Oleh RAHIMI MOHAMAD

SEORANG wanita bersama ibu dan dua adiknya parah apabila ditetak suami dalam kejadian pada pukul 7.11 malam di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili di Kota Tinggi, kelmarin.

Keempat-empat mereka kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi akibat tragedi yang berlaku ketika sedang menunggu waktu berbuka puasa.

Polis kini sedang memburu suspek, Mohd. Adi Hashim, 38, yang beralamat di Felda Air Tawar 3 bagi membantu siasatan selepas dipercayai melarikan diri selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, Pusat Kawalan Daerah Kota Tinggi menerima maklumat awam melalui panggilan MERS 999 berkenaan kes tersebut pada pukul 8.22 malam.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 7.11 malam, kelmarin yang secara tiba-tiba suspek telah mengamuk dan menetak empat mangsa yang berada dalam rumah menggunakan parang.

“Kesemua mangsa iaitu isteri, ibu mertua dan dua adik iparnya mengalami kecederaan parah dan telah mendapat rawatan di Hospital Kota Tinggi,” katanya di sini, hari ini.

Hussin berkata, punca kejadian tidak diketahui setakat ini dan masih dalam siasatan lanjut pihak polis.

Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat terutama mengetahui lokasi suspek berada diminta menyalurkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Orang awam boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nurul Syafiqah Khalid di talian 019-5121568 atau menghubungi IPD Kota Tinggi di talian 07-8831222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Tambah Hussin, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan denda atau sebat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here