BEKAS isteri seorang ahli perniagaan terkenal, Emilia Hanafi, 43, diperintahkan Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur hari ini untuk menjalani hukuman penjara selama tujuh hari bermula hari ini.

Peguam, Nazri Yahya berkata demikian selepas prosiding kes komital terhadap Emilia berhubung hak penjagaan dan isu mengubah tarikh lawatan tiga anaknya untuk bersama bapa mereka.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Nazri berkata, anak guamnya ditahan selepas hadir untuk serah diri di mahkamah ini.

Menurutnya, Emilia ditahan di Penjara Wanita Kajang, lapor Sinar Harian.

“Selepas pemenjaraan itu, anak guam saya akan hadir untuk prosiding di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang ditetapkan pada 6 Julai,” katanya.

Bekas isteri seorang ahli perniagaan terkenal itu tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pukul 9.50 pagi untuk prosiding komital berhubung isu mengubah tarikh lawatan tiga anaknya untuk bersama bapa mereka.

Emilia yang hadir dengan memakai jubah dan selendang putih tiba di mahkamah ini dengan ditemani peguam Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim serta penyokongnya.

Sementara itu, Emilia yang ditemui media di pekarangan mahkamah berkata, kehadirannya walaupun ‘secara paksa’ disifatkan sebagai jihad dalam memperjuangkan keadilan buat dirinya.

“Semoga kes saya menjadi kes contoh, saya dapat keadilan yang sewajarnya dan ada pihak-pihak membantu untuk melihat kes saya di Mahkamah Syariah,” katanya.

Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menjatuhi hukuman tujuh hari ke atas Emilia kerana menghina mahkamah ekoran mengubah tarikh lawatan tiga anaknya untuk bersama bapa mereka, namun beliau dibebaskan dengan jaminan RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Pada 8 Jun, Emilia memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur yang menjatuhi hukuman penjara berkenaan.

Permohonan dibuat menerusi Tetuan Nizam Bashir & Associates di Mahkamah Tinggi dan menamakan SM Faisal, 43, serta bekas ibu mentuanya, Puan Sri Zaleha Ismail, 70, sebagai responden.

Turut dinamakan ialah Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia.

Pada 15 Jun lalu, Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Emilia kerana gagal hadir sebagai saksi pendakwaan, dalam kes jenayah terhadap bekas suaminya.

Hukuman terhadap Emilia menyebabkan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah mengeluarkan kenyataan bahawa wanita Islam masih didiskriminasi di bawah sistem undang-undang syariah Malaysia yang disiarkan oleh sebuah portal.

Pada 25 April lalu, Maria Chin dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan mengkritik keputusan mahkamah itu yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas Emilia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here