Author: Admin

  • Penasihat kanan syarikat direman bantu kes rasuah projek bernilai RM132 juta

    Penasihat kanan syarikat direman bantu kes rasuah projek bernilai RM132 juta

    SEORANG penasihat kanan sebuah syarikat direman empat hari bagi membantu siasatan kes rasuah berhubung projek bernilai RM132 juta membabitkan institusi automotif negara.

    Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai memberi suapan berjumlah RM5 juta sebagai balasan bagi syarikat di bawah kawalannya mendapat geran projek. 

    “Perintah reman terhadap lelaki itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya bermula hari ini hingga Jumaat manakala reman terhadap seorang suspek bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes rasuah projek bernilai RM85 juta membabitkan institusi automotif negara turut dilanjutkan empat hari bermula esok hingga Sabtu,” kata sumber itu.

    Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman tersebut.

    Beliau berkata suspek ditahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Pada 24 Mac lepas, SPRM dilaporkan menahan sembilan individu termasuk seorang bergelar Datuk dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes rasuah berhubung projek bernilai RM85 juta membabitkan institusi automotif negara.

  • Aduan Shafee disyaki terima cek RM9.5 juta daripada Najib dibuat pada 2018

    Aduan Shafee disyaki terima cek RM9.5 juta daripada Najib dibuat pada 2018

    SEORANG pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa satu aduan dibuat pada 4 September 2018 terhadap peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kerana disyaki menerima dua keping cek berjumlah RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Mohamad Farid Jabar, 37, berkata susulan aduan tersebut, siasatan terhadap peguam itu dibuat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

    Saksi pendakwaan kelapan itu berkata hasil siasatan mendapati, Najib telah mengeluarkan dua keping cek masing-masing bernilai RM4.3 juta dan RM5.2 juta ke atas nama tertuduh pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014 semasa perjumpaan di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

    Beliau berkata kedua-dua cek itu tidak dibayar di atas nama firma guaman Shafee & Co dan bayaran tersebut tidak dikreditkan ke dalam mana-mana akaun firma guaman.

    “RM9.5 juta itu merupakan bayaran bagi khidmat nasihat guaman yang diberikan tertuduh kepada Najib, parti dan perdana menteri sebelum ini kerana beliau telah memberikan khidmat guaman kepada klien daripada Barisan Nasional atau UMNO untuk 46 fail petisyen pilihan raya dari tahun 2004 dan 2006. 

    Bayaran khidmat guaman sebanyak RM9.5 juta itu merupakan pendapatan terakru yang dikenakan cukai tetapi Muhammad Shafee tidak melaporkan pendapatan itu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” kata saksi pendakwaan terakhir itu ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Muhammad Shafee yang didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada LHDN.

    Saksi berkata peguam veteran itu juga tidak melaporkan pendapatan RM9.5 juta tersebut sebagai Pendapatan Tahun Kebelakangan Yang Belum Dilaporkan di Bahagian E dalam Borang B Tahun Taksiran 2013 dan 2014.

    Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee, 70, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

    Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Harvinderjit Singh.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 27 April. – Bernama

  • Penjawat awam trauma diugut ceti haram

    Penjawat awam trauma diugut ceti haram

    SEORANG kakitangan kerajaan dan keluarganya trauma dan hidup tidak tenteram kerana sering diugut akan dicederakan hanya kerana gagal membayar pinjaman RM2,000 yang dibuat secara dalam talian daripada ah long,

    Tidak tahan dengan ugutan yang diterima melalui panggilan telefon itu, mangsa akhirnya membuat aduan kepada polis pada 18 Mac lalu dan mengaku gagal membuat bayaran balik disebabkan dikenakan kadar bunga pinjaman terlalu tinggi.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak, berkata pihaknya menjalankan siasatan bagi mengesan pelakunya berikutan aduan dibuat mangsa,

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Risikan/Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Wangsa Maju menyerbu sebuah premis perniagaan di Bandar Bukit Jalil, semalam.

    “Dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang, polis menahan empat lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 25 tahun yang berperanan sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Menerusi serbuan itu juga, katanya, polis merampas 13 telefon bimbit serta sembilan kad bank yang digunakan dalam menjalankan kegiatan sindiket ah long.

    “Siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi sejak tiga hingga empat bulan lalu di sekitar ibu negara. Empat ahli sindiket yang ditahan bekerja dengan tawaran gaji antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.

    “Mereka direman hingga 31 Mac ini untuk siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang kerana menjalankan aktiviti pinjaman tanpa lesen dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ancaman atau ugutan jenayah,” katanya.

  • MRA sasar agih sejuta roti sehari di Afghanistan sepanjang Ramadan ini

    MRA sasar agih sejuta roti sehari di Afghanistan sepanjang Ramadan ini

    SEBANYAK satu juta roti akan diagihkan oleh Malaysian Rilef Agensi (MRA) setiap hari kepada 3,300 keluarga yang memerlukan dalam misi kemanusiaan di enam daerah di Afghanistan, sepanjang bulan Ramadan ini.

    Menurut presidennya, Dr. Mohd. Daud Sulaiman, misi kemanusiaan itu adalah untuk meneruskan Kempen Infaq Kasih Ramadan tahun lalu, dan mereka menghantar dua wakil ke Afghanistan bagi menjayakan misi berkenaan.

    Dua wakil yang dihantar iaitu Timbalan Presiden MRA, Khairil Annuar Khalid, dan wakil MRA Selangor, Ahmad Ammar Ahmad telah berlepas dari Malaysia ke Islamabad sejak 27 Mac lalu.

    “Di dalam masa yang sama MRA juga meneruskan projek yang sama di negara bergolak Yaman, dengan mengagihkan 12,000 keping roti setiap hari di enam daerah.

    “Jumlah nilai agihan yang disasarkan kepada kedua-dua negara ini ialah sebanyak RM1.5 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam pada itu katanya, misi menggerakkan bantuan MRA di Afghanistan bermula pada bulan Ramadhan ini akan diteruskan dengan pembukaan pejabat satelit MRA di Kabul dan seterusnya merangka projek bersifat jangka sederhana dan jangka panjang bagi membantu penduduk yang memerlukan di sana.

    Tahun lalu, MRA telah menyalurkan sumbangan bernilai RM2.2 juta melibatkan pek makanan asas, pek iftar dan sahur, serta pek Syawal yang memfokuskan golongan miskin, anak yatim, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal serta komuniti B40 di bandar dan kawasan luar bandar di Malaysia.

    “Bantuan tidak hanya tertumpu di Malaysia, malah di beberapa buah negara bergolak seperti Palestin, Yaman, Afghanistan dan Syria.

    “Anggaran lebih daripada 108,625 orang telah berjaya disantuni melalui Kempen Infaq Kasih Ramadhan tahun lalu. Secara keseluruhan, sebanyak 8,641 pek makanan asas, 55,416 pek iftar dan sahur, 404 pek Syawal serta 9,120 pek tenaga dan pek kebersihan telah diedarkan di seluruh Malaysia serta beberapa buah negara luar,” katanya.

    Sementara itu, Mohd. Daud turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada penderma bagi menjayakan program mereka dan berjanji akan terus komited dalam menghulurkan misi bantuan kemanusiaan sepanjang Ramadan dan Syawal tahun ini.

    “MRA amat berbesar hati menerima lebih banyak rakan kolaborasi dan sumbangan orang ramai dalam membantu mereka yang memerlukan dalam menyambut bulan yang penuh barakah ini. MRA merayu kepada orang ramai untuk bersama-sama membantu dengan menyumbang ke akaun Malaysian Relief Agency – Maybank 5640 9820 6365.

    “Untuk maklumat lanjut mengenai program yang dijalankan MRA, orang ramai boleh menghubungi talian 03-91744672 atau layari laman web rasmi MRA di www.mra.my dan ikuti perkembangan terkini MRA melalui media sosial MRA di Facebook , Instagram, Twitter dan Youtube,” katanya.

  • Adik jumpa mayat abang terbaring di tepi sungai

    Adik jumpa mayat abang terbaring di tepi sungai

    MISTERI kehilangan seorang pemuda yang tidak pulang ke rumah akhirnya terjawab setelah dia ditemukan mati di tepi sungai di Kampung Tanjung Pagar, Dungun, semalam.

    Mayat Mohd Shafeqal Mohd. Fadli, 31, yang tinggal di kawasan Perumahan Bukit Tebuk ditemukan adiknya pada pukul 12 tengahari.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, sebelum kejadian, mangsa dikatakan keluar dari rumah pada pukul 12 tengahari, 26 Mac lalu.

    Katanya, selepas tidak pulang sepanjang hari itu, adik mangsa yang berusia 25 tahun itu dikatakan bertindak mencari mangsa.

    “Adik mangsa telah menjumpai motosikal milik abangnya berada di tepi sungai berkenaan, namun gagal menemui mangsa.

    “Lalu, keluarga mangsa terus menyambung pencarian dan sekali lagi pergi ke sungai tersebut dua hari selepas itu sebelum menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring,” katanya.

    Baharudin berkata, berdasarkan siasatan polis percaya mangsa lemas ketika mandi di kawasan tepi sungai tersebut.

    “Mungkin pada hari pertama pencarian, ahli keluarganya gagal menemui mangsa disebabkan air sungai ketika itu pasang besar.

    “Polis yang menerima laporan bergegas ke lokasi kejadian dan siasatan polis tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudianya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengkebumian.

  • Skandal 1MDB: Isteri pegawai bank Goldman beri keterangan

    Skandal 1MDB: Isteri pegawai bank Goldman beri keterangan

    ISTERI kepada bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng, memberi keterangan terhadap suaminya pada perbicaraan bela diri di New York, Amerika Syarikat (AS) berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Perbicaraan itu membabitkan penyelewengan ratusan juta dolar daripada dana 1MDB antara 2009 dan 2014.

    Berita Harian memetik laporan Reuters memaklumkan, Ng adalah bekas ketua pegawai Goldsman di Malaysia yang didakwa atas konspirasi penyelewengan wang dan pelanggaran undang-undang anti-rasuah.

    Pihak pendakwaan berkata, beliau membantu bekas majikannya Tim Leissner, menggelapkan wang daripada 1MDB, mencuci hasil dana dan memberi rasuah kepada pegawai bertujuan mendapatkan perniagaan untuk Goldman.

    Ng, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

    Beliau berhujah, bahawa AS$35 juta yang diterima daripada Leissner adalah hasil perniagaan usaha sama antara kedua-dua isteri mereka.

    Pihak pendakwaan bagaimanapun, menyatakan bahawa wang berkenaan adalah sogokan daripada skim berkenaan.

    Semalam, isteri Ng, Hwee Bin Lim, memberi keterangan bahawa selepas Ng mula bekerja untuk Leissner pada pertengahan tahun 2000, beliau melabur sebanyak 48 juta Yuan, iaitu kira-kira AS$6 juta pada waktu itu ke dalam sebuah syarikat China yang dimiliki oleh isteri Leissner, Judy Chan.

    Bin Lim memberi keterangan itu pada perbicaraan bela diri memasuki hari kedua, yang bermula awal Februari lalu.

    Bin Lim berkata, beliau dan Judy Chan, bagaimanapun bertengkar pada 2011 dan mengarahkan beliau melupuskan sahamnya yang sudah melonjak.

    Pada 2012, Judy Chan memberitahunya beliau sudah bersedia memindahkan AS$26 juta.

    Ketika disoal oleh peguam Ng, Marc Agnifilo, sama ada wang yang akan dihantar oleh Judy Chan kepada beliau datang daripada 1MDB, Bin Lim menjawab, ‘tidak sama sekali’.

    “Wang itu datang daripada Judy Chan dan keluarganya,” katanya.

    Peguam Judy Chan bagaimanapun, tidak memberikan sebarang respon ketika diminta memberikan komen.

    Pada 2018, Leissner mengaku bersalah atas pertuduhan sama dan memberi keterangan Februari lalu bahawa pelaburan yang dilakukan oleh Bin Lim ke dalam perniagaan Judy Chan hanyalah suatu rekaan untuk menjelaskan mengenai bayaran sogokan.

    Ia bertujuan supaya pihak bank yang memproses dana berkenaan tidak menjadi curiga.

    Pertuduhan itu adalah satu daripada skandal kewangan terbesar dalam sejarah, di mana pihak pendakwaan menyatakan AS$4.5 bilion daripada AS$6.5 bilion diraih daripada 1MDB disalurkan kepada pegawai kerajaan, pegawai bank dan juga sekutu mereka menerusi pemberian rasuah dan sogokan.

    Pada 2020, Goldman membayar denda hampir AS$3 billion dan mengaturkan supaya unit mereka di Malaysia mengaku bersalah di Mahkamah AS.

  • Suspek samun warga emas ditahan

    Suspek samun warga emas ditahan

    POLIS menahan dua lelaki yang dipercayai melakukan samun bersenjata ke atas seorang wanita warga emas berusia 77 tahun di Kampung Konggo, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, suspek pertama, yang juga seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan sehari selepas kejadian, pukul 12.15 pagi.

    Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek pertama, membawa penahanan suspek kedua iaitu seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun, pada pukul 11 pagi semalam.

    “Kedua-dua suspek ditahan di rumah masing-masing, yang terletak di sekitar Lembah Klang. Semakan mendapati kedua-dua suspek, masing-masing mempunyai 18 rekod jenayah lampau.

    “Menerusi tangkapan ke atas suspek kedua, kita merampas barangan yang dipercayai digunakan semasa melakukan samun serta wang tunai RM5,300,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, suspek pertama kini direman enam hari bermula 27 Mac hingga 1 April ini, manakala suspek kedua direman tujuh hari bermula hari ini hingga 4 April.

    Muhammad Idzam berkata, berikutan penahanan kedua-dua suspek, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes samun dengan dua kes berlaku di daerah Cheras dan empat lagi kes di daerah Dang Wangi.

    Dalam kejadian samun Sabtu lalu, seorang wanita warga emas berusia 77 tahun kerugian kira-kira RM25,000 selepas penyamun bersenjatakan parang melarikan dua rantai leher serta dua gelang tangan yang dipakai mangsa.

    Kejadian pukul 9 pagi itu berlaku di hadapan rumah anak mangsa ketika mangsa bersama-sama seorang anak perempuannya mahu keluar makan.

    Selain merentap rantai leher dipakai mangsa, suspek juga memotong rantai tangan dipakai mangsa dengan menggunakan gunting pemotong sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

    Kejadian itu berjaya dirakam orang awam yang kemudian menularkannya di media sosial.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 akta sama. 

  • APMM lupus 330,000 batang rokok seludup bernilai lebih RM219,000

    APMM lupus 330,000 batang rokok seludup bernilai lebih RM219,000

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu melupuskan sebanyak 330,000 batang rokok seludup dengan nilai duti eksais berjumlah RM132,000 hari ini.

    Bahan tembakau yang diisi dalam 16,500 kotak rokok seberat 330 kilogram dengan anggaran nilai kasar keseluruhan sebanyak lebih RM219,000 itu dirampas di kawasan pantai Pulau Karah berhampiran Pulau Bidong, Kuala Nerus pada Ogos tahun lalu, lapor Harian Metro.

    Menurut Pengarah APMM Terengganu, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli, proses melupuskan barangan tidak bercukai itu dilakukan dengan kaedah menghancurkan setiap batang rokok dengan menggunakan mesin pengisar.

    Menurut beliau, sisa pelupusan akan dibuang di tapak pelupusan sampah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Kampung Sungai Ikan di Kuala Nerus dengan disaksikan pegawai penyaksi pelupusan.

    Beliau berkata, proses pelupusan dilakukan di pekarangan Pejabat APMM Kuala Terengganu selama tiga jam bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari ini.

    Katanya, rampasan rokok berkenaan dibuat selepas pihaknya menerima aduan berikutan penemuan longgokan kotak rokok yang dipercayai diseludup di atas pasir di kawasan pantai pulau berkenaan kira-kira 1.5 batu nautika dari Pulau Bidong.

  • Pegawai JPJ, isteri antara tiga direman terima sogokan

    Pegawai JPJ, isteri antara tiga direman terima sogokan

    SEORANG pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, isterinya dan seorang lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima sogokan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Perintah reman pegawai JPJ dan isterinya yang masing-masing berusia 38 tahun serta seorang lagi lelaki, 28, dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Syed Farid Syed Ali pada Selasa.

    Permohonan reman dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Mohd. Khairi Abdul Karim, Sinar Harian melaporkan hari ini.

    Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan dalam Ops Kargo dilakukan Pusat Operasi Perisikan (POP) Zon Tengah, Bahagian Perisikan Ibu Pejabat SPRM pada 22 Mac lalu.

    Difahamkan, pegawai JPJ berkenaan disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM300 hingga RM2,500 sebulan daripada pemilik syarikat dan individu melalui orang tengah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Isteri pegawai JPJ terbabit serta lelaki berusia 28 tahun itu pula disyaki turut terlibat.

    Perbuatan itu dilakukan pada tahun 2016 hingga tahun 2021 dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

  • VTL Pulau Pinang-Singapura; 6 dikesan positif Covid-19

    VTL Pulau Pinang-Singapura; 6 dikesan positif Covid-19

    SERAMAI enam individu dikesan positif Covid-19 ketika tiba di Pulau Pinang menerusi Laluan Perjalanan Vaksinasi Udara Pulau Pinang-Singapura (VTL) sepanjang 16 Mac hingga 27 Mac lalu.

    Mereka merupakan sebahagian daripada 5,400 penumpang yang menggunakan kemudahan itu sepanjang tempoh tersebut iaitu masing-masing seramai 2,600 orang yang tiba di Pulau Pinang serta 2,800 orang yang terbang ke Singapura.

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, mereka yang didapati positif Covid-19 itu bagaimanapun telah menjalani kuarantin di rumah sebaik sahaja dikesan positif wabak berkenaan.

    “Sementara itu, jumlah penerbangan yang direkodkan dalam tempoh yang sama adalah sebanyak 21 penerbangan.

    “Disebabkan pintu sempadan negara akan dibuka bermul 1 April ini, maka program VTL ini tidak lagi relevan dan orang ramai yang ingin memasuki Pulau Pinang perlu menggunakan prosedur yang ditetapkan dan berlainan daripada VTL,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sebelum ini mengumumkan pelaksanaan inisiatif VTL antara Pulau Pinang dan Singapura bermula 16 Mac lalu bagi membolehkan pengembara yang lengkap divaksinasi berkunjung ke kedua-dua negara.

    Mereka yang terlibat boleh menggunakan syarikat penerbangan yang mengambil bahagian dalam program itu malah tidak dikenakan kuarantin ketika ketibaan.

    Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang dijangka menerima pertambangan jumlah pelancong asing secara berperingkat selepas pembukaan sempadan negara 1 April ini.

    “Kita jangka mereka akan datang secara berperingkat dalam tempoh beberapa minggu selepas sempadan negara dibuka,” katanya.