Author: Admin

  • Galak pelajar eksplorasi bidang sains, teknologi-Radzi

    Galak pelajar eksplorasi bidang sains, teknologi-Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sentiasa menggalakkan eksplorasi bidang sains dan teknologi dalam kalangan pelajar sekolah seluruh negara menerusi Konsep Sekolahku Sejahtera.

    Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, galakan dan pendekatan tersebut sejajar dengan arus kemodenan dan digitalisasi dalam banyak aspek kehidupan masa kini.

    “Bidang sains dan teknologi adalah salah satu daripada 14 elemen yang diperkenalkan dalam konsep tersebut bagi menghidupkan sekolah sebagai tempat yang menyeronokkan untuk anak-anak.

    “Sama ada suka atau tidak, kita sekarang ini bersaing atas tapak digitalisasi dan bidang ini akan terus menjadi tunjang pemodenan dunia manakala anak-anak perlu dipastikan mempunyai minat dalam bidang ini.

    “Jadi kita perlu mewujudkan persekitaran sekolah yang menyeronokkan sehingga membuatkan murid-murid rasa kosong sekiranya tidak hadir ke sekolah. Justeru, konsep Sekolahku Sejahtera pastinya akan digunakan untuk merapatkan anak-anak dan sekolah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penyampaian Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, Bachok hari ini, lapor Sinar Harian.

    Kata Mohd. Radzi, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bagi menarik minat murid dan pelajar menjelajah bidang sains dan teknologi.

    Sementara itu, pada majlis berkenaan, seramai 25 guru dari seluruh negara menerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 atas usaha mereka mencipta inovasi, akses pembelajaran dan meningkatkan kecemerlangan akademik.

    “Kesemua guru yang menerima anugerah ini adalah mereka yang menggunakan pendekatan dan ruang sewaktu di sekolah untuk mewujudkan elemen yang menyeronokkan kepada anak-anak.

    “Kejayaan ini sangat berkait rapat dengan konsep Sekolahku Sejahtera yang diperkenalkan oleh KPM dan memberi manfaat terbaik kepada murid serta pelajar,” katanya.

  • Kenal pasti 4 calon Srikandi Bersatu Sabah bertanding dalam PRU-15

    Kenal pasti 4 calon Srikandi Bersatu Sabah bertanding dalam PRU-15

    SRIKANDI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenal pasti empat calon wanita yang akan diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Ketua Srikandinya, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, calon-calon itu terdiri daripada individu yang berpelajaran dan berpengetahuan dalam politik serta kemasyarakat.

    “Mereka akan mengisi kerusi di kawasan utara, pantai timur dan pedalaman Sabah.

    “Calon-calon ini sudah kita kenal pasti dan akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan. Kita mahu apabila calon-calon itu dinamakan perlu ada perundingan supaya kita dapat pastikan mereka ini bekerja di kawasan masing-masing.

    “Calon yang kita kenal pasti itu juga perlu berpelajaran sekurang-kurangnya peringkat diploma selain mempunyai pendedahan bukan sahaja dalam bidang politik tetapi juga kemasyarakatan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Srikandi Bersatu Sabah di Kota Kinabalu, hari ini, lapor Astro Awani.

    Ditanya sama ada beliau akan bertanding semula merebut kerusi Parlimen Beaufort, Azizah menyerahkan kepada pucuk pimpinan.

    Bagaimanapun, beliau optimis jika ada calon Srikandi lain yang dicalonkan menggantikannya pada PRU15.

    “(Parlimen) Beaufort ini penyandangnya seorang Srikandi (wanita)… pengganti mesti daripada Srikandi.

    “Kita dalam politik ini ada masa kita kena berjuang dan ada masanya kita beri laluan kepada orang lain. Apapun kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan,” katanya.

  • Timbang dengan teliti sebelum kerajaan ambil alih Sapura Energy-Tok Pa

    Timbang dengan teliti sebelum kerajaan ambil alih Sapura Energy-Tok Pa

    KERAJAAAN perlu membuat pertimbangan yang teliti mengenai prestasi kewangan negara sekiranya mahu mengambil alih Sapura Energy Bhd. (Sapura Energy) bertujuan mengelak daripada syarikat perkhidmatan minyak dan gas (O&G) itu diisytihar muflis.

    Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, terdapat banyak industri yang terjejas termasuklah perkhidmatan O&G sama ada daripada syarikat kecil atau besar.

    “Industri itu adalah strategik dan Sapura Energy pula adalah sebuah syarikat terbesar di dunia dalam bidang berkenaan.

    “Sebarang bantuan yang diberikan itu jika tidak membabitkan kerajaan sekali pun, bagaimanapun Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) adalah milik kerajaan, oleh itu ia perlu diteliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

    “Seminggu lalu, pihak kami juga sudah mengadakan perjumpaan dengan syarikat O&G yang terjejas dan mereka menceritakan masalah yang dihadapi khususnya sejak Covid-19 apabila harga minyak merudum,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Projek Jambatan Sungai Nibong, Kuala Balah, di Jeli, hari ini, lapor Harian Metro.

    Media sebelum ini melaporkan, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan supaya PETRONAS mengambil alih Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) untuk mengelak daripada syarikat perkhidmatan minyak dan gas (O&G) itu diisytihar muflis.

    Sementara itu, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, penantian selama 40 tahun 6,000 penduduk di Kampung Balah akan berakhir apabila kerajaan meluluskan projek pembinaan jambatan Sungai Nibong bernilai RM10.17 juta.

    “Projek pembinaan jambatan Sungai Nibong sepanjang 237 meter itu sudah bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2024.

    “Jambatan yang menghubungkan Kuala Balah dengan kawasan estet ini penting bagi kesinambungan projek dan meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat serta memudahkan mereka mengeluarkan hasil getah dan kelapa sawit.

    “Sebelum ini penduduk yang memiliki tanah kebun di kawasan seberang sungai terpaksa menggunakan bot untuk berulang alik, namun apabila jambatan ini siap ia sekaligus akan memudahkan urusan pergerakan mereka khususnya kepada penduduk kampung untuk meningkatkan pendapatan mereka untuk membawa hasil daripada kebun,” katanya.

    Katanya, Kuala Balah mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian memandangkan kawasan ini pengeluar utama tanaman jagung, labu dan tembikai dan pembinaan infrastruktur yang lebih baik di kawasan berkenaan akan meningkatkan lagi pendapatan penduduk.

  • Kes HFMD di Pahang terus meningkat, 6 kali ganda berbanding tahun lepas

    Kes HFMD di Pahang terus meningkat, 6 kali ganda berbanding tahun lepas

    KES penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pahang masih menunjukkan peningkatan sepanjang minggu ini dan situasi itu dijangka akan terus meningkat jika langkah-langkah pencegahan tidak diambil.

    Sebanyak 1,288 kes HFMD dicatatkan sehingga 12 Mei berbanding 1,142 kes setakat 7 Mei, kata Pengarah Kesihatan Pahang Dr. Nor Azimi Yunus.

    Ini menunjukkan peningkatan lebih enam kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas, yang mencatatkan hanya 200 kes.

    “Sebanyak 138 kes atau 10.7% dikenal pasti hasil daripada penularan yang berlaku di 27 buah taska, tadika dan prasekolah seluruh negeri, manakala 1,150 kes (89.3%) berlaku secara sporadik,” kata Nor Azimi, menurut laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, tiada rawatan khusus atau rawatan alternatif untuk merawat jangkitan HFMD dan rawatan yang diberikan hanya untuk mengurangkan gejala.

    “Tindakan pencegahan adalah kaedah terbaik bagi mengelakkan jangkitan HFMD,” katanya.

    Beliau turut menasihatkan pesakit untuk minum banyak air kosong bagi mengelakkan dehidrasi sepanjang tempoh jangkitan dan rehat secukupnya, selain mengamalkan pemakanan yang sihat dan mengekalkan kebersihan di rumah dan persekitaran.

    “Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko dijangkiti, antaranya basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak,” katanya.

    Ibu bapa turut dinasihatkan segera membawa anak-kanak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mengalami gejala jangkitan.

    Pengusaha dan penjaga di taska, tadika, tabika dan prasekolah turut diminta agar sentiasa memastikan kebersihan premis, terutamanya peralatan dan perkakasan yang digunakan kanak-kanak.

    “Saringan juga perlu dibuat di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak yang hadir tiada tanda-tanda jangkitan HFMD,” kata Nor Azimi.

  • Mayat kanak-kanak dikhuatiri lemas dibawa arus sungai ditemui

    Mayat kanak-kanak dikhuatiri lemas dibawa arus sungai ditemui

    Mayat kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Kampung Malangkap Darat, Kota Marudu, semalam ditemui kira-kira tujuh kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.

    Mayat Elzanatira Asod ditemui penduduk kampung dan pasukan bomba yang melakukan pencarian pada pukul 11.15 pagi tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA bermula jam 7 pagi selepas ditangguhkan pada jam 7.30 malam tadi.

    Katanya, operasi SAR hari kedua itu dilakukan di sepanjang sungai dan menemui seluar milik mangsa kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa hilang oleh penduduk kampung.

    “Pencarian kemudian diteruskan dan mayat kanak-kanak terbabit ditemui penduduk kampung bersama pasukan penyelamat kira-kira tujuh kilometer dari tempat dilaporkan hilang,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam, Elzanatira dipercayai hilang dibawa arus ketika menyeberang sungai berkenaan bersama ibunya untuk pulang ke rumah dari kebun.

    Berikutan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu yang menerima panggilan kejadian itu pada 6.04 petang dan menggerakkan operasi mengesan kanak-kanak terbabit.

  • Rakyat kena berani reformasikan negara:Shafie Apdal

    Rakyat kena berani reformasikan negara:Shafie Apdal

    PRESIDEN Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, rakyat negara ini perlu berani reform kepimpinan Malaysia sekali gus mewujudkan pembaharuan dalam struktur politik negara.

    Ahli Parlimen Semporna itu berkata, kini negara ini memerlukan satu landasan pembaharuan untuk semua bangsa bergerak seiring ke hadapan kerana Malaysia dimiliki pelbagai kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak.

    “Dengan parti berbilang bangsa, kita perlu kongsikan kekayaan negara, Sabah kaya dengan sumber minyak tetapi kemudahan asas seperti jalan raya, air, telekomunikasi dan sebagainya masih mundur.

    “Jangan hanya wujudkan slogan untuk didendangkan tetapi rakyatnya menderita setiap hari.

    “Rakyat kini berhadapan dengan harga barangan yang mahal, jangan sampai harga makanan seperti daging ayam dikawal oleh orang tengah sehingga menyebabkan harga melambung tinggi,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri WARISAN Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu, lapor Utusan Borneo, hari ini.

    Mohd. Shafie berkata, hanya rakyat sahaja boleh menukar seseorang pemimpin.

    Katanya, dalam keadaan menikmati keselesaan daripada segi makanan serta kehidupan, semua perlu ingat bahawa ramai dalam kalangan rakyat khususnya Sabah menderita akibat harga barangan mahal, pengangguran, bencana banjir dan sebagainya.

    “Banjir di Tenom, Beaufort, putus jalan akibat hujan…waktu Warisan perintah dulu putus laluan di Jalan Ranau saya luluskan peruntukan RM30 juta untuk perbaiki jalan itu dan ianya siap dalam tempoh dua bulan.

    “Barisan Nasional (BN) sudah memerintah selama 70 tahun tetapi sehingga kini masih jalan berlumpur, berlobang.

    “Buat slogan kata tetapi keadaan tetap sama saja, jambatan rosak bukan tidak boleh dibuat dalam masa terdekat, peruntukan bukannya sangat mahal,” katanya.

    Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, jangan hanya hidangkan slogan kepada rakyat tetapi kebaikannya tidak dinikmati masyarakat secara keseluruhan.

  • Jakim, JPV gantung kelulusan sembelihan halal dari Australia

    Jakim, JPV gantung kelulusan sembelihan halal dari Australia

    JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPV) menggantung kelulusan penyembelihan halal yang diberikan kepada loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal di Australia.

    Satu sidang khas antara JPV dan Jakim dengan Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE), Australia, semalam bersetuju membuat keputusan menggantung kelulusan yang diberikan berkuatkuasa serta- merta.

    Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff dan Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr. Mohd. Norlizan Mohd. Noor dalam satu kenyataan bersama berkata, penggantungan itu dilakukan sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

    “Ini susulan kes dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal oleh loji sembelihan itu bagi mengeksport daging halal ke negara ini.

    “Jakim telah menjalankan siasatan ke atas loji sembelihan berkenaan dan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak berkuasa Australia,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Jakim juga telah mengatur pertemuan dengan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat Malaysia (Pekemas) dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat lanjut.

    Ujar mereka, pada masa sama, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan tersebut akan diberikan surat tunjuk sebab.

    Menurutnya, SICHMA bakal berhadapan dengan kemungkinan untuk dibatalkan status sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh Jakim sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

    “Jakim dan JPV ingin menegaskan bahawa prosedur pengiktirafan loji pemprosesan luar negara oleh kerajaan Malaysia adalah melalui satu prosedur yang ketat dan terperinci.

    “Hal ini kerana proses pengiktirafan loji sembelihan dan loji pemprosesan luar negara dijalankan pengauditan secara sistematik oleh pegawai-pegawai terlatih JPV dan Jakim.

    “Proses pengauditan ke atas loji sembelihan yang dilaksanakan adalah secara berjadual menggunakan piawaian yang telah ditetapkan untuk kualiti dan keselamatan produk.

    “Proses kelulusan pula perlu melalui sebanyak empat kali pembentangan dan penilaian sebelum keputusan diberikan,” jelasnya.

  • PGA lumpuhkan sindiket jual, edar burung spesies dilindungi

    PGA lumpuhkan sindiket jual, edar burung spesies dilindungi

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) menumpaskan satu sindiket sindiket yang menjual dan mengedar burung spesies dilindungi selepas melakukan lima serbuan di kawasan perumahan setinggan dan flat di Kuala Lumpur semalam.

    Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit berkata, serbuan yang dijalankan pada pukul 4 petang itu mendapat kerjasama anggota dan pegawai dari Jabatan Perhilitan Wilayah Persekutuan.

    “Menerusi serbuan tersebut empat lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia ditahan.

    “Sindiket tersebut menjadikan beberapa buah rumah di kawasan perumahan setinggan dan rumah flat sebagai tempat penyimpanan dan penjualan hidupan liar yang dilindungi.

    “Turut dirampas termasuk 71 ekor burung dan sangkar dengan nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM105,700,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, serbuan ini dipercayai telah berjaya mengganggu gugat rangkaian pengedaran dan penjualan hidupan liar oleh satu sindiket di Lembah Klang.

    Dalam pada itu, Zulkifli meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang berkenaan pemuliharaan hidupan liar supaya tampil ke balai berhampiran.

  • Israel lancar serangan udara, 5 maut di Syria

    Israel lancar serangan udara, 5 maut di Syria

    ISRAEL melancarkan serangan udara ke atas tengah Syria menyebabkan lima maut, termasuk seorang penduduk awam, lapor media negara ini, pada Jumaat.

    “Israel melancarkan serangan udara dengan letupan sejumlah peluru berpandu, membabitkan beberapa sasaran di wilayah tengah.

    “Serangan itu mengakibatkan lima terkorban,” lapor agensi berita rasmi, SANA yang memetik sumber pihak tentera.

    Menurut laporan Berita Harian, sumber itu turut dipetik berkata, tujuh lagi mangsa cedera termasuk seorang kanak-kanak, selain kemusnahan material dalam kejadian berkenaan.

    Dalam pada itu pemantau perang, Syrian Observatory for Human Rights pula memaklumkan, empat kru pertahanan udara meliputi seorang leftenan maut, manakala tujuh lagi tentera cedera.

    “Pesawat tempur Israel melancarkan sekurang-kurang lapan peluru berpandu ke atas depoh senjata serta tapak Iran di kawasan Masyaf di wilayah Hama,” menurut badan pemantau itu yang berpangkalan di Britain dan bergantung pada rangkaian sumber meluas di Syria.

    Insiden terbaru itu menyusuli serangan pada 27 April lalu yang menurut pemantau berkenaan, mengorbankan 10 pejuang termasuk enam tentera Syria.

    Katanya, sebuah depoh peluru dan beberapa kedudukan berkait kehadiran tentera Iran di Syria merupakan antara sasaran serangan terbabit.

    Media kerajaan di Syria pula mengesahkan empat terkorban dalam serangan berkenaan.

    Sementara itu, tentera Israel memberitahu AFP, semalam, pihaknya tidak memberi komen atas laporan media asing. – AFP

  • Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang direman 4 hari kes rasuah RM3,000

    Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang direman 4 hari kes rasuah RM3,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat kebenaran bagi mereman seorang pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Timur Laut, Pulau Pinang selama empat hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan nilai RM3,000.

    Perintah tahanan reman bermula hari ini sehingga 17 Mei itu dikeluarkan Majistret Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin selepas Pegawai Pendakwa SPRM, G. Jayaraj membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Georgetown hari ini.

    Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan ketika menerima wang berkenaan daripada seorang pengadu di sekitar Bayan Baru, Georgetown petang semalam.

    Katanya, wang itu sebagai balasan untuk menyelesaikan kes yang masih di dalam siasatan dan supaya tindakan tidak diambil ke atas pengadu atas kesalahan memiliki gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi melebihi kapasiti yang dibenarkan.

    Difahamkan kesalahan itu dilakukan sejak tahun lalu dan pengadu berkenaan membuat laporan kepada SPRM awal bulan ini.

    Suspek yang tidak diwakili peguam itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.