Author: Admin

  • 15 kedai musnah dalam kebakaran

    15 kedai musnah dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KIRA-KIRA 15 kedai di Pasar Yong Peng Sdn Bhd, Yong Peng, Batu Pahat musnah dalam satu kebakaran pada pukul 2.20 pagi.

    Orang awam yang menyedari kejadian tersebut menghubungi pihak bomba pada jam 2.29 pagi sebelum 17 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusof berkata, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku kerana semasa kejadian bangunan itu kosong.

    “Kebakaran melibatkan 15 lot kedai penjaja kecil berkeluasan 15 X 51 meter dalam bangunan pasar basah struktur separuh kekal yang berkeluasan keseluruhan 22 x 51 meter.

    “Kebakaran memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan bangunan. Kebakaran turut melibatkan sebuah motosikal Suzuki RG, memusnahkan 95 peratus kenderaan.

    “Kebakaran tidak melibatkan mangsa dan kerja-kerja ‘overhaul’ sedang dijalankan di tempat kejadian. Operasi tamat pada pukul 9.05 pagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

    Sementara itu, insiden tersebut turur menarik perhatian Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Dr. Wee Ka Siong yang turut memuat naik beberapa foto kejadian berkenaan dalam Facebook miliknya.

    “Kebakaran berlaku di Pasar Awam Jalan Templer, Yong Peng kira-kira pukul 2.30 pagi tadi. Saya kini berada di Desaru untuk menghadiri Majlis Perasmian Terminal Feri Desaru di Desaru Coast Ferry Terminal yang akan disempurnakan oleh DYMM Tuanku Sultan Johor pada pagi ini.

    “Seawal pukul 6 pagi, saya menghubungi YB Ling Tian Soon, Exco Kerajaan Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng yang berada di tempat kejadian,” tulisnya dalam entri berkenaan.

    Anggota bomba memadamkan kebakaran melibatkan 15 lot kedai yang musnah sehingga 95 peratus

    Katanya, laporan awal mendapati 70 peratus daripada bangunan pasar musnah dan seramai 17 pemilik gerai terjejas.

    Beliau yang juga Menteri Pengangkutan bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan berlaku.

    “Selaku Ahli Parlimen Ayer Hitam, saya telah memaklumkan kepada YB Ling Tian Soon untuk memberikan bantuan segera RM1,000 daripada saya

    kepada setiap pemilik gerai di samping menunggu laporan lengkap dari pihak bomba dan polis.

    “Kami berdua akan melakukan yang terbaik untuk membantu semua mangsa kebakaran. Saya bersama-sama dengan ADUN Yong Peng akan berbincang dengan pihak Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) serta mencari kaedah terbaik untuk membina semula pasar yang terbakar,” katanya.

  • Sanggup terima upah RM50 bawa masuk PATI

    Sanggup terima upah RM50 bawa masuk PATI

    HANYA kerana upah RM50, tiga lelaki termasuk seorang lelaki yang menghampiri usia warga emas sanggup bersekongkol dengan sindiket pendatang asing tanpa izin (PATI).

    Bagaimanapun cubaan pertama kali lelaki berusia 58 tahun itu tidak berhasil apabila diberkas sepasukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Banting – Sepang, Morib, Kuala Langat, semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, menerusi Ops Nyah 1 pada pukul 6 pagi itu turut menahan dua warga asing berusia 42 dan 52 tahun.

    Katanya, siasatan mendapati tiga suspek yang baru pertama kali terlibat dengan sindiket ini berperanan sebagai tekong darat atau transporter bagi menghantar PATI ke lokasi yang ditetapkan dengan upah RM50 bagi setiap PATI yang dibawa.

    “Suspek juga dipercayai melakukan kerja (transporter) itu secara sambilan.

    “Operasi bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ini kemudian berjaya menemui 13 PATI berusia 25 hingga 53 terdiri daripada enam lelaki dan tujuh wanita yang sedang menyorok di kawasan semak di lokasi terbabit,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, kesemua PATI itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan didapati masuk ke negara ini melalui jalan laut.

    Menurutnya, soal siasat PATI terbabit membayar RM3,000 hingga RM4,500 setiap seorang kepada ejen sindiket untuk masuk ke Malaysia.

    “PATI ini kemudian akan diambil oleh tekong darat terbabit dan dipercayai akan dihantar ke Desa Petaling, Kuala Lumpur,” katanya.

    Pihaknya telah merampas dua buah kenderaan dan tiga telefon bimbit untuk tindakan lanjut.

    Tegasnya, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963.

    Justeru, masyarakat diseru agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

  • Prasarana siasat insiden kakitangan didakwa pukul pencuri

    Prasarana siasat insiden kakitangan didakwa pukul pencuri

    SIASATAN dalaman sedang dilakukan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berhubung video tular memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam syarikat itu memukul orang awam di sebuah kedai serbaneka semalam.

    Memetik laporan Malaysiakini, Prasarana dalam kenyataan media memaklumkan pihaknya masih mengenal pasti tarikh, masa dan lokasi kejadian.

    “Kami memandang serius dakwaan bahawa si pemukul adalah kakitangan Prasarana berdasarkan pakaian seragam yang dipakai dalam video berkenaan.

    “Dipercayai kejadian berlaku apabila mangsa ditangkap dan dituduh mengambil makanan tanpa membayar di kedai serbaneka tersebut.

    “Bagaimanapun, tingkah laku si pemukul adalah bertentangan dengan kod etika kerja Prasarana. Dalam apa jua situasi, sekiranya memerlukan bantuan lanjut, ia sepatutnya dipanjangkan kepada pihak berkuasa,” jelas Prasarana dalam kenyataan media tersebut.

    Klip video pendek kejadian itu mula tular di media sosial petang semalam, menunjukkan dua lelaki – salah seorangnya memakai seragam polis bantuan yang tertera logo Prasana- memarahi seorang individu kerana didakwa mencuri dua cawan mi segera di sebuah kedai serbaneka.

    Dalam rakaman itu, salah seorang lelaki berpakaian seragam merah bertulisan “www.myrapid.com.my” turut meminta individu tersebut membayar dua cawan mi segera itu sebelum memukulnya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya dalam satu kenyataan berkata, pihak polis telah mula mengesan individu yang terlibat selepas klip video itu tular di media sosial semalam.

    Katanya, pihaknya telah merekodkan keterangan daripada empat saksi setakat ini dan memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

    “Pihak polis memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang,” katanya.

  • Pakar feng shui beri Leissner amaran karma buruk 1MDB

    Pakar feng shui beri Leissner amaran karma buruk 1MDB

    ISTERI bekas pegawai bank Goldman Sachs yang dibicarakan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu juri di mahkamah Amerika Syarikat bahawa seorang pakar feng shui memberi amaran kepada bos suaminya tentang ‘karma buruk’ – tilikan yang nampaknya menjadi kenyataan.

    FMT yang memetik Bloomberg melaporkan, isteri Roger Ng, Lim Hwee Bin, memberi keterangan bagi pihak suaminya semalam pada perbicaraan Roger yang berdepan tuduhan konspirasi berkait penyelewengan dana 1MDB.

    Hwee Bin memberitahu juri bahawa beliau dan suaminya mengatur bacaan fengshui dengan ‘Master Pang’ untuk bos Roger, Tim Leissner, pada 2015 dan 2016.

    Leissner, yang mengaku bersalah dan kini bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam kes terhadap Roger, memberi keterangan bahawa pakar tersebut memberitahunya, seorang ‘perempuan’ akan ‘membantunya pada masa hadapan’.

    Katanya, apabila dia bertemu dengan Hwee Bin dan Roger untuk membincangkan salah satu bacaan feng shui itu, ketiga-tiga mereka bersetuju untuk memberitahu pihak berkuasa ‘cerita rekaan’ bagi menjelaskan sogokan AS$35 juta untuk Roger.

    Walau bagaimanapun, Hwee Bin semalam memberitahu panel persekutuan di Brooklyn, New York, bahawa wanita berkenaan adalah anak perempuan Leissner.

    Pertemuan itu hanya untuk membincangkan bacaan feng shui, katanya.

    Feng shui adalah amalan lazim dalam masyarakat Cina di Asia dan digunakan untuk membaca tanda-tanda dan aliran tenaga yang baik mahupun buruk.

    Hwee Bin memberitahu juri, beliau dan suaminya menerima nasihat pakar feng shui tersebut setiap tahun menjelang Tahun Baharu dan setiap kali mereka mencari rumah atau pejabat baharu.

    “Jangan undang karma buruk,” beritahu Pang kepada Leissner, menurut keterangan Hwee Bin.

    “Sebarang perkara buruk yang akan terjadi akan datang dari mulut kamu sendiri.”

  • ‘Malu Apa Bossku’ umpama senjata biokimia, hina masyarakat – Lee Kim Yew

    ‘Malu Apa Bossku’ umpama senjata biokimia, hina masyarakat – Lee Kim Yew

    TAIKUN, Lee Kim Yew, sekali lagi mengkritik slogan ‘Malu Apa Bossku’ yang digunakan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sambil menyifatkan ia ibarat ‘senjata biokimia’.

    Memetik laporan FMT, dalam surat keduanya kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, Kim Yew berkata, slogan berkenaan adalah ‘penghinaan’ kepada masyarakat.

    Beliau turut memuat naik suratnya itu dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Kandungan surat itu antara lain berkata, kempen ‘Malu Apa Bossku’ adalah seperti ‘senjata biokimia’ selain menggambarkan ia sebagai ‘virus korona menjangkiti minda anak muda dan orang tua’.

    Sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac lalu, Kim Yew yang berkempen bersama Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, slogan ‘Malu Apa Bossku’ adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan menggesa SPR menghentikan penggunaannya.

    Beliau turut mempersoalkan bagaimana Najib masih dibenarkan berkempen di PRN Johor walaupun sudah disabit bersalah dalam kes SRC International.

    Najib ketika ini sedang merayu bagi membatalkan sabitan itu.

    “Rasa malu adalah elemen asas dalam moral kita, namun bagi yang tidak ada rasa malu ia adalah penghinaan paling teruk yang mencemarkan kepercayaan manusia.

    “Tindakan mempromosikan kempen ‘Malu Apa Bossku’ atau menguar-uarkan secara terbuka adalah satu bentuk penghinaan kepada masyarakat kita,” kata Pengerusi Eksekutif Country Heights tersebut.

    Kim Yew menyarankan masyarakat menentang ‘Malu Apa Bossku’, selain berkata, beliau sudah mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja membabitkan perkara itu.

  • Dadah: Ketua jurumasak terlepas hukuman penjara seumur hidup

    Dadah: Ketua jurumasak terlepas hukuman penjara seumur hidup

    SEORANG ketua jurumasak berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengedar kanabis.

    Noel Harry Hungan, 34, bagaimanapun perlu menjalani hukuman penjara 15 tahun dari tarikh tangkapan pada 10 Mei 2016 dan dikenakan 10 sebatan selepas Mahkamah Rayuan menggantikan pertuduhan pertama daripada mengedar 2,811 gram kanabis kepada pertuduhan memiliki.

    Warga Sabah itu yang bekerja di sebuah restoran makanan barat, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan kedua iaitu mengedar 3,768 kanabis.

    Keputusan itu disampaikan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk P. Ravinthran dan Datuk Abu Bakar Jais yang membenarkan rayuan Noel Harry untuk mengetepikan sabitan atas mengedar dadah dan hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhi Mahkamah Tinggi.

    Noel didakwa mengedar kanabis itu masing-masing pada 10 dan 11 Mei 2016 di Pejabat Pos Kota Kinabalu dan kawasan Kargo AirAsia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

    Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 29 Mac 2018 mensabitkan Noel atas dua kesalahan mengedar kanabis dan dikenakan penjara seumur hidup serta 15 sebatan bagi setiap pertuduhan menyebabkan dia mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan. 

    Di bawah pindaan Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang berkuat kuasa pada 15 Mac 2018, individu yang didapati bersalah melakukan kesalahan mengedar dadah hendaklah dihukum mati atau penjara seumur hidup dan boleh dihukum sebat tidak kurang daripada 15 sebatan jika dia tidak dijatuhkan hukuman mati.

    Mahkamah Rayuan juga menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman penjara itu. Ia memohon supaya hukuman mati dikenakan terhadap Noel.

    Noel diwakili peguam Datuk Seri K. Rakhbir Singh manakala Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang mewakili pihak pendakwaan. – Bernama

  • Ahli perniagaan didakwa minta rasuah setengah juta

    Ahli perniagaan didakwa minta rasuah setengah juta

    SEORANG ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah hampir RM500,000, pada 10 tahun lalu.

    Low Khim Seong, 54, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didakwa meminta suapan RM500,000 daripada seorang peguam berpangkat Datuk sebagai dorongan untuk memberi keterangan palsu.

    Keterangan itu kelak akan memihak kepada peguam berkenaan dan seorang lagi lelaki yang terlibat dalam perbicaraan kes di Mahkamah Kuala Lumpur.

    Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa bersetuju menerima suapan berjumlah RM450,000 daripada peguam tersebut untuk tujuan sama.

    Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Petaling Jaya dan Dataran Mentari, Bandar Sunway, di sini pada 14, 16 serta 24 Mei 2012.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

    Kesalahan itu membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

    “Jumlah itu adalah munasabah kerana dia berdepan tiga pertuduhan yang serius selain memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah hingga kes selesai.

    ‘Pendakwaan juga memohon agar dia dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

    Bagaimanapun, peguam, Datuk Geethan Ram Vincent merayu, agar mahkamah dapat memberi kadar ikat jamin yang lebih munasabah memandangkan anak guamnya perlu menyara isteri dan anak-anak.

    “Kami akur dengan syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan namun memohon agar penyerahan pasport dapat dibuat pada 20 Mei depan.

    “Ini kerana anak guam saya perlu menemani ibunya ke China untuk menjalani pembedahan,” katanya.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin.

    “Tertuduh juga dikehendaki memenuhi syarat-syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan namun mahkamah menolak permohonan pasukan pembelaan berhubung tarikh serahan pasport tersebut,” katanya.

    Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mei depan untuk serahan dokumen.

  • Elak bazir makanan, jadikan Ramadan lebih bermakna

    Elak bazir makanan, jadikan Ramadan lebih bermakna

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru umat Islam menjadikan Ramadan tahun ini lebih bermakna dengan mengelak daripada membazir makanan.

    Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya setiap kali Ramadan sejak 10 tahun lalu menjalankan kempen menentang pembaziran yang dilarang oleh Islam dan agama lain.

    Jelas beliau, Ramadan sepatutnya menjadi bulan beribadat bagi umat Islam, namun bagi sesetengah orang ia menjadi bulan untuk menjamu selera dan membazir dalam perbelanjaan.

    “Islam menyuruh umatnya untuk mengelakkan sikap rakus, membazir dan boros, namun berlawanan dengan ajaran itu sesetengah orang makan dan minum begitu banyak sehingga menjadi malas dan mengabaikan kewajipan untuk melakukan solat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Hadir sama Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid.

    Mohideen (kanan) berkata, pihaknya setiap kali Ramadan sejak 10 tahun lalu menjalankan kempen menentang pembaziran yang dilarang oleh Islam dan agama lain.

    Menurut Mohideen, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaporkan pada 2016 yang mana setiap kali Ramadan, sebanyak 20,000 tan makanan dibuang terus ke dalam tong sampah.

    Katanya, jumlah makanan itu sebenarnya boleh memberi makanan kepada 180 juta orang yang memerlukan.

    Jelas beliau, membuang makanan merupakan satu dosa memandangkan ia menafikan makanan untuk mereka yang memerlukan dan generasi masa depan.

    “Perbuatan itu juga melenyapkan sumber dan menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar melalui pencemaran laut dan sungai serta melepaskan karbon dioksida yang menyebabkan pemanasan global,” katanya.

    Tambah Mohideen, salah satu tujuan berpuasa adalah untuk merasakan kelaparan yang dialami oleh golongan miskin dan terpinggir supaya umat Islam mempunyai sikap simpati kepada mereka.

    Ujarnya, berjuta-juta penduduk di Syria, Yaman, Iraq, Palestin, Myanmar, India, Ethiopia, Sudan Selatan, Pakistan dan Afghanistan sedang berhadapan dengan kebuluran, namun malangnya umat Islam di sini membuang begitu banyak makanan pada bulan yang suci.

    “Sehubungan itu, marilah kita berazam menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna dari segi kerohanian, mengelakkan daripada berbuka puasa di hotel dan sebagai ganti berbuka puasalah di rumah dan masjid bersama ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

  • UMNO, PAS tiada dalam kerajaan jika tanpa Bersatu

    UMNO, PAS tiada dalam kerajaan jika tanpa Bersatu

    UMNO dan PAS tidak akan berada dalam kerajaan yang dibentuk pada masa ini sekiranya tiada penyertaan Bersatu di dalamnya.

    Hakikat itu diingatkan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Memetik laporan Suara TV, beliau berharap semua pihak bergerak ke arah mewujudkan muafakat umat tanpa perlu menyalahkan satu sama lain.

    “Saya mengharapkan semua pihak, saya sebut semua pihak untuk bergerak ke arah mewujudkan muafakat umat tanpa kita menyalahkan satu sama lain. Itu lebih baik daripada kita meletakkan beban orang itu salah, orang ini salah.

    “Baik kita move forward ke depan ke mana untuk umat ini untuk kita satukan dan semua orang ada sumbangan kita harus akui.

    “Contohnya parti Bersatu, tanpa mereka keluar daripada Pakatan Harapan (PH) sama ada UMNO atau PAS tidak akan duduk dalam kerajaan,” katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pernah menyebut bahawa PAS menjadi punca usaha Muafakat Nasional (MN) tergendala sehingga hari ini.

    Walau bagaimanapun, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berpendirian tidak mahu menyalahkan pihak lain.

    “… jadi sumbangan dia (Bersatu) pun ada. Jadi semua pihak harus menghargai sumbangan-sumbangan yang ada bagi saya lebih baik kita tengok ke depan daripada kita menyalahkan satu sama lain akhirnya tidak ada jalan penyelesaian. Itu pandangan peribadi saya lah,” jelasnya.

  • ‘Kamu bukan bantu syarikat tetapi untuk kepentingan sendiri’ – Hakim

    ‘Kamu bukan bantu syarikat tetapi untuk kepentingan sendiri’ – Hakim

    PADAH menggunakan dokumen palsu bagi pelantikan sub kontraktor, seorang bekas pengurus syarikat pengangkutan dipenjara sehari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

    Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu ke atas Wan Kamarulbahri Wan Roslan, 38, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di syarikat tempatnya bekerja sebelum ini di Pelabuhan Klang, pada 26 Ogos 2019.

    Rozilah memerintahkan hukuman penjara sehari itu bermula hari ini dan tertuduh akan dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan, Wan Kamarulbahri dengan curangnya telah menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu surat permohonan syarikat Kay R Resources (M) Sdn Bhd bertarikh 20 Ogos 2019 untuk mendaftar sebagai sub kontraktor pengangkutan kepada FGV Transport Services Sdn Bhd bagi mengangkut minyak sawit dan baja, yang tertuduh ketahui, ia adalah satu dokumen palsu.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Rozilah mengingatkan tertuduh bahawa kesalahan lelaki itu adalah perkara yang serius.

    “Kamu kena tahu kesalahan yang kamu buat ini adalah serius. Kamu buat begini bukan untuk bantu syarikat tapi untuk kepentingan diri kamu sendiri,” katanya.

    Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Noor Azfar Noor Azmi memohon kepada mahkamah agar satu hukuman denda minimum dikenakan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh kesal serta insaf dengan kesalahan yang dilakukan.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kerana kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh. – Bernama