Author: Admin

  • Hans Isaac, Altimet tewas dalam saingan Ketua PKR Cabang Ampang

    Hans Isaac, Altimet tewas dalam saingan Ketua PKR Cabang Ampang

    POPULARITI tidak dapat menjamin kemenangan bagi pengarah dan pelakon, Datuk Hans Isaac serta penyanyi rap, Altimet dalam pemilihan PKR.

    Kedua-keduanya tewas dalam pertandingan merebut jawatan Ketua PKR Cabang Ampang.

    Memetik laporan Berita Harian, Hans atau nama sebenarnya, Gerald Hans Isaac, 51, meraih 609 undi, manakala Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad, hanya mendapat 589 undi.

    Mereka kalah kepada Daing Muhammad Reduan Bachok yang memperoleh 942 undi.

    Sementara itu, calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memenangi jawatan ketua bahagian Pandan dengan 548 undi, menewaskan pencabarnya, Mohamad Rashidi Hasan menerima 373 undi.

    Di bahagian Gombak pula, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang meraih 1,858 undi berjaya menundukkan pencabarnya yang juga bekas pembantu Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sekadar memperoleh 1,215 undi.

    Setakat 1.45 petang tadi, tiga negeri sudah mengumumkan keputusan bagi pemilihan PKR, iaitu Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan.

  • Timbalan Presiden: Rafizi dahului di 5 negeri, sapu bersih di Melaka

    Timbalan Presiden: Rafizi dahului di 5 negeri, sapu bersih di Melaka

    SEMUA cabang PKR di Melaka memilih Rafizi Ramli untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti tersebut.

    Memetik laporan FMT, beliau yang beroleh 2,427 undi mendahului pesaingnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menerima 1,468 undi.

    Namun, Rafizi masih belum boleh menarik nafas lega kerana jumlah pengundi di Melaka adalah kurang daripada 4,000 orang.

    BH dan FMT melaporkan, beliau turut mendahului Saifuddin di Kedah, Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan.

    Secara keseluruhan, seramai 147,334 ahli PKR terlibat dalam pemilihan kali ini.

    Pemilihan di Melaka juga menyaksikan kejutan apabila Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin tewas di tangan Mohd Rafee Ibrahim bagi jawatan ketua cabang.

    Bagi persaingan jawatan ketua Pemuda PKR pula, Adam Adli memenangi empat cabang, manakala Fahmi Zainol, calon pasukan Rafizi, memenangi dua.

    Memetik laporan BH, Adam setakat ini beroleh 7,545 undi di empat negeri sekali gus mengatasi pesaingnya, Fahmi Zainol yang mendapat 7,001 undi.

    Pertembungan seorang lagi calon pasukan Rafizi, Rodziah Ismail dengan Fadhlina Sidek bagi jawatan ketua wanita pula lebih sengit, dengan masing-masing memenangi tiga cabang.

    Sementara itu, Halim Bachik menang di Masjid Tanah dengan hanya empat undi melebihi pencabarnya, Amran Othman, bagi jawatan ketua cabang.

    Di Alor Gajah, Ginie Lim, yang digugurkan sebagai calon oleh parti itu berhubung dakwaan kaitannya dengan Azmin Ali, menang dengan 594 undi.

    Pemilihan PKR secara rasminya telah berakhir, berikutan pemilihan semula di 12 cabang di Kedah, Terengganu, Sabah, Selangor dan Kelantan.

    Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataannya hari ini berkata, keputusan tidak rasmi akan diterbitkan di laman sesawang parti mulai hari ini, manakala keputusan rasmi akan diumumkan pada 25 dan 26 Jun.

    Sementara itu, Bernama melaporkan, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul sekali lagi tewas pada pemilihan kali ini bagi jawatan Ketua Cabang Sungai Petani kepada Ooi Tze Min dengan perbezaan 103 undi.

    Sementara itu, Rafizi Ramli yang juga calon Timbalan Presiden PKR berjaya mempertahankan jawatan Ketua Cabang Pandan dengan meraih 548 undi, mengatasi pencabarnya Mohamad Rashidi Hassan (373) dan Adnan Jaaffar (121).

    Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari juga mempertahankan jawatan Ketua Cabang Gombak apabila memperoleh 1,858 undi, menyingkirkan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (bekas Setiausaha Politik kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang mendapat 1,215 undi.

    Di Negeri Sembilan, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang julung kali bertanding bagi jawatan Ketua Cabang Port Dickson menang dengan memperoleh 1,129 undi menewaskan pencabar Ravi Munusamy (951) dan Sevalingam Birasami (477).

    Beliau pernah menyandang jawatan Ketua Cabang Tampin sejak 2018 dan Naib Ketua Cabang Seremban sebelum itu.

    Sementara itu, percubaan pertama Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik bertanding Ketua Cabang kawasan parlimen berkenaan membuahkan hasil apabila menang setelah meraih 109 undi menewaskan pencabarnya Faizul Abdul Ghani yang mendapat 66 undi.

    Setakat 5 petang ini, tujuh negeri sudah mengumumkan keputusan pemilihan PKR iaitu Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Sabah dan Johor.

  • Pemimpin Melayu berseteru, rakyat muak dan keliru

    Pemimpin Melayu berseteru, rakyat muak dan keliru

    guane

    AMAT payah untuk diramalkan apakah ‘ending’ atau pengakhiran cerita, jalan penyelesaian dalam drama politik di negara ini.

    Walaupun pelbagai andaian dan tafsiran diperkatakan oleh pelbagai pihak termasuk pemerhati, penganalisis politik serta pakar akademik, namun kemelut yang berlaku membabitkan parti-parti politik Melayu semakin bercambah.

    Sehingga ini terdapat pelbagai serpihan parti politik Melayu wujud di negara ini, menyebabkan rakyat kini berada dalam keadaan serba salah.

    Sebelum ini hanya terdapat dua politik Melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas yang menjadi pilihan orang Melayu, kini timbul beberapa lagi serpihan parti seperti Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Bangsa Malaysia(PBM) untuk golongan tersebut membuat pilihan.

    Ini tidak termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di samping segelintirnya ada menyertai DAP.

    Penulis hairan kenapakah pemimpin parti politik terutama membabitkan orang Melayu di negara ini sentiasa berseteru?

    Apa yang penulis tidak faham tatkala senario politik dilihat seolah tenang seperti sungai mengalir lesu, tetapi secara tiba-tiba didasarnya  berkocak dan bergelombang.

    Ini menyebabkan ia turut memantulkan buih-buih keresahan kepada rakyat.

    Kalau dahulu, kehidupan masyarakat aman damai, tetapi kini di sana sini pemimpin mula berseteru, menyebabkan rakyat semakin keliru dan bercelaru.

    Episod paling sadis setelah tumbangnya Pakatan Harapan (PH) memerintah  negara ini melalui langkah Sheraton, kewujudan Perikatan Nasional (PN) menerusi gandingan parti Bersatu, UMNO dan Pas, rakyat mengharapkan suasana baharu perjalanan politik itu terus kekal.

    Namun, ia berlaku disebaliknya apabila  bibit-bibit perselisihan mula wujud sehingga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak meletak jawatan.

    Penulis tertanya-tanya kenapa persengketaan dalaman PN antara Bersatu, Pas dan UMNO boleh berlaku?

    Malah, selepas itu wujud pula kocakan  dalam Muafakat Nasional (MN) yang diasakan oleh Pas dan UMNO.

    Perseteruan kedua-dua parti ini juga seolah olah tiada jalan penyelesaian walaupun kedua-dua pemimpin ada memberi penjelasan.

    Provokasi demi provokasi serta tuduh menuduh di antara pemimpin dalam kalangan kedua-dua parti Melayu terbesar ini turut merenggangkan permuafakatan apatah lagi apabila muncul pihak ketiga cuba memainkan peranan ke arah perpecahan.

    Ia umpama runtuhnya sebuah ikatan perkahwinan dalam sesebuah rumahtangga yang cuba di manipulasikan oleh pihak ketiga.

    Kita bimbang perseteruan yang berlarutan ini boleh meletakkan MN  semakin parah dan jika tidak diselesaikan, ia bakal berhadapan saat getir untuk menghadapi PRU15 nanti sekiranya situasi tersebut tidak berubah.

    Secara kasarnya kita melihat MN sekarang telah berpecah walaupun kedua-dua pemimpin parti terbabit ada mengeluarkan pelbagai kenyataan.

    Adegan serang menyerang, tuduh menuduh secara terbuka melalui media sosial boleh mengeruhkan lagi keadaan.

    Malah banyak pemerhati politik meramalkan sekiranya MN terbubar sehingga memaksa hanya Pas dan Bersatu bertanding mewakili PN manakala BN pula membuat pendirian bertanding solo dalam PRU15, ia bakal membuka peluang semula untuk PH kembali memerintah negara.

    Perkiraan ini dibuat memandangkan parti pembangkang terutama DAP dan Amanah telah mengambil pelbagai peluang dan kesempatan disebalik beberapa isu yang berlaku dalam PN, MN dan BN.

    Justeru, dalam menyelesaikan konflik atau kemelut dalam ini, ia memerlukan satu tugas yang amat berat dan cabaran paling besar bagi pemimpin parti terbabit bagi mendepaninya.

    Kesemua pemimpin parti perlu mencari pendekatan terbaik bagi merawat penyakit yang kini seakan  sudah menjadi barah dalam parti politik Melayu.

    Apapun tindakan  diambil yang penting ialah berhubung nasib dan masa hadapan rakyat terus terjamin.

    Untuk itu, penulis  berharap setiap pemimpin politik Melayu usah lagi bercakaran dan berseteru sesama sendiri, kurangkan bercakap serta mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi, sebaliknya duduklah berbincang di meja rundingan dengan membuang ego masing-masing.

    Kita mahukan rakyat hidup dalam keadaan selesa, aman dan tenang dengan menikmati pelbagai hasil sumber ekonomi yang ada di negara ini tanpa sebarang masalah, khususnya membabitkan kekalutan politik yang boleh menggugat keamanan dan kesejahteraan negara.

  • Tanyalah kerajaan bukan persoal Muhyiddin

    Tanyalah kerajaan bukan persoal Muhyiddin

    * Kajilah dulu sebelum ‘serang’ Muhyiddin

    TT gelak guling-guling bila tengok penyokong kuat pemimpin tertentu yang bertungkus lumus mahu mempertahankan ‘boss’ mereka. Macam-macam mereka buat dan paling kelakar, ada yang kononnya nak ‘start’ momentum bagi melancarkan  ‘serangan’ ke atas Muhyiddin Yassin.

    ‘Serangan’ itu termasuklah mempersoalkan apa Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Muhyiddin buat dalam usaha memulihkan negara. TT tak tergamak nak kata bukan-bukan kat orang tak cerdik yang bangkit soalan itu.

    Cuma TT nak minta orang yang tanya soalan tu, buatlah sikit kajian kalau pun nak ‘serang’ Muhyiddin.

    Semasa menjadi PM lagi, Muhyiddin telah melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN). Malaysia tidak akan berada dalam sekarang jika tiada perancangan teliti dilakukan oleh Kerajaan PN yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Pagoh itu.

    Tindakan pantas Muhyiddin mengarahkan supaya tempahan vaksin dilakukan lebih awal dan pelancaran Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) telah memungkinkan negara kini hampir bebas daripada pandemik Covid-19.

    Negara kini sedang menuju fasa endemik …itu semua hasil usaha Muhyiddin ketika beliau menjadi PM dan sampai sekarang semua yang beliau susun melalui PPN sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

    Dalam MPN pula, Muhyiddin sudah mengusulkan pelbagai cadangan kepada kerajaan, paling memberi impak ialah pembukaan sempadan. Melalui langkah itu, ia telah membolehkan semua sektor dibuka sekaligus memulihkan pendapatan rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

    Satu lagi ialah MPN juga meminta kerajaan merangka inisiatif bagi membantu sektor pelancongan. Ada banyak lagi kerja yang sudah dilakukan oleh MPN, hanya puak yang ‘butakan mata dan pekakkan telinga’ sahaja yang buat-buat tak tahu.

    Seperkara lagi, TT nak cakap kat puak-puak tu, MPN hanya mencadangkan kepada kerajaan langkah-langkah pemulihan untuk  negara selepas pandemik Covid-19, sama ada kerajaan nak ikut atau tidak, itu urusan kerajaan.

    Jadi daripada dok persoal apa yang Muhyiddin buat dalam MPN, kenapa tidak tanya kerajaan adakah semua syor yang dikemukakan oleh majlis itu sudah dilaksanakan oleh kerajaan. Itu lagi berfaedah.

    TT nak nasihatkan mereka yang ‘serang’ Muhyiddin…lupakanlah strategi tu, ia tak ke mana, percayalah..

    *Apa salahnya Tengku Zafrul,Dzulkifli  bertanding?

    PUAK-puak dalam UMNO dok kecoh pasal Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz nak jadi calon PRU-15.Walaupun tuan punya badan tak kata apa-apa tapi spekulasi sudah bertebaran, Menteri Kewangan itu nak tanding dalam pilihan raya tersebut.

    Sekarang ini, Tengku Zafrul ke hulu ke hilir cari kawasan nak tanding. Beberapa bahagian dah menolak. Setakat ni nampak UMNO Sungai Besar sahaja terima beliau tapi soal dapat jadi calon atau tidak, pucuk kepimpinan UMNO akan tentukan.

    Cuma yang TT persoalkan, kenapa susah sangat bahagian-bahagian UMNO nak terima Tengku Zafrul. Beliau bukan calang-calang orang. Beliau adalah Menteri Kewangan dan mempunyai latar belakang ekonomi serta kewangan cukup hebat, untung kalau beliau jadi calon UMNO.

    Tetapi perangai sesetengah pemimpin UMNO ni ‘buruk’, mereka tak boleh ada orang yang lebih pandai sebab masing-masing pentingkan survival politik sendiri. Kalau mereka betul-betul fikir pasal mahu memperkukuhkan dan memperkuatkan parti, tak ada masalah kalau orang macam Tengku Zafrul nak bertanding.

    Macam tu juga bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad yang khabarnya berhasrat nak bertanding di salah satu kerusi Parlimen di Pulau Pinang. Beliau pun bukan calang-calang orang kerana mempunyai latar belakang undang-undang yang hebat dan mempunyai integriti tinggi.

    Beliau nak bertanding di kampung beliau, nak berbakti kepada orang kampung selepas sekian lama berada di luar demi tugas dalam kerajaan, jadi berilah peluang. Tak kan hanya orang politik sahaja boleh jadi calon.

    TT pun tahu juga sekarang ni di peringkat bawa UMNO semakin rancak perebutan nak menjadi calon PRU-15…sampai ada sesetengah kawasan tu sampai 13 orang nak satu kerusi tu..kerusi mana biarlah rahsia.

    Yang pasti perebutan tengah rancak, soal integriti yang membelenggu pemimpin-pemimpin atasan dah tak peduli yang penting dapat watikah untuk jadi calon. Sebab itulah sekarang ni kita tengok mana ada mana-mana pemimpin UMNO yang berani tegur kepemimpinan, semua dah ‘menikus’..takut tersilap cakap..nama tercicir.

  • Sanusi bawa suara rakyat, tak perlu cetus isu untuk popular

    Sanusi bawa suara rakyat, tak perlu cetus isu untuk popular

    ANALISIS

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    ‘PERGESERAN’ antara Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Tunku Mahkota Johor tidaklah membawa kepada unsur derhaka atau menentang istana kerana apa yang dikatakan Menteri Besar Kedah itu mungkin berdasarkan apa yang dilihatnya sedang berlaku.

    Memang benar jika melihat kepada ‘status quo’, memberi komen terhadap raja atau kerabat dikatakan tidak manis selari prinsip kedua Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada raja dan negara.

    Namun, dalam hal Muhammad Sanusi dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim ini, ‘perang dingin’ antara mereka berkisar mengenai arena bola sepak negara yang diambil berat oleh kedua-dua mereka.

    Masing-masing ada pandangan dan cara tersendiri bagi mengendalikan pasukan mereka. Yang mana baik berkongsilah…yang mana tak baik anggap sahaja sekadar pandangan, tak perlu sampai wujud suasana tidak harmoni.

    Oleh itu, tiada salah bagi Menteri Besar Kedah itu menyuarakan perkara yang sebenar kerana beliau juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), sementara Tunku Ismail pula atas kapasiti pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

    Muhammad Sanusi pun sebenarnya tidak perlu mencipta isu atau nak komen semua benda atas dasar mencari populariti kerana beliau memang sentiasa ‘terkenal’ yang bukan sahaja sejak menjadi Menteri Besar Kedah tetapi sebelum itu lagi.

    Malah, jika menyorot komen-komen yang diberikan pengguna media sosial terutamanya peminat dan penyokong tegar bola sepak, rata-ratanya bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh Muhammad Sanusi cuma mereka bimbang untuk bersuara.

    Jika hanya sebagai rakyat biasa atau penyokong biasa yang bersuara mengenai hal itu mungkin ia tidak akan membawa ke mana, tetapi dengan adanya pemimpin seperti Muhammad Sanusi yang juga seorang ‘kaki bola’ impaknya lebih meluas.

    Sebenarnya, tidak hanya Kedah bukan pasukan super kaya seperti dikatakan Muhammad Sanusi yang harus tunduk kepada gaya gaji elit tetapi pasukan-pasukan lain juga bergelut dengan perkara itu.

    Bola sepak adalah sukan rakyat, walaupun prestasi pasukan negara masih terumbang-ambing tetapi sekurang-kurangnya permainan itu mampu menyatukan rakyat di luar padang. Tidak seharusnya berlaku ‘penindasan’ dalam permainan itu kerana setiap kelab ada cara tersendiri menguruskan pasukan mereka. Kedah ada cara Kedah, Selangor ada cara Selangor dan JDT juga ada cara JDT.

    Seperkara lagi perlu diingat, JDT juga melalui proses transformasi yang panjang sebelum kini terkenal di peringkat antarabangsa, dahulu kelab itu juga bukan pasukan yang sentiasa menghuni tangga teratas Liga Malaysia.

    Maka, sewajarnya kelab-kelab lain perlu turut diberi ruang, peluang dan masa untuk berjaya seperti JDT termasuk Kedah yang sentiasa menghasilkan pemain pelapis yang bermutu sehingga disambar pasukan lain.

    Pasukan-pasukan negeri lain juga mungkin boleh berjaya atau lebih berjaya daripada JDT sekiranya mereka mempunyai kemampuan kewangan yang sama kerana zaman kini pemain beraksi sepenuhnya secara profesional.

    Seperti kata Muhammad Sanusi juga, trend pembayaran gaji yang terlampau mahal tidak boleh diikuti semua pasukan kerana Kedah contohnya perlu mengimbangi antara kepentingan rakyat dengan pembangunan bola sepak.

  • Ismail Sabri perlu pegang janji, jangan tunduk ‘tekanan’  UMNO

    Ismail Sabri perlu pegang janji, jangan tunduk ‘tekanan’  UMNO

    ADAKAH isu siapa yang akan mengisi kekosongan jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi akan menjadi ‘senjata’ kepada UMNO untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen?

    Ketika ini walaupun ramai pemimpin UMNO mengetahui dan memahami bahawa kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Zuraida Kamaruddin perlu diisi oleh parti Bersatu namun mereka buat-buat tak  tahu.

    Mereka bercakap soal kuasa mutlak (prerogatif) Perdana Menteri untuk melantik sesiapa juga menganggotai Kabinet dan Ismail Sabri tidak harus diberi tekanan berhubung soal itu, tetapi yang anehnya, ketika mereka menegaskan perkara itu, pada masa sama mereka juga dilihat bersikap sebaliknya.

    ‘Lebih mengerikan’ sudah ada ‘bisikan-bisikan beracun’ supaya UMNO ‘merampas’ jawatan itu daripada Bersatu atas alasan Bersatu semakin lemah. Khabarnya, entah betul atau tidak, UMNO mungkin sudah ada calon.

    Penulis tidak faham kenapa UMNO mahu menyibuk soal kekosongan itu. Kalaulah yang letak jawatan tersebut ahli Parlimen UMNO..okayla…tapi ini dari Bersatu. Apa perasaan UMNO kalau kuota mereka dalam Kabinet mahu diambil oleh parti lain.

    Tetapi penulis tidak pasti sama ada segelintir pemimpin UMNO ‘ada perasaan’ atau tidak dalam bab-bab macam itu sebab yang pasti keangkuhan semakin terserlah.

    Penulis tidak menafikan menjadi hak Perdana Menteri dalam soal pelantikan tersebut tetapi kita juga sama sekali tidak boleh menolak fakta bahawa terdapat perjanjian antara parti-parti yang bergabung dalam kerajaan sekarang.

    Ia termasuklah soal kouta bagi jawatan dalam Kabinet. Perjanjian itu kekal dan tidak boleh diubah sewenang-wenangnya mengikut kehendak politik mana-mana pihak. Kalau jawatan menteri itu adalah kuota Bersatu maka ia harus diserahkan kepada parti tersebut.

    Perjanjian tetap perjanjian…kalau ia mahu dimungkiri, tak payahlah buat perjanjian sebab mengingkari janji ini hanya dilakukan oleh golongan munafik.

    UMNO sama sekali tidak layak atau ‘bermimpi’ mahu mengisi kekosongan itu kerana merasakan mereka semakin kuat selepas menang dalam dua PRN.Kenapa mahu mewujudkan polemik yang boleh mengugat kestabilan politik? Tidak cukupkah lagi dengan apa yang dilakukan oleh UMNO ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dahulu?

    Tolonglah, rakyat tengah dihimpit dengan pelbagai peningkatan kos sara hidup, Ringgit sedang merudum, harga barang meningkat manakala krisis keselamatan makanan berada ‘di ambang pintu’. Sepatutnya itulah yang harus diberikan keutamaan oleh pemimpin-pemimpin UMNO bukannya terlalu teruja apatah lagi ghairah mahu memberi tekanan kepada Ismail Sabri memungkiri janji yang dibuat dengan Perikatan Nasional (PN).

    Paling penting tak kanlah kerana satu kerusi Kabinet, UMNO mahu mengulangi perangai lama hendak mencetuskan polemik politik yang akan menyusahkan rakyat? Lagipun tempoh untuk mengadakan pilihan raya hanya tinggal tidak sampai setahun lagi.

    Janganlah pula kalau Ismail Sabri memutuskan untuk mengekalkan jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi kepada Bersatu, ia akan dijadikan ‘senjata’ oleh UMNO untuk mendesak PRU-15 disegerakan.

    Penulis faham dalam kalangan pemimpin UMNO, mereka sudah tidak sabar lagi mahu pilihan raya itu diadakan, justeru mereka cuba mencari helah dan alasan bagi tujuan tersebut. Malah mungkin juga mereka berharap apabila jawatan itu tidak diberikan kepada Bersatu, PN akan marah dan seterusnya menarik sokongan kepada Perdana Menteri sekaligus membuka laluan kepada PRU-15..adakah itu niat UMNO?

    Pada pandangan penulis, dalam situasi negara yang sedang berhadapan dengan pelbagai masalah ekonomi dan kewangan manakala rakyat berada dalam kesusahan serta baru sahaja mahu bangkit semula selepas pandemik Covid-19, desakan atau tindakan yang mahu mendorong kepada PRU-15 dilaksanakan boleh dianggap tidak bertanggungjawab atau dalam bahasa pasar ‘tidak berhati perut’!

    Pemimpin-pemimpin UMNO perlu faham walaupun Ismail Sabri adalah Naib Presiden UMNO tetapi dalam soal pelantikan dalam Kabinet, mereka tidak berhak untuk mencampuri bidang kuasa beliau sebagai Perdana Menteri.

    Usahlah di depan, begitu bijak bercakap soal prerogatif Perdana Menteri tetapi di belakang menyusun gerakan mahu memberi tekanan kepada beliau untuk mengikut telunjuk UMNO.

    Hakikatnya, isu siapa yang harus dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi bukanlah sulit sangat memandangkan sudah ada perjanjian tetapi dalam keadaan UMNO tidak ada modal untuk mendesak PRU-15 diadakan sepertimana agenda politik mereka sejak perhimpunan agung parti itu baru-baru ini, ia sengaja mahu dijadikan isu.

    Apa yang diharapkan Ismail Sabri tidak akan tunduk dengan tekanan pemimpin-pemimpin UMNO walaupun beliau adalah Naib Presiden parti itu. Jika Ismail Sabri tidak boleh melakukan tindakan yang memperlihatkan beliau lemah dan terpaksa akur dengan kehendak UMNO.

    Benar sebagai orang parti, Ismail Sabri perlu akur dengan kehendak UMNO tetapi jawatan Perdana Menteri bukan ‘harta’ UMNO yang boleh diperkotak-katikkan sewenang-wenangnya. Oleh itu Ismail Sabri perlu tegas dan bijak mengendalikan keadaan khususnya dalam memastikan perjanjian dengan PN/Bersatu tidak dimungkiri dan kestabilan politik negara tidak tergugat.

    Seperkara lagi, jika jawatan menteri itu diberikan kepada UMNO, ia akan menyebabkan rakyat melihat UMNO sememangnya tamak kuasa dan mahu merebut kuasa serta sengaja cari pasal untuk menggugat kestabilan politik, ketika banyak isu rakyat dan negeri yang harus diberikan keutamaan.

    Sebagai rakyat biasa, timbul juga perasaan muak penulis terhadap politiking tidak berkesudahan yang cuba dicetuskan oleh UMNO. Walaupun sudah kalah dalam PRU-14 namun pemimpin-pemimpin UMNO masih jugak belum insaf. Dalam kalangan mereka masih mahu mengaturkan segala-galanya tanpa menyedari rakyat semakin mual dengan perangai UMNO.

    Kesmpulan, terserah kepada Ismail Sabri bagaimana mahu menyelesaikan isu pelantikan Menteri Perladangan dan Komoditi tersebut tetapi apa yang pasti janji harus ditepati bukan dimungkiri dan negara tidak berupaya berhadapan dengan satu lagi krisis politik akibat angkara UMNO!

  • GRS diharap dapat memenuhi aspirasi rakyat Sabah – Muhyiddin

    GRS diharap dapat memenuhi aspirasi rakyat Sabah – Muhyiddin

    GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) yang didaftarkan secara rasmi sebagai entiti politik baharu di Sabah pada Mac lalu telah dilancarkan Ketua Menteri yang juga pengerusinya Datuk Hajiji Noor, pada Sabtu.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi kenyataan di Facebook mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan pelancaran parti berkenaan yang dipimpin oleh Hajiji Noor yang juga merupakan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sabah dan Pengerusi PN Negeri Sabah.

    Pendaftaran GRS secara rasmi pada Mac lalu membabitkan empat parti iaitu Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

    “Penubuhan GRS diharapkan dapat memenuhi aspirasi rakyat negeri Sabah untuk memacu kemajuan dan pembangunan negeri Sabah yang lebih rancak dan mampan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini, lapor Satu Berita.

    Baru-baru ini, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) diterima masuk sebagai komponen GRS dan menjadikannya sebagai parti kelima menyertai gabungan politik berkenaan.

    Pembentukan GRS bermula pada September 2020 iaitu semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi menentang parti kerajaan pada masa itu iaitu Warisan Plus yang merangkumi Parti Warisan Sabah (Warisan), Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

    Pada masa itu, GRS disertai oleh Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh Bersatu, STAR, SAPP dan Barisan Nasional (BN) yang merangkumi UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta PBS.

  • Penolong pegawai tadbir MBSA maut ketika menyelam

    Penolong pegawai tadbir MBSA maut ketika menyelam

    SEORANG kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meninggal dunia ketika melakukan aktiviti menyelam bersama rakannya di perairan Tokong Timur, Pulau Tenggol, hari ini.

    Kejadian yang menimpa Puspasari Aminuddin, 37, disedari apabila mangsa ditemui tidak bernafas ketika timbul dari penyelaman.

    Pemandu bot kumpulan itu, Mohamad Sani berkata, mangsa timbul selepas 15 minit di dalam air sedangkan masa diperuntukkan adalah 45 minit.

    Beliau pelik apabila melihat mangsa timbul selepas hanya 15 minit menyelam tetapi tidak berbuat apa-apa kerana fikirkan wanita berkenaan mahu berehat atau mengambil nafas.

    “Apabila melihat mangsa tidak bergerak, saya mula curiga sebelum menghidupkan enjin bot dan pergi mendapatkan mangsa dalam jarak kira-kira 150 meter.

    “Mangsa tidak menunjukkan tindas balas selepas saya mengejutkan beberapa kali sebelum saya menaikkan dia ke atas bot dan memeriksa nadi,” katanya memetika laporan Berita Harian.

    Mohammad berkata, selepas membuat pemeriksaan nadi, mangsa didapati meninggal dunia sebelum segera menghubungi talian kecemasan.

    Mangsa yang juga penolong pegawai tadbir MBSA bersama tiga rakan melakukan aktiviti penyelaman di situ.

    Ketika itu ada lapan penyelam lain juga menyelam di situ.

    “Kami bertolak dari Kuala Dungun pukul 8.30 pagi dan tiba di situ, pukul 9.45 pagi sebelum mangsa serta penyelam lain turun menyelam.

    “Saya dan pembantu saya di atas bot dan 15 minit selepas itu, saya pelik bila melihat mangsa timbul di permukaan air dalam sedangkan masa menyelam diperuntukkan kepada mereka sekitar 45 minit,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

    Menurutnya, mangsa bersama tiga rakannya tiba di Dungun malam tadi sebelum bertolak ke kawasan Pulau Tenggol pukul 8.30 pagi ini untuk menyelam di situ.

    “Mangsa dikatakan memiliki sijil menyelam dan menyertai trip harian itu dan dijangka pulang semula ke Dungun pada petang ini.

    “Mayat mangsa dibawa oleh pemandu bot ke Kuala Dungun sebelum dibawa polis ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut,” katanya.

  • Ahmad Maslan jangan mengadu domba, rasa besar sangat – Hamzah

    Ahmad Maslan jangan mengadu domba, rasa besar sangat – Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin membidas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyifatkan Bersatu lemah apabila Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin keluar Bersatu, kelmarin.

    Hamzah berkata, keputusan individu yang keluar tidak ada kena mengena dengan parti dan Bersatu masih merupakan parti yang kuat serta mempunyai wakil dalam barisan Kabinet.

    “Jangan cuba nak mengadu domba kerana Yang Amat Berhormat menjadi Perdana Menteri. Itu kedudukan jumlah yang ada dengan beliau, hanya sedikit saja.

    “Yang lain-lain itu daripada parti-parti lain. Saya nak mengingatkan kepada Ahmad Maslan, jangan rasa besar sangat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Stadium Indera Mulia Ipoh, hari ini, lapor Astro Awani.

    Semalam, Ahmad Maslan dilaporkan menyifatkan tindakan Zuraida meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), menunjukkan parti di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu semakin lemah.

    Selain itu beliau berkata Rang Undang-undang Antilompat Parti perlu dibentangkan di Parlimen pada Julai ini biarpun tiada Sidang Dewan Khas.

    Kelmarin, Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi selepas melompat parti daripada Bersatu ke PBM.

  • Cacar monyet: Pintu sempadan negara tidak ditutup-KPM

    Cacar monyet: Pintu sempadan negara tidak ditutup-KPM

    KERAJAAN tidak bercadang menutup semula pintu sempadan meskipun berlaku penularan virus cacar monyet di beberapa negara, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.

    Sebaliknya beliau berkata, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) hanya akan meningkatkan tahap pengawasan di semua pintu masuk antarabangsa terutama di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

    “Setakat ini tidak (ditutup). Saya tahu cacar monyet sudah mula merebak. Setakat ini tidak ada di Malaysia. Kita memperketatkan kawalan pintu masuk kita tetapi belum tutup, kita tidak tutup.

    “Kita akan melakukan saringan lebih ketat kepada pengembara dari negara endemik yang dikesan mempunyai kes virus cacar monyet.

    “Antaranya ujar beliau, ialah dari Kanada, Sepanyol, Portugal, Sweden, Perancis, Itali, Amerika Syarikat, Switzerland dan Austria.
    KKM mempunyai kepakaran dalam mengesan virus berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Kajian Kematian Perioperatif (POMR) Kebangsaan kali ke-7 di sebuah hotel di Ayer Keroh, hari ini, lapor Astro Awani.

    Dr. Noor Azmi mengulas mengenai satu kes virus cacar monyet di kesan di Singapura yang disyaki dibawa masuk seorang warganegara Nigeria di republik itu.

    Pihaknya juga bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, Jabatan Veterinar serta Jabatan
    Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), bagi mengesan penularan virus berkenaan.