KEGEMBIRAAN menjelang sambutan Hari Gawai di Sarawak esok bertukar hiba apabila dua kanak-kanak di Rumah Panjang Ekaw, Nanga Sungai Sawang di Kapit dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras, pukul 5.12 petang tadi.

Mangsa merupakan seorang kanak-kanak perempuan, Chelsea Charity Darrie Ricky, 10, dan kanak-kanak lelaki, Damien Dashlley Sedan Donny, 9, yang sebelum itu mandi bersamas-ama keluarga mereka.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.42 petang tadi.

“Panggilan kecemasan itu dibuat selepas kira-kira 30 minit kedua-dua mangsa hilang dibawa arus.

“Mereka dikatakan tiba-tiba hanyut sebelum hilang dibawa arus deras,” katanya dalam kenyataan, malam ini, lapor Harian Metro.

Menurutnya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian itu.

“Komander operasi melaporkan pencarian awal dilakukan bersama dengan penduduk kampung. Bagaimanapun, keadaan cuaca gelap menyebabkan operasi terpaksa ditangguhkan pada 7.05 malam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here