ADAKAH isu siapa yang akan mengisi kekosongan jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi akan menjadi ‘senjata’ kepada UMNO untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen?

Ketika ini walaupun ramai pemimpin UMNO mengetahui dan memahami bahawa kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Zuraida Kamaruddin perlu diisi oleh parti Bersatu namun mereka buat-buat tak  tahu.

Mereka bercakap soal kuasa mutlak (prerogatif) Perdana Menteri untuk melantik sesiapa juga menganggotai Kabinet dan Ismail Sabri tidak harus diberi tekanan berhubung soal itu, tetapi yang anehnya, ketika mereka menegaskan perkara itu, pada masa sama mereka juga dilihat bersikap sebaliknya.

‘Lebih mengerikan’ sudah ada ‘bisikan-bisikan beracun’ supaya UMNO ‘merampas’ jawatan itu daripada Bersatu atas alasan Bersatu semakin lemah. Khabarnya, entah betul atau tidak, UMNO mungkin sudah ada calon.

Penulis tidak faham kenapa UMNO mahu menyibuk soal kekosongan itu. Kalaulah yang letak jawatan tersebut ahli Parlimen UMNO..okayla…tapi ini dari Bersatu. Apa perasaan UMNO kalau kuota mereka dalam Kabinet mahu diambil oleh parti lain.

Tetapi penulis tidak pasti sama ada segelintir pemimpin UMNO ‘ada perasaan’ atau tidak dalam bab-bab macam itu sebab yang pasti keangkuhan semakin terserlah.

Penulis tidak menafikan menjadi hak Perdana Menteri dalam soal pelantikan tersebut tetapi kita juga sama sekali tidak boleh menolak fakta bahawa terdapat perjanjian antara parti-parti yang bergabung dalam kerajaan sekarang.

Ia termasuklah soal kouta bagi jawatan dalam Kabinet. Perjanjian itu kekal dan tidak boleh diubah sewenang-wenangnya mengikut kehendak politik mana-mana pihak. Kalau jawatan menteri itu adalah kuota Bersatu maka ia harus diserahkan kepada parti tersebut.

Perjanjian tetap perjanjian…kalau ia mahu dimungkiri, tak payahlah buat perjanjian sebab mengingkari janji ini hanya dilakukan oleh golongan munafik.

UMNO sama sekali tidak layak atau ‘bermimpi’ mahu mengisi kekosongan itu kerana merasakan mereka semakin kuat selepas menang dalam dua PRN.Kenapa mahu mewujudkan polemik yang boleh mengugat kestabilan politik? Tidak cukupkah lagi dengan apa yang dilakukan oleh UMNO ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dahulu?

Tolonglah, rakyat tengah dihimpit dengan pelbagai peningkatan kos sara hidup, Ringgit sedang merudum, harga barang meningkat manakala krisis keselamatan makanan berada ‘di ambang pintu’. Sepatutnya itulah yang harus diberikan keutamaan oleh pemimpin-pemimpin UMNO bukannya terlalu teruja apatah lagi ghairah mahu memberi tekanan kepada Ismail Sabri memungkiri janji yang dibuat dengan Perikatan Nasional (PN).

Paling penting tak kanlah kerana satu kerusi Kabinet, UMNO mahu mengulangi perangai lama hendak mencetuskan polemik politik yang akan menyusahkan rakyat? Lagipun tempoh untuk mengadakan pilihan raya hanya tinggal tidak sampai setahun lagi.

Janganlah pula kalau Ismail Sabri memutuskan untuk mengekalkan jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi kepada Bersatu, ia akan dijadikan ‘senjata’ oleh UMNO untuk mendesak PRU-15 disegerakan.

Penulis faham dalam kalangan pemimpin UMNO, mereka sudah tidak sabar lagi mahu pilihan raya itu diadakan, justeru mereka cuba mencari helah dan alasan bagi tujuan tersebut. Malah mungkin juga mereka berharap apabila jawatan itu tidak diberikan kepada Bersatu, PN akan marah dan seterusnya menarik sokongan kepada Perdana Menteri sekaligus membuka laluan kepada PRU-15..adakah itu niat UMNO?

Pada pandangan penulis, dalam situasi negara yang sedang berhadapan dengan pelbagai masalah ekonomi dan kewangan manakala rakyat berada dalam kesusahan serta baru sahaja mahu bangkit semula selepas pandemik Covid-19, desakan atau tindakan yang mahu mendorong kepada PRU-15 dilaksanakan boleh dianggap tidak bertanggungjawab atau dalam bahasa pasar ‘tidak berhati perut’!

Pemimpin-pemimpin UMNO perlu faham walaupun Ismail Sabri adalah Naib Presiden UMNO tetapi dalam soal pelantikan dalam Kabinet, mereka tidak berhak untuk mencampuri bidang kuasa beliau sebagai Perdana Menteri.

Usahlah di depan, begitu bijak bercakap soal prerogatif Perdana Menteri tetapi di belakang menyusun gerakan mahu memberi tekanan kepada beliau untuk mengikut telunjuk UMNO.

Hakikatnya, isu siapa yang harus dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi bukanlah sulit sangat memandangkan sudah ada perjanjian tetapi dalam keadaan UMNO tidak ada modal untuk mendesak PRU-15 diadakan sepertimana agenda politik mereka sejak perhimpunan agung parti itu baru-baru ini, ia sengaja mahu dijadikan isu.

Apa yang diharapkan Ismail Sabri tidak akan tunduk dengan tekanan pemimpin-pemimpin UMNO walaupun beliau adalah Naib Presiden parti itu. Jika Ismail Sabri tidak boleh melakukan tindakan yang memperlihatkan beliau lemah dan terpaksa akur dengan kehendak UMNO.

Benar sebagai orang parti, Ismail Sabri perlu akur dengan kehendak UMNO tetapi jawatan Perdana Menteri bukan ‘harta’ UMNO yang boleh diperkotak-katikkan sewenang-wenangnya. Oleh itu Ismail Sabri perlu tegas dan bijak mengendalikan keadaan khususnya dalam memastikan perjanjian dengan PN/Bersatu tidak dimungkiri dan kestabilan politik negara tidak tergugat.

Seperkara lagi, jika jawatan menteri itu diberikan kepada UMNO, ia akan menyebabkan rakyat melihat UMNO sememangnya tamak kuasa dan mahu merebut kuasa serta sengaja cari pasal untuk menggugat kestabilan politik, ketika banyak isu rakyat dan negeri yang harus diberikan keutamaan.

Sebagai rakyat biasa, timbul juga perasaan muak penulis terhadap politiking tidak berkesudahan yang cuba dicetuskan oleh UMNO. Walaupun sudah kalah dalam PRU-14 namun pemimpin-pemimpin UMNO masih jugak belum insaf. Dalam kalangan mereka masih mahu mengaturkan segala-galanya tanpa menyedari rakyat semakin mual dengan perangai UMNO.

Kesmpulan, terserah kepada Ismail Sabri bagaimana mahu menyelesaikan isu pelantikan Menteri Perladangan dan Komoditi tersebut tetapi apa yang pasti janji harus ditepati bukan dimungkiri dan negara tidak berupaya berhadapan dengan satu lagi krisis politik akibat angkara UMNO!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here