Author: Admin

  • Budak 11 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan

    Budak 11 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan

    SEORANG kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas dikatakan hanyut dibawa arus deras ldalam kejadian di Jeti Nelayan Bagan Ajam dekat Pantai Bersih, Butterworth, petang tadi.

    Dalam kejadian itu, mangsa, Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah, 11, dikatakan hanyut dibawa arus semasa sedang mandi bersama tiga rakannya.

    Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Mohd. Faizwan Che Amat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.45 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    “Ketika tiba, kami dimaklumkan tiga lagi rakan mangsa berjaya diselamatkan orang awam manakala seorang pemancing yang kebetulan berada di lokasi cuba menyelamatkan mangsa.

    “Bagaimanapun, pemancing itu turut lemas dalam kejadian berkenaan sebelum diselamatkan orang awam dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya di sini malam ini.

    Menurut beliau, selain bomba, operasi itu turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela (PBS) berhampiran serta nelayan dan penduduk setempat.

    Dalam pada itu, Mohd. Faizwan berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa bagaimanapun terpaksa dihentikan kira-kira pukul 7.30 malam tadi berikutan cuaca gelap dan tidak mengizinkan.

    “Operasi itu bagaimanapun akan diteruskan semula seawal pukul 7 pagi esok,” katanya.

  • Tiga termasuk seorang wanita ditahan bersama 17.3 kg ganja

    Tiga termasuk seorang wanita ditahan bersama 17.3 kg ganja

    SATU sindiket pengedaran dadah lumpuh selepas tertangkapnya dua lelaki dan seorang wanita menerusi Op Igor dalam serbuan ke atas sebuah kondominium di Kajang, Selangor, 24 Jun lalu.

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, sindiket yang didalangi oleh seorang lelaki tempatan itu dipercayai aktif mengedar dadah untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

    Pihak polis katna, berjaya menangkap tiga suspek itu yang merupakan warga tempatan serta merampas sejumlah dadah disyaki jenis ganja seberat 17.3 kilogram (kg) bernilai RM43,200.

    “Kejayaan ini adalah hasil siasatan dan risikan yang rapi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (Narkotik) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Selangor dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah berbahaya dengan lebih berkesan.

    “Pihak polis merampas wang tunai berjumlah RM4550, sebuah kereta jenis Honda CRV dan beberapa bentuk barang kemas dianggarkan nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah berjumlah RM162,750,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Kesemua suspek katanya, berusia lingkungan 24 hingga 31 tahun direman antara satu hingga lima hari bermula 24 Jun bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

    Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

    Dalam perkembangan lain, IPK Kuala Lumpur dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur menahan seramai 229 individu atas pelbagai kesalahan narkotik menerusi Op Tapis Khas Bilangan 4/2022 bermula 21 hingga 23 Jun.

    Azmi berkata, operasi tersebut menyasarkan kawasan perumahan awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) antaranya PPR Desa Tun Razak, PPR Sungai Bonus, PPR Intan Baiduri, Flat Seri Terengganu, serta sekitar Chow Kit di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    “Daripada jumlah tersebut (229), seramai 11 orang telah diambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan dadah di bawah ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

    “Seramai 21 orang di bawah Seksyen 39c ADB 1952 atas kesalahan mengambil dadah berulang dan 10 orang kerana dikehendaki di bawah pelbagai kesalahan dadah,” ujarnya.

  • Kes terowong dasar laut:Pengarah ‘mengaku’ rasuah Guan Eng

    Kes terowong dasar laut:Pengarah ‘mengaku’ rasuah Guan Eng

    MAHKAMAH Sesyen hari ini diberitahu oleh seorang bekas pengurus kewangan berkenaan perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng berkait terowong dasar laut bahawa bekas bosnya, Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli ‘mengaku’ memberi rasuah kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang untuk projek itu.

    Naib presiden kanan Konsortium Zenith BUCG Sdn. Bhd., Azli Adam yang bertanggungjawab ke atas bahagian kewangan dan perkhidmatan korporat syarikat berkata, pengakuan itu berlaku pada Januari 2018.

    “Zarul berkata demikian selepas beliau direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatannya terhadap projek itu.

    “Dia mengaku kepada saya dan Ibrahim Sahari (seorang pengarah syarikat lain) bahawa memang pembayaran tersebut dibuat sejak 2012 sehingga 2017..

    “Zarul telah meminta Ibrahim dan saya menggunakan baucar dan invois pembayaran palsu sebagai bukti pembayaran telah dibuat kepada dua entiti – Perkhidmatan Perundingan Sinar Bina dan Kejuruteraan Bintang Ria,” kata Azli, lapor Free Malaysia Today hari ini.

    Katanya, selain Sinar Bina dan Bintang Ria, ‘pembayaran’ juga dibuat kepada JKM Konsortium Sdn Bhd dan Jurutera Konsult Maju Sdn. Bhd.

    Ujarnya lagi, kedua-dua Sinar Bina dan Bintang Ria tidak mempunyai hubungan perniagaan dengan Konsortium Zenith dan dia tidak tahu siapa pemilik syarikat itu.

    “Ini adalah untuk menutup jejak pembayaran tunai yang dibuat kepada beliau,” katanya.

    Guan Eng dibicarakan atas tuduhan menggunakan jawatannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta daripada Zarul komisyen 10 peratus daripada keuntungan projek terowong dasar laut dan menerima RM3.3 juta sebagai sogokan daripada ahli perniagaan itu.

    Dia juga didakwa atas dua pertuduhan menyalahgunakan tanah negeri bernilai RM208.7 juta secara tidak jujur kepada dua syarikat.

    Ditanya oleh peguam Guan Eng, Gobind Singh Deo, sama ada dia pernah bertemu Guan Eng sebelum ini, Azli memberitahu mahkamah dia pernah berjumpa Guan Eng pada majlis Hari Raya.

    Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan di mana dan bila pertemuan itu berlangsung.

    Beliau juga bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa beliau tidak pernah bertemu Guan Eng secara peribadi selepas majlis Hari Raya.

    Gobind: Anda menyebut dalam keterangan anda bahawa Zarul meminta anda mengeluarkan invois palsu supaya pembayaran boleh dibuat?

    Azli: Ya, (saya melakukannya) di bawah arahan Zarul.

    Gobind kemudian bertanya kepada Azli sama ada dia tahu siapa penerima utama pembayaran itu.

    Kata Azli, dia tidak tahu.

    Gobind berkata, memalsukan dokumen seperti invois dan baucar pembayaran adalah satu kesalahan dan Azli adalah bertanggungjawab dan boleh didakwa.

    “Oleh kerana anda memalsukan dokumen, itu menunjukkan anda seorang yang tidak boleh dipercayai,” katanya.

    “Saya tidak bersetuju,” jawab Azli.

    Perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi bersambung esok apabila Timbalan Pendakwa Raya Mukhzany Fariz Mohd. Mokhtar akan memanggil Ibrahim, iaitu seorang pengarah Konsortium Zenith yang lain, untuk memberi keterangan.

    Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa Zarul yang dijadual memberi keterangan hari ini tidak dapat hadir pada perbicaraan itu.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, Zarul mengambil cuti sakit kerana dalam proses pemulihan daripada kanser pankreas.

  • 5 penjenayah bersenjata samun kedai serbaneka diberkas

    5 penjenayah bersenjata samun kedai serbaneka diberkas

    POLIS menahan lima penjenayah yang menjadikan kedai serbaneka di sekitar Klang sebagai sasaran kegiatan samun wang tunai dan rokok secara berkumpulan.

    Namun kegiatan lima penjenayah bersenjatakan parang itu tumpas menerusi Op Pencegahan Jenayah Khas-Cantas di Klang baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia antara 21 hingga 45 tahun ditahan di kawasan Taman Telok Gedung Indah dan Taman Sentosa, di Klang.

    “Polis berjaya menyelesaikan lima kes samun membabitkan kedai serbaneka di sekitar Klang susulan penangkapan dua suspek lelaki warga tempatan, Jumaat lalu.

    “Tangkapan ke atas suspek dilakukan susulan aduan polis diterima pada pukul 5.35 pagi, Jumaat lalu.

    “Mangsa (pekerja premis) memberitahu didatangi dua suspek yang bertindak mengacukan parang dan mengambil wang tunai dan pelbagai rokok pelbagai jenama,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Hoong Fong berkata, pada pukul 1.50 tengah hari, hari sama, polis menyerbu dua rumah dan menangkap dua suspek berumur 21 dan 22 tahun dipercayai terbabit dalam kes itu di Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang.

    “Kedua-dua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Menurutnya, bagi kes samun bersenjata di pasar raya pada pukul 1 pagi, 11 Jun lalu, seramai tiga lelaki warga tempatan diberkas polis di kawasan Taman Sentosa di sini.

    “Semasa serbuan, polis menjumpai parang, pakaian dan kenderaan digunakan suspek,” katanya.

    Seorang suspek ditangkap adalah suspek utama yang mempunyai sembilan rekod lampau atas kesalahan samun, curi kenderaan, mendatangkan cedera parah dan memiliki senjata api, katanya.

  • Polis serbu sarang, berkas 229 penagih, pengedar dadah 

    Polis serbu sarang, berkas 229 penagih, pengedar dadah 

    POLIS menahan 229 penagih dadah di beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Lembah Klang yang dipercayai menjadi sarang penagihan dadah menerusi Ops Tapis Khas, minggu lepas. 

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, operasi bersepadu dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan dari 21 Jun hingga 23 Jun itu menyasarkan beberapa kawasan perumahan termasuk PPR Desa Tun Razak, PPR Pantai Dalam, PPR Desa Rejang, PPR Sungai Bonus, PPR Intan Baiduri, Flat Seri Terengganu, Chow Kit serta Putrajaya. 

    “Daripada jumlah tersebut, 11 penagih dadah diambil tindakan mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) sementara 21 individu lagi yang merupakan pesalah berulang diambil tindakan di bawah Seksyen 39 C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.  

    “Seramai 10 individu lagi adalah orang dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Satu Berita.

  • MAIK tidak lantik mana-mana ejen kutip derma

    MAIK tidak lantik mana-mana ejen kutip derma

    MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) hari ini menafikan ada melantik mana-mana individu atau syarikat untuk mengutip wang daripada orang ramai.

    Yang Dipertua (YDP) MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, tindakan tegas boleh diambil termasuk membuat laporan polis terhadap mereka yang menyalahgunakan nama MAIK bagi kegiatan itu.

    “Di pihak MAIK, kita tidak pernah melantik mana-mana individu dan syarikat atau ejen lantikan untuk mengutip tabung kerana sebarang urusan berkaitan sumbangan boleh terus ke MAIK atau menerusi platform dalam talian.

    “Jika didapati ada yang menggunakan nama MAIK untuk kegiatan mengutip derma, boleh diambil tindakan seterusnya melaporkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika sidang media di Kota Bharu, hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata demikian susulan kejadian yang ditularkan baru-baru ini mengenai individu yang menyamar sebagai wakil MAIK untuk mengutip derma.

  • Lima pelajar sekolah dalang curi EX5 ditahan

    Lima pelajar sekolah dalang curi EX5 ditahan

    LIMA remaja lelaki bawah umur ditahan selepas disyaki menjadi dalang dalam kegiatan curi motosikal di sekitar daerah Ampang Jaya.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, kesemua lima remaja berusia antara 14 hingga 16 tahun itu ditahan dalam lima serbuan berasingan di sekitar daerah Ampang Jaya bermula jam 6.30 petang hingga 11 malam Rabu lalu, mengikut laporan Berita Harian.

    Tambah beliau, susulan penahanan kesemua suspek, polis menemui semula lapan motosikal yang dilarikan mereka, sekali gus menyelesaikan lapan kes yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan kumpulan itu.

    Mengulas lanjut, katanya, siasatan mendapati kelima-lima suspek masih belajar di sekolah menengah sekitar daerah berkenaan dan mereka dipercayai menyasarkan motosikal jenis Honda EX5.

    “Semua motosikal terbabit dicuri untuk kegunaan harian dan mereka mempunyai kemahiran untuk menghidupkan motosikal dengan teknik penyambungan wayar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, semua lima remaja terbabit direman sehingga Rabu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

  • Bekas isteri dipenjarakan:Jangan dengar cerita sebelah pihak saja-SM Faisal

    Bekas isteri dipenjarakan:Jangan dengar cerita sebelah pihak saja-SM Faisal

    AHLI perniagaan terkenal, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin meminta agar tidak hanya mendengar cerita sebelah pihak berhubung tindakan undang-undang yang dihadapinya dengan bekas isteri mengenai hak lawatan anak mereka.

    “Saya dinafikan masa untuk bersama anak-anaknya sejak bercerai dengan Emilia Hanafi enam tahun lalu walaupun perintah mahkamah memberinya hak melawat.

    “Saya tidak dapat luangkan masa bersama anak-anak sejak enam tahun lalu, sekalipun pada hari raya dan hari lahir.

    “Tahu tak betapa traumanya (saya)?” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Emilia sebelum itu menjalani hukuman penjara di Penjara Wanita Kajang bermula hari ini atas kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengenai tarikh lawatan tiga anaknya.

    Emilia yang memakai jubah putih hadir ke mahkamah ditemani keluarga, sahabat dan penyokong.

    Peguam syarie yang mewakili Emilia, Nazri Yahya berkata, anak guamnya akan menjalani hukuman di Penjara Wanita Kajang bermula hari ini.

    Sementara itu, peguam mewakili SM Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, pasangan itu sudah bersetuju anak-anak mereka akan dihantar ke kediaman mereka sebelum ini di Serene Kiara, Kuala Lumpur, bukan ke tempat lain seperti didakwa Siti.

    Katanya, Faisal tidak mendesak dan menunggu untuk bertemu anak-anaknya di rumah bapa Emilia di Kajang, tetapi bekas isterinya itu enggan membenarkannya.

    “Faisal juga membuat laporan polis setiap kali gagal bertemu anak-anaknya seperti dibenarkan oleh mahkamah.

    “Kami gesa pengkritik, termasuk Siti Kasim, supaya mengkaji fakta kes ini sebelum membuat dakwaan palsu dan mengelirukan orang ramai. Malang juga ada media yang gagal melaporkan isu ini secara adil dan objektif,” katanya.

  • Wanita jatuh motosikal ditimpa kelapa luruh dirawat di HPP

    Wanita jatuh motosikal ditimpa kelapa luruh dirawat di HPP

    PEMBONCENG wanita yang cedera akibat ditimpa buah kelapa yang gugur di Jalan Teluk Kumbar, Bayan Lepas, Pulau Pinang petang semalam sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

    Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, beliau sudah menghubungi anak kepada mangsa yang berusia 50-an itu yang memaklumkan bahawa ibunya cedera akibat insiden itu.

    “Mangsa dikenali sebagai Puan Anita sedang dirawat di HPP dan saya ada menghubungi anaknya bertanya khabar mengenai perkembangan mangsa. Perkara ini memang tidak diduga dan kita amat bersimpati.

    “Jadi untuk mengelakkan kejadian sebegini berulang, kita jalankan kerja menebang 11 pokok kelapa bermula 2 petang tadi di samping meneliti pokok berisiko lain di sepanjang jalan,” katanya, mengikut laporan Berita Harian.

    Azrul yang melakukan tinjauan di lokasi kejadian bersama pegawai landskap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata, operasi penebangan pokok akan dilakukan menggunakan jentera angkat atau skylift yang dijangka selesai sebelum pukul 5 petang ini.

    Terdahulu, anak kepada mangsa yang dikenali sebagai Yaya Ghani menerusi hantaran di Facebook menyatakan keadaan ibunya agak parah selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggang adiknya.

    “Ya, (wanita) yang berlari ke arah mangsa ialah adik perempuan saya. Alhamdulillah mama sedar dan masih berada di HPP.

    “Keadaan mama agak parah dan patah tulang bahu kanan, patah tangan kiri selain cedera tulang rusuk.

    “Keadaan adik perempuan baik saja cuma masih trauma. Saya mohon semua agar semua doakan kesembuhan mama saya,” menurut tulisan yang dikongsinya itu.

    Seorang peniaga durian, yang juga saksi kejadian, Md. Ghazali Shahari, 62, berkata ketika kejadian 3.30 petang, dia sedang melayan pelanggan di gerainya sebelum terdengar jeritan kuat.

    Dia melihat mangsa dan topi keledar yang dipakainya jatuh tergolek di jalan raya.

    “Jalan agak sibuk ketika itu dan saya dibantu beberapa orang lagi segera menahan kenderaan yang lalu-lalang. Selepas itu saya terus menghubungi ambulans dan meminta supaya mangsa tidak dialihkan sebelum petugas kesihatan tiba kerana kita tidak tahu bahagian badan mana yang cedera,” katanya.

    Pesara kerajaan itu berkata, kejadian buah kelapa luruh di jalan sudah banyak kali berlaku namun ini kali pertama membabitkan kemalangan sehingga mengancam nyawa.

    “Selalunya ia jatuh di tempat yang tiada orang dan pernah juga menimpa kenderaan dan bumbung gerai saya. Tetapi tiada kerosakan yang teruk dan sudah ada sebatang pokok kelapa berdekatan gerai ditebang sebelum ini,” katanya.

  • Polis tahan bekas Ketua Srikandi PKR

    Polis tahan bekas Ketua Srikandi PKR

    POLIS menahan bekas Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Aishah Shaik Ismail bagi membantu siasatan berhubung penyebaran satu kandungan video aplikasi TikTok dimuat turun beliau baru-baru ini.

    Siti Aishah yang juga bekas Ahli Dewan Negara pada pukul 1.40 petang tadi sebelum diiringi polis ke Balai Polis Sungai Senam, Ipoh

    Beliau memaklumkan perkara itu melalui satu mesej aplikasi WhatsApp susulan rumahnya diserbu tiga kenderaan dinaiki pegawai Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis.

    Jelas Siti Aishah, penahanannya itu ada kaitan dengan satu kandungan video TikTok di mana beliau mendakwa terdapat beberapa komoditi dan barang makanan berdepan kenaikan harga mendadak dan pemansuhan subsidi bermula 1 Julai ini.

    “Pada pukul 1.40 petang, tiga kenderaan, satu daripada SKMM dan dua daripada Balai Polis Sungai Senam (Bahagian Siasatan Jenayah) telah hadir ke rumah saya.

    “Ketika itu ada ayah saya sahaja. Saya baru lepas menghantar anak ke sekolah sebelum pulang sekitar 15 minit. Mereka telah membuat serbuan ke bilik saya dan mencari peralatan telefon dan video digunakan saya untuk membuat kandungan video Tiktok.

    “Telefon dan video itu sudah dirampas dan sekarang saya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Senam, Ipoh untuk disiasat.

    “Buat masa ini, saya dituduh dengan dua perkara iaitu atas sabitan kandungan video itu dan kedua adalah berdasarkan laporan polis yang dibuat sebuah badan bukan kerajaan (NGO) terhadap kandungannya di Balai Polis Dang Wangi, tempoh hari.

    “Saya dibawa dan diiringi polis ke Balai Polis Sungai Senam untuk direkodkan kenyataan berdasarkan dua tuduhan berkenaan,” jawab Siti Aishah secara ringkas melalui mesej aplikasi WhatsApp kepada Sinar Harian.

    Terdahulu, Siti Aishah memuat naik satu kandungan video TikTok berdurasi hampir tiga minit yang menjelaskan jangkaan beberapa harga barangan komoditi dan barang makanan bakal dimansuhkan subsidi oleh kerajaan bermula 1 Julai ini.

    Kandungan video itu menjadi tular di media sosial dan menyebabkan beberapa NGO bertindak membuat laporan polis terhadapnya.

    Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak, Lim Boon Chye mengesahkan penahanan Siti Aishah dan menegaskan parti sedang menguruskan khidmat guaman bagi membantu membebaskan beliau.

    “Kita masih sedang menunggu penjelasan lanjut daripada pihak polis terhadap penahanan Siti Aishah,” ujarnya.