Author: Admin

  • Sepasang kekasih cuba rempuh polis, tembakan amaran dilepaskan

    Sepasang kekasih cuba rempuh polis, tembakan amaran dilepaskan

    POLIS terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran ke udara sebelum bertindak menahan sepasang kekasih selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas di sebuah stesen minyak di Gertak Chaber, di Tanah Merah, Kelantan semalam.

    Tembakan amaran terpaksa dilepaskan selepas pasangan kekasih berusia 20 dan 22 itu enggan memberhentikan kereta yang dinaiki walaupun telah diarahkan berbuat demikian menggunakan alat pembesar suara.

    Menurut Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman, semasa melakukan rondaan pada pukul 11 malam, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) telah melihat sebuah Perodua Myvi berada dalam keadaan mencurigakan di lorong belakang bangunan ECO berhampiran Jalan Humaira.

    Katanya, semasa mahu melakukan pemeriksaan, pemandu kereta berusia 20 tahun itu telah bertindak cuba merempuh anggota bertugas sehingga menyebabkan kerosakan pada pintu sebelah kiri kenderaan MPV, lapor Sinar Harian.

    Kerosakan pada pintu sebelah kiri kenderaan MPV polis selepas dirempuh kenderaan dipandu suspek.

    “Suspek kemudian melarikan diri dengan memecut laju Myvi yang dipandu sehingga melanggar beberapa kenderaan yang diletakkan di bahu jalan di jalan Hiburan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurut beliau, anggota polis telah mengarahkan menggunakan pembesar suara supaya suspek memberhentikan kenderaannya namun bertindak memecut laju.

    Beliau berkata, kereta Myvi itu bagaimanapun hilang kawalan sebaik sahaja tiba di Petronas Gertak Chaber.

    Wan Zulfikri berkata, anggota bertugas telah melepaskan satu das tembakan amaran ke udara dan berjaya menahan kedua-dua suspek.

  • Lans Koperal wanita didakwa miliki air ketum

    Lans Koperal wanita didakwa miliki air ketum

    SEORANG anggota polis wanita berpangkat Lans Koperal bersama empat rakannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret kota Bharu, Kelantan hari ini atas dua pertuduhan memiliki air ketum.

    Beliau yang juga merupakan ibu tunggal dua anak, Raja Rozalia Fadila Raja Mamat, 30, didakwa bersama rakan-rakannya iaitu Muhammad Faries Aizat Ruslan, 23, pekerja kedai kosmetik; Anis Nagiehah Muhammad Anggelan, 27, berniaga dalam talian; Bidah Napi, 30, jurujual dalam talian dan Wan Muhammad Alif Wan Suphrach @ Wan Yussoff, 20, yang bekerja sendiri.

    Memetik laporan Sinar Harian, kesemua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

    Mereka didakwa secara bersama-sama memiliki 1.5 liter cecair yang mengandungi racun jenis mytragynine tanpa sebarang kuasa atau kebenaran di sebuah rumah di Jalan Pasir Puteh, Kubang Kerian, Kota Bharu pada pukul 3.25 pagi, 7 April lalu.

    Pada pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki satu liter cecair yang mengandungi racun jenis mytragynine tanpa sebarang kuasa atau kebenaran di sebuah rumah pada masa, tarikh dan di lokasi sama.

    Sementara itu, Wan Muhammad Alif turut berdepan pertuduhan secara berasingan memiliki satu liter cecair mengandungi racun jenis mytragynine tanpa sebarang kuasa atau kebenaran di tempat letak kereta di belakang berek polis Kubang Kerian pada masa dan tarikh yang sama.

    Tertuduh berkenaan juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

    Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 30 (5) akta yang sama dan dibacakan mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda maksimum RM 10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nor Nadhirah Ismail.

    Sebelumnya, Nursyafiqa mencadangkan jaminan berjumlah RM8,000 bagi kesemua tertuduh kecuali Wan Muhammad Alif sebanyak RM14,000.

    Intan Nor Nadhirah mengemukakan rayuan terhadap semua anak guamnya agar jumlah jaminan itu dikurangkan.

    Mahkamah kemudian membenarkan Wan Muhammad Alif diikat jamin RM 7,500 dengan dua penjamin manakala yang lain RM 4,500 dengan seorang penjamin.

    Kes ditetapkan sebutan semula pada 13 Jun depan untuk serahan dokumen.

  • Bekas pengarah urusan kemuka tuntutan palsu RM8 juta ditahan

    Bekas pengarah urusan kemuka tuntutan palsu RM8 juta ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang bekas pengarah urusan sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah hampir RM8 juta.

    Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 59 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor, Johor Bahru pada pukul 11 pagi tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, ketika memegang jawatan pengarah urusan syarikat tersebut, suspek telah mengemukakan tuntutan berkenaan kepada sebuah syarikat lain bagi kerja-kerja melibatkan penggantian barangan IT pada tahun 2016.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Bagaimanapun, suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM.

  • KPDNHEP serbu stesen minyak seleweng minyak subsidi

    KPDNHEP serbu stesen minyak seleweng minyak subsidi

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah stesen minyak dipercayai melakukan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Klang.

    Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, serbuan tersebut dilakukan pada pukul 10 malam, 7 April lalu .

    “Ketika serbuan terdapat sebuah lori tangki sedang mengisi minyak diesel di dalam tangki simpanan di stesen minyak berkenaan.

    “Pemandu lori terbabit baru membuat pengisian minyak berjumlah RM250.

    “Hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori terbabit telah membuat bayaran berjumlah RM1,000 bagi pengisian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati dua kompartmen tangki simpanan mengandungi minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 5,000 liter.

    Menurutnya, minyak diesel, lori tangki, satu set dekoder rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan invois berserta dokumen perniagaan yang lain dari stesen minyak berkenaan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

    “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM74,862.50 dan lelaki tempatan berusia 60 tahun mengaku pemandu lori tersebut turut ditahan,” katanya.

    Pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut bermula daripada stesen minyak berkenaan sehinggalah ke peringkat pembeli.

    “Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan,” katanya.

  • PH boleh sahaja tukar PM kalau mahu – Mat Sabu

    PH boleh sahaja tukar PM kalau mahu – Mat Sabu

    PAKATAN Harapan (PH) boleh sahaja menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekiranya ia mahu berbuat demikian.

    Walau bagaimanapun, memetik laporan FMT, Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) berkata, PH tidak akan berbuat demikian.

    Menurut beliau, PH mematuhi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dengan parti pembangkang.

    “Sekarang kalau kami mahu Perdana Menteri ini pun boleh ditukar. ‘If we want’. Kami tak mahu, kami dah buat perjanjian MoU.

    “Jadi Perdana Menteri buatlah kebaikan untuk rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika membahaskan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dalam sidang khas Dewan Rakyat hari ini.

    Mohamad menambah, setakat ini, Ismail Sabri mengikut MoU yang telah dimeterai dengan pembangkang namun ia boleh ditambah baik dari semasa ke semasa.

    “(Lihat) bagaimana sikap terbuka pihak kami. Kalau kami mahu dengan majoriti sedikit di sana kita boleh tawar apa-apa jawatan pada mereka (kerajaan) datang sebelah sini. (Jadi) menteri pula aku.

    “Tetapi kita bukan jenis itu. Kalau dah tandatangan MOU, kita ikut. Perdana Menteri setakat ini Alhamdulillah lihat ikut setiap dengan MoU ini,” katanya.

    Pada 13 September tahun lalu, kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri telah melakar sejarah dengan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik bersama PH di bangunan Parlimen.

    MoU yang bertujuan membentuk satu kerjasama dwipartisan yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 hari yang sama.

    MoU yang terhasil dari beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang itu ditandatangani secara bersama oleh Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Turut menandatangani MoU itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

    Semua pihak khususnya rakyat menyambut baik inisiatif berkenaan bagi meredakan keadaan akibat gejala berpolitik tidak berkesudahan walaupun ketika negara dilanda krisis COVID-19.

    Mereka berharap kestabilan politik yang dihasilkan ekoran MoU tersebut akan menyumbang kepada proses pemulihan ekonomi dan mengembalikan kesejahteraan hidup rakyat yang terjejas.

  • Pindaan RUU lompat parti jangan jejas hak asasi rakyat – Tun M

    Pindaan RUU lompat parti jangan jejas hak asasi rakyat – Tun M

    RANG Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) berhubung anti lompat parti perlu dikaji secara lebih teliti agar tidak menjejaskan hak asasi rakyat, tegas Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Ahli Parlimen Langkawi berpandangan, pindaan tersebut disaran hanya melibatkan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Senator.

    “Ini adalah satu cabaran yang perlu dikaji dan saya bersetuju supaya dikaji dengan mendalam soal lompat (parti) ini dan juga pindaan Perlembagan kerana kalau dipinda begitu sahaja, mungkin hak asasi rakyat lain yang tidak terlibat dengan dewan ini akan kehilangan.

    “Inilah sebabnya kita patut percepatkan proses menggubal undang-undang yang sesuai dengan keadaan yang dihadapi oleh kita. Mungkin apa yang kita buat itu tidak begitu lengkap dan mungkin juga akan disalah gunakan seperti sekarang undang-undang kerap kali disalah gunakan.

    “Umpamanya, sementara kita jamin hak seseorang untuk mengadakan persatuan atau menyertai mana-mana persatuan, tetapi bagi kerajaan ada hak untuk tidak mendaftarkan kesatuan, dengan itu hak rakyat kehilangan. Perkara semacam ini perlu kita beri perhatian,” katanya pada Mesyuarat Khas Parlimen ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (no.3) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Satu Berita.

    Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan melompat parti dalam kalangan wakil rakyat menyebabkan negara menjadi tidak stabil dari segi politik dan pemerintahan.

    Tambah beliau, kedudukan seseorang Perdana Menteri itu juga didakwa tidak dapat dipastikan sama ada diiktiraf atau sebaliknya.

    “Ada negara-negara yang tidak iktiraf Perdana Menteri kita sebagai Perdana Menteri dan (tidak) memberi layanan yang sepatutnya.

    “Ini adalah oleh kerana kedudukan Perdana Menteri yang masuk dari pintu belakang ini tidak begitu diiktiraf oleh masyarakat. Ini menunjukkan Rang Undang-Undang Antilompat Parti perlu diadakan tetapi dia mestilah terhad khusus kepada ahli Dewan Rakyat, ADUN dan mungkin ahli Senat.

    “Kalau dihadkan kepada mereka sahaja dan pihak lain bebas untuk menukar parti, itu memelihara hak asasi mereka,” kata Dr. Mahathir lagi.

  • Doktor diperdaya hampir RM200,000

    Doktor diperdaya hampir RM200,000

    SEORANG doktor rugi hampir RM200,000 selepas diperdaya dengan tawaran kerja sambilan yang diiklankan dalam Facebook pada Jumaat lalu.

    Mangsa berusia 29 tahun sebelum itu berkenalan dengan seorang individu yang dikenalinya melalui laman sosial Instagram.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superitendan Aibee Abd Ghani, individu terbabit menawarkan satu pekerjaan sambilan secara digital marketing.

    “Mangsa yang berminat dengan pekerjaan itu telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang diuruskan oleh seorang lelaki.

    “Mangsa diberi satu tugasan untuk membuat pembelian barangan di laman web berkenaan serta dijanjikan komisen,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Aibee, tugasan pertama mangsa berjumlah RM99 telah dijanjikan komisen sebanyak 10 peratus daripada modal yang dibuat.

    “Selepas itu mangsa diminta membuat tugasan pembelian tujuh barangan lain yang melibatkan pindahan wang ke dalam akaun individu berbeza sebanyak RM173,888.74.

    “Mangsa dijanjikan menerima komisen ke atas pembelian barangan tersebut pada Ahad, namun rasa ditipu setelah diminta membuat pembayaran untuk perlindungan diri sebanyak RM74,872.41 bagi menebus modal dan komisen dijanjikan tersebut,” katanya.

    Sementara itu Aibee berkata, sebanyak 80 kertas siasatan berkaitan tawaran kerja sambilan tidak wujud dibuka dari Januari hingga Ahad yang melibatkan kerugian RM1,103,195.46.

  • Polis kesan sindiket bawa PATI guna MPV mewah

    Polis kesan sindiket bawa PATI guna MPV mewah

    POLIS mengesan satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah untuk membawa masuk dan keluar mereka melalui jalan tidak diwartakan.

    Pihak polis sudah mempunya maklumat berhubung modus operandi yang digunakan sindiket itu dan akan melalukan pemantauan serta berkongsi risikan bersama pasukan Cawangan Khas dan lain-lain Kontinjen.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, itu merupakan taktik terbaharu sindiket bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

    “Mereka ini dikesan mengambil kesempatan dan sudah tidak melalui laluan tikus. Mereka guna laluan gajah naik kereta mewah.

    “Ada sahaja ruang mereka akan lakukan penyeludupan masuk Pati, tetapi kita akan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui di Briged Tengah PGA, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.

    Terdahulu Hazani menyaksikan Majlis Perbarisan dan Serah Terima Tugas Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), Komander Briged Tengah PGA dan Komander Unit Tindakhas (UTK).

    Sementara itu, Hazani berkata, tangkapan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasukan khas lain terhadap Pati turut meningkat.

    “Minggu lalu berlaku peningkatan yang terbaru di Kelantan apabila kita menahan 13 warga Myanmar termasuk ‘transporter,’” katanya.

  • Usul Bentang RUU Antilompat Parti sebelum akhir Mei

    Usul Bentang RUU Antilompat Parti sebelum akhir Mei

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengusulkan supaya Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti dibentangkan di Parlimen sebelum akhir bulan depan.

    Menurut beliau, tujuannya bagi membolehkan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi punca kuasa bagi penggubalan RUU berkenaan yang dibentangkan hari ini, dapat dilakukan bersama dengan pembentangan RUU Antilompat Parti.

    “Kita usulkan supaya sesi berikutnya, harapannya selewat-lewatnya sebelum akhir Mei ini. Saya harap, Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dapat memberikan persetujuan.

    “Ini bagi membolehkan kita tahu pindaan ini berlaku khusus untuk memenuhi maksud kita dalam meminda atau mengadakan RUU ini, supaya Yang Berhormat akan mendapat kepastian yang dimaksudkan dengan pindaan ini, yang kita tahu adalah dengan menterjemahkannya dalam RUU Antilompat Parti ini.

    “Saya harap jawatankuasa berkenaan akan segera bermesyuarat dan mencari kesepakatan supaya dapat dibentang, dibahas dan diluluskan secepat mungkin,” katanya, lapor Berita Harian.

    Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian ketika membahaskan RUU Perlembagan (Pindaan) (No 3) 2022 pada mesyuarat khas Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur.

  • Wan Junaidi bentang RUU pinda Perkara 10 Perlembagaan 

    Wan Junaidi bentang RUU pinda Perkara 10 Perlembagaan 

    KERAJAAN hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 bagi menambah fasal 3A dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. 

    RUU itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebaik sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula jam 10 pagi tadi, lapor Satu Berita.

    “RUU yang akan saya bentangkan bertujuan meminda Perkara 10 dengan maksud memasukkan fasal 3A selepas fasal 3 bagi sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan c fasal 1 yang berhubung dengan keahlian dalam parti politik Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri boleh juga dikenakan oleh undang-undang persekutuan.

    “Pindaan ini turut memberi punca kuasa bagi membolehkan satu akta khsusunya berhubung larangan ahli dewan bertukar parti digubal dan diluluskan di Parlimen,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan hari ini.