Author: Admin

  • PPM rampas minumam keras seludup RM144,709

    PPM rampas minumam keras seludup RM144,709

    PASUKAN Polis Marin (PPM) merampas minuman keras seludup bernilai RM144,709 termasuk cukai selepas menahan sebuah bot di kawasan laut Menumbuk, Labuan, pada pukul 4.10 pagi semalam.

    Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Persekutuan Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, sebelum itu pasukan peronda mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan pulau bebas cukai itu .

    “Mereka dipercayai membawa minuman keras dari Labuan di kawasan laut Menumbuk. Pasukan peronda PPM kemudiannya menahan bot berkenaan di tepi bakau Menumbuk.

    “Bagaimanapun sebaik dihampiri, dua suspek yang berada di atas bot bertindak terjun melarikan diri ke kawasan paya bakau dan gagal dikesan.

    “Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit membawa sejumlah muatan minuman keras yang dipercayai belum bercukai dan ingin diseludup dari Labuan ke tanah besar Sabah,” katanya memetik laporan Utusan Bornei, hari ini.

    Beliau berkata rampasan keseluruhan minuman keras dan sebuah bot fiber beserta enjin bot itu berjumlah RM144,709.50 termasuk cukai.

    “Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada Jabatan Kastam Wilayah Persekutuan Labuan.

    “PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197,” katanya.

  • Kepala mangsa serangan buaya ditemui hanyut

    Kepala mangsa serangan buaya ditemui hanyut

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) jasad seorang lelaki yang hilang di Sungai Kampung Kangka, Lundu dipercayai dibaham buaya, selepas kepalanya ditemukan semalam, diteruskan pukul 8 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Lundu, Deputi Superitendan Damataries Lautin berkata, mangsa, Sebarang Bingkok, 56, dilaporkan hilang sejak pukul 3 petang semalam dan dua jam selepas itu keluarganya menemui bahagian kepala mangsa yang hanyut dibawa arus.

    “Mangsa dipercayai telah dibaham buaya, laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh ahli keluarga mangsa.

    “Bahagian kepala yang ditemui ahli keluarga mangsa, telah dihantar ke Hospital Lundu untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini, lapor Utusan Borneo.

    Katanya, operasi SAR tersebut turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Sarawak Forestry Corporation.

    Sementara itu Damataries turut menasihatkan penduduk di sekitar kawasan kejadian untuk lebih berhati-hati.

    “Terutamanya penduduk yang selalu ke sungai, kita nasihatkan agar selalu berhati-hati semasa menjalankan rutin harian,” ujarnya.

  • Ban pecah: 30 rumah di Mukim Sungai Durian terjejas

    Ban pecah: 30 rumah di Mukim Sungai Durian terjejas

    LEBIH 30 buah rumah di samping pelbagai premis lain dan kebun penduduk di Kampung Sungai Durian dan Kampung Selat Masjid selepas enam ban pecah akibat air pasang besar luar biasa di Mukim Sungai Durian, Hilir Perak, Pasir Salak, sejak Ahad lalu.

    Dua daripada enam ban berkenaan mengalami kerosakan yang kritikal dan memerlukan pembaikan segera.

    Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Wan Norashikin Wan Noordin, antara enam itu dua adalah dalam keadaan kritikal kerana satu berhampiran rumah penduduk dan yang satu lagi di belakang Tadika Kemas dan juga masjid di Kampung Sungai Durian.

    “Jadi dua itu saya rasa merupakan satu kecemasan yang telah saya bincang bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah bersetujulah untuk membaiki dua itu dulu.

    “Semalam saya telah berjumpa dengan Pengarah JPS dan Timbalan Pengarah membawa masalah yang sama dan insyaAllah mereka juga akan mencari bajet untuk membaiki kerosakan di tempat yang empat lagi itu,” katanya menurut laporan Astro Awani, hari ini.

    Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Khidmat DUN Kampung Gajah, semalam.

    Wan Norashikin yang juga Exco kerajaan negeri Perak berkata, kos untuk baik pulih dua ban yang kritikal adalah antara RM200,000 hingga RM300,000 manakala lebih RM700,000 untuk membaiki empat ban lagi.

    Katanya, ketika ini air pasang mula surut dan dijangka naik semula menjelang Ahad ini.

    Menurutnya, kerja-kerja baik pulih dua ban yang kritikal pula dijangka hanya dapat dimulakan dalam masa 10 hari apabila air benar-benar surut.

    Bagaimanapun, setakat ini belum ada keluarga yang dipindahkan tetapi banjir kira-kira 0.3 meter itu menjejaskan aktiviti harian penduduk, termasuk pelajar.

  • Kereta terbiar di medan parkir KLIA1 milik mangsa MH370, MH17?

    Kereta terbiar di medan parkir KLIA1 milik mangsa MH370, MH17?

    SEOLAH-OLAH sebuah penantian yang tiada penghujung, begitulah nasib kereta-kereta yang dibiarkan terbiar di medan letak kereta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA1).

    Sejumlah kereta berkenaan ibarat tidak bertuan apabila dibiarkan selama bertahun-tahun di tempat medan letak kereta berkenaan sehingga kotor dan disaluti habuk tebal.

    Malah, terdapat individu yang mendakwa antara kereta yang ditinggalkan di situ merupakan milik penumpang pesawat MH370 yang hilang secara misteri pada Mac lapan tahun lalu, atau milik mangsa MH17 yang terhempas di Ukraine pada Julai tahun sama.

    Tinjauan SatuBerita ke medan meletak kereta di KLIA sememangnya terdapat kira-kira 8 buah kereta yang tersadai di ketiga-tiga blok bangunan berkenaan yang disaluti habuk dan tayar kempis menandakan telah lama ditinggalkan.

    Beberapa kereta berkenaan turut diconteng dengan tulisan ‘Korban MH370’ , ‘#PrayForMH370’ serta kata-kata kesat.

    Bagaimanapun, seorang petugas di parkir berkenaan mengatakan bahawa pihak mereka sendiri tidak dapat mengenal pasti siapa pemilik sebenar kereta-kereta tersadai itu.

    “Kereta yang tersadai di sini ada banyak sebab, ada yang ditinggalkan kerana pemilik sudah tidak mampu bayar, ada pemilik yang memang tinggal untuk tempoh yang lama kerana keluar negara untuk beberapa tahun dan sebagainya. Jadi kami juga tidak pasti siapa pemiliknya.

    “Tapi kalau kita kata kereta berkenaan milik mangsa MH370, tidak logik masih ada keluarga mangsa yang tidak menuntut kereta mereka,” katanya ketika ditemui hari ini.

    Menurut petugas itu lagi, walaupun terdapat banyak kereta terbiar di medan tempat letak kereta berkenaan, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menarik keluar kereta-kereta itu melainkan mempunyai laporan daripada pihak polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Malah kami juga tidak boleh tarik kereta keluar kalau tiada pemiliknya bersama bersama laporan polis atau JPJ. Siapa tahu, yang datang tarik kereta itu pencuri?” ujarnya lagi.

    Bagaimanapun katanya, pihak Malaysia Airports akan mengambil tindakan merampas kereta-kereta berkenaan sekiranya dibiarkan terlalu lama sehingga mencecah 10 tahun.

  • Penunggang motosikal maut digilis, diseret treler

    Penunggang motosikal maut digilis, diseret treler

    SEORANG penunggang motosikal maut dalam keadaan tragis selepas digilis sebuah treler dalam kejadian langgar lari di Kilometer 3 Jalan Machang-Pasir Puteh, Machang, pukul 9.45 malam semalam.

    Penunggang motosikal, Ahmad Zarriq Ahmad Zulkhairee, 24, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata,

    “Hasil siasatan awal mendapati treler dipandu dari arah Machang menghala ke Pasir Puteh dan apabila sampai di tempat kejadian, pemandu treler tersebut dipercayai hilang kawalan sehingga masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar mangsa yang menunggang sebuah motosikal jenis Honda Wave.

    “Mangsa digilis dan diseret oleh treler serta disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu treler yang dipercayai langgar lari kerana meninggalkan tempat kejadian itu, giat dikesan sehingga kini,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Ujarnya, berdasarkan keterangan oleh saksi kemalangan mendapati jenis treler terlibat tidak mempunyai muatan namun tidak dapat dikenal pasti jenis kerana cuaca hujan ditambah kawasan kejadian yang gelap.

    “Penunggang motosikal tersebut memakai topi keledar dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 25½ hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang selepas memancing di Pasir Puteh.

    “Tempat kejadian adalah jalan dua lorong lurus dan rata serta dua hala dengan garisan tengah putus-putus tetapi tidak ada lampu jalan,” katanya.

    Beliau berkata, hebahan dimaklumkan kepada Gerakan Machang untuk bantuan mengesan treler yang terlibat.

    “Usaha mengesan pemandu dan treler itu masih giat dijalankan sehingga kini. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • Rumah jadi stor pakaian, beg tiruan jenama terkenal

    Rumah jadi stor pakaian, beg tiruan jenama terkenal

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas pakaian dan beg tiruan jenama terkenal bernilai RM34,430 selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Cempaka, Ipoh, semalam.

    Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, sebuan itu dilakukan selepas risikan mendapati rumah teres satu tingkat itu disyaki dijadikan stor penyimpanan dan membungkus barang tiruan.

    Katanya, pasukan pemeriksaan bertindak menyita 1,147 helai pakaian iaitu seluar dan beg berjenama terkenal pelbagai saiz dan warna.

    “Kesemua barang yang disita tersebut disimpan di stor ekshibit KPDNHEP Perak untuk siasatan lanjut.

    “Seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang mengaku sebagai penilik premis telah ditahan untuk siasatan lanjut.

    “Lelaki terbabit ditahan sementara untuk membantu siasatan dan dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang mengaku sebagai penilik premis telah ditahan untuk siasatan lanjut.

    “Lelaki terbabit ditahan sementara untuk membantu siasatan dan dilepaskan dengan jaminan polis.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah,” katanya.

    Saifullizan berkata, KPDNHEP memandang serius dalam melindungi hak-hak pemilik cap dagang.

    “Operasi dijalankan melalui pemantauan dan risikan berterusan ke atas premis yang menjual barangan berjenama.

    “Ia bagi membanteras penjualan barang-barang tiruan seterusnya dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing terutamanya di negeri ini,” katanya.

  • Untitled post 35536

    Selamat Pengantin Baru Datuk Seri…
    Datin Seri tahu tak?

    Terima kasih… biarlah rahsia…

  • Google haramkan 3 aplikasi curi wang pengguna

    Google haramkan 3 aplikasi curi wang pengguna

    GOOGLE mengharamkan tiga aplikasi telefon pintar yang didapati digunakan untuk mencuri wang dari akaun bank individu yang memuat turunnya.

    Memetik laporan Mirror, aplikasi-aplikasi yang berbahaya itu ialah Style Message, Blood Pressure App dan Camera PDF Scanner.

    Aplikasi-aplikasi tersebut cuba mencuri duit pengguna dengan ‘menyamar’ seperti aplikasi lain yang tulen.

    Namun, ia mengandungi ‘kuda trojan’ yang berupaya mencuri maklumat peribadi atau memulakan langganan berbayar tanpa dimohon oleh pengguna.

    Malah salah satu daripada mempunyai pepijat yang membolehkannya melepasi tapisan keselamatan Google.

    Google
    Tiga aplikasi yang diharamkan Google kerana didapati berupaya mencuri wang daripada akaun pengguna. (Gambar: Mirror)

    Selain itu, terdapat aplikasi lain yang meniru GameBeyond, Tubemate, Minecraft, GTA5 dan Vidmate yang bertujuan menipu pengguna.

    Lazimnya, aplikasi yang mempunyai kuda trojan dikeluarkan dari Google Play Store namun penjenayah dengan pantas menggantikannya dengan yang lain.

    Pakar dari Kaspersky, Ivan Golovin berkata, kebanyakan aplikasi tersebut tiada mempunyai fungsi yang sah.

    “Langganan bermula sebaik sahaja ia dilancarkan di mana pengguna akan melihat proses memuat turun bermula.

    “Bayaran dibuat atas nama pengguna untuk perkhidmatan yang sah dan si penipu beroleh bahagiannya daripada wang yang ditolak.

    “Langganan sebegini biasanya dibayar dengan menggunakan baki kredit talian telefon,” jelasnya.

    Pakar mendedahkan, penjenayah siber memuat turun aplikasi sebenar dan menambah kod hasad sebelum memuat naiknya semula ke Play Store menggunakan nama lain.

    Sebaik sahaja aplikasi dimuat turun, ia akan cuba mendapatkan akses kepada pesanan teks atau notifikasi untuk mengumpul maklumat.

    Golovin menasihatkan pengguna supata tidak memuat turun aplikasi dari sumber tidak rasmi dan membaca ulasan, maklumat pembangunan serta terma penggunaan dan bayaran terlebih dahulu.

    “Bagi pesanan teks, gunakan app yang popular dengan ulasan positif,” katanya.

  • Kertas cadangan eksport ketum ke Thailand bakal dibincang dalam Mesyuarat Exco Kedah

    Kertas cadangan eksport ketum ke Thailand bakal dibincang dalam Mesyuarat Exco Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERTAS cadangan mengenai permohonan kerajaan negeri Kedah terhadap kerajaan Persekutuan bagi membenarkan urusan pengeksportan ketum ke luar negara bagi tujuan perubatan bakal diangkat ke Mesyuarat Exco kerajaan negeri, tidak lama lagi.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau dimaklumkan kertas cadangan tersebut sudah pun disiapkan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah.

    “BPEN maklumkan kertas cadangan itu sudah siap tetapi saya belum membacanya lagi. Insya Allah selepas ini kertas cadangan itu akan dibawa ke dalam Mesyuarat Exco sebelum dipanjangkan ke Kerajaan Persekutuan untuk pertimbangan lanjut.

    “Kertas itu mungkin akan dibawa untuk dibincangkan pada minggu depan atau minggu yang satu lagi. Kalau Kerajaan Persekutuan benarkan, bolehlah kita buat (eksport) tetapi kalau mereka kata ‘no way’, maka kita terpaksa tunggulah dan berharap ada perubahan selepas ini termasuk penemuan-penemuan baharu melibatkan ketum,” katanya.

    Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Pada Mac lalu, Muhammad Sanusi mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan agar membenarkan Kedah mengeksport ketum ke Thailand sebagai antara langkah membanteras kegiatan penyeludupan melibatkan tumbuhan itu.

    Selain membolehkan kerajaan mengutip cukai, langkah itu juga mampu mengurangkan penggunaan tenaga, komitmen, sumber serta masa yang digunakan untuk membanteras penyeludupan ketum kerana Thailand sudah pun mengkomersialkan tanaman itu terutamanya melibatkan bidang perubatan.

    Sementara itu Muhammad Sanusi menjelaskan, cadangan diutarakannya itu bukanlah bermakna beliau menyuruh rakyat menanam ketum.

    “Saya bukan suruh tanam. Saya cuma minta kerajaan benarkan untuk kita eksport ketum sedia ada.

    “Yang sedia ada itu pun banyak sedang diseludup. Jadi kita selesaikanlah isu ini dengan benarkan ketum dieksport,” katanya.

  • Syarikat perlombongan didenda RM147,000 sebabkan pekerja maut

    Syarikat perlombongan didenda RM147,000 sebabkan pekerja maut

    MAHKAMAH Sesyen Klang hari ini menjatuhkan hukuman denda RM147,000 terhadap sebuah syarikat perlombongan kerana gagal memastikan keselamatan pekerja sehingga menyebabkan seorang pekerjanya maut serta empat lagi terbabit kemalangan pada 2021.

    Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor menerusi kenyataan memaklumkan, hukuman denda itu dijatuhkan oleh Hakim Rohatul Akmar Abdullah selepas syarikat itu mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan.

    “Bagi pertuduhan pertama, syarikat itu didenda RM45,000 selepas gagal menjalankan kewajipan yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja, dengan gagal membekalkan jaket keselamatan kepada pekerja-pekerjanya yang melakukan aktiviti berulang alik dari darat ke kapal korek sehingga menyebabkan berlaku kemalangan maut terhadap seorang pekerja akibat lemas.

    “Bagi pertuduhan kedua, syarikat itu didenda RM28,000 bagi setiap kesalahan yang sama di mana, gagal membekalkan jaket keselamatan kepada pekerjanya yang melakukan aktiviti berulang alik dari darat ke kapal korek sehingga menyebabkan berlaku kemalangan kepada empat pekerjanya.

    “Kesalahan dilakukan pada pukul pagi, 24 Februari 2021 di kawasan lombong pasir milik syarikat itu di Mukim Tanjung Dua Belas, Banting, Selangor,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Menurutnya, syarikat perlombongan itu dituduh mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Selangor, Dr. Rasyimawati Mat Rashid manakala siasatan dijalankan Pegawai Penyiasat JKKP Selangor, Mohamad Firdaus Abu Hassan.

    Katanya, kes itu diharap memberi pengajaran kepada semua majikan dan pekerja agar pematuhan kepada undang-undang perlu diambil berat demi kepentingan awam dan keselamatan pekerja.