Author: Admin

  • Polis tahan 22 lelaki Rohingya naik motosikal diubahsuai

    Polis tahan 22 lelaki Rohingya naik motosikal diubahsuai

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 22 lelaki warga Rohingya ditahan polis kerana menaiki motosikal yang telah diubahsuai dan menunggang secara bahaya di sekitar bandar raya ini, semalam.

    Dalam Operasi Khas Motosikal Roda Tiga oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara itu, ada antara mereka juga tidak memiliki lesen dan kenderaan tiada perlindungan insurans.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, sebanyak 54 saman telah dikeluarkan terhadap penunggang motosikal terbabit ekoran pelbagai kesalahan yang dilakukan.

    “Sepanjang operasi tersebut, pihak polis telah berjaya menahan sebanyak 22 buah motosikal roda tiga yang telah diubah suai dan ditunggang oleh warga asing berbangsa Rohingya.

    “Ketika pemeriksaan, mereka membawa barang-barang lusuh untuk dijual di kedai kitar semula dan menunggang secara bahaya serta mengganggu pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Rupiah, 22 saman dikeluarkan mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada lesen memandu dan 10 saman dikeluarkan mengikut Seksyen 90 akta sama kerana tiada perlindungan insurans kenderaan.

    Sementara itu, 22 keping saman lagi dikeluarkan mengikut Peraturan 34 LN 170/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana ubahsuai struktur kenderaan sedia ada.

    Katanya, kesemua motosikal roda tiga terbabit yang ditahan itu turut disita di bawah Seksyen 64 akta berkenaan.

    “Polis menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya demi memastikan keselamatan semua pengguna dan mengelakkan sebarang risiko kemalangan yang boleh meragut nyawa,” katanya.

  • PGA tumpas sindiket seleweng 45,500 liter diesel subsidi

    PGA tumpas sindiket seleweng 45,500 liter diesel subsidi

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TAKTIK licik sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang baru sebulan beroperasi di Kawasan Perindustrian Kota Putri, Masai tidak kekal lama apabila kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa yang menyerbu lokasi itu kelmarin.

    Hasil pemeriksaan dilakukan pada pukul 11.45 malam itu, Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam berjaya merampas sebanyak 45,500 liter diesel yang bernilai RM111,475.

    Pegawai Pemerintah PGA Simpang Renggam, Superintenden Dimin Awang berkata, lima lelaki termasuk tiga daripada mereka yang merupakan warga asing berusia lingkungan 28 hingga 53 tahun turut ditahan di lokasi kejadian.

    Katanya, ketika serbuan dilakukan, kesemua suspek sedang melakukan kerja-kerja pemindahan minyak diesel daripada tangki berkapasiti 1,000 liter ke dalam tangki berkapasiti 20,000 liter.

    “Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang
    dokumen memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan. Siasatan awal ke atas suspek dipercayai baru sahaja sebulan menjalankan kegiatan menyeludup minyak bersubsidi tersebut.

    “Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Selain 45,500 liter minyak diesel tersebut, PGA dalam serbuan itu turut merampas skid tank berkapasiti 10,000 liter, tong putih kapasiti 1,000 liter dan tiga mesin pam minyak.

    Turut disita adalah dua buah lori jenis Scania P380 dan lori jenis Nissan UD serta sebuah lori tangki treler dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM472,575.

    Dimin percaya, tangkapan dan rampasan yang dibuat itu telah berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di sekitar daerah ini.

    “Kami menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di jalan yang tidak diwartakan,” katanya.

    Katanya, maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan
    Batalion 5 PGA dan kes terbabit disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

  • Dua das tembakan disasar ke arah rumah anggota PGA

    Dua das tembakan disasar ke arah rumah anggota PGA

    SEORANG anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang baru sahaja kematian anak dalam kandungan isterinya, terkejut apabila dua das tembakan dilepaskan orang tidak dikenali ke arah rumahnya di Bechah Keranji, Melor, Kota Bharu Kelantan, awal pagi semalam.

    Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, kejadian berlaku pada pukul 4 pagi ketika pengadu berusia 30 tahun sedang tidur bersama keluarga sebelum terdengar bunyi letupan kuat seakan tembakan.

    Katanya, sebaik terdengar letupan tersebut, dia bangun dan keluar membuat pemeriksaan di luar rumah, namun secara tiba-tiba tembakan dilepaskan kali kedua yang kena pada pintu kaca hadapan rumah.

    “Pengadu sempat melihat bayang dua lelaki tidak dikenali sedang memegang lampu suluh berada di hadapan rumah dan melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Menurut Muhamad Zaki, pengadu yang bertugas di PGA Cheras, Kuala Lumpur sedang bercuti dan pulang ke kampung bagi menguruskan pengebumian anak dalam kandungan isterinya yang meninggal dunia pada usia enam bulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)
    pada 22 Mei lalu.

    Beliau berkata, akibat kejadian tembakan itu, cermin pintu rumah pengadu pecah serta terdapat kesan dipercayai tembakan pada bahagian dinding rumah dan kesan lubang sebesar guli pada cermin bahagian hadapan kereta jenis Toyota Hilux milik abang ipar pengadu.

    Ujarnya, pengadu menyatakan semasa kejadian, suspek turut menyuluh ke arah rumah jiran yang kosong dalam jarak 15 meter dari rumah pengadu.

    Muhamad Zaki berkata, pengadu dan keluarga tidak mengesyaki sesiapa terlibat dengan kejadian itu dan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Siasatan awal mendapati tembakan tersebut dipercayai daripada jenis senapang angin dan hasil keterangan pengadu mengatakan tidak ada sebarang masalah hutang atau pergaduhan dengan mana-mana pihak.

    “Siasatan bagaimanapun masih diteruskan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengesan suspek yang terlibat,” jelas beliau.

  • Pengetua sekolah menengah bebas tuduhan amang seksual fizikal 4 pelajar lelaki

    Pengetua sekolah menengah bebas tuduhan amang seksual fizikal 4 pelajar lelaki

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    MAHKAMAH Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini melepas dan membebaskan seorang pengetua sebuah sekolah menengah daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki pada 2018.

    Hakim Noor Aini Yusof membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Zainuren Mohamed, 58, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

    Dalam penghakimannya, Noor Aini berkata, alasan mahkamah terhadap keputusan tersebut adalah berdasarkan kredibiliti saksi terutama keterangan beberapa saksi termasuk guru.

    “Mahkamah juga mendapati banyak kelompangan dalam kes pendakwaan yang mana sekiranya mahkamah memanggil tertuduh untuk membela diri dan tertuduh memilih untuk berdiam diri, adalah tidak selamat untuk mahkamah mensabitkan tertuduh berdasarkan keterangan yang ada,” katanya.

    Beliau berkata, alasan penghakiman penuh akan disediakan sekiranya ada rayuan daripada pihak pendakwaan.

    Sehubungan itu, mahkamah turut memerintahkan wang jaminan dikembalikan kepada penjamin.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh diwakili peguam E. Gnasegaran.

    Pada Januari 2019, Zainuren yang merupakan pengetua sebuah sekolah menengah di Butterworth mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas empat pelajarnya berusia 11 hingga 14 tahun.

    Mengkut kertas pertuduhan, beliau didakwa melakukan kesalahan itu di bilik khas pengetua dan asrama di sebuah sekolah antara pukul 4 petang hingga 11.40 malam antara 6 April hingga 10 Oktober 2018.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

  • Terkandas kesesakan teruk; graduan USM tumpang motosikal hadir upacara konvokesyen

    Terkandas kesesakan teruk; graduan USM tumpang motosikal hadir upacara konvokesyen

    SEORANG graduan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang bernasib baik apabila berjaya menyelesaikan majlis graduasinya pagi ini selepas nekad menumpang sebuah motosikal yang tidak dikenalinya akibat terkandas dalam kesesakan jalan raya teruk di Jambatan Pulau Pinang.

    Berkongsi pengalaman mencemaskan itu, R. Kevin, 28, berkata, dia nekad turun dari kereta dan menahan motosikal selepas lebih dua jam terkandas dalam kesesakan ketika dalam perjalanan ke upacara konvokesyennya di USM.

    “Saya memang sudah panik sebab jam sudah menunjukkan pukul 9 pagi, namun saya bersama kedua ibu bapa masih tersekat dalam kesesakan luar biasa di Jambatan Pulau Pinang.

    “Saya nekad turun bersama jubah konvokesyen dan cuba nasib tahan penunggang motosikal yang sudi tumpangkan saya untuk ke Upacara Konvokesyen USM,” katanya.

    Terdahulu awal hari ini, sekeping gambarnya yang dilihat sedang memegang jubah konvokesyen USM di atas Jambatan Pulau Pinang sambil mencuba nasib menahan penunggang-penunggang motosikal yang sedang menghala masuk ke pulau tular di dalam media sosial.

    Dalam pada itu, Kevin berkata, dia bagaimanapun teruja dan bersyukur kerana ada insan yang sudi menumpangkannya sehingga ke USM sehingga berjaya tiba dengan selamatnya untuk meraikan kejayaan bergraduasi dalam jurusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan bersama rakan-rakan.

    Tambahnya, dia bersama kedua ibu bapanya keluar dari kediaman mereka di Seberang Jaya pukul 6.30 pagi namun tidak menyangka kesesakan teruk ekoran kemalangan maut yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang.

    “Mula-mula saya harapkan kesesakan tidak berpanjangan tetapi setelah melepasi pukul 9 pagi, kenderaan masih tidak bergerak.

    “Jadi, saya nekad turun dan mencari alternatif kerana impian saya cuma ingin naik ke pentas terima skrol hari ini,” ujarnya.

    Dalam pada itu, dia turut melahirkan rasa amat terharu kerana masih ada insan yang baik hati sudi membantu.

    “Saya tidak sempat berbual panjang dengan insan mulia tersebut yang sanggup tumpangkan saya kerana dalam keadaan tergesa-gesa, namun saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada beliau.

    “Tanpa bantuan beliau, saya mungkin tak sempat merasa naik ke pentas pada hari ini,” ujar Kevin yang turut gembira kerana kedua ibu bapanya iaitu Rayappan, 62, dan Mary, 48, yang meneruskan pemanduan juga sempat tiba di USM untuk menyaksikan beliau menerima ijazah.

    Dalam pada itu, pihak pengurusan Universiti dan Sekretariat Upacara Konvokesyen Ke-59 USM memahami kesulitan yang dialami para graduan yang berijazah pada sidang kelima hari ini dan menangguhkan upacara selama 30 minit.

    Upacara Konvokesyen yang sepatutnya bermula pada pukul 10 pagi ditangguhkan sehingga ke 10.30 pagi bagi memberi laluan kepada mereka yang terkesan dengan kesesakan akibat dari kemalangan itu.

    Upacara pada sidang kelima itu dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan.

  • Bekas diplomat ditahan miliki hampir 100 pokok ganja keliling rumah

    Bekas diplomat ditahan miliki hampir 100 pokok ganja keliling rumah

    POLIS menahan seorang bekas diplomat Malaysia berstatus Datuk selepas disyaki menanam dan memiliki ladang pokok ganja membabitkan hampir 100 batang pokok terlarang itu di Janda Baik, Pahang.

    Menurut sumber, kejayaan itu adalah hasil usaha dilakukan pihak Balai Polis Bukit Tinggi dan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong melalui operasi Ops Tapis dilakukan terhadap kediaman suspek di Janda Baik.

    Harian Metro hari ini melaporkan, kes itu dianggap rampasan pokok ganja terbesar dalam sejarah narkotik negara berikutan sebelum ini kebanyakan rampasan hanya membabitkan pokok ganja yang ditanam dalam pasu sahaja.

    “Serbuan dilakukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sekitar pukul 6 petang kelmarin.

    “Difahamkan polis bertindak menahan lelaki warga emas terbabit sebelum menemui deretan beberapa batas tanah yang dipercayai digunakan untuk menanam pokok ganja.

    “Turut ditemui deretan pokok ganja yang di tanam di sekeliling kediaman itu. Pemeriksaan lanjut polis menemui bekas berisi cecair dipercayai minyak ganja selain daun ganja yang sudah dikeringkan.

    “Suspek dipercayai menanam pokok ganja itu secara serius susulan penemuan bekas plastik semaian di lokasi diserbu,” katanya.

    Menurutnya, polis masih menyiasat bagaimana suspek memperoleh benih pokok ganja itu dan tujuan ia ditanam secara besar-besaran.

    Buat masa ini suspek sudah mendapat perintah untuk tahanan reman sehingga 28 Mei ini.

    Tinjauan media semalam mendapati hampir 10 anggota polis mengawal kediaman suspek sehingga petang semalam.

    Malah beberapa anggota Unit Forensik Polis turut berada di lokasi untuk meneruskan siasatan terhadap bukti barang kes ditemui.

    Bagaimanapun, wartawan dan jurugambar Harian Metro diminta beredar dari lokasi tersorok itu.

    Difaham suspek yang pernah berkhidmat di kedutaan Malaysia di Asia Tenggara dan Timur Tengah akan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

  • Ahli keluarga bantu cari tiga kru bot yang hilang

    Ahli keluarga bantu cari tiga kru bot yang hilang

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) tiga kru bot tunda yang hilang di perairan Pulau Mantanani, Kota Belud, masuk hari ketiga hari ini diteruskan dengan menggunakan pelbagai aset termasuk helikopter persendirian oleh ahli keluarga salah seorang mangsa.

    Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah, operasi yang dimulakan sebelum ini belum menemui sebarang petanda dan operasi diteruskan hari ini.

    “Kawasan pencarian dipecahkan kepada tiga sektor dengan keluasan 339 batu nautika persegi.

    “Aset yang terlibat daripada pihak Maritim Malaysia ialah KM Bistari, daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ialah KD Johor dan RH 29 dari Pasukan Polis Marin (PPM),” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Tambah beliau lagi, operasi itu turut dibantu oleh ahli keluarga mangsa.

    “Pemilik bot yang juga ahli keluarga salah seorang mangsa memaklumkan mereka menggunakan helikopter persendirian untuk mencari ketiga-tiga kru berkenaan.

    “Ahli keluarga terbabit turut menyertai operasi yang berlepas ke lokasi kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi tadi,” katanya.

    Media semalam melaporkan tiga kru bot iaitu kapten Wilson Paul Joseph, 31, bersama jurutera, Yee Lih Min, 22, serta seorang lagi, Ling Chung Siong, 24, dilaporkan hilang selepas gagal dihubungi pukul 9.30 pagi kelmarin.

    Difahamkan, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan dari Miri, Sarawak menuju ke Kota Kinabalu dengan menaiki bot tunda yang turut membawa muatan barang alat ganti.

  • Dua maut lori rempuh treler di Jambatan Pulau Pinang

    Dua maut lori rempuh treler di Jambatan Pulau Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    DUA maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan dan sebuah treler di Kilometer (KM) 8.6, Jambatan Pulau Pinang dari Perai menghala ke Gelugor, awal pagi tadi.

    Mereka yang terbunuh ialah pemandu lori, Mohd. Fazrol Maarof, 39, dan kelindannya, Muhammad Amiruddin Azizan, 19, manakala pemandu treler, Ajit Singh S. Naranjan Singh, 54, dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.17 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Katanya, sebauk sahaja tiba di lokasi, didapati lori tersebut telah melanggar bahagian belakang treler berkenaan.

    Anggota bomba mengeluarkan pemandu dan kelindan yang tersepit di tempat duduk masing-masing

    Ujarnya, pemandu dan kelindan lori juga didapati berada dalam keadaan tersepit di bahagian hadapan sebelum dikeluarkan oleh anggota yang bertugas.

    “Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah jurucakap itu, kerja-kerja menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan menggunakan peralatan khas menyelamat (rescue tool).

    Kemalangan terbabit yang berlaku pada waktu puncak turut menyebabkan kesesakan teruk lebih 10 kilometer terutama di kawasan Perai menghala ke Georgetown

    Mangsa pertama katanya, berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 5.55 pagi manakala mangsa kedua dikeluarkan tujuh minit kemudian.

    “Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pukul 6.16 pagi,” katanya.

    Ujar beliau, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan operasi menyelamatkan dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak yang dibantu anggota BBP Perai.

    Kemalangan terbabit yang berlaku pada waktu puncak turut menyebabkan kesesakan teruk lebih 10 kilometer terutama di kawasan Perai menghala ke Georgetown.

  • HFMD di Kelantan meningkat kepada 1,233 kes

    HFMD di Kelantan meningkat kepada 1,233 kes

    PENYAKIT tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kelantan semakin membimbangkan apabila meningkat kepada 1,233 kes bagi minggu Epid ke-20 berbanding 945 kes pada minggu Epid ke-19.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kes itu direkodkan dalam tempoh seminggu iaitu antara 15 hingga 21 Mei lalu.

    Katanya, Kota Bharu merekodkan kes paling tinggi iaitu sebanyak 533 kes, diikuti Pasir Mas (134), Tanah Merah (108), Pasir Puteh (105), Tumpat (92), Kuala Krai (69), Bachok (65), Machang (49), Gua Musang (43) dan Jeli (35).

    Beliau berkata, jumlah kumulatif kes HFMD yang dilaporkan di Kelantan bagi tahun ini adalah sebanyak 3,726 kes di mana terdapat peningkatan kes sebanyak 1,433 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu, iaitu hanya 243 kes sahaja.

    “Daripada jumlah kes HFMD, majoritinya adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur antara satu hingga empat tahun iaitu sebanyak 71.6 peratus, kanak-kanak umur lima dan enam tahun (12.9 peratus) dan bawah satu tahun (8.3 peratus).

    “Daripada segi kejadian wabak, sebanyak 20 wabak HFMD dilaporkan sehingga minggu Epid ke-20 tahun ini, berbanding dengan hanya satu wabak sahaja bagi tempoh yang sama tahun lalu.

    “Terdapat dua wabak baru dilaporkan dan sebahagian besarnya membabitkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Harian Metro.

    Dr. Zaini berkata, ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak kecil dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan HFMD iaitu basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan serta sebelum dan selepas menukar lampin atau mencuci najis kanak-kanak.

    Menurutnya, mereka juga diminta supaya tidak berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu, dan sudu dengan individu yang bergejala HFMD.

    Ujarnya, ibu bapa kepada kanak-kanak yang menunjukkan tanda atau gejala jangkitan dinasihati untuk tidak menghantar anak mereka ke pusat jagaan kanak-kanak, taska, tadika atau sekolah. Kanak-kanak yang sakit perlu dibawa ke klinik untuk rawatan lanjut.

    “Pemilik premis juga dinasihatkan untuk kerap melakukan sanitasi premis terutama pada permukaan dan barangan yang kerap disentuh seperti troli barangan, tombol pintu dan alatan permainan,” katanya.

  • Pemandu van buat pusingan U ‘mengejut’ warga asing tiada lesen

    Pemandu van buat pusingan U ‘mengejut’ warga asing tiada lesen

    TINDAKAN pemandu sebuah van dikatakan membuat pusingan U mengakibatkan berlaku kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV), di Kilometer 59.7 Lebuhraya Senai-Desaru, Kota Tinggi, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kemalangan pukul 2.55 petang itu dipercayai berlaku setelah pemandu van merupakan seorang lelaki warga asing membuat pusingan U di kawasan tidak dibenarkan.

    Katanya, tindakan itu menyebabkan pemandu SUV dari arah Senai ke Desaru tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian di tengah sebelah kiri van terbabit.

    “Pemandu van berusia 33 tahun itu yang selesai membuat kerja pemotongan rumput di kawasan tersebut telah membuat pusingan U kerana hendak bergerak ke Kilometer 60 Lebuhraya Senai-Desaru untuk meneruskan kerja pemotongan rumput.

    “Akibat kemalangan itu, pemandu SUV iaitu seorang wanita berusia 29 tahun mengalami kecederaan di mulut dan lebam di kedua-dua tangan, manakala penumpang iaitu anaknya berusia dua tahun hanya mengalami calar di pipi, dahi dan lebam di mata sebelah kiri.

    “Pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Hussin berkata, pemandu van terbabit telah diambil keterangan dan siasatan dijalankan di bawah Peraturan 13 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (LN166/59).

    “Saman telah dikeluarkan ke atas pemandu van terbabit kerana tidak mempunyai lesen memandu,” ujarnya.

    Sebelum itu tular video durasi 32 saat memaparkan kenderaan dipandu wanita terbabit melanggar sebuah van yang membuat pusingan U di Lebuhraya Senai-Desaru.