Author: Admin

  • Bekas isteri SM Faisal dijel 7 hari kerana ubah tarikh lawatan anak

    Bekas isteri SM Faisal dijel 7 hari kerana ubah tarikh lawatan anak

    BEKAS isteri seorang ahli perniagaan terkenal, Emilia Hanafi, 43, diperintahkan Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur hari ini untuk menjalani hukuman penjara selama tujuh hari bermula hari ini.

    Peguam, Nazri Yahya berkata demikian selepas prosiding kes komital terhadap Emilia berhubung hak penjagaan dan isu mengubah tarikh lawatan tiga anaknya untuk bersama bapa mereka.

    Ketika ditemui di luar mahkamah, Nazri berkata, anak guamnya ditahan selepas hadir untuk serah diri di mahkamah ini.

    Menurutnya, Emilia ditahan di Penjara Wanita Kajang, lapor Sinar Harian.

    “Selepas pemenjaraan itu, anak guam saya akan hadir untuk prosiding di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang ditetapkan pada 6 Julai,” katanya.

    Bekas isteri seorang ahli perniagaan terkenal itu tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pukul 9.50 pagi untuk prosiding komital berhubung isu mengubah tarikh lawatan tiga anaknya untuk bersama bapa mereka.

    Emilia yang hadir dengan memakai jubah dan selendang putih tiba di mahkamah ini dengan ditemani peguam Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim serta penyokongnya.

    Sementara itu, Emilia yang ditemui media di pekarangan mahkamah berkata, kehadirannya walaupun ‘secara paksa’ disifatkan sebagai jihad dalam memperjuangkan keadilan buat dirinya.

    “Semoga kes saya menjadi kes contoh, saya dapat keadilan yang sewajarnya dan ada pihak-pihak membantu untuk melihat kes saya di Mahkamah Syariah,” katanya.

    Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menjatuhi hukuman tujuh hari ke atas Emilia kerana menghina mahkamah ekoran mengubah tarikh lawatan tiga anaknya untuk bersama bapa mereka, namun beliau dibebaskan dengan jaminan RM5,000 sementara menunggu rayuan.

    Pada 8 Jun, Emilia memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur yang menjatuhi hukuman penjara berkenaan.

    Permohonan dibuat menerusi Tetuan Nizam Bashir & Associates di Mahkamah Tinggi dan menamakan SM Faisal, 43, serta bekas ibu mentuanya, Puan Sri Zaleha Ismail, 70, sebagai responden.

    Turut dinamakan ialah Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia.

    Pada 15 Jun lalu, Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Emilia kerana gagal hadir sebagai saksi pendakwaan, dalam kes jenayah terhadap bekas suaminya.

    Hukuman terhadap Emilia menyebabkan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah mengeluarkan kenyataan bahawa wanita Islam masih didiskriminasi di bawah sistem undang-undang syariah Malaysia yang disiarkan oleh sebuah portal.

    Pada 25 April lalu, Maria Chin dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan mengkritik keputusan mahkamah itu yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas Emilia.

  • Inflasi akan melonjak jika subsidi minyak diganti – Kajian

    Inflasi akan melonjak jika subsidi minyak diganti – Kajian

    KADAR inflasi di Malaysia akan melonjak secara mendadak sekiranya kerajaan menggantikan subsidi bahan api semasa dengan mekanisme subsidi bahan api bersasar dan menyediakan bantuan tunai kepada kumpulan 60 peratus berpendapatan terendah, demikian menurut Kenanga Research.

    “Kami menjangkakan kadar inflasi akan meningkat di atas purata enam peratus tahun ini, memandangkan harga petrol RON95 akan melebihi RM4 seliter (tanpa subsidi).

    “Oleh itu, kami percaya bahawa penetapan harga bahan api secara bertingkat atau mengikut jumlah adalah pilihan lebih baik dan memberikan kesan yang lebih kecil terhadap inflasi serta ekonomi keseluruhan,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota, lapor Berita Harian hari ini.

    Namun demikian, ia menegaskan bahawa kadar inflasi di Malaysia berkemungkinan akan tetap meningkat pada separuh kedua 2022 dengan pemansuhan harga siling makanan asas, dasar ketat Covid-19 oleh China dan perang berpanjangan antara Russia-Ukraine.

    “Memandangkan harga makanan dijangka terus meningkat, kami menyemak semula unjuran Indeks Harga Pengguna (IHP) utama kepada 3.3 peratus daripada 2.9 peratus.

    “Walaupun terdapat kebimbangan terhadap inflasi di berlaku seluruh dunia disebabkan oleh lonjakan harga makanan dan tenaga, Malaysia masih lagi merekodkan paras inflasi yang boleh diterima iaitu 2.4 peratus setakat tahun ini,” Katanya.

    Tambah firma penyelidikan tersebut, ia sebahagian besarnya disebabkan oleh pelbagai skim kawalan harga kerajaan dan juga subsidi.

    “Bagaimanapun, perlu dinyatakan bahawa inflasi makanan domestik melonjak ke tahap tertinggi dalam tempoh 127 bulan pada Mei di tengah-tengah pertambahan kos input dan peningkatan permintaan pengguna.

    “Kadar inflasi dijangka meningkat dan berada pada purata kira-kira 4.1 peratus semasa separuh kedua 2022, menjadikan IHP keseluruhan bagi tahun ini diunjurkan 3.3 peratus.

    “Bagaimanapun, dalam jangka pendek, pemansuhan permit import (AP) bagi sebahagian item makanan dan sekatan ke atas sebahagian eksport ayam dapat membantu mengurangkan sedikit tekanan inflasi,” katanya.

    Berikutan tekanan inflasi semakin meningkat, Kenanga Research menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada baki tiga mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada tahun ini, menjadikan kadarnya kepada 2.75 peratus menjelang akhir 2022.

    Ia berkata, kenaikan kadar di lebih awal daripada jangkaan bulan lalu memberikan isyarat pendekatan agresif BNM disebabkan petunjuk bahawa permintaan domestik telah meningkat selepas pelonggaran sekatan COVID-19.

    “Selain itu, pendirian BNM itu juga mungkin mengambil kira tekanan inflasi, memandangkan IHP di Malaysia dijangka meningkat pada separuh kedua 2022, di tengah-tengah pemansuhan beberapa siling harga dan subsidi, selain gangguan rantaian bekalan global.

    “Tambahan pula, BNM mungkin bermotivasi untuk menaikkan OPR bagi memberikan sedikit sokongan kepada ringgit dan sebahagiannya meminimumkan aliran keluar modal.

    “Ia berikutan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan meneruskan kenaikan kadar faedah lebih tinggi daripada kebiasaan dan itu akan mengecilkan perbezaan pulangan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS)-Perbendaharaan AS (UST) yang boleh meningkatkan lagi aliran keluar dana asing dari pasaran bon Malaysia,” katanya.

  • Kleptokrat dalam UMNO tolak perpaduan dalam MN

    Kleptokrat dalam UMNO tolak perpaduan dalam MN

    GOLONGAN kleptokrat dalam UMNO menjadi punca menyukarkan perpaduan yang cuba dibina antara parti Melayu menerusi gabungan Muafakat Nasional (MN).

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, adakah itu merupakan pendirian UMNO secara bersama atau merupakan satu keputusan bersama yang dibuat antara parti dalam gabungan berkenaan.

    “Lengkap dengan alasan-alasan yang baru dicipta. Adakah ini pandangan rasmi Muafakat Nasional setelah dibawa bermesyuarat?

    “Atau pencinta kleptokrat memandai-mandai cipta alasan tanpa bermesyuarat? Kluster mahkamah UMNO memang terkenal dengan perangai Abang Long yang mendominasi keputusan, berlagak seperti suara mereka adalah suara semua.

    “Bila pula MN putuskan sedemikian, atau unilateral sahaja,” soalnya menerusi kenyataan yang dikongsi dalam Facebook beliau, lapor Sinar Harian hari ini.

    Dakwaan itu dibuat dipercayai susulan kenyataan terbaharu Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada 21 Jun lalu yang menegaskan bahawa parti itu menolak kerjasama dengan Bersatu termasuk menerusi MN.

    Dalam laporan sama pada 21 Jun lalu, Shahril berkata, terdapat beberapa asas jelas menyebabkan UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu antaranya adalah matlamat parti itu yang didapati berhasrat menggantikan UMNO.

    Katanya lagi, perkara itu dapat dilihat menerusi tindakan yang diambil Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah apabila parti itu meletakkan calon di 17 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk melawan calon Barisan Nasional (BN).

    Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, Shahril mencipta pelbagai alasan baharu bagi menyokong pendirian parti itu termasuk dalam isu berkaitan penubuhan Perikatan Nasional (PN).

    “Kononnya marah sebab tertubuhnya PN sehingga tak jadi bermuafakat. Padahal PN mula berfungsi sejak Februari 2020 dan didaftarkan pada 7 Ogos 2020. Surat jemputan masuk MN pula bertarikh 13 Ogos 2020.

    “Maksudnya jemputan tu selepas PN sudah pun ditubuhkan. Kalau betul tak setuju PN ditubuhkan, kenapa jemput masuk MN selepas PN tertubuh?

    “Masa boss kamu (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi tandatangan surat jemputan, dia terlupa bahawa dia sepatutnya marah ke,” soal beliau lagi.

  • Isu pembalakan di HSK Nenggiri, Husam disaman RM60 juta

    Isu pembalakan di HSK Nenggiri, Husam disaman RM60 juta

    SYARIKAT Al Dar Resources Sdn Bhd dan pemiliknya memfailkan dua saman dan menuntut ganti rugi RM60 juta terhadap Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa berkenaan didakwa fitnah dalam isu pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

    Plaintif berkenaan memfailkan dua saman iaitu Al Dar Resources yang menuntut ganti rugi RM50 juta manakala pemilik syarikat, Mohd. Haffiz Mohd. Rasdin menuntut ganti rugi RM10 juta.

    Tuntutan saman dibuat menerusi Tetuan Syazwan Hasim & Azeel Eskandar di Mahkamah Tinggi pada Selasa lalu dengan menamakan Husam sebagai defendan.

    Menurut Peguam Azeel Eskandar Azmi, saman terbabit dibuat susulan dua kenyataan dikeluarkan Husam menerusi Facebook pada 3 dan 6 Jun lalu, yang disifatkan memfitnah syarikat anak guamnya.

    Katanya, pada 3 Jun lalu, Husam memuat naik kenyataan bertajuk ‘Kebetulan kontraktor balak Daulah ada kaitan dengan YB Hanifa?’ dan kenyataan 6 Jun yang bertajuk ‘Kelantan dikuasai gandingan Dua H? Gandingan Hanifa-Hafiz dikatakan mercu tanda pemerintahan YAB Datuk Ahmad Yaakob’.

    “Anak guam kami menafikan dengan tegas keseluruhan pernyataan-pernyataan dalam kedua-dua hantaran berkenaan.

    “Pernyataan itu adalah tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah dan kesannya menjatuhkan imej dan reputasi baik anak guam kami selaku sebuah syarikat dan ahli perniagaan yang mempunyai nama baik di Kelantan,” katanya memetika laporan Berita Harian, hari ini.

    Beliau berkata, menerusi saman dikemukakan itu, Al Dar Resouces menuntut ganti rugi RM50 juta iaitu RM10 juta ganti rugi am akibat penerbitan perkataan fitnah dan RM40 juta bagi ganti rugi khas akibat kehilangan pendapatan susulan penerbitan fitnah itu.

    “Anak guam kami turut menuntut satu perintah mengarahkan defendan memadam semua penerbitan fitnah, satu injunksi berterusan yang menghalang defendan sama ada sendiri atau melalui ejen daripada menerbitkan semula atau menyebabkan penerbitan semula perkataan-perkataan fitnah.

    “Defendan juga dituntut membuat permohonan maaf secara bertulis, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan kos guaman,” katanya.

    Mengulas lanjut beliau berkata, Mohd. Hafizz pula menuntut ganti rugi am RM10 juta daripada defendan selain perintah-perintah injunksi sampingan seperti dinyatakan dalam saman berkenaan.

    “Kami sudah menghantar notis tuntutan kepada defendan pada 12 Jun lalu, namun tidak mendapat maklum balas sebelum kami memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 21 dan 22 Jun lalu. Kedua-dua kes ditetapkan untuk pengurusan kes pada 13 Julai depan,” katanya.

    Sementara itu, Mohd. Haffiz, 38, turut menegaskan segala kenyataan yang dikeluarkan Husam adalah tidak benar.

    Beliau berkata, syarikatnya mendapat kelulusan kontrak daripada Daulah Najah Sdn. Bhd. bagi projek mengeluarkan saki-baki kayu dalam kawasan berkenaan untuk penempatan semula Orang Asli bagi pembinaan hidroelektrik Nenggiri untuk kawasan yang ditenggelamkan.

    “Kelulusan kepada syarikat kami bukan projek pembalakan sebaliknya untuk pembersihan mengeluarkan saki-baki kayu dan pembinaan semula penempatan Orang Asli.

    “Saya menegaskan dakwaan yang menyatakan saya dikatakan terbabit dengan pembalakan itu tidak benar. Saya mengeluarkan semua kayu bagi memudahkan pemilik projek menjalankan kerja-kerja mereka,” katanya.

  • Untitled post 39306

    Puad Zarkashi kata UMNO tiada krisis, gugur ahli MKT dilantik.

    Betul… bukan krisis tapi ‘perang saudara’.

  • Remaja buat laporan palsu elak didenda JPN

    Remaja buat laporan palsu elak didenda JPN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN seorang remaja wanita membuat aduan palsu kononnya kad pengenalannya hilang membawa padah apabila ditahan polis semalam.

    Suspek yang berusia 17 tahun ditahan oleh Ketua Balai Polis Nusa Bestari, Iskandar Puteri untuk siasatan lanjut.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, siasatan mendapati suspek telah memberikan keterangan mencurigakan mengenai kejadian kehilangan kad pengenalannya.

    “Suspek kemudian mengaku memberi keterangan palsu dengan tujuan untuk membuat semula kad pengenalan baharu dan bagi mengelak dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

    “Kad pengenalan suspek hilang dipercayai akibat tercicir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

    Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat laporan palsu untuk kepentingan diri sendiri.

    “Polis akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada bagi mendakwa pelaku,” katanya.

  • UMNO ‘perang saudara’, janganlah seret Bersatu!

    UMNO ‘perang saudara’, janganlah seret Bersatu!

    TT tak faham kenapa Nur Jazlan Mohamed nak kaitkan Bersatu berikutan perbalahan dalam UMNO.

    Zuraida Kamaruddin meninggalkan Bersatu, ia bukan menunjukkan parti Bersatu berpecah.  Memang sejak awal lagi, ramai yang tahu b Zuraida nak tinggalkan Bersatu sebab nak join PBM.Langkah beliau meninggalkan Bersatu tak ada apa-apa masalah bagi parti itu cuma apa yang menjadi masalah ialah beliau mahu kekal sebagai menteri yang dulunya beliau perolehi jawatan itu atas kuota Bersatu.

    Jadi Bersatu hanya tuntut soal kerusi Kabinet tersebut, itu sahaja. Lagipun sepertimana ditegaskan oleh Muhyiddin ada perjanjian antara PN dengan PM berhubung kuota dalam Kabinet ketika penubuhan kerajaan dahulu. Justeru tidak perlulah orang macam Nur Jazlan atau mana-mana Ahli Majlis Tertinggi UMNO bertaraf ‘dilantik’ yang nak jadi pembela tak tentu hala.

    TT tegur perkara ini sebab bosan melihat gelagat sesetengah daripada mereka yang minta Perdana Menteri jangan layan permintaan Muhyiddin. Ini bukan soal layan atau tidak, tetapi soal janji. Tahulah dalam UMNO itu ramai yang tak tahu nak tunai janji sebab itu siapapun jadi Perdana Menteri tak akan aman!

    Tetapi dalam Bersatu aman damai yang tengah bergolak adalah UMNO yang sekarang satu dunia dah tahu.  Sampaikan nak mesyuarat MT pun kecoh, siap gugur orang lagi untuk lantik orang  lain isi jawatan itu. Tak apalah itu hak Presiden UMNO cuma TT nak nasihat Nur Jazlan, kalau rumah tangga sendiri dok bergolak dan di ambang ‘perang saudara’, janganlah nak seret orang lain…itu politik jahil namanya.

    Bila masa pulak PM tanggung biawak hidup? Nur Jazlan belajar tak pasal peribahasa ni? Dalam kamus peribahasa, maksud biawak hidup ialah menolong orang yang akhirnya menyusahkan diri kita.

    TT nak tanya bila masa pula Bersatu menyusahkan UMNO. Sejak tertubuhnya Kerajaan PN yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin dan kini Ismail Sabri Yaakob yang dok menyusahkan kerajaan dan PM ialah pemimpin UMNO. Bersatu walaupun kehilangan jawatan PM melalui gerakan licik yang disusun oleh kluster mahkamah yang Nur Jazlan penyokong kuatnya tidak pernah menyusahkan kerajaan.

    Bersatu terus beri sokongan kepada Ismail Sabri tetapi yang dok buat kacau ialah geng-geng UMNO. Jadi Nur Jazlan tak payahlah nak tutup keceluparannya  terhadap Perdana Menteri dengan mengaitkan Bersatu. Masalah UMNO selesailah sendiri.

    Sekarang semua orang tahu dalam UMNO sudah hampir tercetus ‘perang saudara’ antara penyokong Presiden UMNO dan Najib Razak dengan penyokong Ismail Sabri. TT dapat tahu dalam tempoh beberapa hari lagi, ‘serangan’ antara satu sama lain akan bertambah hebat. UMNO kini berada di ambang perpecahan.

    Semua itu berlaku kerana Kluster Mahkamah terlalu berkuasa dalam UMNO.Sepatutnya pemimpin bermasalah disuruh bercuti, bukan buat hujah dangkal macam Puad Zarkashi yang minta Muhyiddin letak jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara. Sebab itulah TT cakap yang tengah berpecah bukan Bersatu tetapi UMNO. Masalah UMNO adalah masalah UMNO jangan cuba hendak mengalih isu dengan memburuk-burukkan Bersatu.

    TT fahamlah ada segelintir pemimpin UMNO yang tidur tidak lena bila Muhyiddin tetap tenang sahaja menghadapi ‘serangan’ mereka khususnya daripada pemimpin paling berpengaruh dalam UMNO iaitu Najib Razak. Memanglah Muhyiddin tenang sebab beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan redha biarpun disingkirkan dari jawatan Perdana Menteri angkara Kluster Mahkamah dalam UMNO.

    Jadi tak perlu orang macam Nur Jazlan nak alih isu. Lebih baik pastikan UMNO tidak berantakan menjelang PRU-15. Lagipun apa gunanya menuding kain orang lain terkoyak sedangkan kain sendiri sudah terlondeh! 

    *Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.

  • Pas mungkin dibenar guna logo sendiri dalam PRU-15

    Pas mungkin dibenar guna logo sendiri dalam PRU-15

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Pas mungkin dibenar menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebagai antara strategi meraih sokongan.

    Menurut beliau, perkara itu masih dalam perbincangan di peringkat tertinggi PN, lapor Berita Harian.

    “Hasil perbincangan akan diumumkan kemudian,” katanya kepada pemberita pada majlis kenduri kampung Anak Kurau di Larut, hari ini.

    Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, memberi bayangan parti itu akan menggunakan logo sendiri pada PRU-15.

    Katanya, penggunaan logo itu dijangka memberi kelebihan kepada Pas yang sinonim dengan logo digunakan sejak 70 tahun lalu.

    Hamzah bagaimanapun enggan mengulas mengenai tawaran Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, mempelawa Tajuddin bertanding atas tiket PN mewakili Pas sekiranya kerusi Parlimen Pasir Salak diperuntukkan kepada parti itu.

    “Semua orang boleh buat pandangan atau membuat tawaran begitu dan itu hanya cadangan.

    “Segala keputusan muktamad terletak kepada pucuk pimpinan, jadi saya tak perlu membuat mengulasnya,” katanya.

  • Shahidan minta pihak tidak berkaitan henti campur tangan isu Sungai Baru

    Shahidan minta pihak tidak berkaitan henti campur tangan isu Sungai Baru

    MENTERI Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim meminta pihak tidak berkaitan berhenti masuk campur dan mempolitikkan isu pengambilan tanah projek pembangunan semula unit kediaman di Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur yang masih dalam proses rundingan.

    Beliau turut meminta agar kumpulan penduduk yang masih tidak bersetuju dalam proses pengambilan tanah tidak keliru dan terpengaruh dengan pihak yang sekadar mahu menangguk di air keruh dengan berlagak ‘hero’.

    “Orang yang punya tanah lebih berhak daripada orang lain, mereka menyuarakan pendapat mereka cuma tersalah sikit apabila pendapat itu disalurkan kepada pihak yang mahu mengambil kesempatan.

    “Saya mungkin dicabar oleh pihak lain, cabarlah saya tidak ada masalah tapi saya tetap memihak kepada orang punya tanah, tidak perlulah cari orang lain kerana kita (kerajaan) yang akan buat keputusan, tapi kalau orang lain nak jadi hero terpulanglah,” katanya pada sidang
    media program Self Defence Awareness @ Jihad Dadah di Kuala Lumpur, hari ini.

    Menurut Perbadanan Kampong Bharu, sejumlah 291 pemilik lot dan unit flat (27 lot teres dan 264 unit flat) yang mewakili 88.72 peratus pemilik bersetuju dengan projek pembangunan semula itu dan pada masa sama pemaju terus berusaha berjumpa dan mengadakan sesi libat urus bersama pemilik 37 lot rumah teres yang tidak bersetuju.

    Program sehari Self Defence Awareness@ Jihad Dadah dianjurkan Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia (Pusaka Hanafi Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Wangsa Walk Mall hari ini bertujuan memupuk kesedaran umum agar berwaspada dengan risiko jenayah luar jangka selain mempersiapkan diri dengan asas pertahanan diri.

    Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan kenyataan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa yang memberi bayangan terdapat beberapa lagi pemecatan beberapa individu di dalam parti susulan pengguguran Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Shahidan berharap parti akan memberi lebih perhatian kepada aspek penyatuan ummah.

    Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis itu juga melahirkan rasa kesal atas isu terbabit dan menyifatkan soal pemecatan tidak seharusnya berlaku selain berpandangan masih ada ruang dan peluang untuk parti memperkukuh perpaduan dalam memberi keyakinan kepada rakyat untuk terus menerajui negara.

    “Saya percaya Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) juga ingin meninggalkan legasi yang menyatukan ummah.

    “Kalau sebelum PRU (Pilihan Raya Umum) memecah-belahkan ummah, kita buat pilihan raya kita akan rugi, payah menang,” katanya. – Bernama

  • Ejen laut warga asing terima upah sehingga RM890 bawa PATI

    Ejen laut warga asing terima upah sehingga RM890 bawa PATI

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan tiga individu warga Indonesia menaiki bot tongkang kayu di perairan Jeram, Kuala Selangor pukul 1.16 pagi tadi.

    Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, mereka ditahan ketika cuba menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI).

    Pihaknya mengesan kapal mencurigakan yang bergerak di perairan Pulau Angsa menuju ke Sungai Janggut pukul 11.38 malam tadi.

    “Bot Perkasa 35 yang dalam rondaan rutin memintas sasaran sekitar 1 pagi dan hasil pemeriksaan mendapati bot kayu itu dikendalikan seorang tekong serta dua kru warga Indonesia berusia lingkungan 28 hingga 59 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

    “Suspek dipercayai menurunkan Pati di perairan Sungai Janggut, Jeram dalam dalam perjalanan pulang ke Tanjung Balai di Indonesia,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, siasatan mendapati pihak ejen laut yang menjalankan kegiatan tersebut ditawarkan upah lumayan sehingga RM890 sebagai
    habuan membawa masuk PATI ke negara ini.

    Difahamkan, setiap kali melakukan penyeludupan pati itu, tekong diupah dua hingga tiga juta rupiah (RM593 hingga RM890), manakala kru kapal dibayar 1.5 hingga 2.5 juta rupiah (RM445 hingga RM742).

    Siva Kumar berkata, ketiga-tiga suspek bersama bot dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.