Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

NASIB dan penderitaan remaja orang kurang upaya (OKU) sindrom down dikenali sebagai Bella yang didakwa didera bukan sahaja mendapat perhatian orang ramai tetapi juga mencuri tumpuan isteri Tunku Mahkota Johor, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Che Puan Besar Khaleeda terharu dengan nasib dialami Bella dan sedia berjuang untuk mendapatkan keadilan sewajarnya untuk remaja itu.

“Saya akan lakukan apa saja dengan kuasa yang saya ada bagi mendapatkan keadilan untuk Bella. Saya kecewa dan letih melihat si pengecut yang berfikir mereka boleh buat apa saja terhadap kanak-kanak teraniaya.

“Kamu boleh bersembunyi di sebalik barisan peguam tetapi karma akan hadir pada waktunya di dunia ini dan akhirat,” tulisnya dalam Instagram miliknya.

Che Puan Besar Khaleeda memuat naik kenyataan itu dipercayai sebagai membalas tindakan seorang peguam tertuduh iaitu pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang memuat naik sekeping gambar bersama-sama tertuduh dan barisan peguam yang membelanya.

Beliau juga jelak dengan sang penakut yang beranggapan mereka boleh membuat sesuka hati terhadap kanak-kanak tanpa diketahui.

Menerusi tinjauan yang dibuat di Instagram Che’ Puan Khaleeda, ternyata beliau sangat terkesan dengan nasib adik Bella yang kini dibawah jagaan pusat kebajikan kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tanda pagar #justiceforbella menjadi trending sejak tularnya klip video adik Bella yang ditemui dalam keadaan menyayat hati terutamanya apabila remaja berkenaan mengalami kecederaan seperti melecur di tangan, dada, paha dan beberapa bahagian lain serta kesan luka lama di tubuhnya.

Dia merupakan remaja istimewa Sindrom Down, tiada ibu dan bapa sejak ditemui dan dijadikan anak angkat di Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan di Wangsa Maju di ibu negara yang diasas dan diusahakan pengasas, Siti Bainun Abd Razali.

Namun, kes ini sekali lagi mengundang kekecewaan dan kemarahan rakyat Malaysia apabila gambar Siti Bainun diwakili 10 peguam dimuat naik dalam media sosial.

Persoalan yang sedang hangat diperkatakan, wajarkah Siti Bainun diwakili 10 peguam melawan seorang remaja (OKU)?

Satu lagi persoalan yang berlegar dalam fikiran masyarakat sekarang, mengapa tidak 10 peguam yang membela kanak-kanak tersebut?

Dalam pada itu, ramai juga yang terharu dan sebak apabila membaca kenyataan daripada YM Che’ Puan Khaleeda. Tidak kurang juga ada yang mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana sanggup bersama-sama membela nasib Bella.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here