Mayat kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Kampung Malangkap Darat, Kota Marudu, semalam ditemui kira-kira tujuh kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.

Mayat Elzanatira Asod ditemui penduduk kampung dan pasukan bomba yang melakukan pencarian pada pukul 11.15 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA bermula jam 7 pagi selepas ditangguhkan pada jam 7.30 malam tadi.

Katanya, operasi SAR hari kedua itu dilakukan di sepanjang sungai dan menemui seluar milik mangsa kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa hilang oleh penduduk kampung.

“Pencarian kemudian diteruskan dan mayat kanak-kanak terbabit ditemui penduduk kampung bersama pasukan penyelamat kira-kira tujuh kilometer dari tempat dilaporkan hilang,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam, Elzanatira dipercayai hilang dibawa arus ketika menyeberang sungai berkenaan bersama ibunya untuk pulang ke rumah dari kebun.

Berikutan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu yang menerima panggilan kejadian itu pada 6.04 petang dan menggerakkan operasi mengesan kanak-kanak terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here