Author: Admin

  • ADUN pembangkang bidas tindakan MB Johor

    ADUN pembangkang bidas tindakan MB Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TINDAKAN Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang melantik penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tujuan pengagihan bantuan tidak mencerminkan semangat dwi-partisan dengan pembangkang.

    Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor dalam kenyataan bersama menyifatkan langkah itu seolah-olah melangkaui peranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang dipilih sendiri oleh rakyat.

    Menurut mereka, sebarang bantuan atau program kerajaan negeri juga sebenarnya dapat dijalankan oleh ADUN pembangkang dan tidak perlu melalui penyelaras Barisan Nasional (BN).

    “Kami yakin semua wakil rakyat mampu kendalikan pengagihan bantuan. Penyelaras BN mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar untuk bekerjasama dengan ADUN Pembangkang, bukannya melangkaui peranan ADUN pilihan rakyat.

    “Atas prinsip dan semangat dwi-partisan, semua kemudahan dan jemputan ke majlis-majlis serta mesyuarat rasmi kerajaan untuk penyelaras BN harus diperuntukkan dan dipanjangkan kepada ADUN pembangkang,” kata kenyataan itu hari ini.

    Semalam, Onn Hafiz berkata, pelaksanaan program Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ) di kawasan DUN pembangkang akan dikendalikan penyelaras DUN BN, manakala bagi kawasan kerajaan akan dikendalikan wakil rakyat sendiri.

    Dalam pada itu, PH dan Muda Johor turut mencadangkan dua langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan negeri untuk manfaat bersama rakyat negeri itu.

    Ia merangkumi membenarkan ADUN pembangkang menyertai Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) dan majlis-majlis rasmi negeri Johor serta membentangkan rancangan penyelaras BN bagi setiap suku tahun bertujuan penyelarasan bersama ADUN pembangkang.

    “ADUN pembangkang yang dipilih rakyat bertanggungjawab untuk memastikan setiap maklumat, kerja lapangan dan masalah rakyat disampaikan secara terus dan rasmi kepada JTPD dan penyertaan kami akan memudahkan usaha membantu rakyat serta membangunkan Johor.

    “Ini juga bagi memudahkan kerjasama antara penyelaras BN bersama ADUN pembangkang dalam hal pembangunan dan kebajikan negeri yang mana ianya selaras dengan hasrat PH dan Muda untuk mengetepikan perbezaan fahaman politik dan berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.

    Dalam kenyataan itu juga, kedua-dua pihak sekali lagi menegaskan akan menyokong usaha yang baik daripada kerajaan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri Johor.

  • Persiapan Aidilfitri musnah dalam kebakaran

    Persiapan Aidilfitri musnah dalam kebakaran

    SEBUAH keluarga terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri seadanya pada kali ini selepas rumah mereka termasuk semua persiapan lebaran yang yang bakal disambut minggu hadapan musnah dalam kebakaran.

    Ketua keluarga, Nazri Ahmad, 51, berkata, rumah mereka di Batu 39, Jalan Seribu Tahun di Kampung Olak Lempit di Banting terbakar pada hari ke-12 Ramadan yang lalu.

    Menurut Nazri, ketika kejadian pukul 2.30 pagi itu, isteri dan tiga anaknya berada di rumah, manakala dia masih belum pulang dari kerja dan seorang lagi anak berada di kolej.

    “Anak kedua saya yang tersedar dari tidur kerana sukar bernafas sebelum segera keluar dari bilik untuk melihat keadaan dan menyedari rumah sudah dipenuhi asap tebal.

    “Mereka bernasib baik kerana anak saya tidak menutup pintu biliknya dan sejurus selepas itu, anak-anak yang berada di rumah dan isteri terus berlari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

    “Mereka cuba memadamkan api tetapi tidak berjaya kerana api terus marak, hanya sempat alihkan kereta,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Nazri ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Suasa Efektif (M) Sdn Bhd, Dr Zainuddin Othman sempena Program Sumbangan Kasih Ramadan anjuran syarikat itu.

    Hadir sama, Pengarah Eksekutif Sumber Manusia dan Pentadbiran, Mohd. Ismail Masri; Pengarah Eksekutif Korporat dan Pemasaran, Tengku Datuk Taha AlFashni serta ketua-ketua pejabat cawangan.

    Program Sumbangan Kasih Ramadan itu mengagihkan sumbangan pek makanan kepada 51 buah keluarga asnaf, fakir dan miskin.

    Program dijalankan serentak di Shah Alam, Selayang, Kajang, Kuala Selangor, Sepang dan Nilai iaitu di kawasan pengoperasian tempat letak kereta pihak berkuasa tempatan di bawah pengurusan operasi Suasa Efektif (M) Sdn Bhd.

    Zainuddin berkata, sumbangan itu mengandungi makanan asas seperti beras, tepung, minyak masak, bihun, biskut, sardin, sos, kicap, garam, gula, teh dan juga minuman.

    “Program sebegini adalah sejajar dengan konsep kami iaitu ‘berkongsi rezeki di bulan mulia’ di mana kami percaya setiap rezeki yang ALLAH berikan kepada kita perlu dikongsi bersama.

    “Di dalam setiap rezeki kita, ada juga rezeki untuk orang lain dan begitu juga sebaliknya, semoga sedikit sumbangan ini dapat membantu meringankan beban golongan memerlukan,” katanya.

    Selain sumbangan berbentuk keperluan makanan, penerima juga menerima sumbangan berbentuk wang tunai bagi menampung keperluan keluarga bagi menyambut ketibaan Aidilfitri.

  • Tahanan lari dari depot sudah sampai ke Selayang-JIM

    Tahanan lari dari depot sudah sampai ke Selayang-JIM

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) mengesan pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Kedah pada 20 April lalu kini berada di sekitar Selayang.

    Ketua JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, bagaimanapun pihaknya sedang mengenal pasti lokasi sebenar tahanan berkenaan sebelum tindakan diambil.

    Berdasarkan maklumat yang diterima katanya, berkemungkinan pelarian itu dibantu komuniti mereka sendiri untuk membawa tahanan yang lolos ke kawasan Selayang.

    “Kita percaya ada di antara mereka yang tahu mengenai selok-belok Selayang dan Kuala Lumpur kerana mereka pernah tinggal di kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas serbuan di Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, setakat ini tahanan yang masih bebas ialah seramai 61 orang dan pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih giat memburu pelarian yang masih bebas.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PDRM yang bersama JIM dalam melakukan pencarian bagi mengesan saki-baki tahanan yang melarikan diri dari pusat tahanan terbabit,” katanya.

    Dalam kejadian berkenaan, 528 tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap merusuh dan melarikan diri.

    Enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

    Bagaimanapun, 467 orang berjaya ditahan semula setakat ini manakala bakinya sedang diburu polis.

  • Nelayan dikhuatiri lemas terjatuh dalam laut

    Nelayan dikhuatiri lemas terjatuh dalam laut

    SEORANG nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut di perairan Bak-Bak, Kudat, pada pukul 6 petang semalam.

    Sebelum itu, mangsa yang merupakan lelaki berusia 29 tahun dipercayai terjatuh dari bot, ketika dalam perjalanan pulang ke Jeti Aseng.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.40 malam.

    “Sepasukan tiga anggota dan pegawai bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan pantai.
    “Pasukan operasi turut mendapatkan maklumat lanjut daripada ahli keluarga dan penduduk di kawasan sekitar,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, operasi pencarian gagal menemui mangsa dan terpaksa ditangguhkan pada 10.22 malam tadi.

    “Operasi pencarian disambung semula pada 6 pagi tadi dan sebarang maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Budak lelaki dua tahun maut, lima cedera dua rumah terbakar

    Budak lelaki dua tahun maut, lima cedera dua rumah terbakar

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut manakala lima yang lain termasuk bayi perempuan berusia lapan bulan cedera dalam kebakaran di Jalan Permatang Badak Perdana 2, Kuantan, pukul 3 pagi ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kebakaran tersebut melibatkan dua rumah jenis berkembar separuh kekal.

    “Kedua-dua rumah itu musnah dijilat api selain turut melibatkan tiga kenderaan dengan satu hangus manakala dua lagi mengalami rosak teruk.

    “Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan daripada MERS 999 pada pukul 3.15 pagi berhubung kejadian tersebut.

    “Seramai sembilan anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas ke lokasi bersama sebuah jentera dan kenderaan penyelamat untuk operasi pemadaman dan penyelamatan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Ismail berkata, operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos dari tangki pam jentera bomba dan bantuan air dari jentera tangki air.

    “Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

  • Malaysia, Korea Selatan meterai MoU perkukuh industri pertahanan

    Malaysia, Korea Selatan meterai MoU perkukuh industri pertahanan

    MEMORANDUM Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Malaysia dengan Korea Selatan hari ini akan menjadi instrumen perundangan dalam mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

    Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata MoU yang ditandatangani bersama Menteri Pertahanan Nasional Korea Selatan Suh Wook itu akan menjadi dokumen rujukan utama dalam interaksi, program serta aktiviti bersama Angkatan Tentera Malaysia dengan Angkatan Tentera Republik Korea.

    “Mesyuarat dua hala ini amat bermakna dan membawa manfaat penting kepada kedua-dua negara khususnya dalam konteks diplomasi pertahanan.

    “Usaha ke arah MoU ini dilaksanakan sejak tiga tahun lepas dan akhirnya ia dapat ditandatangani hari ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dua hala secara maya dengan Suh Wook dan menandatangani MoU antara Malaysia dengan Korea Selatan secara hibrid di Wisma Pertahanan hari ini.

    Hishammuddin berkata bagi memastikan perancangan di bawah MoU ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berjalan lancar, satu Jawatankuasa Kerja antara Kementerian Pertahanan kedua-dua negara akan diwujudkan.

    Beliau berkata selain itu, kedua-dua negara sedang berusaha ke arah MoU berkaitan industri pertahanan yang turut berkait rapat dengan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang sedang dirangka oleh Kementerian Pertahanan.

    Katanya sebelum ini, Malaysia menjalin kerjasama dengan beberapa negara seperti Itali, Perancis serta Amerika Syarikat dan kini berusaha memperluas usaha sama dengan lebih banyak negara seperti Turki, India selain Korea Selatan.

    Mengenai mesyuarat bersama Suh Wook, Hishammuddin berkata beliau mengambil peluang untuk berbincang mengenai kerjasama pelbagai hala khususnya Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ancaman keselamatan dalam domain keselamatan siber.

    “Saya turut suarakan keyakinan bahawa dengan sokongan Republik Korea (Selatan), inisiatif Kementerian Pertahanan mengenai Rangkaian Pertahanan Siber ASEAN berupaya dilaksanakan secara lebih efektif,” katanya.

    Hishammuddin turut menasihati orang ramai supaya tidak mengambil mudah dan mensia-siakan kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 di negara ini selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik yang diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

    “Dalam proses transisi ke fasa endemik, apa yang kita (kerajaan) buat secara berperingkat adalah tepat dan berharap pengumuman oleh Khairy diterima baik,” katanya.

    Khairy hari ini mengumumkan beberapa kelonggaran termasuk pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak diwajibkan sebaliknya ia pilihan individu tetapi wajib dipakai apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing, berkuat kuasa 1 Mei. – Bernama

  • 6 anggota polis Pulau Pinang disiasat susulan tahanan lolos dari lokap

    6 anggota polis Pulau Pinang disiasat susulan tahanan lolos dari lokap

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    ENAM anggota polis berpangkat Koperal dan Lans Koperal ditahan susulan kejadian seorang tahanan lelaki meloloskan diri dari Lokap Berpusat Balai Polis Bayan Baru, Pulau Pinang tengah malam semalam.

    Kesemua anggota berusia 20-an hingga 30-an itu kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes itu di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya tidak berkompromi dalam menjalankan siasatan kes itu dan akan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.

    Mengulas kejadian itu, jelas beliau, tahanan yang dikenali Azizi Mohammad Hassan, 33, itu ditahan atas kesalahan membabitkan dadah pada 20 April lalu.

    “Suspek sedang ditahan serta menunggu keputusan sama ada dikenakan tahanan menurut Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

    “Susulan kejadian ini juga, kita telah melancarkan operasi untuk mengesan suspek berkenaan,” katanya selepas melancarkan Op Selamat ke-18 Polis Diraja Malaysia (PDRM) peringkat Pulau Pinang hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, seramai 61 lagi tahanan Rohingya yang meloloskan diri dari Depoh Sementara Imigresen Relau, Kedah minggu lalu masih diburu sehingga kini.

    Kata beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan tahanan berkenaan telah melepasi sempadan Pulau Pinang dan berada di negeri jiran.

    “Kita bimbang kemungkinan tahanan Rohingya ini telah berasimilasi dengan penduduk tempatan.

    “Kejadian ini sudah seminggu berlaku dan mereka mungkin mendapat bantuan dari segi makanan, sebab itu berjaya mengelak ditangkap,” katanya.

  • Lelaki samun lapan premis seminggu diberkas

    Lelaki samun lapan premis seminggu diberkas

    SEORANG lelaki yang melakukan lapan kes samun dalam tempoh seminggu secara bersendirian bersenjatakan pistol palsu, akhirnya berjaya diberkas polis di Sungai Buaya pukul 8.40 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan dan pihaknya
    menemui beberapa barangan dan wang disyaki hasil kegiatan samun di sekitar daerah Kuala Langat dan Klang.

    “Ini termasuk sepucuk pistol palsu berwarna hitam bersama satu unit kelopak tanpa peluru, sebilah pisau, telefon bimbit jenama Oppo dan wang tunai berjumlah RM87.

    “Susulan tertangkapnya suspek yang baru aktif sejak seminggu lalu itu, polis percaya telah menyelesaikan lapan kes samun di sekitar kawasan Banting, Sungai Jarom dan Klang,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Tambah beliau, antara kes yang berjaya diselesaikan ialah samun kedai runcit di Taman Rambai Indah, Jalan Sungai Buaya dan Kampung Kanchong manakala kedai serbaneka di Bandar Saujana Putra, klinik di Rimbayu dan samun mendatangkan kecederaan di sebuah kedai runcit di Telok Gong, Pelabuhan Klang.

    Beliau berkata, suspek kini direman tiga hari dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika disabit kesalahan.

  • Lelaki didenda RM1,700 kerana ponteng puasa

    Lelaki didenda RM1,700 kerana ponteng puasa

    SEORANG lelaki didenda sebanyak RM1,700 oleh Mahkamah Rendah Syariah Tumpat hari ini selepas mengaku bersalah kerana tidak berpuasa.

    Tertuduh berusia 35 tahun yang bekerja sebagai buruh mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Tumpat, Mazlan Abdullah semasa pertuduhan dibacakan ke atasnya.

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasan Undang-Udang Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik), Mohd. Fadzuli Mohd. Zin berkata, lelaki berkenaan ditangkap semasa sedang makan nasi di sebuah kedai runcit di Kampung Sedar, Tumpat pada 14 April lalu.

    “Kesalahan itu dilakukan lelaki berkenaan semasa serbuan dilakukan oleh pihak kami pada pukul 9.20 pagi.

    “Kesalahan itu dilakukan bawah Seksyen 10 (b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, mengikut seksyen tersebut pesalah boleh dijatuhkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

    Bagaimanapun, tertuduh telah membayar denda tersebut sebagaimana ditetapkan oleh pihak mahkamah.

    “Jika gagal berbuat demikian tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh bulan,” katanya.

  • 11 mati termasuk 2 budak akibat renjatan elektrik

    11 mati termasuk 2 budak akibat renjatan elektrik

    SEKURANG-KURANGNYA 11 orang termasuk dua kanak-kanak meninggal dunia apabila kenderaan dinaiki mereka tersangkut pada talian penghantaran lalu terbakar akibat renjatan elektrik di selatan India.

    Berita Harian memetik laporan Reuters memaklumkan, kesemua mangsa dipercayai menaiki kenderaan perarakan keagamaan.

    Puluhan mangsa lain turut tercedera di daerah Thanjavur di wilayah Tamil Nadu selatan selepas kenderaan pedati setinggi 2.7 meter dan ditarik oleh pengikut, melanggar talian bervoltan tinggi.

    Perdana Menteri, Narendra Modi berharap mereka yang tercedera akan segera sembuh.

    Sesetengah mangsa cedera akibat terjatuh selepas renjatan elektrik, manakala yang lain lari bertempiaran bagi menyelamatkan diri daripada api.

    Kereta kuda itu yang sedang dalam perjalanan pulang dari kuil berhampiran, kemudian dibiarkan hangus.

    Jentera bomba dan pegawai tempatan turut menyertai usaha menyelamat.