PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru umat Islam menjadikan Ramadan tahun ini lebih bermakna dengan mengelak daripada membazir makanan.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya setiap kali Ramadan sejak 10 tahun lalu menjalankan kempen menentang pembaziran yang dilarang oleh Islam dan agama lain.

Jelas beliau, Ramadan sepatutnya menjadi bulan beribadat bagi umat Islam, namun bagi sesetengah orang ia menjadi bulan untuk menjamu selera dan membazir dalam perbelanjaan.

“Islam menyuruh umatnya untuk mengelakkan sikap rakus, membazir dan boros, namun berlawanan dengan ajaran itu sesetengah orang makan dan minum begitu banyak sehingga menjadi malas dan mengabaikan kewajipan untuk melakukan solat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Hadir sama Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid.

Mohideen (kanan) berkata, pihaknya setiap kali Ramadan sejak 10 tahun lalu menjalankan kempen menentang pembaziran yang dilarang oleh Islam dan agama lain.

Menurut Mohideen, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaporkan pada 2016 yang mana setiap kali Ramadan, sebanyak 20,000 tan makanan dibuang terus ke dalam tong sampah.

Katanya, jumlah makanan itu sebenarnya boleh memberi makanan kepada 180 juta orang yang memerlukan.

Jelas beliau, membuang makanan merupakan satu dosa memandangkan ia menafikan makanan untuk mereka yang memerlukan dan generasi masa depan.

“Perbuatan itu juga melenyapkan sumber dan menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar melalui pencemaran laut dan sungai serta melepaskan karbon dioksida yang menyebabkan pemanasan global,” katanya.

Tambah Mohideen, salah satu tujuan berpuasa adalah untuk merasakan kelaparan yang dialami oleh golongan miskin dan terpinggir supaya umat Islam mempunyai sikap simpati kepada mereka.

Ujarnya, berjuta-juta penduduk di Syria, Yaman, Iraq, Palestin, Myanmar, India, Ethiopia, Sudan Selatan, Pakistan dan Afghanistan sedang berhadapan dengan kebuluran, namun malangnya umat Islam di sini membuang begitu banyak makanan pada bulan yang suci.

“Sehubungan itu, marilah kita berazam menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna dari segi kerohanian, mengelakkan daripada berbuka puasa di hotel dan sebagai ganti berbuka puasalah di rumah dan masjid bersama ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here