Author: Admin

  • Polis tahan penganggur warga asing pecah rumah

    Polis tahan penganggur warga asing pecah rumah

    POLIS menahan seorang penganggur warga asing kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Cheras Indah, kelmarin.

    Suspek berusia 34 tahun itu ditahan pada pukul 5 petang di Taman Lembah Maju, Ampang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, penahanan suspek itu merupakan susulan laporan daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai juruelektrik mendakwa seorang lelaki memecah masuk rumahnya.

    “Suspek dikatakan masuk melalui tingkap bilik pada 24 Mei lalu.

    “Susulan itu pihak polis merampas 12 utas jam pelbagai jenama, tiga buah kamera serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

    “Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan kes dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mohamad Farouk berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan kes dadah.

    Pihaknya masih mengesan rakan sejenayah suspek yang masih bebas.

    “Penangkapan suspek itu, kita percaya telah berjaya menyelesaikan empat kes pecah rumah di sekitar Ampang.

    “Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Pengguna penstriman haram terdedah kepada risiko kebocoran data peribadi

    Pengguna penstriman haram terdedah kepada risiko kebocoran data peribadi

    INDUSTRI penyiaran negara mengalami kerugian lebih RM3 bilion setahun akibat aktiviti penstriman haram dan cetak rompak.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din, orang ramai juga sebenarnya tidak sedar bahawa mereka terdedah kepada kebocoran data peribadi menerusi penggunaan penstriman haram.

    “Mereka yang dapatkan daripada kotak-kotak (penstriman haram) kualitinya amat kurang kalau kita bandingkan daripada yang sebenar dan jauh berbeza.

    “Mereka ini juga terdedah kepada (kebocoran) maklumat dan mereka mungkin akan digunakan untuk scam (penipuan) yang lain. Jadi mereka kena fahamlah tentang perkara itu,” jelasnya ketika hadir merasmikan Seminar Penguatkuasaan Penstriman dan Cetak Rompak Terhadap Industri Penyiaran di Dewan Ketua Polis Negara, Maktab PDRM di Kuala Lumpur, hari ini.

    Seminar yang anjurkan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selain Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    Katanya lagi, JSJK sewaktu ini sentiasa meningkatkan penguatkuasaan dan operasi yang dilakukan bagi membendung aktiviti berkenaan daripada terus menular.

    Namun jelasnya apa yang penting adalah untuk menyedarkan orang ramai tentang bahaya atau risiko yang dihadapi mereka menerusi aktiviti tersebut.

    Malah JSJK juga telah memperhebatkan kempen pencegahan bagi mendidik dan mendedahkan informasi dari semasa ke semasa malah pada skala yang lebih besar pada bulan ini dan bulan depan.

    Usaha itu penting katanya, memandangkan jenayah komesial yang berlaku sangat terkait dengan sikap orang ramai itu sendiri.

    “Untuk bulan ini dan bulan depan kita akan buat pada skala yang lebih besar dimana pelancarannya kita akan buat di Johor pada hujung bulan Jun ini.

    “Kita nak beri maklumat yang secukupnya kepada masyarakat tentang scam dan juga termasuklah aktiviti-aktiviti jenayah komersial yang lain supaya masyarakat boleh memperkasakan diri mereka,” katanya, lapor Astro Awani.

    Pada masa yang sama, beliau menyifatkan seminar yang diadakan hari ini bertepatan pada masanya untuk pihak JSJK dan juga warga industri seperti Astro untuk berkongsi maklumat dan pandangan bagi turut sama membenteras aktiviti penstriman haram di negara ini.

    Seminar sebegini dilihat sebagai satu jalinan kerjasama yang diperlukan dalam konteks membendung isu jenayah komersial dengan lebih efektif.

  • Mayat bayi perempuan ditemukan dalam bagasi di tepi laut

    Mayat bayi perempuan ditemukan dalam bagasi di tepi laut

    SATU mayat bayi perempuan ditemukan dalam sebuah bagasi yang terapung di tepi laut berhampiran jeti Tanjung Batu Logpond di Tawau pukul 4.30 petang semalam.

    Mayat bayi tersebut ditemukan masih bertali pusat dan ditemui orang awam yang kebetulan berada di lokasi berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas maklumat itu polis segera ke lokasi kejadian dan mendapati bayi yang masih bertali pusat itu telah meninggal dunia.

    “Mayat bayi berkenaan kemudiannya dibawa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Tawau untuk tindakan selanjutnya.

    “Hasil siasatan juga mendapati bagasi itu turut berisi batu dipercayai supaya ia tenggelam di laut.

    “Hasil pemeriksaan awal doktor mengesahkan mayat bayi yang ditemui itu seberat kira-kira satu kilogram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Jasmin berkata, kes disiasat Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan dan membuang mayat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

  • TMJ ucap selamat tinggal kepada JDT

    TMJ ucap selamat tinggal kepada JDT

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SETELAH hampir sedekad membawa kejayaan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat pengumuman mengejut apabila meninggalkan kelab bolasepak itu hari ini.

    Tunku Mahkota Johor itu memaklumkan terpaksa berbuat demikian disebabkan faktor tanggungjawab serta komitmen lain yang perlu dilakukan baginda.

    Pengumuman berkenaan dibuat pemilik Kelab Bolasepak JDT itu melalui satu hantaran di laman Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers sebentar tadi.

    “Disebabkan tanggungjawab dan komitmen saya yang lain, saya telah mengambil keputusan untuk berundur dan menyerahkan urusan harian Kelab Bolasepak JDT kepada pengurusan tertinggi kelab.

    “Saya doakan yang terbaik untuk kelab dan semua,” katanya dalam hantaran berkenaan.

    Tunku Ismail membawa ‘semangat’ baharu kepada kelab bolasepak itu dan sukan berkenaan di Johor khususnya setelah mengambil alih pasukan sejak 2012.

    Sepanjang tempoh hampir 10 tahun, pelbagai kejayaan demi kejayaan yang diraih pasukan Harimau Selatan itu dirangkul dengan mula memenangi gelaran Liga Super pada 2014.

    Sejak itu, gelaran Liga Super sebagai perlawanan paling berprestij di Malaysia tidak pernah berpindah tangan apabila JDT muncul juara saban tahun bagi lapan musim berturut-turut.

    Kejayaan JDT pada 2015 antara yang tidak boleh dilupakan ketika pasukan kendalian Mario Gomez ketika itu memenangi Piala AFC, sekali gus menjadi kelab pertama tanah air memenanginya.

    Baru-baru ini, JDT sekali lagi mengukir nama di pentas antarabangsa selepas muncul pasukan pertama di Malaysia layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-juara Asia (ACL).

  • Enam PATI warganegara India kantoi menyamar kelindan lori

    Enam PATI warganegara India kantoi menyamar kelindan lori

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Cubaan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara India yang menyamar sebagai kelindan lori bagi memasuki negara ini secara haram melalui sempadan Malaysia Thailand, gagal apabila mereka ‘terkantoi’ selepas langsung gagal memahami bahasa Melayu sebaik ditanya oleh pihak berkuasa negara ini.

    Keadaan itu menyebabkan kesemua mereka yang berusia antara 30 hingga 59 tahun ditahan anggota Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta yang bertugas mengawal sempadan negara di Kilometer 1.1, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, dekat Kubang Pasu Selasa lalu.

    Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 1 PGA Hulu Kinta, Superitendan Shamsul Baharin Aman, kesemua mereka ditahan dalam empat buah treler berasingan antara 11.40 malam hingga 11.55 malam, Selasa lalu.

    “Mereka yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita itu diberkas dalam empat treler berbeza yang membawa muatan sayur, barangan runcit dan buah-buahan. Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, kesemua mereka berlagak seolah-olah kelindan kepada pemandu lori berkenaan.

    “Sehubungan itu, kami turut menahan empat pemandu treler tersebut yang merupakan warga tempatan berusia antara 28 hingga 41 tahun. Kesemua mereka dipercayai menerima upah sebanyak RM500 setiap seorang bagi membawa PATI tersebut dari Pekan Danok, Thailand ke Changlun yang jaraknya hanya sejauh kira-kira lapan kilometer,” katanya.

    Difahamkan kesemua PATI tersebut berada di tempat duduk penumpang treler tersebut sewaktu ditahan. 

    Tambahnya, selain kesemua individu terbabit, polis turut menahan seorang tekong darat berusia 40 tahun yang dipercayai menjadi dalang bagi mengatur kemasukan PATI tersebut.

    Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 manakala kesemua treler bersama sayuran, buah-buahan dan barangan runcit bernilai RM962,000 turut dirampas.

  • Murid tabika, taska Kemas jalani pemeriksaan kesihatan elak penularan HFMD

    Murid tabika, taska Kemas jalani pemeriksaan kesihatan elak penularan HFMD

    JABATAN kemajuan masyarakat (Kemas) akan mengadakan pemeriksaan kesihatan ke atas semua murid Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) seliaannya sebelum dibenarkan memasuki kelas apabila sesi persekolahan dibuka minggu hadapan.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, pemeriksaan kesihatan itu dilakukan bagi memastikan semua murid bebas daripada simptom penyakit tangan, kuku, dan mulut (HFMD).

    Menurut beliau, ibu bapa dan penjaga juga diminta untuk tidak menghantar anak yang mempunyai simptom HFMD ke tabika dan taska bagi mengekang penularan penyakit berkenaan.

    Katanya, penutupan hampir 11,000 tabika dan taska kelolaan Kemas di seluruh negara sepanjang cuti persekolahan menyebabkan situasi penyakit HFMD semakin terkawal.

    “Apabila sesi persekolahan dibuka minggu hadapan, kita akan melakukan pemeriksaan tahap kesihatan ke atas setiap kanak-kanak sebelum dibenarkan memasuki kelas,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Asnaf Berdikari peringkat negeri, di Kuala Nerus, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohamad Yazid berkata, semua guru sudah diminta mengekalkan aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan murid sepanjang berada di dalam kelas.

    Katanya, ibu bapa dan penjaga tidak perlu risau dengan keselamatan murid di tabika dan taska kerana langkah pencegahan sentiasa diamalkan.

    “Prosedur operasi standard (SOP) di semua tabika serta taska sudah ditetapkan dan semua guru perlu melaksanakannya seperti dilakukan ketika negara dilanda pandemik Covid-19,” jelas beliau.

  • Pemandu teksi didakwa pukul dua rakan lelaki

    Pemandu teksi didakwa pukul dua rakan lelaki

    SEORANG pemandu teksi didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas dua pertuduhan memukul dua kenalannya, April lalu.

    K. Ramani, 44, mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Hairolazhar Mohd. Ishak.

    Bagaimanapun mahkamah menetapkan 18 Ogos depan untuk fakta kes dan jatuh hukum, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan dengan memukul dua lelaki berusia 57 tahun di sebuah flat di Damansara pada pukul 5 petang, 1 April lalu.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman dipenjara sehingga sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Ab. Manaff mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan, dengan seorang penjamin.

    Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan perlu menjaga ibu.

    “Saya masih bujang dan saya minta maaf, janji tidak akan buat kesilapan itu lagi,” katanya.

  • Mufti Kelantan sambut baik cadangan kod etika baharu tangani iklan eksploitasi

    Mufti Kelantan sambut baik cadangan kod etika baharu tangani iklan eksploitasi

    MUFTI Kelantan, Datuk Mohamed Shukri Mohamed meyifatkan cadangan untuk menguatkuasakan kod etika baharu dalam pengiklanan bagi menghalang sebarang penggunaan elemen dan unsur agama bagi melariskan produk dapat mengelakkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat terutama pengguna.

    Sambil menyambut baik cadangan tersebut beliau berkata, ini secara tidak langsung dapat mengelakkan pengeluar daripada terus mengeksploitasi produk keluaran mereka.

    Beliau menyokong cadangan tersebut kerana sangat positif sekali gus dapat mengelakkan pengeluar menyalahgunakan unsur-unsur berkaitan keislaman dan juga unsur lain.

    “Saya melihat cadangan itu dengan pandangan yang positif bahawa kita perlu berhati-hati supaya tidak menyalahgunakan unsur-unsur keislaman dan unsur lain juga.

    “Penyalahgunaan ini akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan boleh mencelarukan kefahaman pengguna,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, kewujudan peraturan tertentu bagi membendung unsur eksploitasi juga disifatkan sangat baik.

    Beliau berkata, bukan sahaja penggunaan unsur agama, malah produk lain yang menggunakan propaganda menampilkan wanita dan aksi menghairahkan juga perlu ada kod etika.

    “Namun, sebagai pengguna atau pembeli, kita juga perlu bijak untuk berfikir dan menilai bagi mengelakkan daripada terpedaya dengan produk yang menggunakan unsur keagamaan dan eksploitasi lain,” katanya.

    Media semalam melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menguatkuasakan kod etika baharu dalam pengiklanan bagi menghalang sebarang penggunaan elemen dan unsur agama untuk melariskan perniagaan atau pemasaran produk.

  • Peniaga fail saman terhadap 2 koperal polis, tentera dakwa ditampar tak hulur ‘duit kopi’

    Peniaga fail saman terhadap 2 koperal polis, tentera dakwa ditampar tak hulur ‘duit kopi’

    SEORANG peniaga mendakwa ditampar, ditengking dan cuba disepak oleh dua koperal polis dan tentera ekoran tidak hulur ‘duit kopi’ ketika ditahan di Gua Musang pada Jun tahun lalu.

    Disebabkan itu, peniaga tersebut, Mohd. Safwan Omar, 33, telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi kota Bharu Kelantan hari ini bagi menuntut ganti rugi akibat tindakan dilakukan anggota terbabit.

    Plaintif menamakan anggota polis, Koperal Mohammad Safuan Jamaluddin sebagai defendan pertama; anggota tentera, Koperal Mohd Zawawi Ab. Rahman (kedua); Pegawai Penyiasat, Inspektor Kamarulzaman Rafli (ketiga); Ketua Polis Daerah Gua Musang (keempat); Panglima Angkatan Tentera (kelima) dan kerajaan Malaysia (keenam).

    Saman difailkan menerusi Tetuan Shaharuddin Hidayu dan Marwaliz.

    Memetik laporan Sinar Harian, Peguam cara plaintif, Shaharuddin Mohamed berkata, kejadian didakwa berlaku pada pukul 6.15 pagi, 27 Jun 2020 semasa plaintif memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bersama isteri, Farrah Wahida Mohd dan anak-anak dalam perjalanan balik ke Aring, Gua Musang dari Kuala Lumpur dengan membawa sebuah motosikal abang plaintif di bahagian belakang kenderaan itu.

    Katanya, ketika tiba di Bandar Utama Gua Musang, plaintif ditahan oleh defendan pertama dan kedua yang menaiki sebuah kereta peronda polis bertanya status motosikal di atas kenderaan lalu plaintif menunjukkan geran.

    “Defendan pertama menyatakan plaintif melanggar lampu isyarat merah dan mengeluarkan buku saman serta menyuruh plaintif bertanya kepada defendan kedua yang kemudiannya didakwa meminta ‘duit kopi’ dengan plaintif,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

    Menurut Shaharuddin, plaintif memberitahu tidak mempunyai wang dan disuruh meminta daripada isterinya namun juga memberitahu tidak mempunyai wang.

    Beliau berkata, defendan kedua menyatakan plaintif bersikap kurang ajar dan menampar dengan kuat bahagian kiri muka plaintif serta mengarahkan plaintif duduk di tayar belakang kenderaannya.

    Ujarnya, defendan pertama didakwa menengking dan seolah-olah hendak menyepak plaintif serta mengetuk pintu cermin mengarahkan isteri plaintif keluar namun isteri enggan kerana ketakutan selain anak-anak tidur.

    Selain itu menurut beliau, defendan pertama juga didakwa bercakap kasar kepada isteri plaintif mengugut untuk membawanya ke balai polis.

    Beliau berkata, akibat tidak memberikan ‘duit kopi’, defendan pertama mengeluarkan saman trafik terhadap plaintif kerana kesalahan tidak patuh lampu isyarat merah.

    “Hasil pemeriksaan Hospital Gua Musang mendapati plaintif mengalami kecederaan tisu di bahagian kiri muka. Oleh sebab itu, plaintif memohon penghakiman terhadap defendan-defendan iaitu ganti rugi am atas kecederaan, ganti rugi teladan dan teruk di atas tindakan menampar bahagian muka plaintif sehingga kecederaan yang teruk.

    “Ganti rugi khas, faedah di atas jumlah penghakiman pada kadar lima peratus setahun dikira dari tarikh writ saman difailkan sehingga tarikh penghakiman dan faedah di atas jumlah penghakiman pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga ke tarikh penjelasan sepenuhnya, kos guaman atau perintah yang mahkamah fikirkan patut serta adil,” ujarnya.

  • 2 wanita antara ditahan sertai 5 geng curi motosikal di Pulau Pinang

    2 wanita antara ditahan sertai 5 geng curi motosikal di Pulau Pinang

    SEBANYAK lima kumpulan sindiket yang aktif mencuri motosikal di dalam Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang berjaya ditumpas polis dalam beberapa serbuan sejak April lalu.

    Lima kumpulan terbabit dikenali sebagai Geng Kupang;Geng Humairah; Geng Chot; Geng Pondok dan Geng Junjong.

    Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, turut ditahan dalam operasi itu ialah seramai 21 ahli kumpulan terbabit termasuk dua wanita bagi membantu siasatan.

    Menurut beliau, pihaknya juga berjaya merampas sebanyak 12 buah motosikal, tiga casis dan sebuah enjin motosikal susulan operasi tersebut.

    “Siasatan mendapati sebahagian daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan pelbagai kes jenayah seperti curi motosikal, pecah rumah dan dadah.

    “Dengan tertumpasnya sindiket ini, kita percaya beberapa kes kecurian motosikal di sekitar Pulau Pinang yang dilaporkan sebelum ini berjaya diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Shafee, sebanyak 37 buah motosikal telah dilaporkan hilang di dalam daerah SPT antara April hingga Mei lalu.

    Susulan itu tambah beliau, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas di bawah Bahagian Siasatan Jenayah untuk menyiasat kes berkenaan.

    “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dari satu tahun atau tidak lebih daripada tujuh tahun serta boleh dikenakan denda,” katanya.