Author: Admin

  • Che’ Puan Khaleeda sedia bela nasib, dapatkan keadilan buat Bella

    Che’ Puan Khaleeda sedia bela nasib, dapatkan keadilan buat Bella

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    NASIB dan penderitaan remaja orang kurang upaya (OKU) sindrom down dikenali sebagai Bella yang didakwa didera bukan sahaja mendapat perhatian orang ramai tetapi juga mencuri tumpuan isteri Tunku Mahkota Johor, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam.

    Che Puan Besar Khaleeda terharu dengan nasib dialami Bella dan sedia berjuang untuk mendapatkan keadilan sewajarnya untuk remaja itu.

    “Saya akan lakukan apa saja dengan kuasa yang saya ada bagi mendapatkan keadilan untuk Bella. Saya kecewa dan letih melihat si pengecut yang berfikir mereka boleh buat apa saja terhadap kanak-kanak teraniaya.

    “Kamu boleh bersembunyi di sebalik barisan peguam tetapi karma akan hadir pada waktunya di dunia ini dan akhirat,” tulisnya dalam Instagram miliknya.

    Che Puan Besar Khaleeda memuat naik kenyataan itu dipercayai sebagai membalas tindakan seorang peguam tertuduh iaitu pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang memuat naik sekeping gambar bersama-sama tertuduh dan barisan peguam yang membelanya.

    Beliau juga jelak dengan sang penakut yang beranggapan mereka boleh membuat sesuka hati terhadap kanak-kanak tanpa diketahui.

    Menerusi tinjauan yang dibuat di Instagram Che’ Puan Khaleeda, ternyata beliau sangat terkesan dengan nasib adik Bella yang kini dibawah jagaan pusat kebajikan kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Tanda pagar #justiceforbella menjadi trending sejak tularnya klip video adik Bella yang ditemui dalam keadaan menyayat hati terutamanya apabila remaja berkenaan mengalami kecederaan seperti melecur di tangan, dada, paha dan beberapa bahagian lain serta kesan luka lama di tubuhnya.

    Dia merupakan remaja istimewa Sindrom Down, tiada ibu dan bapa sejak ditemui dan dijadikan anak angkat di Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan di Wangsa Maju di ibu negara yang diasas dan diusahakan pengasas, Siti Bainun Abd Razali.

    Namun, kes ini sekali lagi mengundang kekecewaan dan kemarahan rakyat Malaysia apabila gambar Siti Bainun diwakili 10 peguam dimuat naik dalam media sosial.

    Persoalan yang sedang hangat diperkatakan, wajarkah Siti Bainun diwakili 10 peguam melawan seorang remaja (OKU)?

    Satu lagi persoalan yang berlegar dalam fikiran masyarakat sekarang, mengapa tidak 10 peguam yang membela kanak-kanak tersebut?

    Dalam pada itu, ramai juga yang terharu dan sebak apabila membaca kenyataan daripada YM Che’ Puan Khaleeda. Tidak kurang juga ada yang mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana sanggup bersama-sama membela nasib Bella.

    Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini antara Februari dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Bersatu dan PKR perlu bentuk ‘orde baru’ politik Malaysia

    Bersatu dan PKR perlu bentuk ‘orde baru’ politik Malaysia

    Oleh Mikail Firdaus

    APABILA Nurul Izzah Anwar mengakui bahawa PH memerlukan dua PRU lagi untuk menawan Putrajaya – itulah kenyataan dan hakikat sebenar realiti politik hari ini. BN memiliki banyak kelebihan untuk memenangi PRU-15 kerana gagalnya pembangkang bekerjasama untuk memastikan formula satu lawan satu tercapai.

    Menariknya, kenyataan Nurul Izzah itu dibuat hampir serentak dengan kemenangan tanpa bertanding bapanya, Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR. Pastinya, selain mahu menyedarkan pembangkang, tersembunyi maksud tersirat di sebalik kenyataan Nurul Izzah itu khususnya mengenai masa depan cita-cita politik Anwar sendiri.

    Hakikat pahit ini bukannya pemimpin pembangkang lain tidak sedar – ia sudah terbukti di PRN Melaka dan Johor yang menyaksikan pembangkang kalah teruk – cuma hanya Nurul Izzah yang berani bercakap benar dan tidak hanyut dalam halusinasi utopia politik yang tidak bertunjangkan perkiraan realistik semasa politik negara.

    Realitinya, jika pembangkang mahu melihat BN tumbang dalam PRU-15 tiada formula lain kecuali kerjasama. Hal ini sudah disebut banyak pihak dengan terbaru saranan penyatuan itu dibuat James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania yang mahu Bersatu dan PKR bergandingan.

    Lebih-lebih lagi masa sudah tidak banyak untuk parti-parti ini bertelagah dengan mengambil kira perkembangan terbaharu keputusan Majlis Tertinggi UMNO – yang terselit perangkap di sebalik muslihat apabila menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri untuk PRU-15.  

    Sebenarnya, andai Bersatu atau Perikatan Nasional (PN) dapat bergandingan dengan PKR ia bakal membentuk orde baru politik negara yang lebih segar – yang berupaya menyuntik rasa ghairah pengundi kerana ia merupakan gandingan di antara parti berteraskan bumiputera dengan sebuah parti multirasial.

    Kedua-dua parti ini mempunyai kekuatan tersendiri dengan Bersatu dan PN yang muncul sebagai parti kedua meraih undi popular tertinggi dalam PRN Johor pastinya mampu menarik sokongan daripada pengundi Melayu luar bandar, manakala PKR pula ada tarikannya ke atas pengundi bandar khususnya di kerusi-kerusi marginal.

    Kini, bola ada pada kaki PKR kerana pendirian Bersatu dan PN adalah jelas – iaitu perlunya kerjasama politik sesama parti pembangkang. Malah, usaha tersebut sudah pun digerakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk mengadakan pertemuan dengan Anwar. 

    Dalam hal ini, Bersatu, PN dan PKR harus menampilkan kebijaksanaan serta kematangan dalam membuat keputusan strategik dan bukannya terperangkap dalam sentimen kejatuhan kerajaan PH dahulu kerana dalam politik, tiada yang mustahil dan tiada musuh yang kekal.

    Nada positif calon Timbalan Presiden PKR, Saifuddin Nasution Ismail bahawa PKR terbuka untuk bekerjasama dengan parti yang bukan daripada komponen Pakatan Harapan (PH), walaupun tidak merujuk secara khusus kepada Bersatu, perlu segala disambut agar kemudiannya dapat dijadikan jambatan yang menghubungkan kedua-dua pihak.

    Mengenali Saifuddin pula, jarang dia mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan Anwar.  Selalunya, apa yang diluahkan itu adalah cernaaan kepada pemikiran, idealogi serta gerak-kerja yang direstui Anwar.

    Kepada kedua-dua parti, carilah titik persamaan ke arah penyatuan dan kerjasama politik yang progresif kerana sebagai sebuah parti yang dinamik, baik BERSATU, PN mahupun PKR – kesemua pemimpin serta ahli parti perlu melihat ke hadapan dan bukannya digari nostalgia kekecewaan.

    • Penulis adalah penganalisis politik. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Warta Rakyat.
  • Tubuh jawatankuasa perkenal dasar atasi masalah sosial belia

    Tubuh jawatankuasa perkenal dasar atasi masalah sosial belia

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mencadangkan satu jawatankuasa antara jabatan-jabatan berkaitan dapat ditubuhkan untuk mengkaji cara bagi membasmi dan mengelakkan masalah sosial dalam kalangan remaja yang disifarkan semakin serius ketika ini.

    Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, jawatankuasa itu bagi membolehkan Kerajaan Pusat memperkenalkan dasar-dasar yang sesuai untuk mengatasi masalah sosial dalam kalangan golongan belia terbabit.

    Ujar beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, data ketika ini menunjukkan masalah sosial dalam golongan belia seperti penagihan dadah dan terlibat dengan lumba haram semakin banyak dilaporkan.

    Jelas beliau, masalah sosial itu yang disifatkan seperti penyakit barah dapat memusnahkan keharmonian keluarga seterusnya menjejaskan pembangunan masa depan negara.

    “Peningkatan kes penagihan dadah dan perlumbaan haram dalam golongan belia harus dilihat sebagai satu masalah sosial, bukannya isu perkauman.

    “Maka, Kerajaan Pusat harus memandang serius masalah sosial ini dan kerjasama antara jabatan untuk mengatasinya harus disegerakan sebelum menjadi lebih mudarat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim menyeru kepada semua pihak terutamanya parti politik yang berteras Melayu supaya bersatu bagi mengatasi pelbagai masalah sosial yang melanda negara ini.

    Beliau berkata, perkara kebejatan sosial yang berlaku itu harus sama-sama difikirkan dan perlu tindakan segera terutama dalam kalangan pemimpin masyarakat dan pemimpin politik.

    Sehubungan itu kata beliau, 10 parti politik yang berteraskan Melayu di negara ini perlu bersatu dan menumpukan usaha memulihkan kembali sistem masyarakat di negara ini disulami dengan panduan agama serta adat.

    Sementara itu, Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata, kes masalah sosial yang melonjak tinggi itu turut menuntut setiap rakyat perlu bersatu padu dalam mengatasinya dan sama-sama menjadikan kehidupan di negara ini lebih baik.

  • Guru dikhuatiri lemas dihanyut arus sungai

    Guru dikhuatiri lemas dihanyut arus sungai

    SEORANG guru Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh, dikuatiri lemas selepas dihanyut arus sungai ketika memukat ikan di Pantai Kuala Baru, Mangkuk, Setiu pada pukul 12.45 tengah malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, mangsa Sugani Yasin, 51, melakukan aktiviti memukat bersama 15 orang rakan lain.

    Menurut beliau, bilik gerakan menerima satu laporan daripada orang awam di kawasan muara sungai Kuala Baru, Kampung Mangkuk.

    Katanya, seorang rakan mangsa menyatakan dia bersama 15 individu menaiki bot dari pantai Kampung Fikri bagi tujuan memukat ikan sekitar pukul 9 malam.

    Beliau berkata, kumpulan itu memilih lokasi kejadian untuk melabuhkan pukat dan apabila waktu menaikkan pukat, saksi menyatakan 11 individu turun menarik pukat.

    “Mangsa bersama tiga lagi rakan hanya berjalan di kawasan berkenaan kerana air sedang surut,” katanya, lapor Harian Metro.

    Bagaimanapun kata Afandi, tanpa disedari mangsa termasuk ke laluan air dalam, lalu tenggelam dihanyutkan arus.

    “Mangsa gagal diselamatkan oleh tiga rakan yang berada berdekatan.

    “Operasi mencari dan menyelamat dilakukan pada pukul 1.40 pagi dengan kekuatan 19 anggota dan pegawai polis, 13 anggota bomba dan penyelamat, 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam.

    Sementara itu, Ketua BBP Setiu, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Razli Rapiae berkata, operasi menyelamat turut dibantu BBP Kuala Terengganu dan Jerteh.

  • Tujuh askar Pakistan maut akibat serang hendap pengganas

    Tujuh askar Pakistan maut akibat serang hendap pengganas

    SERAMAI tujuh askar terkorban dalam serangan pengganas di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan, lapor agensi berita Xinhua.

    Menurut kenyataan Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan Tentera (ISPR), insiden berlaku pada Khamis apabila sekumpulan pengganas menyerang hendap konvoi tentera berhampiran sempadan Pakistan-Afghanistan di daerah Waziristan.

    Seramai empat pengganas turut terbunuh dalam kejadian itu. – Bernama

  • Muhyiddin calon PM ke-10 jika Bersatu menang PRU-15

    Muhyiddin calon PM ke-10 jika Bersatu menang PRU-15

    SEKIRANYA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diberikan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak, Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri ke-10.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) BERSATU, Datuk Razali Idris, berkata bekas Perdana Menteri kelapan itu merupakan calon paling layak untuk menyandang semula jawatan berkenaan.

    Katanya, Muhyiddin telah menonjolkan kemampuan beliau untuk mentadbir negara ketika memegang jawatan Perdana Menteri selama lebih 17 bulan bermula 29 Februari dua tahun lalu.

    “Bersatu akan mencadangkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri pada PRU akan datang kerana beliau meletakkan jawatannya bukannya ditolak rakyat, sebaliknya ditolak oleh 15 ahli parlimen terutama daripada Barisan Nasional (BN) diketuai Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi.

    “Muhyiddin akan dicadang sebagai calon Perdana Menteri kerana beliau adalah Presiden parti berbanding UMNO yang hanya mencadangkan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya pada media selepas program moreh bersama media, malam tadi, lapor Satu Berita.

    Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Ketengah Holdings Sdn Bhd (KHSB), Mohd. Zaid Sulaiman dan Timbalan Pengurus Besar Ketengah (Operasi), Ahmad Fakharuddin Ahmad.

    Razali yang merupakan Ketua Badan Pimpinan Bersatu berkata demikian ketika mengulas keputusa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencadang Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada PRU akan datang.

    Katanya, walaupun semua parti boleh mencadangkan pimpinan tertinggi sebagai calon Perdana Menteri, keputusan UMNO itu disifatkan janggal apabila hanya mencadangkan pemimpin yang berada di kedudukan ketiga dalam parti,

    “Rakyat kehairanan, mengapa pemimpin yang berjawatan nombor tiga dicadangkan, ke manakah perginya dan adakah pemimpin berjawatan nombor satu dan dua dalam parti itu tidak berkelayakan untuk dicalonkan,” katanya.

    Bagaimanpun, mengulas mengenai sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, Razali menegaskan Bersatu termasuk semua parti dalam Perikatan Nasional (PN) teguh dengan pendirian bagi memberi sokongan kepada Perdana Menteri hingga Parlimen dibubarkan.

    Katanya, semua pimpinan tertinggi parti dalam PN tidak bercadang untuk tumbangkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri seperti dilakukan 15 ahli parlimen BN ketika menjatuhkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ogos lalu.

    “Kita dan pemimpin parti dalam PN termasuk Pas akan terus memberi sokongan kepada Ismail Sabri sehinggalah beliau membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU diadakan,” katanya.

  • Lelaki mengamuk tetak isteri, ibu mertua dan dua adik ipar

    Lelaki mengamuk tetak isteri, ibu mertua dan dua adik ipar

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG wanita bersama ibu dan dua adiknya parah apabila ditetak suami dalam kejadian pada pukul 7.11 malam di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili di Kota Tinggi, kelmarin.

    Keempat-empat mereka kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi akibat tragedi yang berlaku ketika sedang menunggu waktu berbuka puasa.

    Polis kini sedang memburu suspek, Mohd. Adi Hashim, 38, yang beralamat di Felda Air Tawar 3 bagi membantu siasatan selepas dipercayai melarikan diri selepas kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, Pusat Kawalan Daerah Kota Tinggi menerima maklumat awam melalui panggilan MERS 999 berkenaan kes tersebut pada pukul 8.22 malam.

    “Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 7.11 malam, kelmarin yang secara tiba-tiba suspek telah mengamuk dan menetak empat mangsa yang berada dalam rumah menggunakan parang.

    “Kesemua mangsa iaitu isteri, ibu mertua dan dua adik iparnya mengalami kecederaan parah dan telah mendapat rawatan di Hospital Kota Tinggi,” katanya di sini, hari ini.

    Hussin berkata, punca kejadian tidak diketahui setakat ini dan masih dalam siasatan lanjut pihak polis.

    Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat terutama mengetahui lokasi suspek berada diminta menyalurkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Orang awam boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nurul Syafiqah Khalid di talian 019-5121568 atau menghubungi IPD Kota Tinggi di talian 07-8831222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

    Tambah Hussin, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan denda atau sebat.

  • Dua mangsa bot karam ditemukan lemas hari ini

    Dua mangsa bot karam ditemukan lemas hari ini

    DUA mangsa terakhir yang hilang akibat bot karam pada Khamis lalu, ditemui lemas di perairan Kampung Tandoan, pukul 7.50 pagi ini.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna mengambil mayat Noranis Harimalam, 14, dan seorang lagi dikenali sebagai Aiman, 6.

    Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, mangsa ditemui dalam keadaan bersama-sama oleh penduduk kampung di perairan Tandoan iaitu sekitar Pulau Timbu Mata.

    “Susulan penemuan kedua-dua mangsa menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang lemas seramai tujuh orang,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Dalam kejadian Khamis lalu, bot yang dinaiki 21 penumpang karam selepas dipukul ombak dan terbalik.

    Akibat kejadian itu, lima mangsa telah ditemui lemas manakala 14 lagi selamat dan dua dilaporkan hilang.

  • Pengumuman Ismail sebagai calon PM helah Umno untuk bubar Parlimen?

    Pengumuman Ismail sebagai calon PM helah Umno untuk bubar Parlimen?

    TEKA-teki mengenai calon Perdana Menteri daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) terjawab apabila parti itu sebulat suara mengumumkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘poster boy’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Bagaimanapun persoalan timbul apakah ini merupakan helah kluster mahkamah UMNO bagi mendapat persetujuan Ismail untuk membubarkan Parlimen?

    Memetik laporan MalaysiaNow, Felo Kanan Singapore Institute of International Affairs, Oh Ei Sun berpandangan pengumuman terbaru UMNO itu merupakan strategi untuk mempercepatkan tarikh PRU-15.

    “Ia tentunya satu kompromi yang dicapai antara fraksi perdana UMNO dengan Ismail Sabri, yang kini tiada lagi alasan untuk menangguhkan PRU-15. Dia kini berada dalam situasi ‘checkmate’,” katanya.

    Sebelum ini, antara nama yang disebut-sebut bakal menjadi calon perdana menteri BN ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang sebelum ini sudah pun menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen.

    Pengumuman itu juga menurut Oh, tidak bermakna Ismail berada dalam keadaan yang selesa.

    “Besar kemungkinan. Ada seribu satu sebab mengapa UMNO tidak perlu menjadikannya Perdana Menteri selepas parti itu menang, tambah-tambah jika mereka menang besar,” katanya.

    Oh merujuk kepada pelantikan mengejut Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor terbaharu menggantikan penyandang, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang digembar-gemburkan BN sebagai calon Menteri Besar mereka semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

    Sementara Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, pengumuman tersebut semenangnya usaha UMNO mempercepatkan tarikh PRU-15 namun tidak bermakna nasib Ismail bakal menjadi seperti Hasni di Johor.

    “Kebarangkalian nasib Ismail menjadi seperti Hasni, iaitu ditukar selepas menang masih tidak dapat ditentukan kerana kuasa akhir ialah  budi bicara Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Kartini Aboo Talib berkata dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, pengumuman itu menjadi strategi UMNO untuk meyakinkan rakyat yang semakin selesa terhadap kepimpinan Ismail yang juga ahli Parlimen Bera itu sebagai satu ‘tangkal’ untuk menarik pengundi.

    “Ismail Sabri akan disokong dan kemungkinan boleh mempertahankan kerusi Parlimen Bera atas dedikasi dan ketulusan mengurus negara dengan jayanya.

    “Cuma UMNO juga harus sedar bahawa perubahan trend lantikan PM tidak semestinya individu itu ialah presiden UMNO.

    “Pemilihan dibuat secara terbuka dan disokong majoriti Ahli Dewan dan dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong melalui Perkara 40 (2) (a) dan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Kartini juga tidak menganggap pengumuman UMNO itu sebagai satu helah untuk mengadakan PRU-15 lebih awal.

    UMNO dalam kenyataan pada Khamis juga membuat keputusan untuk tidak meneruskan memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH).

    Menurut Awang Azman, kedudukan MoU tersebut semakin rapuh selepas Ismail diumum menjadi calon Perdana Menteri.

    Oh pula berkata, dengan jangkaan tarikh PRU-15 yang semakin hampir, pembangkang dilihat tidak bersedia.

    “Gelombang pengundi sudah lama menolak mereka, dengan ramai pengundi kembali kepada BN dan ini tidak mungkin berubah melainkan ada skandal besar atau kesilapan daripada pihak kerajaan,” katanya.

    Nasib pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH) menurut Kartini, sudah pun tertulis dan disahkan oleh kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar baru-baru ini.

    “Agak menarik bila Nurul Izzah menjelaskan bahawa PH memerlukan masa lebih 10 tahun untuk kembali dipilih.

    “Ini bermakna PH sudah pun kalah sebelum bertanding dan nasib kepembangkangan akan berdepan cabaran sukar untuk PRU-15,” katanya.

  • Polis buru pemandu kereta kelabu lawan arus

    Polis buru pemandu kereta kelabu lawan arus

    POLIS Kini sedang giat mengesan dan memburu pemandu sebuah kenderaan yang memandu melawan arus di Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, antara Kuala Abang dan persimpangan Tanjung Jara, Dungun, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 7 pagi dan tindakan pemandu kenderaan berwarna kelabu itu dirakam pengguna jalan raya.

    Menurut beliau, rakaman video berdurasi 27 saat yang memaparkan kenderaan dipandu secara melawan arus itu tular dalam media sosial.

    Katanya, tindakan pemandu terbabit berbahaya dan boleh mengundang kecelakaan kepada pengguna jalan raya lain.

    “Oleh itu kita sedang mengenal pasti model serta nombor pendaftaran kereta itu untuk siasatan lanjut,” katanya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Baharudin seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan agar tampil menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan.