Author: Admin

  • Bot bilis terbakar, 24 kru terselamat

    Bot bilis terbakar, 24 kru terselamat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBUAh bot bilis yang dioperasikan oleh 24 kru, terbakaf di laut berhampiran Pulau Buyong, Langkawi, hari ini.

    Ketua Polis Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kesemua kru dalam bot berkenaan bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius.

    “Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.30 petang dengan bot-bot bilis dan nelayan lain turut membantu memadam kebakaran serta menyelamatkan kru terlibat.

    “Kesemua 24 kru termasuk tekong berjaya diselamatkan dan dibawa balik ke Pangkalan Polis Marin Bukit Malut oleh bot Pasukan Polis Marin,” katanya.

    Tambahnya setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.

  • Ibu, anak maut kereta terbabas, terbalik

    Ibu, anak maut kereta terbabas, terbalik

    SEORANG wanita dan anaknya maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Persiaran Timur dari Kajang menghala ke Pinggiran Putra, Putrajaya, hari ini.

    Amalina Azman, 32, dan anaknya, Dzul Qarnain Mohd. Iqbal berusia dua tahun dua bulan maut dalam nahas berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam kejadian pada pukul 2.45 petang itu, pemandu kereta jenis Perodua Myvi yang merupakan suami mangsa disyaki mengantuk.

    “Kereta itu hilang kawalan dan terlanggar penghadang di bahu kiri jalan sebelum terbabas.

    “Kemalangan tersebut mengakibatkan wanita itu parah dan disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya manakala anaknya maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, pemandu kenderaan tersebut tidak mengalami kecederaan.

    Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • KPT tidak benarkan IPT naikkan yuran

    KPT tidak benarkan IPT naikkan yuran

    KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan Institut Pengajian Tinggi (IPT) tidak dibenarkan menaikkan yuran masing-masing berikutan penetapan moratorium ke atas kenaikan yuran sejak semester kedua sesi akademik 2019/2020.

    KPT memberitahu, pihaknya menetapkan moratorium ke atas kenaikan yuran susulan penularan pandemik Covid-19 ketika itu.

    “Ia dilakukan atas dasar keprihatinan dan cakna kebajikan rakyat khususnya penuntut IPT, terutama ketika negara baru sahaja memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.

    “Justeru, IPT tidak dibenarkan untuk menaikkan yuran masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurut kenyataan itu, bagi Universiti Awam (UA) pula, ketika ini kerajaan masih menanggung sepenuhnya kos operasi dan sumber kewangan yang disediakan.

    “UA masih mampu untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam memberi pendidikan kepada warganegara,” katanya.

  • Tubuh suruhanjaya siasat AKSB-Husam

    Tubuh suruhanjaya siasat AKSB-Husam

    SATU suruhanjaya perlu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kegagalan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berkaitan air mengalami tekanan rendah ketika kejadian kebakaran yang memusnahkan sembilan rumah di Berek 12, Khamis lalu.

    Pengerusi Sekretariat Save Kelantan, Datuk Husam Musa yang mencadangkan penubuhan suruhanjaya itu berkata, ini kerana kejadian tersebut mengakibatkan kemusnahan teruk rumah rumah mangsa.

    “Tekanan rendah boleh berlaku apabila bekalan air tidak mencukupi menyebabkan kesukaran kerja-kerja menyelamat.

    “Penduduk sekitar juga dikatakan mengalami gangguan bekalan air beberapa hari sebelum kejadian,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, kajian diperlukan bagi mengenal pasti punca AKSB yang didakwa gagal menyediakan bekalan mencukupi kepada penduduk di kawasan tersebut.

    “Selain kekerapan masalah ketiadaan air, rungutan berbangkit juga mengenai kualiti air yang didakwa sangat mendukacitakan.

    “Saya katakan, antara punca utama kegagalan dipercayai unsur salah guna kuasa dan saya sendiri pernah menang saman sekali gus membuktikan dakwaan saya ada asas,” katanya.

    Ujarnya, sekiranya punca kegagalan terbesar ialah ada unsur salah guna kuasa, maka jawapan tepat bagi mencari punca kegagalan ialah menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas.

    “Jika kerajaan Kelantan sanggup menubuhkan suruhanjaya ini, anggotanya akan dipandang rakyat sebagai benar-benar bebas dan berintegriti dan jujur.

    “Jika mereka enggan, maka dipercayai ada perkara yang menjadi kerahsiaan gerak kerja mereka selama ini,” katanya.

  • 143 PATI cuba masuk Malaysia gagal

    143 PATI cuba masuk Malaysia gagal

    SERAMAI 143 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba masuk ke negara ini, hari ini, melalui perairan Kuala Kurau, Parit Buntar, berjaya dipatahkan apabila kesemua mereka berjaya diberkas anggota keselamatan.

    Ini termasuk usaha beberapa PATI yang sanggup terjun ke laut dan berenang kira-kira 200 meter ke darat untuk meloloskan diri juga gagal apabila berjaya dikesan.

    Semua mereka menaiki sebuah bot dipercayai dari Myanmar sebelum kenderaan itu tersangkut di Beting Kalumpang iaitu jarak enam batu nautika di perairan laut Kuala Kurau.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebahagian besar PATI terbabit merupakan etnik Rohingya termasuk 18 orang kanak-kanak.

    “Selain itu, empat lelaki yang turut ditahan merupakan warganegara Bangladesh dengan kesemua mereka berusia di antara lima hingga 40 tahun.

    “Mereka dipercayai dari Myanmar dan cuba masuk ke negara ini namun kita berjaya tangkap mereka selepas bot yang dinaiki tersangkut di beting pasir tersebut.

    “Ketika pemeriksaan dibuat, seramai 87 orang berada di dalam bot manakala selebihnya telah melarikan diri dengan berenang ke darat. Bagaimanapun semua PATI ini berjaya ditangkap di antara jam 7 pagi hingga 12.30 tengah hari,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Mior Faridalathrash berkata, kesemua mereka bagaimanapun tiada kaitan dengan tahanan Pati yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Kedah pada 20 April lalu.

  • Harimau kumbang akhirnya masuk perangkap Perhilitan

    Harimau kumbang akhirnya masuk perangkap Perhilitan

    KEBIMBANGAN 300 keluarga di kawasan perumahan Rantau Bukit, Kerteh Kemaman terhadap ancaman harimau kumbang berakhir, apabila haiwan berkenaan berjaya ditangkap hari ini.

    Menurut Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong, harimau kumbang betina itu ditangkap pada pukul 5.30 pagi menerusi perangkap yang dipasang sejak Isnin lalu dengan menjadikan seekor ayam sebagai umpan.

    Katanya, harimau seberat 40 kilogram itu dianggarkan berusia enam hingga tujuh tahun akan dihantar ke habitat asalnya di negeri ini juga.

    “Kita akan lepaskan harimau ini jauh dari penempatan manusia bagi memastikan ia tidak mengganggu penduduk,” jelas beliau, lapor Harian Metro.

    Kelibat harimau kumbang tersebut yang dipercayai datang dari hutan simpan berhampiran menyebabkan penduduk perumahan di kawasan itu tidak berani keluar rumah.

    Seorang penduduk, Nor Azlinda Saadon, 36,memberitahu, kemunculan harimau kumbang yang berkeliaran di situ menyebabkan penduduk berada dalam ketakutan.

    “Penduduk taman sangat takut untuk keluar rumah terutamanya pada waktu malam dan kami juga tidak berani melepaskan kucing peliharaan takut dibaham harimau tersebut.

    “Hari ini saya sangat gembira selepas harimau itu berjaya ditangkap dan berharap harimau itu dilepaskan jauh dari penempatan penduduk,” katanya.

    Seorang pengawal keselamatan taman perumahan tersebut, Mohd. Yazid Yusri, 26, pula berkata, dia bersyukur selepas harimau itu berjaya ditangkap.

    “Sebelum ini saya dan rakan setugas yang meronda sentiasa berada dalam ketakutan apabila menyedari kehadiran harimau berkenaan.

  • Rayuan bantuan Keluarga Malaysia dibuka mulai 2 Mei

    Rayuan bantuan Keluarga Malaysia dibuka mulai 2 Mei

    TEMPOH rayuan bagi permohonan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dibuka mulai 2 Mei selama sebulan bagi membantu mereka yang tidak lulus dalam permohonan sebelum ini.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan sedar bahawa mungkin ada rakyat yang layak menerima BKM tetapi masih belum didaftarkan dalam pangkalan data kerajaan.

    “Pemohon boleh mengemukakan rayuan beserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM). 

    “Proses rayuan ini juga bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata permohonan rayuan boleh dibuat melalui dua kaedah sama ada secara dalam talian melalui Portal Rasmi BKM LHDNM 2022 di https://bkm.hasil.gov.my atau penghantaran Borang Rayuan BKM 2022 secara manual.

    Penghantaran borang rayuan secara manual boleh diserahkan mulai 9 Mei ke cawangan, Pejabat Satelit (PS), Pusat Khidmat Hasil (PKH) atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM yang berhampiran.

    “Setelah pangkalan data BKM dikemas kini, pembayaran rayuan BKM kepada pemohon yang lulus akan disalurkan pada bayaran Fasa 3 dan Fasa 4 dijadualkan pada September dan Disember 2022,” katanya. 

    Tengku Zafrul berkata kerajaan telah mengemas kini data golongan B40 yang layak menerima BKM dan setakat ini, hampir RM2.0 bilion bantuan Fasa 1 BKM telah disalurkan kepada hampir sembilan juta penerima B40 seluruh negara pada Mac lepas manakala bayaran Fasa 2 sebanyak RM1.1 bilion pula akan dibuat pada Jun. – Bernama

  • Aidilfitri: Bekalan barang keperluan mencukupi – Zawawi

    Aidilfitri: Bekalan barang keperluan mencukupi – Zawawi

    KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli bahan mentah barangan keperluan dalam kuantiti yang banyak menjelang sambutan Aidilfitri ini.

    Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ia bagi mengelak berlaku ketiadaan bekalan terbabit sehingga mengakibatkan pengguna lain terkesan kerana sukar mendapatkan barangan yang diingini.

    “MAFI telah berbincang dengan syarikat-syarikat pengeluar ayam dan pengimport daging, malah mereka sedia memberi kerjasama memastikan bekalan makanan di musim perayaan mencukupi,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Program Semarak Syawal Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dekat Tunjong, Kota Bharu, hari ini.

    Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata, pengguna kini boleh menikmati harga diskaun 10 hingga 20 peratus bagi bekalan bahan mentah itu menerusi pelaksanaan Program My Best Buy Karnival Raya yang membabitkan 797 outlet pemasaran di seluruh negara yang dianjurkan MAFI. – Bernama

  • Waspada penipuan guna e-mel perniagaan

    Waspada penipuan guna e-mel perniagaan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    ORANG ramai diminta agar terus berhati-hati dengan sindiket penipuan secara dalam talian yang menggunakan e-mel perniagaan atau penyamaran sebagai kenalan melalui aplikasi media sosial termasuk Telegram.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor, Asisten Komisioner Amran Md. Jusin berkata, polis menerima beberapa aduan daripada pihak syarikat yang mendakwa e-mel mereka diceroboh penyamar.

    Katanya, penipuan menggunakan e-mel perniagaan telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM802,890 sejak 1 Januari hingga 27 April lalu.

    Jumlah berkenaan bagaimanapun berkurang berbanding kerugian bernilai RM3.4 juta yang direkodkan dalam tempoh sama, tahun lalu.

    “Modus operandi digunakan sindiket ini adalah dengan menghantar e-mel menyerupai alamat e-mel sebenar rakan niaga mangsa dan mengarahkan mereka membuat bayaran ke akaun bank lain.

    “Sehubungan itu, orang ramai khususnya golongan peniaga dan pemilik syarikat yang berkomunikasi melalui e-mel untuk lebih berhati-hati apabila menerima e-mel sedemikian rupa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan untuk berhubung dengan CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599 bagi mendapatkan maklumat lanjut.

  • Balik kampung: Jalan raya utama, lebuh raya sesak

    Balik kampung: Jalan raya utama, lebuh raya sesak

    ALIRAN trafik di beberapa jalan raya utama dan lebuh raya sesak dan perlahan pagi ini berikutan peningkatan jumlah kenderaan susulan orang ramai yang pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri terutama pergerakan keluar dari Lembah Klang.

    Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata ke arah utara, kesesakan berlaku dari Hospital Sungai Buloh ke Bukit Beruntung, Bukit Tagar ke Tanjung Malim dan Ipoh Selatan ke Sungai Perak. 

    Katanya, pergerakan kenderaan juga perlahan dari Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di Bandar Dalam dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Taman Melawati ke Plaza Tol Gombak terus ke Lentang. 

    Selain itu, katanya trafik juga mulai perlahan di bahagian selatan seperti dari Putra Mahkota ke Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban, Port Dickson menuju ke Senawang, dan juga dari Ayer Hitam ke Yong Peng. 

    Tambahnya, jumlah kenderaan dijangka terus meningkat di lebuh raya utama menuju ke selatan dan utara manakala lebuh raya menghala ke Pantai Timur telah mulai perlahan bermula 2 petang semalam tanpa henti hingga pagi ini. 

    “Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan serta berhati-hati memandu,” katanya kepada Bernama. 

    Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik