Author: Admin

  • Pemilihan PKR: Audit atau tidak? Minggu depan baru tahu

    Pemilihan PKR: Audit atau tidak? Minggu depan baru tahu

    KEPUTUSAN berkaitan desakan agar audit dilakukan terhadap pemilihan PKR akan diketahui selewat-lewatnya minggu depan.

    Malaysiakini yang memetik The Star melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa berkata, tindakan itu diambil susulan aduan bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

    Farhash mendesak agar audit forensik dilakukan terhadap keputusan pemilihan PKR yang didakwanya meragukan.

    “Mereka minta audit forensik. Itu adil bagi saya. Jadi, kita boleh pertimbangkan untuk membuktikan integriti kita.

    “Kami akan membuat keputusan secepat mungkin, kerana kami sedang melihat beberapa perkara lagi, seperti aduan. Kami harus membuat keputusan dalam masa seminggu,” katanya.

    Beliau menambah, terdapat ‘beberapa ratus aduan’ yang dikemukakan oleh calon-calon pemilihan tersebut.

    “Kami mempunyai panel aduan untuk melihatnya. Ada aduan mengenai (beberapa perkara ‘yang tidak kena’ dalam pengiraan undi), tetapi kami masih memperincikannya,” jelasnya.

    PKR mengadakan pemilihan kepimpinan tiga tahun sekali awal bulan ini. Keputusan rasmi hanya akan diumumkan semasa kongres tahunan parti pada 25 Jun dan 26 Jun.

    Pemilihan itu dijalankan menggunakan aplikasi telefon pintar Adil. Undian dibuat sama ada secara bersemuka melalui komputer tablet atau dari jauh, pada tarikh yang ditetapkan.

    Proses pemilihan itu menyaksikan Farhash tewas kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam saingan merebut Ketua PKR Cabang Gombak.

    Beliau antara lain mendakwa proses pengiraan undi dijalankan tanpa kehadiran pemeriksa.

    Selain itu, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail pula mendakwa terdapat cabang yang bercanggah mengenai bilangan ahli yang benar-benar mengundi dan jumlah ahli yang mendaftar untuk mengundi.

    Pemilihan PKR kali ini berlangsung dalam suasana panas lebih-lebih lagi dengan kemunculan semula Rafizi Ramli yang bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden.

    Sementara itu, Bernama melaporkan, tempoh bantahan bagi pencalonan pemilihan PKR akan dibuka bermula esok hingga 3 Jun manakala tempoh rayuan akan bermula pada 4 hingga 6 Jun.

    Zaliha berkata, tempoh itu melibatkan pencalonan bagi ahli majlis pimpinan pusat (Ahli MPP), Ahli majlis pimpinan angkatan Muda keadilan pusat (Ahli MPAMKP) dan Ahli majlis pimpinan wanita pusat (Ahli MPWP).

    Beliau dalam satu pekeliling hari ini turut memaklumkan, senarai calon akan dimuktamadkan pada 7 Jun.

    Katanya, setiap bantahan perlu didahulukan dengan yuran bantahan RM50 beserta lampiran bukti yang berkenaan melalui aplikasi ADIL, dan sebarang bantahan tanpa bayaran yuran akan ditolak secara automatik.

    “Segala urusan dan perjalanan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) adalah menurut Peraturan Pemilihan dan Tatacara Pemilihan Parti pindaan 21 Feb 2022,” katanya dalam pekeliling itu.

  • Enam GRO warga asing diberkas dalam serbuan

    Enam GRO warga asing diberkas dalam serbuan

    POLIS menahan enam pelayan pelanggan (GRO) warga asing selepas melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur pukul 10.15 malam tadi.

    Operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semasa gadis GRO berkenaan leka melayan pelanggan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, empat wanita warga Filipina dan dua wanita warga Indonesia itu berusia lingkungan 27 hingga 44 tahun.

    “Kita turut menahan seorang lelaki disyaki pengurus premis menggaji wanita terbabit dengan kadar RM100 hingga 130 sejam,” katanya dalam kenyataan, hari ini, memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit bekerja di premis itu sejak dua bulan lalu.

    “Kita turut memeriksa seramai 13 pelanggan dan tiga pekerja dalam operasi itu,” katanya.

    Habibi berkata, kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 (1) (c) akta sama.

    “Kes turut disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen,” katanya.

  • Bayi 40 hari ‘mengandung’, janin ditemukan dalam perutnya

    Bayi 40 hari ‘mengandung’, janin ditemukan dalam perutnya

    PUSAT Perubatan Rahmania di Motihari, India, gempar apabila seorang bayi yang hanya berusia 40 hari di India didapati mempunyai janin di dalam perutnya.

    Perkara itu terbongkar apabila bayi dibawa ke pusat berkenaan untuk rawatan sebelum doktor menemui kes perubatan luar biasa itu.

    Menurut Harian Metro yang memetik laporan agensi berita ANI, doktor diberitahu bayi itu mengalami kembung perut hingga tidak dapat membuang air kecil dengan baik, sebelum doktor membuat pemeriksaan lanjut.

    Dr. Tabrez Aziz di pusat perubatan terbabit membuat imbasan Tomografi Berkomputer (CT) sebelum menemui janin yang berkembang di dalam perut bayi itu.

    Menurut Dr. Tabrez, dalam istilah perubatan, kes berkenaan digelar fetus dalam janin atau kehadiran janin di dalam perut bayi.

    Katanya, keadaan luar biasa itu hanya berlaku satu dalam 500,000 pesakit.

    “Satu anomali (perubatan yang jarang berlaku) terbongkar di mana janin dilihat berkembang di dalam perut bayi berusia 40 hari.

    “Ia dipanggil fetus dalam janin. Bayi itu sudah menjalani pembedahan dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

    Beliau berkata, bayi itu kini semakin pulih selepas menjalani pembedahan membuang janin berkenaan dan dibenarkan keluar dari hospital.

  • Wanita dibunuh, dibakar, ditemukan di tepi sungai

    Wanita dibunuh, dibakar, ditemukan di tepi sungai

    MAYAT seorang wanita ditemukan dalam keadaan terbakar dan dipercayai mangsa bunuh di kawasan tepi sungai di Kampung Talang Hulu, dekat Simpang Lawin, Kuala Kangsar, petang semalam.

    Panggilan berhubung penemuan mayat itu diterima daripada orang awam pada pukul 3.05 petang.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, susulan itu anggota Unit Forensik serta Unit Anjing Pengesan (K9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak digerakkan ke lokasi.

    “Identiti sebenar mangsa bagaimanapun, belum dikenal pasti.

    “Hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati, wanita dipercayai mati dibunuh dan dibakar di lokasi yang sama mangsa ditemukan.

    “Daripada penelitian awal berdasarkan fizikal, mangsa dipercayai wanita berbangsa India. Bagaimanapun, identiti sebenar mangsa masih belum dikenal pasti,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya lagi, mayat dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat bagi mencari punca sebenar kematiannya dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian mahupun kehilangan ahli keluarga supaya tampil berhubung dengan mana-mana balai polis terdekat.

    “Maklumat juga boleh disampaikan dengan terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd. Subkey Alias di talian 013-9285436,” katanya.

  • Dua budak dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras

    Dua budak dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras

    KEGEMBIRAAN menjelang sambutan Hari Gawai di Sarawak esok bertukar hiba apabila dua kanak-kanak di Rumah Panjang Ekaw, Nanga Sungai Sawang di Kapit dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras, pukul 5.12 petang tadi.

    Mangsa merupakan seorang kanak-kanak perempuan, Chelsea Charity Darrie Ricky, 10, dan kanak-kanak lelaki, Damien Dashlley Sedan Donny, 9, yang sebelum itu mandi bersamas-ama keluarga mereka.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.42 petang tadi.

    “Panggilan kecemasan itu dibuat selepas kira-kira 30 minit kedua-dua mangsa hilang dibawa arus.

    “Mereka dikatakan tiba-tiba hanyut sebelum hilang dibawa arus deras,” katanya dalam kenyataan, malam ini, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian itu.

    “Komander operasi melaporkan pencarian awal dilakukan bersama dengan penduduk kampung. Bagaimanapun, keadaan cuaca gelap menyebabkan operasi terpaksa ditangguhkan pada 7.05 malam,” katanya.

  • Berkuasa bukan alasan kebal undang-undang, kata Tun M

    Berkuasa bukan alasan kebal undang-undang, kata Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan individu tertentu yang mempunyai pengaruh dan kuasa tidak bermaksud boleh melanggar undang-undang sesuka hati.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini kerana setiap negara, organisasi dan masyarakat memerlukan kepada peraturan dan undang-undang.

    “Ada individu-individu tertentu yang mempunyai kepentingan dan pengaruh kuasa melebihi undang-undang.

    “Namun begitu, bagi memastikan keadilan dan layanan yang adil untuk semua orang, individu yang berkuasa tidak akan diabaikan sama sekali.

    “Sebagai contoh, undang-undang melarang pembunuhan. Berada atas undang-undang tidak bermakna pembunuhan boleh dilakukan tanpa hukuman.

    “Terdapat banyak peraturan dan dasar yang tidak boleh dilanggar walaupun oleh mereka yang berada di atas undang-undang,” katanya dalam hantaran dalam Facebook rasminya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, individu yang berkuasa perlu mengelak daripada melanggar peraturan dan undang-undang kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada masyarakat.

    “Malaysia masih lagi bernasib baik kerana keistimewaan itu tidak sering digunakan. Jika hak istimewa di salah guna sekalipun, rakyat Malaysia masih bertolak ansur dan pemaaf.

    “Sudah tentu, kita tidak tahu had toleransi sedemikian. Adalah lebih baik untuk mengelakkan dari penyalahgunaan kuasa.

    “Orang yang mempunyai keistimewaan itu mesti mengingati perkara ini,” ujar Ahli Parlimen Langkawi itu.

  • Sekarang bukan masa sesuai adakan PRU15-PM

    Sekarang bukan masa sesuai adakan PRU15-PM

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak kemungkinan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lebih awal.

    Ini kerana beliau menganggap PRU-15 tidak sesuai memandangkan kenaikan harga barang makanan dan kos sara hidup yang berkaitan.

    Ahli Parlimen Bera itu masih menunggu waktu yang sesuai untuk membubarkan Parlimen.

    “Kenaikan harga barang makanan serta kos sara hidup itu, dilihat berpunca dari ketegangan yang berlaku di peringkat global akibat peperangan antara Rusia dan Ukraine.

    “Kita sekarang sedang menghadapi peningkatan inflasi, dengan harga barangan yang melambung tinggi … awak rasa ia waktu yang sesuai (untuk adakan pilihan raya,” katanya menerusi wawancara khas bersama Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini, lapor Astro Awani hari ini.

    Ismail Sabri, yang juga merupakan Naib Presiden dalam UMNO, didakwa sedang menghadapi tekanan dari pihak tertentu dalam parti, bagi membubarkan Parlimen lebih awal.

    Menurut laporan media terdahulu, Bank Negara Malaysia mengunjurkan kenaikan inflasi antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus tahun ini, dengan kenaikan harga barangan sekitar 4.3 peratus.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, perbubaran parlimen tidak boleh dilakukan melebihi tempoh yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan (Ogos 2023), tetapi untuk mengadakannya lebih awal bergantung kepada situasi semasa.

    “InsyaAllah saya akan membuat keputusan bila waktu yang sesuai,” katanya lagi.

    Selain itu Ismail Sabri dilaporkan sebagai berkata, beliau adalah seorang patuh kepada kehendak parti, dan akan menurut keputusan UMNO serta Kabinet dalam soal pembubaran Parlimen.

  • Pemain bola sepak rogol remaja perempuan

    Pemain bola sepak rogol remaja perempuan

    SEORANG pemain bola sepak liga tanah air ditahan bagi membantu siasatan kes rogol remaja perempuan berusia 18 tahun.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, malam kelmarin selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat mangsa.

    “Dalam laporan dibuat, mangsa yang juga seorang jurujual kain dan tudung berada di rumahnya di sebuah kampung di Jalan PCB, keluar dari bilik untuk membuang sampah pada 12.30 tengah hari Ahad lalu.

    “Mangsa mendakwa didatangi suspek yang tiba-tiba menolaknya dari belakang sebelum mengheretnya ke katil dalam bilik tidur.

    “Dia (mangsa) cuba melawan dan menjerit namun ketika kejadian tiada ahli keluarga dan dia yang tidak berdaya akhirnya dirogol suspek,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, mangsa sudah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan hasil pemeriksaan mengesahkan terdapat satu kesan koyakan baharu.

    Muhamad Zaki berkata, hasil siasatan dan temubual dijalankan, mangsa mengenali suspek yang juga pelanggan tetap kedai makan milik emaknya.

    Katanya, mangsa juga mendakwa pernah menerima gambar dan mesej berbaur lucah melalui WhatsApp daripada suspek tahun lalu ketika masih bersekolah.

    “Suspek ditangkap pada hari sama di Kampung Kijang, Jalan PCB. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

    “Polis turut merampas baju dan seluar digunakan suspek semasa kejadian jenayah itu dilakukan. Suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 2 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

  • Warga emas maut jatuh pangsapuri 14 tingkat

    Warga emas maut jatuh pangsapuri 14 tingkat

    SEORANG lelaki warga emas ditemui maut selepas terjatuh dari sebuah bangunan pangsapuri 14 tingkat di Banda Hilir, Melaka awal pagi tadi.

    Orang awam kemudian membuat laporan kepada pihak polis berhubung penemuan mayat lelaki berusia 67 tahun itu pada pukul 8.50 pagi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa memandu sebuah kereta ke pangsapuri berkenaan.

    “Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

    “Setakat ini kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan punca kematian masih diteruskan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Tambahnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang sering sakit pernah memaklumkan kepada isterinya yang dia tidak mahu hidup lama.

  • Bekas ahli lembaga persatuan Cina didakwa hantar video lucah pada anak veteran MCA

    Bekas ahli lembaga persatuan Cina didakwa hantar video lucah pada anak veteran MCA

    BEKAS ahli lembaga Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Yeo Kwi Seng didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menghina kehormatan seorang peguam wanita tahun lalu.

    Tertuduh tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap Veronica Wong Pei Huan.

    Malaysiakini melaporkan, Wong, yang merupakan anak perempuan pemimpin veteran MCA, Wong Mook Leong membuat laporan polis terhadap Yeo pada 27 Jun tahun lepas.

    Pada awal bulan itu, Yeo, yang ketika itu merupakan ahli lembaga Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), dilaporkan enggan mengulas lanjut mengenai kes berkenaan dan menyerahkan perkara itu kepada peguam.

    Dia juga membuat laporan polis berhubung dakwaan cubaan seorang lelaki tidak dikenali memeras ugut dan meminta sebanyak RM10,000 daripadanya sebagai balasan untuk menarik balik dakwaan gangguan seksual.

    Tertuduh yang didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Majistret Wong Chai Sia.

    Ahli perniagaan berusia 68 tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu dengan menghantar video lucah menerusi WhatsApp kepada mangsa.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Suite 5.05-5.10, tingkat lima, Imbi Plaza, di Jalan Imbi, Dang Wangi, Kuala Lumpur, antara 23 Mei dan 16 Jun 2021.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya.

    Pegawai pendakwa Nom Phot Prackdit kemudian memohon ikat jamin ditetapkan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

    Peguambela tertuduh, Kitson Foong berkata mereka tiada bantahan mengenai jumlah ikat jamin berkenaan.

    Peguam itu berkata Yeo, yang merupakan bapa kepada dua anak, tidak mempunyai risiko akan melarikan diri kerana kesalahan itu boleh diikat jamin.

    “Dia (Yeo) adalah ahli masyarakat yang terkemuka, oleh itu tidak ada risiko (dia) melarikan diri,” kata Kitson sambil diperhatikan tertuduh dari kandang tertuduh.

    Majistret kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin iaitu kakak ipar Yeo.

    Mahkamah juga menetapkan 27 Julai ini untuk tarikh sebutan kes.