Author: Admin

  • Warga emas parah disondol babi hutan di dusun

    Warga emas parah disondol babi hutan di dusun

    SEORANG warga emas parah diserang oleh seekor babi hutan di dusun buah-buahan yang terletak bersebelahan rumahnya di Taman Desa Wangi, Kampung Kubang Siput. Kota Bharu pukul 9 pagi tadi.

    Insiden itu menyebabkan mangsa, Umar Ngah, 78, cedera parah pada lengan kiri dan luka di kepala, telinga serta beberapa anggota badan.

    Cucu mangsa, Mohamad Nizam Mohamad, 34, berkata, ketika kejadian, dia sedang membakar sate tempahan pelanggan di pekarangan rumahnya yang terletak selang sebuah rumah daripada rumah mangsa.

    Katanya, secara tiba-tiba dia terdengar jeritan kuat datuknya yang meminta tolong sebelum dia bergegas ke arah bunyi tersebut.

    “Semasa sampai di kawasan dusun itu, saya nampak seekor babi hutan sedang menyondol datuk dan mereka bergelut.

    “Datuk jatuh ke dalam parit sedalam semeter dan babi tersebut pula berhenti apabila melihat saya datang,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, babi tersebut tidak melarikan diri sebelum bapanya datang membawa kayu dan menghalau babi tersebut, lalu haiwan itu masuk semula ke dalam hutan.

    “Saya angkat datuk bawanya ke rumah dan menghubungi ambulans sebelum dia dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk rawatan.

    “Setakat ini, datuk masih berada di unit kecemasan Hospital USM,” katanya.

    Sementara itu, isteri mangsa, Zakiah Deraman, 76, berkata, sebelum kejadian itu, dia dan suaminya sempat bersarapan bersama di sebuah gerai makan berhampiran sebelum mangsa ke dusun buah untuk mengutip durian.

    “Suami saya memberitahu teringin makan buah durian sebelum berjalan kaki dari kedai makan ke dusun buah-buahan di bersebelahan rumah kami.

    “Sebelum ini, sekumpulan 13 hingga 15 ekor babi sememangnya kerap berkeliaran di kampung ini dengan memakan dan merosakkan tanaman penduduk,” katanya.

    Bagaimanapun katanya, kejadian menimpa suaminya itu pertama kali berlaku sejak sekian lama ancaman babi di kawasan kampung berkenaan.

    “Sebelum ini sudah banyak kali operasi dilakukan oleh pihak berwajib bagi menghapuskan haiwan yang merosakkan tanaman penduduk,” katanya.

  • Pesara tentera maut, remaja perempuan parah nahas motosikal bertembung

    Pesara tentera maut, remaja perempuan parah nahas motosikal bertembung

    SEORANG pesara tentera maut manakala seorang remaja perempuan parah selepas motosikal ditunggang bertembung di Jalan Pantai Puteri, Melaka awal pagi tadi.

    Dalam kejadian pukul 4.20 pagi itu, Mazlan Mohamad, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi manakala remaja berusia 14 tahun dan tidak bersekolah itu parah dan kini dirawat di Hospital Melaka.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan mendapati pesara berkenaan yang menunggang motosikal Yamaha 125 Z dari arah Klebang menghala ke Sungai Udang.

    “Ketika melalui Jalan Pantai Puteri berhadapan Menara Tinjau Pantai JPAM, motosikal ditunggang Mazlan bertembung dengan Modenas Kriss 110 ditunggang remaja itu di bahu kiri jalan.

    “Akibat pelanggaran itu, mangsa lelaki maut di tempat kejadian manakala penunggang remaja cedera parah dan dihantar ke Hospital Melaka oleh ambulans,” katanya dalam kenyataan, hari ini

    Menurutnya, siasatan awal mendapati keadaan jalan di lokasi kemalangan itu kering, lurus dan rata manakala cuaca baik dan tidak hujan.

    Menurut laporan Berita Harian, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kemalangan dan pihaknya memohon saksi bebas tampil membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Guru wanita berputih mata RM63,800 diperdaya ‘pegawai’ LHDN

    Guru wanita berputih mata RM63,800 diperdaya ‘pegawai’ LHDN

    SEORANG guru sekolah rendah di Teluk Intan kerugian RM63,800 selepas diperdaya sindiket Macau Scam kononnya wanita itu akan dikenakan tindakan mahkamah selepas didakwa mempunyai tunggakan cukai.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian itu berlaku pada 28 Jun lalu guru berusia 49 tahun itu menerima panggilan telefon daripada lelaki yang mendakwa dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Teluk Intan.

    “Suspek memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai namun dia menafikannya sebelum panggilan itu kononnya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

    “Mangsa bercakap dengan seorang individu yang mendakwa anggota polis berpangkat Sarjan dan diberitahu kononnya dia terbabit dalam siasatan pengubahan wang haram dan boleh diambil tindakan mahkamah.

    “Perbualan itu kemudiannya disambungkan pula kepada individu yang menyamar polis berpangkat Inspektor di IPD Ipoh bagi membantu mangsa menyelesaikan kes,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Ahmad Adnan berkata, individu terbabit meminta mangsa membuat pembayaran sekiranya mahu kes diselesaikan dan talian disambungkan pula dengan pegawai Bukit Aman berpangkat Datuk.

    “Mangsa yang takut ditangkap pihak polis atas kesalahan itu menerima tawaran untuk selesaikan kes dan diminta maklumat nombor kad ATM serta TAC akaun miliknya untuk siasatan.

    “Mangsa hanya menyedari wang dalam akaun banknya berkurangan keesokannya dan pihak sindiket membuat tiga transaksi ke akaun pihak ketiga.

    “Mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Polis nafi tahan 2 pegawai, rampas wang tunai di pusat hiburan

    Polis nafi tahan 2 pegawai, rampas wang tunai di pusat hiburan

    POLIS Selangor menafikan tangkapan dua pegawai polis dan merampas sejumlah wang tunai dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya, pukul 12 tengah malam tadi, seperti yang tersebar dalam media sosial.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman melakukan satu serbuan di pusat hiburan berkenaan.

    “Ketika serbuan, dua pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan dan Inspektor yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Bukit Aman turut berada di dalam premis itu bersama dengan pengunjung lain.

    “Namun, kami mengesahkan tiada sebarang tangkapan atau rampasan dalam bentuk wang tunai yang dibuat terhadap kedua-dua pegawai berkenaan seperti didakwa sesetengah pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Bagaimanapun, katanya, kes itu akan dirujuk kepada JIPS bagi kesalahan dari sudut tatatertib.

    “Ingin ditegaskan pihak polis tidak akan sama sekali berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang melanggar peraturan atau mencemarkan imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Tindakan tegas akan diambil selaras dengan peraturan yang ditetapkan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

  • Pekerja ladang cedera dipijak gajah liar

    Pekerja ladang cedera dipijak gajah liar

    SEORANG pekerja ladang di Temerloh mengalami kecederaan pada bahagian kaki akibat dipijak seekor gajah liar semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff, mangsa seorang lelaki berusia lingkungan 50-an itu kini ditempatkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk menerima rawatan.

    Menurutnya, kejadian berlaku pada pukul 7 pagi dan pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 7.45 malam.

    Beliau berkata, mangsa menghubungi penolong pengurus ladang untuk memaklumkan kejadian yang menimpa dirinya.

    “Penolong pengurus itu kemudiannya membawa mangsa yang cedera ke hospital.

    “Kita telah memaklumkan mengenai kejadian ini kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai dan individu yang bekerja di kawasan berdekatan supaya berwaspada dan berhati-hati.

    “Sekiranya ternampak atau terkesan kehadiran haiwan liar itu sila hubungi balai-balai polis yang berdekatan,” ujarnya.

    Sementara itu, Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md. Yasin mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan sedang memantau situasi tersebut.

  • Kelantan rekod 57 kes jangkitan malaria monyet

    Kelantan rekod 57 kes jangkitan malaria monyet

    SEBANYAK 57 kes jangkitan malaria monyet atau nama saintifiknya Malaria Knowlesi telah direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) sepanjang tahun ini sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-26 pada 2 Julai lalu.

    Menurut Pengarah JKNK, Datuk Dr. Zaini Husin, daripada jumlah tersebut seramai 43 warga tempatan telah terkena jangkitan berkenaan termasuk masyarakat Orang Asli.

    Beliau berkata, baki selebihnya adalah melibatkan warga asing iaitu Indonesia (empat), Bangladesh (empat), Thailand (tiga), Myanmar (dua) dan Pakistan (satu),” katanya dalam kenyataan pada hari ini, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun kata Dr. Zaini, JKNK turut merekodkan 11 jangkitan kes ‘human malaria’.

    Beliau berkata, bagi jangkitan ‘human malaria’ ia melibatkan sepenuhnya warga asing dari Myanmar.

    Dr. Zaini berkata, jika kedua-dua kes itu digabung menyaksikan 67 peratus direkodkan melalui industri perladangan, pembalakan, kebun getah dan selebihnya individu yang masuk ke hutan untuk rekreasi, kerja sampingan serta penduduk di pinggiran kawasan tersebut.

    “Alhamdulillah, kematian membabitkan kes malaria tidak direkodkan di Kelantan setakat ini,” katanya.

    Dr Zaini berkata, bagi tempoh yang sama pada tahun lalu, hanya 66 kes sahaja direkodkan, pada tahun 2020 iaitu 53 kes dan lebih rendah pada tahun 2019 iaitu 81 kes.

  • Pihak mahkamah, polis gagal serah waran tangkap Norjuma

    Pihak mahkamah, polis gagal serah waran tangkap Norjuma

    CUBAAN peguam bagi pihak Fame Up Entertainment bersama-sama pegawai mahkamah dan polis untuk menyerahkan sekali lagi waran tangkap ke atas usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed gagal selepas dia tiada di kediamannya hari ini.

    Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Yasmin Abdul Razak mengeluarkan arahan itu berikutan Norjuma gagal memberi kerjasama dari permulaan kes dan juga kerana menghina mahkamah atas ingkar perintah yang ditetapkan.

    Terdahulu pihak terbabit pergi ke dua kediamannya di sekitar Kuala Lumpur pukul 11 pagi namun difahamkan Norjuma tiada di rumah.

    Di satu lagi kediaman keluarga, hanya bapanya yang berada di rumah dan membenarkan pihak peguam dan polis masuk membuat pemeriksaan.

    Peguam bagi pihak Fame Up Entertainment, Muhammad Hassanuddin Roslan berkata, pihaknya gagal menyerahkan waran tangkap itu selepas Norjuma tidak ada di kediamannya hari ini.

    “Kita akan menunggu arahan selanjutnya daripada mahkamah mengenai tindakan susulan selepas beliau masih gagal ditemui untuk penyerahan waran tangkap,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Untuk rekod, Fame Up Entertainment memfailkan dua saman fitnah terhadap Norjuma sejak 2019 dan 2020 berikutan penyebaran fitnah usahawan itu pada syarikat berkenaan sekitar 2018 hingga 2020.

  • KPDNHEP Terengganu buka 5 kertas siasatan kes minyak masak

    KPDNHEP Terengganu buka 5 kertas siasatan kes minyak masak

    LIMA kertas siasatan dibuka Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP) Terengganu membabitkan pembungkus, pemborong dan industri kecil sederhana (IKS) berhubung kes minyak masak.

    Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, kesemua kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan di bawah Ops Ayam, Telur Ayam, Minyak Masak (Ops ATM) bermula 23 Jun lalu hingga semalam.

    Beliau berkata, tiga kesalahan iaitu masing-masing berlsku dua di Kuala Terengganu dan satu di Dungun.

    Katanya, IKS terbabit menggunakan minyak masak melebihi kuantiti yang dibenarkan tanpa permit iaitu melebihi 12 kilogram.

    “Dua lagi kesalahan masing-masing membabitkan pembungkus dan pemborong di Kuala Terengganu serta Dungun. Ia mengikut Peraturan 13, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu gagal menyelenggara buku stok barang kawalan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan pemeriksaan IKS di Muslim Food Industry di Kampung Banggol Tok Jiring, Kuala Nerus hari ini, lapor Harian Metro.

    “Kesemua kesalahan ini dikesan hasil 434 pemeriksaan di seluruh Terengganu membabitkan 366 peruncit, 36 pemborong, 19 IKS dan 13 pembungkus.

    “Pemeriksaan ini susulan daripada pengapungan harga minyak masak tulen bagi pek kemasan botol dan penetapan harga kawalan siling terbaharu bagi ayam dan telur ayam,” katanya lagi.

    Saharuddin berkata, Ops ATM akan berakhir 31 Julai ini dan pihaknya akan melakukan pemeriksaan secara berterusan sama ada hasil aduan atau secara proaktif di peringkat KPDNHEP sendiri.

    Beliau berkata, pihaknya ketika ini menjalankan pemeriksaan bersasar terhadap 13 syarikat pembungkus minyak masak paket bersubsidi di Terengganu.

    “Seramai 115 penguat kuasa digerakkan untuk melakukan pemeriksaan selain pemantauan berterusan turut dilakukan 58 pegawai pemantau harga,” katanya.

  • 34 motosikal musnah terbakar dipercayai akibat khianat

    34 motosikal musnah terbakar dipercayai akibat khianat

    PIHAK polis sedang melakukan siasatan berhubung satu kes kebakaran dipercayai mempunyai unsur khianat yang memusnahkan 34 buah motosikal di kawasan parkir di Blok G, Projek Perumahan Rakyat Kampung Muhibbah, Bukit Jalil hari ini.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

    “Kita sedang mengesan suspek yang melakukan perbuatan khianat ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu, lapor Sinar Harian.

    Muhammad Idzam berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada pukul 2.21 pagi daripada seorang wanita tempatan memaklumkan berlaku kebakaran membabitkan motosikal.

    “Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat. PIhak polis dengan bantuan Forensik Bomba dari Balai Bomba Sri Rampai telah menjalankan siasatan di tempat kejadian untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran tersebut,” katanya.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden kebakaran itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhamad Firdaus Eber ditalian 014-364 9458, Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

  • Tiada peruntukan KPM diguna untuk biaya majlis PIBG di Tanah Merah

    Tiada peruntukan KPM diguna untuk biaya majlis PIBG di Tanah Merah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) hari ini menafikan dakwaan dana yang diperuntukan kerajaan kepada KPM digunakan untuk membiayai majlis perasmian Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah di Tanah Merah, Kelantan.

    Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali dan sebaliknya sumbangan serta perbelanjaan bagi program berkenaan dibiayai Ahli Parlimen Tanah Merah.

    “Untuk makluman semua, semakan kementerian mendapati tiada sesen pun peruntukan Kementerian Pendidikan sama ada di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau sekolah digunakan untuk membiayai majlis perasmian PIBG di sekolah-sekolah di Tanah Merah,” katanya dalam kenyataan ringkas menerusi Facebook miliknya, hari ini.

    Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Facebooknya mendakwa sekolah-sekolah di Malaysia sudah kaya raya.

    Dakwanya, setiap kali diadakan mesyuarat PIBG, sekolah akan hidangkan 100 ekor kambing golek serta membuat cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah Perodua Axia, lima buah motosikal, 10 ekor lembu, 10 televisyem, 20 telefon bimbit dan 200 hamper.

    “Jangan buat di Tanah Merah. Buatlah juga di semua sekolah di kebangsaan dalam negara. Ini baru adil,” katanya Najib dalam entrinya itu.