Oleh RAHIMI MOHAMAD
TINDAKAN Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang melantik penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tujuan pengagihan bantuan tidak mencerminkan semangat dwi-partisan dengan pembangkang.
Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor dalam kenyataan bersama menyifatkan langkah itu seolah-olah melangkaui peranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang dipilih sendiri oleh rakyat.
Menurut mereka, sebarang bantuan atau program kerajaan negeri juga sebenarnya dapat dijalankan oleh ADUN pembangkang dan tidak perlu melalui penyelaras Barisan Nasional (BN).
“Kami yakin semua wakil rakyat mampu kendalikan pengagihan bantuan. Penyelaras BN mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar untuk bekerjasama dengan ADUN Pembangkang, bukannya melangkaui peranan ADUN pilihan rakyat.
“Atas prinsip dan semangat dwi-partisan, semua kemudahan dan jemputan ke majlis-majlis serta mesyuarat rasmi kerajaan untuk penyelaras BN harus diperuntukkan dan dipanjangkan kepada ADUN pembangkang,” kata kenyataan itu hari ini.
Semalam, Onn Hafiz berkata, pelaksanaan program Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ) di kawasan DUN pembangkang akan dikendalikan penyelaras DUN BN, manakala bagi kawasan kerajaan akan dikendalikan wakil rakyat sendiri.
Dalam pada itu, PH dan Muda Johor turut mencadangkan dua langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan negeri untuk manfaat bersama rakyat negeri itu.
Ia merangkumi membenarkan ADUN pembangkang menyertai Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) dan majlis-majlis rasmi negeri Johor serta membentangkan rancangan penyelaras BN bagi setiap suku tahun bertujuan penyelarasan bersama ADUN pembangkang.
“ADUN pembangkang yang dipilih rakyat bertanggungjawab untuk memastikan setiap maklumat, kerja lapangan dan masalah rakyat disampaikan secara terus dan rasmi kepada JTPD dan penyertaan kami akan memudahkan usaha membantu rakyat serta membangunkan Johor.
“Ini juga bagi memudahkan kerjasama antara penyelaras BN bersama ADUN pembangkang dalam hal pembangunan dan kebajikan negeri yang mana ianya selaras dengan hasrat PH dan Muda untuk mengetepikan perbezaan fahaman politik dan berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.
Dalam kenyataan itu juga, kedua-dua pihak sekali lagi menegaskan akan menyokong usaha yang baik daripada kerajaan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri Johor.