Author: Admin

  • Pegawai penyelidik Exco beri keterangan untuk siasatan kes cabul

    Pegawai penyelidik Exco beri keterangan untuk siasatan kes cabul

    PEGAWAI penyelidik kepada Exco kerajaan Negeri Sembilan, Ahmad Shukri Kamarudin dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mencabul seorang wanita di sebuah hotel di Negeri Sembilan.

    Menurut beliau, dakwaan yang dilemparkan kepadanya adalah bersifat dendam dan bermotifkan politik.

    “Saya mengesahkan bahawa saya dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan oleh pihak polis pada 4 Julai lalu.

    “Saya memberi kerjasama yang penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia supaya proses siasatan ini dapat dibuat secara telus,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Ahmad Shukri berkata, beliau bersama-sama pasukan peguamnya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

    Beliau sedang mempertimbangkan tindakan mengikut lunas undang-undang bagi membersihkan namanya.

    Media pada Isnin melaporkan polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian cabul yang dikatakan melibatkan seorang pegawai kepada exco kerajaan Negeri Sembilan di sebuah hotel di Negeri Sembilan.

    Suspek yang merupakan lelaki berusia 30-an itu dikatakan melakukan perbuatan tersebut pada 30 Mac dan 26 April lalu.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, polis menerima laporan daripada mangsa pada Ahad lalu.

    “Siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk menggunakan khidmat forensik, mengambil keterangan daripada saksi-saksi yang boleh membantu siasatan seterusnya mengesan suspek.

    “Semua pihak diharap tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

  • Rampas minyak masak paket bersubsidi RM1.5 juta di empat negeri

    Rampas minyak masak paket bersubsidi RM1.5 juta di empat negeri

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas minyak masak paket bersubsidi bernilai RM1.5 juta yang cuba diseludup ke negara jiran bagi tempoh Januari lalu hingga semalam.

    Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, rampasan berkenaan membabitkan 61 kes di Sabah, Sarawak, Kedah dan Kelantan.

    “Disebabkan itu, kita memperhebatkan penguatkuasaan dan memang ada berlaku kes di sempadan iaitu Sabah, Sarawak sebab dua negeri ini ada sempadan yang panjang dengan jiran kita.

    “Juga di sempadan Kelantan dan Kedah, jadi empat negeri ini ada berlaku penyeludupan (minyak masak paket bersubsidi),” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Carsome Certified Lab, Bandar Bukit Raja, hari ini, lapor Berita Harian.

    Alexander berkata, penguatkuasaan membabitkan minyak masak paket bersubsidi itu sentiasa bergerak dan berterusan sehingga membolehkan pihaknya berjaya mengesan kesalahan itu dan membuat tangkapan seterusnya dikompaun.

    Katanya, KPDNHEP sedang merangka beberapa strategi membabitkan penguatkuasaan dan pemantauan dengan mesyuarat jawatankuasa itu masih berjalan.

    “Kita ada Ops Samar, yang mana penguat kuasa kita tidak memakai uniform, sebaliknya memakai pakaian biasa untuk masuk ke mana-mana tempat bagi memastikan kejadian itu berlaku atau tidak.

    “Kita juga tubuhkan jawatankuasa seperti diumumkan oleh saya dan Perdana Menteri, yang mana agensi penguat kuasa lain akan membantu KPDNHEP seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi penguat kuasa lain.

    “Kalau di sempadan perairan, kami tidak ada aset yang diperlukan seperti bot, jadi kami juga memerlukan daripada tentera laut, polis marin, kastam dan lain-lain.

    “Ini untuk kami bentuk pasukan lebih mantap dan kukuh,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Dalam pada itu katanya, KPDNHEP terbuka jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjalankan siasatan jika berlaku ketirisan dalam isu berkenaan.

    “Itu bergantung kepada SPRM (siasatan jika berlaku ketirisan), kita tidak kawal mereka.

    “Kalau mereka terima aduan dan hendak siasat, itu terpulang. KPDNHEP tidak ada larangan, tidak ada masalah dengan itu,” katanya.

    Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan melakukan pengauditan dan pemutihan komprehensif membabitkan 22 pengeluar serta 305 premis pembungkusan semula minyak masak paket di seluruh negara.

    Beliau turut mengarahkan penguat kuasa seperti KPDNHEP, PDRM dan ATM menggempur daripada peringkat kilang pembungkusan hingga ke sempadan negara bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku.

  • Sindiket pernikahan ‘Ustaz Zul’ tumpas

    Sindiket pernikahan ‘Ustaz Zul’ tumpas

    JABATAN Agama Islam Perak (JAIPk) menumpaskan sindiket nikah tanpa tauliah yang menggunakan surat nikah Thailand disyaki palsu di kawasan Chepor, Ipoh, Perak baru-baru ini.

    Serbuan kira-kira pukul 9.30 malam yang dilakukan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah itu membawa kepada penahanan lelaki dikenali ‘Ustaz Zul’ berusia 50 tahun.

    Menurut Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin, hasil serbuan pihaknya telah menahan 16 individu termasuk isteri dan anak kepada lelaki terbabit yang mendakwa dirinya sebagai jurunikah yang mempunyai tauliah.

    “‘Ustaz Zul’ ditahan ketika sedang menikahkan sepasang pengantin yang berasal dari Klebang di sini.

    “Pernikahan tersebut yang dibuat tanpa melalui prosedur yang betul kerana ingin mengelak daripada pengetahuan isteri pertama,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu, lapor Astro Awani.

    Tambah Mohd. Yusop, sebanyak 15 keping surat nikah Thailand atas nama pelbagai pasangan juga telah dirampas hasil serbuan berkenaan.

    “Siasatan awal mendapati sindiket itu mengenakan bayaran antara RM4,500 hingga RM6,000 untuk menguruskan pernikahan secara rahsia dan menggunakan surat nikah Thailand untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 40 Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004 atas kesalahan akad nikah tanpa kebenaran yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara.

    “Tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dan akan dibawa ke muka pengadilan.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan pernikahan sindiket yang kononnya sebagai jalan mudah untuk mendapatkan pernikahan terutamanya secara poligami,” katanya.

    Jelasnya, kesan terhadap jalan ringkas yang diambil itu bukan sahaja pada kerugian wang, tetapi ia turut merosakkan nasab keturunan.

  • 90 rakyat Malaysia jadi agen sindiket penipuan dalam talian di Kemboja

    90 rakyat Malaysia jadi agen sindiket penipuan dalam talian di Kemboja

    SEORANG lelaki berusia 25 tahun ditipu sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja yang kononnya memberikan gaji lumayan.

    Bapa mangsa dikenali sebagai Christopher, 56, berkata, anaknya kini berada di negara itu dan bimbang dengan keselamatannya serta berharap mangsa dapat kembali ke tanah air.

    “Anak saya ke luar negara pada 7 Mei lalu, beberapa hari kemudian saya menerima panggilan daripadanya memaklumkan dia telah ditipu sindiket dan dipaksa bekerja di Kemboja.

    “Selepas seminggu, sindiket itu menghubungi dan meminta wang sebanyak RM100,000 untuk membebaskan anak saya,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Christopher, dia telah meminta bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang bagi membolehkan anaknya dapat pulang ke tanah air.

    Sementara itu Chon Siang berkata, beliau berjaya menghubungi pihak berkuasa di Kemboja untuk membantu menyelamatkan mangsa.

    “Mangsa kini ditempatkan di depoh Imigresen Kemboja kerana masuk ke negara itu secara haram,” katanya.

    Chon Siang menambah, pihaknya menjangkakan mangsa akan pulang dalam tempoh tiga bulan setelah semua urusan termasuk imigresen selesai.

    “Saya juga telah pergi ke Kemboja pada minggu lalu dan berjaya menemui mangsa. Saya berterima kasih atas bantuan daripada pihak berkuasa Kemboja serta Kedutaan Malaysia di negara itu,” ujarnya.

    Beliau memberitahu, berdasarkan maklumat diterima, pada masa ini dianggarkan hampir 90 rakyat Malaysia berada di Kemboja dan dikerah untuk menjadi agen sindiket penipuan dalam talian.

    Katanya, mangsa disyaki akan diseksa dengan renjatan elektrik sekiranya gagal mencapai sasaran sindiket.

  • Kelantan sumbang RM50,000 bantu mangsa banjir di Kedah

    Kelantan sumbang RM50,000 bantu mangsa banjir di Kedah

    KERAJAAN Kelantan menyalurkan bantuan berjumlah RM50,000 kepada Kerajaan Kedah melalui sumbangan Tabung Serambi Mekah bagi membantu penduduk yang terkesan dengan banjir di kawasan Baling.

    Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sumbangan tersebut merupakan tanda solidariti dan kebersamaan antara dua kerajaan negeri.

    “Kami (kerajaan Kelantan) merakamkan ucapan takziah kepada mangsa bencana banjir di Kedah yang menyebabkan kehilangan jiwa dan kemusnahan harta benda.

    “Semoga usaha-usaha pasukan keselamatan dan sukarelawan dipermudahkan oleh Allah SWT bagi melancarkan operasi pemulihan pasca bencana,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu Kelantan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Semalam media melaporkan seramai 334 mangsa banjir dari sembilan kampung di Baling dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran banjir melanda kawasan berkenaan.

    Dalam kejadian itu, tiga sekeluarga ditemui maut dalam tragedi banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang, Baling.

    Ketiga-tiga jenazah, Salmah Mat Akib, 54, menantunya Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang hamil empat bulan dan anaknya Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Charuk Bemban, pada awal pagi ini

  • Netizen kecam sekolah jemput Haqiem Stopa

    Netizen kecam sekolah jemput Haqiem Stopa

    NETIZEN mempersoalkan kewajaran sebuah sekolah di Kuala Lumpur, menjemput personaliti media sosial, Haqiem Stopa untuk memberi motivasi kepada para pelajar di sekolah tersebut.

    Persoalan itu timbul selepas Haqiem Stopa memuatnaik sebuah video pada Selasa di aplikasi TikTok, berkenaan program berkenaan yang dikatakan berlaku di salah sebuah sekolah di Sungai Besi Kuala Lumpur.

    Daripada video itu dapat dilihat kehadiran Haqiem Stopa disambut oleh guru sebelum dibawa ke dewan yang dipenuhi pelajar. 

    Menjengah di ruangan komen, lebih 80 peratus daripada hampir 6,000 komen di video tersebut mempersoalkan kewajaran tindakan sekolah berkenaan.

    Netizen berpendapat tindakan sekolah tersebut kurang bijak dan tersilap memilih personaliti untuk membuat sesi motivasi di sekolah berkenaan.

    Netizen turut berpendapat individu seperti itu tidak sepatutnya diberikan tempat dan dijadikan contoh kepada remaja bimbang mendatangkan pemahaman negatif dalam pemikiran mereka.

    “Siapa pengetua, cikgu sekolah ni? Banyak soalan nak tanya dekat cikgu-cikgu ni,” soal Insan Kerdil.

    “Pelik-pelik la, nanti semua ikut merempit,” kata Aadham Zaini.

    “Mungkin nak jemput pakar motivasi tak ada modal, ambilla yang tak seberapa nak pakar,” kata Mrfximxn.

    “Berlumpa di highway adakah patut jadi ikon di sekolah?,” soal Templer54.

    “Harap Kementerian Pelajaran Malaysia dapat beri penjelasan kenapa ikon yang macam ni dijemput, walhal tiada langsung sumbangan dan benda yang dia sumbangkan pada negara dan yang dapat dicontohi oleh pelajar,” kata Azri Hamdan.

    “Sekolah apa yang buat benda macam ni? Macam mana boleh pengetua lepaskan benda macam ni jadi dekat sekolah? Buat malu!” tegas Hanis Hadi.

    “Kesian pelajar-pelajar sekolah dapat pengurusan sekolah yang macam ni,” kata Farah Anis.

    “Nak hantar anak pergi sekolah pun dah tiada fungsi sekarang. Tenat sangat dah,” kata Mohd. Fawzan Kamarudin.

    Sebelum ini Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, turut dikecam netizen dan warta dunia permotoran negara ekoran tindakannya melabelkan Haqiem Stopa sebagai ikon permotoran negara.

  • Ramai hadir majlis PN, Najib ‘panas satu badan’…dah kenapa?

    Ramai hadir majlis PN, Najib ‘panas satu badan’…dah kenapa?

    TT gelak  bila baca posting Najib Razak dalam Faebook beliau pasal pelancaran Perikatan Nasional (PN) Peringkat Kelantan pada Sabtu lalu.

    Najib macam ‘cacing kepanasan’ bila dapat tahu lebih 30,000 orang menghadiri majlis pelancaran tersebut. TT faham Najib ‘panas satu badan’ bukan pasal kehadiran tu sangat. Sebenarnya  beliau tak boleh terima hakikat bila ‘musuh ketatnya’ Muhyiddin Yassin diberi sambutan macam tu.

    Maklumlah sebelum ini, beliau selalu perlekeh kehadiran orang ramai di majlis-majlis PN, tetapi kali ini bila tengok begitu ramai mula lah Najib kelam kabut nak cari apa sebabnya. Maka macam-macam celah beliau cari untuk tunjuk kehadiran orang ramai tu bukan tulen.

    Mulanya beliau tanya betul ke yang hadir dapat jam G-Shock dan payung, ia sudah dinafikan oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abd.Aziz.

    Secara logiknya tak kan nak sediakan jam G-Shock kepada 30,000 orang, sebagai seorang bekas Menteri Kewangan dan tengah dibicarakan dalam kes berkaitan  1MDB, mesti Najib tahu mengira  berapa belas juta ringgit perlu disediakan. Kalau PN nak beri jugak, kena mintala mana-mana ‘Tok Arab’ dermakan, betul tak?

    Lepas tu bangkitkan pula soal surat Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah yang memaklumkan mengenai perasmian mesyuarat berkelompok PIBG di lokasi yang sama dengan pelancaran PN Kelantan. Kenapa sampai macam tu Najib terdesak? Sebabnya Najib takut terima hakikatnya begitu  ramai orang hadir ke majlis PN itu.

    Kalaupun mereka hadir mesyuarat PIBG, kalau mereka yang  tak berminat soal politik, mereka akan balik jugak waima kalau dah duduk dalam khemah perasmian sekalipun. Ini tidak, khemah tu tetap penuh sehingga majlis pelancaran berakhir. Jadi TT hairan apa hal yang Najib dengki sangat kat Muhyiddin dapat sambutan macam tu.

    Dulu tahun 2013, Najib pun hadir majlis seumpama itu di Sekolah Menengah Tanah Merah, masa tu Ikmal Hisham masih bersama UMNO, ribuan orang datang, ada cabutan bertuah yang hadiah utamanya kereta Perodua Viva, tak kan Najib lupa kot. Janganlah ‘double standard, bila UMNO anjur ok, kalau parti lawan anjur pertikai macam-macam.

    Lagipun di Tanah Merah, semua orang tahu rekod Ikmal Hisham. Sejak jadi Ahli Parlimen kawasan itu, beliau tidak henti-henti beri sumbangan dan bantuan kepada penduduk-penduduk Tanah Merah. Malah majlis seumpama itu bukan kali pertama diadakan sudah banyak kali dah, kenapa kali kali Najib ‘melompat’?

    Ubahlah sikit perangai ‘orang lain buat salah, UMNO buat betul’, ‘kalau ramai yang hadir majlis BN tu tulen, kalau parti lain ramai orang tu sebab ada habuan’ …cukup-cukuplah mentaliti politik 90-an.

    Sama ada kehadiran ramai itu tanda sokongan terhadap PN atau tidak, kita tengoklah masa PRU-15 nanti. TT tahu Najib dan UMNO bimbang sokongan yang semakin meningkat kat PN dan Muhyiddin, tetapi janganlah tunjuk gelabah sangat.

    Kalau nak pertikai ni, ramai juga persoal adakah kemenangan BN di Melaka dan Johor tulen tanda sokongan rakyat sepenuhnya. Ramai penganalisis dah kata, kejayaan BN di kedua-dua negeri tu tak boleh jadi ukuran rakyat kembali menyokong BN memandangkan peratusan keluar mengundi rendah. Mereka juga menunjukkan statistik tahap sokongan meningkat kepada PN dalam kedua-dua PRN itu.

    Jadi sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat BN lebih baik Najib tumpu perhatian perkukuhkan BN, bukannya dok buang masa kira berapa ramai orang datang ke majlis Muhyiddin dan PN.

    Satu lagi, tumpu sahaja kes-kes mahkamah beliau seperti mana ‘nasihat’ Muhyiddin sebelum ini. Kalau ada masa lagi rajin-rajinlah mentelaah wawancara Tok Mat Hasan dengan Asia Times…seronok TT baca.

    *Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 35 tahun dalam bidang kewartawanan.

  • Penganggur tikam ibu kandung positif syabu

    Penganggur tikam ibu kandung positif syabu

    PENGANGGUUR yang disyaki menikam leher ibunya sehingga mati di Kampung Paya Luboh, semalam, disahkan positif syabu, Kata Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah.

    “Pada pada 1.30 pagi tadi selepas selesai ujian saringan dilakukan, kita mendapati suspek berusia 38 tahun itu positif amphetamine.

    “Sementara pemeriksaan dijalankan di kediaman yang juga lokasi kejadian tidak menemui sebarang barang terlarang itu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Beliau berkata, proses bedah sedang dijalankan dan dijangka selesai petang ini.

    Terdahulu, suspek yang turut mempunyai rekod rawatan psikiatri di Hospital Melaka direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Selasa depan.

    Media semalam melaporkan bisikan suara mengatakan ibunya menyembah berhala didakwa menjadi penyebab lelaki itu menikam leher ibu kandungnya hingga maut di rumah mereka di Kampung Paya Luboh di sini.

    Dalam kejadian pukul 3 petang itu, Rozizah Md. Dom, 63, ditemui berlumuran darah dalam bilik tidur oleh anak perempuannya yang juga adik suspek.

    Polis menerima laporan pada pukul 3.05 petang sebelum suspek diberkas dengan bantuan penduduk.

  • Suami isteri mengaku tidak bersalah miliki 53 keping wang palsu RM100

    Suami isteri mengaku tidak bersalah miliki 53 keping wang palsu RM100

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEPASANG suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas tuduhan memiliki wang kertas palsu RM100 dengan nilai sebanyak RM5,300 bulan lalu.

    Bagaimanapun kedua-dua tertuduh iaitu Muammar Raid Abdul Malik, 33, dan Nadia Mohamed Hussain @ Brian Michael Lewis, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

    Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa secara bersama memiliki sebanyak 53 keping wang kertas palsu bernilai RM100 yang mana mereka tahu wang tersebut adalah palsu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 29 Jun lalu kira-kira pukul 11.30 malam di sebuah bilik beralamat di PMT 30, Mukim 8, Jalan Muthupalaniappan Sunway Wellesley, Bukit Mertajam.

    Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

    Kes dikendalikan Pengawai Pendakwa, Mohamad Syarafuddin Mamat Mokhtar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Ketika prosiding, pihak pendakwa memohon mahkamah menetapkan jaminan yang tinggi kerana kedua-dua tertuduh mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan penggunaan wang palsu.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 ke atas kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin selain syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Selain itu, mahkamah turut menetapkan kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri kepada pegawai penyiasat kes setiap dua minggu sekali sehingga kes selesai.

    Dalam pada itu, mahkamah turut menetapkan 11 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • Bersatu Temerloh tarik penyertaan hampir 300 ahli baharu

    Bersatu Temerloh tarik penyertaan hampir 300 ahli baharu

    ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang semakin giat menarik penyertaan anak-anak muda di negeri ini untuk menyertai parti tersebut.

    Ketua Armada Pahang, Nurul Qomar Abdol Talib berkata, ia merupakan terjemahan minat sokongan yang semakin meningkat terhadap parti tersebut.

    Menurutnya, Armada Pahang amat menghargai sokongan dan tidak menoleh ke belakang rentetan polemik dicetuskan oleh mantan Ketua Armada Temerloh, Muhammad Faharuddin Hashim yang mengisytiharkan keluar parti serta menyertai UMNO baru-baru ini.

    “Kita ingin maklumkan bahawa, hakikatnya Armada Temerloh telah terbubar sejak persidangan tahunan 2021 kerana tidak memenuhi takluk mesyuarat malah telah direncana penstrukturan semula melalui bahagian selaku penaja.

    “Hanya empat ahli yang mengikut beliau (Muhammad Faharuddin) keluar daripada parti bukannya 50 seperti yang didakwa,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena sidang akhbar simbolik penyerahan borang keahlian baharu hampir 300 orang penyertaan ahli Bersatu Bahagian Temerloh hari ini, lapor Sinar Harian.

    Hadir sama, Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Temerloh, Mohd. Yusoff Abdullah, Naib Ketua Armada Pahang, Mohd. Fakhrin Abdul Khalib dan Penolong Setiausaha Armada Pahang, Ekmal Taufeq Khalib.

    Menurut Nurul Qomar, Armada Pahang berbesar hati dengan perkhabaran gembira yang jelas menunjukkan Bersatu dan juga Perikatan Nasional (PN) khususnya semakin menjadi pilihan masyarakat di negeri ini.

    “Penyertaan ahli baharu apatah lagi dalam kalangan anak muda yang tampaknya meyakini kebolehan Bersatu – PN dalam memberikan khidmat dan bakti kepada anak negeri Mat Kilau ini.

    “Penerimaan sejumlah besar kemasukan keahlian Bersatu yang telah digerakkan beberapa bulan kebelakangan ini menerusi kepimpinan Bersatu Bahagian Temerloh dan sebahagian Jawatankuasa Armada Temerloh bersama-sama Armada Pahang giat diteruskan,” katanya.

    Tambahnya, Armada Pahang menghargai tanda sokongan tersebut dan akan terus bersemarak memahat iltizam mengorak langkah dalam berbakti dan membawa suara rakyat khususnya di negeri Tok Gajah.