Author: Admin

  • Pembukaan sekolah baharu di kawasan berkepadatan tinggi – KPM

    Pembukaan sekolah baharu di kawasan berkepadatan tinggi – KPM

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memberi keutamaan untuk membuka sekolah baharu di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi seperti di Klang, Selangor dan beberapa kawasan di Johor.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pihaknya sedang mencari lokasi sesuai untuk pembinaan sekolah baharu di kawasan itu memandangkan kesukaran mendapatkan tanah antara kekangan sedang dihadapi oleh kementerian.

    “Klang sebagai contoh, ini antara kawasan paling padat dan ada sekolah yang bilangan pelajarnya 4,000 orang membabitkan dua sesi iaitu pagi dan petang.

    “Beberapa usaha telah dibuat untuk kita dapatkan sekolah-sekolah baharu di kawasan ini, namun begitu di kawasan-kawasan padat ini kekangan utama kita adalah tanah kerana tidak semua kawasan ini ada tanah telah tersedia (untuk pembinaan sekolah),” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan dan Padang serta perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(2) ke-10, di Putarajaya hari ini.

    Beliau berkata pihaknya mendapati sesetengah kawasan perumahan yang jumlah penduduknya meningkat dengan mendadak dan pembangunan perumahan di kawasan tersebut berlaku dengan cepat.

    “Jadi kita mengambil pendekatan untuk memberi tumpuan di kawasan-kawasan ini,” katanya sambil menambah secara purata 10 buah sekolah baharu dibina setiap tahun.

    Dalam perkembangn lain, Radzi berkata KPM akan mengkaji kurikulum pendidikan sekolah rendah yang didakwa beraras tinggi dan murid sukar untuk menguasai subjek tertentu.

    Beliau berkata semakan semula kurikulum sekolah rendah dan menengah akan dilaksanakan kelak berikutan pusingan pertama Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) tamat pada tahun ini manakala Kurikulum Standard Sekolah Menengah(KSSR) telah tamat tahun lepas.

    “Jika tamat pusingan ini, memang kita akan semak semula silibus. Kita lihat kesesuaian dengan mengambil kira keadaan dan perkembangan semasa.

    “Ia tidak boleh dibuat secara suka-suka, ada proses perlu diikuti. Tidak boleh hari ini kata nak semak, kita boleh semak.

    “Dalam konteks ini, dalam semakan semula nanti, kita akan lihat sama ada isunya sama ada(kurikulum) benar-benar kompleks atau ketidakbiasaan. Ini perkara yang sedang kita beri tumpuan,” katanya.

    Ditanya mengenai kluster Influenza-Like-Illness (ILI) yang melibatkan sebuah sekolah menengah berasrama di Selangor, Radzi berkata KPM sentiasa mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai isu tersebut.

    “Esok kita akan berbincang lagi untuk melihat keadaan semasa untuk pastikan anak-anak kita dapat hadir ke sekolah dalam keadaan selamat,” katanya.

    Sementara itu, Radzi berkata sebuah blok bangunan baharu dan padang bola akan dibina di SK Putrajaya Presint 18(2) melibatkan kos RM14.5 juta dan dijangka siap Mei 2024.

    Beliau berkata bangunan baharu itu akan dilengkapi dengan 18 bilik darjah, bilik mesyuarat guru dan bilik guru serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.–Bernama

  • Veteran tidak berpencen rayu tambahan RM200 untuk bantuan sara hidup

    Veteran tidak berpencen rayu tambahan RM200 untuk bantuan sara hidup

    LEBIH 71,000 veteran tentera di seluruh negara yang berdaftar di bawah Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVTTBM) merayu kerajaan agar menaikkan bantuan sara hidup bulanan mereka. 

    Timbalan Presiden PVTTBM Mohd. Rani Hussin berkata setakat ini ahli persatuan yang berdaftar hanya menerima bantuan kos sara hidup sekitar RM300 sebulan dan nilai berkenaan dilihat tidak setimpal terutama dalam keadaan ekonomi sekarang.

    Beliau berkata PVTTBM berharap kerajaan menaikkan nilai bantuan sekurang-kurangnya RM200 sebulan memandangkan hampir 50 peratus daripada ahli persatuan dikategorikan sebagai veteran yang daif dan perlu dibantu.

    “Pihak kami sering turun padang menziarahi veteran tentera ini yang rata-rata berusia sekitar 40 tahun dan ada mencecah 80 tahun ke atas. Kami mendapati kebanyakan mereka daif, tidak mempunyai tanah dan rumah sendiri selain turut menghidap penyakit kronik.

    “Selain itu, kami turut berharap kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri dapat memberi sumbangan rumah baharu kepada veteran yang tiada tanah dan rumah sendiri untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan PVTTBM, hari ini.

    Mohd Rani berkata persatuan itu turut berharap kerajaan memberikan elaun khas kepada penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) bagi menghargai jasa kepada negara.

    “Setakat ini dianggarkan terdapat lebih 200,000 penerima dengan ada dalam kalangan mereka yang cedera termasuk patah kaki dan sebagainya,” katanya.- Bernama

  • PGA berkas 51 PATI sembunyi dalam semak

    PGA berkas 51 PATI sembunyi dalam semak

    BATALION 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa memberkas 51 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bersembunyi dalam semak di Kampung Sapi, Jeram Perdah di Pasir Mas, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semua 47 lelaki dan empat wanita warga Myanmar itu ditahan PGA pada pukul 1 petang.

    “Bertindak atas maklumat PGA telah melakukan serbuan di kawasan semak tersebut dan menemui sekumpulan warga Myanmar dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati kesemua warga Myanmar itu tidak mempunyai sebarang pengenalan diri.

    “Mereka dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, kesemua PATI tersebut ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.

    Beliau berkata, kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini akan terus diperketatkan menerusi penugasan Op Wawasan.

  • KBS hormati keputusan Zii Jia walaupun kecewa

    KBS hormati keputusan Zii Jia walaupun kecewa

    KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) kecewa dengan pengunduran Lee Zii Jia daripada beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Bagaimanapun beliau akur dan menghormati keputusan pemain badminton perseorangan profesional negara itu.

    “Keputusan berat ini terpaksa diambil Zii Jia berikutan perlu mengharungi jadual padat bagi Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun.

    “Seperti orang ramai, saya juga berasa kecewa dengan pengunduran Lee Zii Jia daripada mengambil bahagian mewakili Malaysia di Sukan Komanwel.

    “Saya dah dapat bercakap dengan Zii Jia sendiri dan beliau memohon maaf dan sebenarnya beliau bersungguh-sungguh hendak mewakili Malaysia di Sukan Komanwel tetapi keadaan jadual dan acara beliau yang begitu padat menyebabkan terpaksa mengambil keputusan berat ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Temasya Sukan SMK RPS di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan, di Ipoh, hari ini.

    Ahmad Faizal berkata, Zii Jia turut meluahkan rasa kesal kerana ini adalah peluang untuk beraksi di Sukan Komanwel dan juga peluang membawa pulang pingat emas untuk negara.

    “Jadi, beliau sebenarnya berasa begitu kesal tidak dapat mewakili Malaysia,” katanya.

    Namun beliau berpendapat semua atlet seharusnya meletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya.

    “Saya menghormati keputusan yang dibuat oleh Lee Zii Jia, kita berharap yang terbaik untuk beliau,” katanya, lapor Berita Harian.

    Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya tetap meletakkan keyakinan tinggi kepada pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong.

    “Saya juga meletakkan keyakinan yang tinggi kepada perseorangan ketiga kita yang masih mampu memberi saingan yang hebat.

    “Ini peluang kepada beliau untuk keluar daripada ‘comfort zone’ dan Sukan Komanwel ini akan menyerlahkan bakat yang ada pada perseorangan ketiga kita,” katanya.

  • Wang ibu tunggal lesap diperdaya SMS palsu, terpaksa pinjam ah long

    Wang ibu tunggal lesap diperdaya SMS palsu, terpaksa pinjam ah long

    SEORANG ibu tunggal yang juga peniaga minuman menjadi mangsa penipuan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada awal tahun ini.

    Selepas diperdaya menerusi SMS, wanita berkenaan terpaksa meminjam pula daripada along selepas kehabisan wang simpanan.

    Mei Ling (bukan nama sebenar) berkata, dirinya pada mulanya menerima SMS daripada satu nombor yang tidak dikenali memaklumkan dirinya memenangi wang tunai berjumlah RM5,000.

    “Saya amat teruja ketika menerima SMS tersebut, kebetulan saya memang perlukan sedikit wang untuk guna dalam perniagaan minuman yang saya jalankan.

    “SMS tersebut meminta saya agar memuat turun satu aplikasi, setelah muat turun saya kemudiannya mengisi segala maklumat peribadi termasuk nombor kad pengenalan, nombor akaun dan data peribadi lain,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, setelah beberapa hari dia menerima SMS daripada bank yang menyatakan terdapat pengeluaran dilakukan.

    “Ketika menerima SMS tersebut, saya amat terkejut kerana memang saya tidak melakukan sebarang pengeluaran sama ada menerusi dalam talian atau secara fizikal.

    “Pada masa sama, saya langsung tidak menerima sebarang wang seperti SMS yang saya terima sebelum ini, malah wang saya berjumlah RM3,000 pula yang lesap,” katanya.

    Mei Ling berkata, dirinya yang kehabisan wang simpanan terpaksa meminjam daripada along untuk digunakan dalam perniagaan yang dijalankan.

    “Perniagaan saya memerlukan tambahan sedikit modal pusingan, asalnya wang simpanan saya itu saya simpan untuk gunakan dalam perniagaan.

    “Namun, gara-gara terlalu percayakan SMS yang menyatakan saya memenangi sejumlah wang sebanyak RM5,000, wang simpanan saya pula yang tiada dan terpaksa berhutang dengan along,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam Klang, Datuk B. K. Tan berkata, pihaknya mengesan pelbagai bentuk penipuan menerusi SMS dan WhatsApp yang mengumpan pengguna.

    “Taktik yang digunakan, sindiket akan menghantar pesanan kepada mangsa menyatakan mangsa memenangi sejumlah wang. Dalam masa sama mangsa diminta untuk memuat naik satu aplikasi.

    “Aplikasi berkenaan memerlukan mangsa untuk mengisi segala butiran peribadi dan daripada situ sindiket akan menggunakannya bagi menggodam maklumat seperti akaun mangsa untuk mendapatkan wang,” katanya.

    Beliau berkata, perkara itu perlu ditangani segera bagi mengelakkan lebih ramai individu menjadi mangsa.

    “Perlu ada kaedah untuk menangani perkara ini oleh pihak yang bertanggungjawab. Kita bimbang sekiranya tidak ditangani ramai lagi mangsa akan terpedaya.

    “Mereka yang menjadi mangsa pula perlu segera melaporkannya kepada pihak polis, jangan berdiam diri,” katanya.

  • Bersatu parti yang wujudkan keharmonian: Hajiji

    Bersatu parti yang wujudkan keharmonian: Hajiji

    KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah parti akan mewujudkan keharmonian dalam kalangan parti komponen menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Justeru kata Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah itu, parti tersebut berharap akan dapat terus bekerjasama memimpin kerajaan dengan Barisan Nasional (BN) Sabah menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    “Bersatu dan GRS bukan parti sombong sebaliknya bekerja untuk rakyat, melayan rakyat dan rakan-rakan lain.

    “Kita, parti yang akan mewujudkan keharmonian di kalangan rakyat dan parti-parti komponen dalam GRS dan Bersatu. Kita juga berharap terus bekerjasama rapat dengan satu lagi rakan kita daripada BN,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Santai Bersama Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Sabah, di Kota Kinabalu, malam tadi, lapor Sinar Harian.

    Hadir sama Ketua Armada Bersatu Sabah, Fairuz Renddan.

    Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, perlu ada perbincangan antara sesama rakan gabungan bagi mengelak berlaku perselisihan faham.

    “Tidak perlu bergaduh. Apa yang mahu digaduhkan, kalau kita gaduh rugi. Kita mesti belajar dari apa yang berlaku sebelum ini.

    “Sebab itu saya jelaskan kepada rakan-rakan daripada BN, kita kena berbincang bagus-bagus demi kepentingan negeri Sabah, itu saja. Janganlah kita berebut kuasa, berebut kerusi.

    “Ini demi kebaikan negeri Sabah dalam masa panjang kita kena berbincang bagus-bagus walaupun mungkin di sana lain (Semenanjung), di Sabah lain. Jangan kita gaduh di Sabah, kalau kita gaduh kita akan rugi dan kita akan banyak buang masa untuk menguruskan politik, ” katanya.

    Sehubungan itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, walaupun GRS disertai Bersatu yang juga parti dari nasional namun situasinya berbeza dengan negeri lain.

    “Kita di Sabah buat cara orang Sabah, kita adalah kita walaupun ada parti di peringkat nasional tetapi itu bukan isu. Isunya ialah lakukan yang terbaik mengikut acuan,” katanya.

  • Agong berkenan terima kunjungan Azmin di hospital

    Agong berkenan terima kunjungan Azmin di hospital

    YANG Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima ziarah daripada Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di hospital, semalam.

    Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Al-Sultan Abdullah kelihatan ceria, cergas dan sihat ketika sesi menghadap.

    “Tatkala menghadap, Baginda menzahirkan titah nasihat tentang usaha-usaha untuk terus meningkatkan prestasi pelaburan dan perdagangan negara.

    “Sesungguhnya, Tuanku amat prihatin terhadap perkembangan ekonomi global dan menitahkan supaya MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan agensi berusaha gigih bagi menarik pelaburan-pelaburan berkualiti yang dapat mencipta pekerjaan untuk rakyat.

    “Titah Tuanku akan patik junjung di atas batu jemala patik,” lapor Astro Awani.

    “Patik dan pentadbiran MITI serta agensi-agensi akan terus bekerja dengan sedaya upaya demi membawa pembangunan yang lestari dan unggul ke seantero negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau turut merafak sembah ucapan terima kasih buat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan mengambilkan gambar kenangan beliau bersama Al-Sultan Abdullah.

    Baginda sebelum ini dilaporkan menjalani pemeriksaan pakar perubatan di sebuah hospital kerana gering di bahagian kaki dan menjalani prosedur intervensi sendi buku lali dan lutut pada 20 Jun.

  • Tajuddin boleh bertanding atas tiket PN – PAS Perak

    Tajuddin boleh bertanding atas tiket PN – PAS Perak

    PAS Perak menawarkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) mewakili parti Islam itu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

    Menurut Pesuruhjayanya Razman Zakaria, tawaran tersebut dibuka sekiranya kerusi Parlimen Pasir Salak menjadi milik Pas dalam pembahagian kerusi bersama parti komponen PN.

    “Seperti yang dikatakan, Pas tidak turut campur dalam urusan parti-parti lain. Bagaimanapun, seperti yang diketahui dan diuar-uarkan, PRU akan berlaku pada bila-bila masa.

    “Ini bukan sahaja daripada kalangan pemimpin kluster mahkamah, kenyataan tersebut juga keluar daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Maka, sekiranya perkara ini berlaku dan Tajuddin tidak diberi tempat dalam Barisan Nasional (BN), maka Pas Perak sedia menawarkannya untuk bertanding di atas tiket PN, mewakili Pas.

    “Ia sekiranya Pasir Salak itu menjadi milik Pas dalam pembahagian kerusi di antara parti-parti komponen,” katanya menerusi satu muat naik video di Twitter, pada Jumaat.

    Menurut laporan Astro Awani, kelmarin, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak digugurkan daripada menganggotai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

    Sumber dalaman UMNO mengesahkan pengguguran itu, sambil menambah, ia sudah dimaklumkan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu surat yang dikeluarkan pada Selasa.

  • Pegawai farmasi hospital maut nahas tiga kenderaan

    Pegawai farmasi hospital maut nahas tiga kenderaan

    SEORANG pegawai farmasi Hospital Setiu maut selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan dengan dua kenderaan di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Sungai Tarom, Setiu, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kemalangan melibatkan mangsa, Nurul Atiqah Awang Lah yang berusia 36 tahun berasal dari Tanah Merah, Kelantan itu berlaku pukul 7.15 malam.

    “Kemalangan membabitkan Perodua Myvi, Perodua Alza dan sebuah lori jenis Hino.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang memandu Perodua Myvi dari arah Pekan Permaisuri menghala ke Sungai Tarom hilang kawalan dan melanggar Perodua Alza di simpang tiga Sungai Tarom.

    “Pemandu lori yang datang dari Sungai Tong menghala ke Rantau Panjang, Kelantan pula terkejut dan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan laluan bertentangan lalu melanggar papan tanda jalan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini

    Katanya, mangsa bersama-sama dua anaknya, Tengku Daim Hadi Tengku Amirul Kamal, 6, dan Tengku Zaim Zuhdi Tengku Amirul Kamal, 9, mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Setiu untuk dapatkan rawatan awal.

    Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Setiu pada pukul 9 malam.

    “Pemandu dinasihatkan lebih berhati-hati dan patuh peraturan had laju ditetapkan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

  • Saya kena banyak bersabar, kata Muhyiddin

    Saya kena banyak bersabar, kata Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin masih tidak mengetahui bila dapat bertemu Perdana Menteri untuk membincangkan pengganti Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam jemaah Menteri.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menyerahkan perkara tersebut kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat keputusan.

    “(Tentang hal) Zuraida saya tak tahu, tanya Perdana Menteri. Saya tunggu masa sampai hari ini (untuk bertemu membincangkan kedudukan dan pengganti Zuraida), saya kena banyak bersabar,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Bakal Haji dan Penyerahan Lembu Korban Parlimen Pagoh di Tapak Pasar Tani Pagoh, pekan Pagoh, Muar, hari ini.

    Ahli Parlimen Pagoh itu ditanya bila akan bertemu Perdana Menteri untuk membincangkan kedudukan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang sehingga kini masih belum ada kata putus.

    Muhyiddin melihat lembu untuk ibadah korban di surau dan masjid di sekitar Pagoh sebelum menyerahkannya di Tapak Pasar Tani Pagoh, pekan Pagoh, Muar, hari ini.

    Pada Khamis, Ketua Penerangan (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa Ismail Sabri mengambil serius hasrat Muhyiddin untuk berbincang mengenai perkara tersebut.

    Menurut Wan Saiful, Muhyiddin telah menunggu lebih dua minggu untuk bertemu Ismail Sabri bagi menyerahkan nama individu yang akan menggantikan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengikut kuota parti.

    Wan Saiful berkata, Ismail Sabri ‘tidak sempat’ bertemu Muhyiddin tetapi menonton pelawanan bola sepak bersempatan pula, merujuk kepada kehadiran Perdana Menteri ke perlawanan terakhir Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 antara pasukan negara dan Bangladesh pada 14 Jun.

    Zuraida dilantik menganggotai Jemaah Menteri pada 27 Ogos 2021 ketika bersama Bersatu sebelum keluar parti itu hujung bulan lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).