabila sebuah treler berada di luar kawalan merempuh sebuah lori sampah.

  • SPRM tahan 11 kontraktor disyaki kemuka penyata palsu

    SPRM tahan 11 kontraktor disyaki kemuka penyata palsu

    TINDAKAN 11 kontraktor termasuk sembilan di Semporna kerana disyaki mengemukakan penyata bank palsu kepada sebuah pejabat kerajaan kira-kira lima tahun lalu, membawa padah apabila ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.

    sembilan suspek individu berkenaan berusia antara 29 hingga 56 tahun itu melakukan perbuatan terbabit pada 2017 bagi mendapatkan sebut harga pengurusan kantin bagi tempoh dua tahun dengan nilai kontrak membabitkan lebih RM200,000.

    Difahamkan, kesemua kontraktor terbabit yang terdiri daripada empat wanita dan lima lelaki ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Tawau di Tawau, pada 10 pagi tadi, lapor Harian Metro.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata, kesemua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Tawau dalam masa yang terdekat.

    Sementara itu, katanya, SPRM Cawangan Keningau pada Jumaat lalu turut menahan dua kontraktor berusia antara 25 hingga 32 tahun atas kesalahan sama membabitkan nilai kontrak berjumlah RM5 juta.

    Beliau berkata, dua suspek masing-masing lelaki dan wanita itu ditahan kerana dipercayai mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan tender perkhidmatan pembekalan makanan untuk sekolah berasrama.

    “Perbuatan mengemukakan dokumen palsu itu merupakan antara kesalahan yang kerap dilakukan oleh kontraktor dan diharapkan perkara ini tidak berulang lagi pada masa-masa akan datang,” tegasnya.

  • Tular pemuda buang air besar hanyut bersama jamban

    Tular pemuda buang air besar hanyut bersama jamban

    SEBUAH klip video pendek lucu menunjukkan seorang pemuda duduk di atas bumbung jamban yang dihanyutkan air banjir tular di Indonesia semalam.

    Menurut laporan Kompas Jakarta, kejadian berlaku pada Sabtu lalu di Desa Tunggul Irang, Banjar, Kalimantan Selatan ketika pemuda tersebut sedang membuang air besar.

    Rakaman itu menunjukkan tandas terapung dihanyut arus melalui Sungai Martapura, di Kalimantan Selatan.

    Ia telah dirakam seorang penduduk yang menyaksikan kejadian itu ketika pemuda bersama jamban dinaiki dibawa air dalam keadaan separuh tenggelam.

    Turut kelihatan tumbuhan liar disekeliling jamban dibawa bersama-sama arus sungai terbabit.

    Pemuda berbaju merah kelihatan duduk bersantai di atas bumbung dengan melihat sekeliling, tanpa meminta pertolongaan ketika hanyut.

    Bagaimanpun penduduk yang merakam kejadian itu tidak mengenali siapakah gerangan pemuda tersebut.

    Nasib pemuda itu juga tidak diketahui, tetapi berkemungkinan besar dia berjaya selamatkan diri kerana di hilir sungai itu dikatakan terdapat jambatan gantung yang membolehkan pemuda itu berpaut. 

  • Dua syarikat didenda RM40,000 sebabkan pekerja maut

    Dua syarikat didenda RM40,000 sebabkan pekerja maut

    MAHKAMAH Sesyen Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman masing-masing RM40,000 terhadap sebuah syarikat dan sub-kontraktor pemasang lif kerana gagal memastikan keselamatan sehingga menyebabkan pekerjanya maut dihempap pengimbang lif, dua tahun lalu.

    Antah Schindler Sdn Bhd dan Promart Engineering Sdn Bhd dikenakan hukuman itu selepas dua pengurus yang mewakili syarikat berkenaan, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

    Mengikut pertuduhan, dua syarikat tersebut selaku majikan didapati gagal menjalankan kewajipan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya, lapor Sinar Harian.

    Mereka gagal membuat penaksiran risiko bagi kerja-kerja pemasangan rekaan dalaman lif penumpang sehingga menyebabkan seorang pekerjanya maut dihempap pengimbang di lif pit tapak Projek Pembinaan Setia City Mall Fasa 2, Bandar Setia Alam, Shah Alam pada 27 November 2020.

    Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

    Dalam prosiding, kes ini dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, Mohd. Fais Suin.

    Sementara itu, dalam kenyataan media, JKKP Selangor berharap, kes itu memberi pengajaran kepada semua majikan dan pekerja agar mengambil berat dengan pematuhan undang-undang demi kepentingan awam serta keselamatan pekerja.

  • Aplikasi biometrik ‘Saudi Visa Bio’ dilancar di Malaysia, mudahkan urusan haji dan umrah

    Aplikasi biometrik ‘Saudi Visa Bio’ dilancar di Malaysia, mudahkan urusan haji dan umrah

    APLIKASI biometrik ‘Saudi Visa Bio’ yang dilancarkan di Malaysia hari ini bakal memudahkan urusan pendaftaran jemaah haji dan umrah dari Malaysia, selain memendekkan tempoh prosedur kemasukan ke negara itu dalam menunaikan ibadah itu di Tanah Suci.

    Menurut Duta Arab Saudi ke Malaysia, Dr. Mahmoud Hussein Saeed Qattan, langkah Arab Saudi memilih Malaysia untuk melancarkan aplikasi telefon pintar ini menggambarkan keutuhan hubungan persaudaraan yang terjalin antara kedua-dua negara,

    Pada masa sama ia mencerminkan keyakinan kerajaan Arab Saudi terhadap agensi Malaysia yang menguruskan haji dan umrah, katanya.

    “Kerajaan Arab Saudi dalam mengeluarkan visa Haji dan Umrah telah mengambil inisiatif membangunkan aplikasi cap jari biometrik menggunakan telefon pintar dengan melabur dalam teknologi canggih, selamat dan mudah digunakan,” kata beliau dalam ucapannya di majlis pelancaran aplikasi itu, Kuala Lumpur, hari ini.

    Aplikasi Saudi Visa Bio yang kini dalam fasa pertama akan menggunakan cap jari atau muka untuk melengkapkan proses pengeluaran visa Umrah atau Haji.

    Aplikasi ini juga akan membolehkan pemohon visa Haji dan Umrah di Malaysia mendaftarkan bio-data mereka melalui telefon pintar, dan visa mereka akan dikeluarkan secara elektronik tanpa perlu mengunjungi pusat pengeluaran visa.

    Antara kelebihan mendaftar sendiri untuk permohonan visa melalui aplikasi Saudi Visa Bio adalah apabila jemaah haji dan umrah tiba di Arab Saudi, mereka hanya perlu memadankan data mereka tanpa perlu mendaftar semula data biometrik dan ini akan memudahkan proses kemasukan mereka melalui mana-mana pintu masuk.

    Aplikasi ini telah dilancarkan di Arab Saudi pada 2021 oleh Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan Al Saud dan selaras dengan titah Raja Arab Saudi Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman untuk menawarkan perkhidmatan dan kemudahan terbaik untuk jemaah haji dan umrah.

    Arab Saudi merupakan negara pertama di dunia menggunakan teknologi pendaftaran biometrik melalui telefon pintar untuk pengeluaran visa elektronik. – Bernama

  • Empat termasuk dua beradik ditahan edar dadah

    Empat termasuk dua beradik ditahan edar dadah

    JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang menahan empat lelaki termasuk dua beradik kerana terlibat mengedar dadah, menerusi empat serbuan sekitar daerah ini pada 24 Mac lalu.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, semua suspek berumur antara 32 dan 42 tahun itu ditahan bermula pukul 5 petang hingga 11.30 malam pada 24 Mac lalu.

    “Tangakap bermula dengan penahanan seorang lelaki berumur 32 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Mahkota, Kuantan.

    “Disusuli penahanan tiga lelaki lain, masing-masing ditahan di sebuah rumah di taman sama, parkir tol Plaza Gambang dan tepi jalan hadapan perhentian bas simpang Lepar Hilir, Gambang, Kuantan.

    “Dengan penahanan empat lelaki itu, polis merampas dadah berjumlah RM76,164 iaitu 2,274.25 gram heroin bernilai RM30,474 dan 1,269.15 gram bernilai RM45,690.

    “Nilai sitaan harta pula berjumlah RM559,928 iaitu wang tunai RM91,250, tiga kereta dan lapan motosikal (RM440,100), 19 jam tangan (RM16,500) dan barang kemas (RM12,078),” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Menerusi sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Kuantan itu, beliau memberitahu, jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta ialah RM636,092.

    Antara barang yang disita berjumlah RM559,928 iaitu wang tunai RM91,250, tiga kereta dan lapan motosikal (RM440,100), 19 jam tangan (RM16,500) dan barang kemas (RM12,078). – Foto Facebook Polis Pahang

    Katanya, empat suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula 26 Mac lalu hingga 1 April ini.

    Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 398B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

    “Berdasarkan siasatan, sindiket ini dipercayai memperolehi bekalan dadah heroin dan syabu dari Lembah Klang untuk diedarkan di kawasan Felda di sekitar Kuantan.

    “Dengan penahanan ini, polis Pahang berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di kawasan Felda sekitar Kuantan yang didalangi oleh warga tempatan.

    “Rampasan 2,274.25 gram heroin itu boleh dibekalkan kepada 4,548 penagih dadah dan dadah jenis syabu seberat 1,269.15 gram boleh dibekal 2,538 penagih, masing-masing penggunaan dalam sehari,” katanya.

  • Tiga sahabat dipenjara cuba curi mesin ATM

    Tiga sahabat dipenjara cuba curi mesin ATM

    TIGA sahabat dijatuhkan hukuman penjara dua tahun lima bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Pilah, hari ini, atas kesalahan cubaan mencuri sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di pekan Johol, Negeri Sembilan, tahun lalu.

    Majistret Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohamad Faris Zaki, 29, Moh.d Najib Husain, 26, dan Mohd. Ridzuwan Md Daud, 36, mengaku bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. 

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama dengan mereka yang masih bebas didapati melakukan khianat dengan memecahkan cermin pondok mesin ATM yang menyebabkan kerugian RM1,500. 

    Berikutan itu, semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

    Bagi pertuduhan kedua, mereka secara bersama-sama dengan yang masih bebas cuba mencuri mesin ATM yang merupakan aset Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Johol. 

    Pertuduhan kes itu dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali. 

    Semua kesalahan itu dilakukan di pondok mesin ATM Pekan Johol, lebih kurang 4 pagi pada 13 Disember 2021.

    Sementara itu, Mohd. Ridzuwan turut dituduh mencuri sebuah kereta Proton Iswara milik Pang Hee Siang, 50, pada 3 pagi 16 November 2021 di Pekan Dangi, Kuala Pilah. 

    Mohd. Najib pula dituduh sengaja menyembunyikan kereta Proton Iswara terbabit di Kampung Ulu Kepis, Temeris, pada 4 pagi 17 November 2021.

    Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara tiga tahun selepas Mohd. Ridzuwan dan Mohd. Najib mengaku bersalah. 

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur’Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Fuziah sah bertanding jawatan Naib Presiden PKR

    Fuziah sah bertanding jawatan Naib Presiden PKR

    KETUA Wanita PKR, Fuziah Salleh mengumumkan beliau akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Mei ini.

    Memetik laporan Malaysiakini, langkah itu berikutan keputusan Majlis Pimpinan Pusat Wanita PKR yang sebulat suara menamakan Fuziah sebagai calon bertanding jawatan tersebut.

    “Itu keputusan musyawarah majlis pimpinan Wanita Pusat dan hujahnya juga jelas supaya lebih ramai wanita terlibat dalam arus perdana parti dan tidak terhad kepada sayap.

    “Walaupun, saya agak sibuk dengan tugas saya selaku Pengarah Pilihan Raya pusat kini dan mungkin tiada masa untuk berkempen. Namun,saya hormat permintaan mereka.

    “Maka, dengan rendah diri saya akur dengan permintaan tersebut,” kata Ahli Parlimen Kuantan itu.

    Dalam perkembangan sama, Fuziah memohon semua anggota parti dari sayap wanita supaya menjadi sebagai pengurus kempen.

    “Pada awalnya, saya ingat saya tidak mahu bertanding sebab sibuk dengan tugas sebagai pengarah pilihan raya.

    “Ini kerana mungkin PRU-15 (boleh diadakan) bila-bila masa sahaja. Tapi, akhirnya saya akur.

    “Cuma saya pohon semua wanita di seluruh negara melantik diri mereka sebagai pengurus kempen saya,” katanya.

    Beliau merupakan Naib Presiden PKR bagi penggal 2010-2014.

    Fuziah memangku jawatan Ketua Wanita PKR selepas penyandangnya, Haniza Mohamad Talha dilucutkan keanggotaan dari parti.

    Sementara itu, dalam kenyataan media hari ini, Setiausaha Wanita PKR, Nor Azrina Surip berkata, sudah tiba masanya parti itu menterjemahkan jumlah perwakilan wanita dalam barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) agar memenuhi kehendak perlembagaannya.

    “MPWP yang telah bermesyuarat baru-baru ini pada 25 Mac 2022, memutuskan untuk mengangkat suatu keputusan yang besar yang pastinya akan menambah nilai kepada apa yang termaktub dalam perlembagaan parti ini.

    “MPWP dengan ini telah sebulat suara memutuskan untuk menamakan Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh sebagai calon Naib Presiden dari Wanita dalam pemilihan parti yang bakal diadakan pada bulan Mei nanti,” katanya.

    Menurut Nor Azrina yang juga Ahli Parlimen Merbok, keputusan tersebut adalah selaras dengan Perlembagaan Parti Fasal 5.14 yang mengiktiraf martabat dan peranan wanita sebagai tonggak dan penggerak masyarakat.

  • Mayat tanpa seluar dalam longkang sebelah sekolah

    Mayat tanpa seluar dalam longkang sebelah sekolah

    BAU busuk dari sebuah longkang membawa kepada penemuan satu mayat dalam keadaan tidak berseluar dan tanpa identiti di tepi jalan besar Jalan Tok Ungku sebelah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mewah, Rahang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mayat berkenaan dijumpai oleh seorang individu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di wisma Nadaraja pada pukul 7.12 malam.

    “Pada mulanya saksi terhidu bau busuk dari arah longkang dan menjumpai mayat lelaki sebelum menghubungi 999 untuk bantuan.

    “Mayat itu ditemui di dalam longkang yang berkeluasan dua kaki lebar dengan kedalaman lebih kurang empat kaki dalam keadaan memakai baju berkolar dan vest bertulisan ‘security’ di belakang.

    “Bagaimanapun mangsa didapati tidak memakai seluar serta tidak berselipar atau kasut,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Nanda berkata, tiada sebarang dokumen diri ditemui pada mayat tersebut dan di sekitar tempat kejadian malah Unit K9 cuba mengesan bahan bukti tetapi tidak menjumpai apa-apa.

    “Hasil siasatan awal pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan tidak dapat memastikan punca kematian lelaki itu kerana keadaannya yang telah membengkak dan berulat.

    “Lelaki ini dianggarkan telah meninggal dunia lebih kurang empat hari dan tidak dapat dipastikan sebarang unsur jenayah yang boleh mengaitkan dengan kematiannya.

    “Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan punca kematian akan diperolehi sehingga bedah siasat dari forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) pada hari ini,” katanya.

  • Anggota polis dipenjara 10 tahun, denda RM10,000

    Anggota polis dipenjara 10 tahun, denda RM10,000

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal dipenjara 10 tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah menyebabkan cedera parah dengan niat mendatangkan kematian seorang buruh, lima tahun lalu.

    Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu ke atas Baxter Kisar, 32, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini.

    Mahkamah turut memerintahkan lelaki yang berasal dari Sabah itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

    Baxter didakwa melakukan perbuatan itu terhadap A Krishnan, 38, di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Rampai Niaga, Sri Rampai, Wangsa Maju, Kuala Lumpuor antara 5 pagi dan 5.45 pagi, 18 Julai 2017, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda dan sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan maka boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun.

    Seramai 14 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula Oktober 2019.

    Di mahkamah sama, jurujual kereta terpakai M Manimaran, 36, dipenjara 10 tahun dan didenda RM10,000 selepas didapati bersalah menyebabkan kematian pelanggan restoran, P Logan Nathan yang ketika itu berusia 27 tahun.

    Mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula hari ini dan tertuduh juga perlu menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

    Manimaran didakwa bersama dua lagi yang masih bebas melakukan kesalahan itu di Jalan Telawi 2, Bangsar, Kuala Lumpur pada 2.23 pagi, 23 Mac 2010, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan didenda.

    Terdahulu, peguam George Goh dan Ashok Kandiah, masing-masing mewakili Baxter dan Manimaran memohon penggantungan hukuman penjara dan denda memandangkan anak guam mereka akan merayu terhadap keputusan itu ke Mahkamah Tinggi.

    Ashok turut memohon hukuman ringan atas alasan Manimaran kesal kerana melibatkan diri dalam pergaduhan hanya untuk menolong rakannya dan dia memberi kerjasama baik kepada pihak polis selama 10 tahun sejak ditangkap sehingga pertuduhan dikenakan terhadapnya selain tidak mempunyai sabitan lampau.

    Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri membantah permohonan peguam atas alasan tidak wujud sebarang keadaan istimewa yang mewajarkan penggantungan kedua-dua hukuman itu dan anggapan tidak bersalah juga tidak lagi wujud memandangkan mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh bersalah.

    Mahkamah menolak permohonan penggantungan hukuman bagi kedua-dua kes itu. – Bernama