Author: Wartawan WartaRakyat

  • Berang kalah permainan, pengantin lelaki pukul isteri ketika majlis perkahwinan

    Berang kalah permainan, pengantin lelaki pukul isteri ketika majlis perkahwinan

    VIDEO seorang lelaki memukul isterinya ketika majlis perkahwinan mereka selepas kalah dalam satu permainan di Uzbekistan menjadi tular dan menarik perhatian netizen.

    Pasangan suami isteri tersebut berada di atas pentas ketika majlis resepsi mereka dan mengambil bahagian dalam satupermainan.

    Selepas isterinya menang, lelaki tersebut berang dan dirakam memukul isterinya di bahagian kepala dengan kuat. Pengapit mereka boleh dilihat terkejut dengan tindakan pengantin lelaki itu.

    Tetamu majlis turut terdiam selepas kejadian itu sementara pengantin bersikap seperti tiada apa yang berlaku.

    Ia tidak diketahui apa yang berlaku selepas rakaman berhenti namun, si isteri diiring turun daripada pentas selepas kelihatan terkejut dengan tindakan suaminya.

    Setakat ini, tiada sebarang komen daripada penguatkuasa di Uzbekistan.

    Pengguna media sosial di Asia menyuarakan kemarahan mereka terhadap video yang viral itu.

    Seorang pengguna menulis, “Bagus video ini terpapar di media sosial untuk memalukan lelaki ini. Saya harap dia (pengantin perempuan) dibawa pergi daripada lelaki ini. Bagaimana ibu bapa dia boleh melihat itu terjadi? Lelaki tu ahli mafia ke? Jijiknya.”

    Sebuah komen di Twitter berkata, “Ini menjadi kebiasaan dan itu sangat menakutkan. Saya harap dia lari daripada lelaki itu sebelum terlambat.”

  • SPRM Johor tahan CEO syarikat telekomunikasi minta,terima rasuah RM200,000

    SPRM Johor tahan CEO syarikat telekomunikasi minta,terima rasuah RM200,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah menahan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat rangkaian telekomunikasi bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM200,000 menerusi satu operasi yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

    Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 43 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor, kira-kira pada jam 8.00 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, sekitar April tahun lalu, suspek telah meminta dan menerima wang rasuah tersebut daripada sebuah syarikat lain sebagai dorongan memberikan kerja berkaitan projek kejuruteraan pembinaan dan pembaikian menara telekomunikasi yang berjumlah hampir RM50 juta.

    Susulan itu, Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini membenarkan suspek direman selama empat hari selepas SPRM Johor membuat permohonan reman pagi tadi.

    Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 17 Jun depan itu keluarkan oleh Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Dato’ Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

  • Pemergian Arshad satu kehilangan besar – Muhyiddin

    Pemergian Arshad satu kehilangan besar – Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keluarga berdukacita dengan pemergian tokoh pendidikan negara, Tun Dr Arshad Ayub awal pagi tadi.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyifatkan Allahyarham sebagai nama besar yang cukup dikenali dan banyak berjasa dalam bidang pendidikan dan pembangunan ekonomi negara.

    Muhyiddin berkata, sumbangan Allahyarham dalam merintis penubuhan dan pembangunan Institut Teknologi Mara ( kini UiTM) sehingga melahirkan jutaan modal insan berkualiti tidak ada tolok banding sehingga menjadikan Allahyarham antara individu yang berjaya mencapai dan merealisasikan sasaran pendidikan bagi Dasar Ekonomi Baru (DEB).

    “Sesungguhnya pemergian Tun Arshad adalah satu kehilangan besar kepada sektor pendidikan dan ekonomi negara.

    “Saya secara peribadi mengenali Tun Arshad yang pernah berkhidmat dalam beberapa kementerian sebagai Ketua Setiausaha dan Allahyarham adalah seorang yang amat tegas, komited dan berdedikasi.

    “Api kecintaannya kepada pembangunan pendidikan anak bangsa tidak pernah padam sehingga ke akhir hayatnya.

    “Marilah kita sama-sama berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

    “Saya juga berdoa moga ahli keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi saat-saat yang menyedihkan ini. Al-Fatihah,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam Facebook hari ini.

    Arshad meninggal dunia pada pukul 2.06 pagi tadi dan Allahyarham sebelum ini dilapor dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak Selasa lepas kerana masalah kesihatan.

    Arshad, 93, merupakan pengarah pertama ITM sejak tahun 1967 sehingga 1975 yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM).

    Sepanjang hayatnya, Allahyarham menabur bakti di UiTM dan dilantik sebagai Pro-Canselor selain pernah dipinjamkan sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

    Anak kelahiran Muar, Johor itu juga pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Utama, Kementerian Pertanian dan Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah.

    Allahayarham juga aktif berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah beberapa syarikat awam dan badan berkanun.

  • Rasuah berleluasa: Pemimpin PH gesa segerakan Akta Dana Politik

    Rasuah berleluasa: Pemimpin PH gesa segerakan Akta Dana Politik

    PIMPINAN Tertinggi Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan melaksanakan reformasi dan tindakan segera bagi memerangi gejala rasuah di negara ini.

    Majlis Presiden PH dalam kenyataannya hari ini berkata ia termasuk Rang Undang-Undang Pendanaan Politik serta meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Parlimen.

    Mereka menimbulkan rasa risau serta marah apabila meneliti berita kejadian-kejadian rasuah yang semakin menjadi-jadi.

    Memetik Astro Awani, kenyataan itu menyebut mengenai kes keterangan mahkamah Tan Sri Mohd Sidek Hassan, bekas  Ketua Setiausaha Negara merangkap ahli lembaga penasihat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

    “Berdasarkan laporan media, beliau menerima bayaran sehingga sebanyak RM30,000 sebulan walaupun tiada sebarang mesyuarat lembaga penasihat 1MDB diadakan dan ini menimbulkan pelbagai tanda tanya kerana pada ketika beliau menerima bayaran-bayaran berkait 1MDB ini beliau masih memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara.

    “Dalam kes berhubung Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pula, seorang bekas pengarah UKSB berkata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO) telah menerima di antara SGD200,000 hingga SGD520,000 sebulan.

    “Bekas pengarah itu juga berkata Khairy Jamaluddin (Menteri Kesihatan melalui UMNO Bahagian Rembau telah menerima di antara RM50,000 hingga RM200,000,” katanya.

    Majlis Presiden PH menegaskan, kedua-dua kes tersebut amat merisaukan kerana bukan melibatkan tokoh-tokoh politik besar tetapi juga tokoh utama perkhidmatan awam.

    Kenyataan Majlis Presiden PH berkenaan dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau.

  • Pas konsisten tolak kerjasama dengan DAP,PKR – Sanusi

    Pas konsisten tolak kerjasama dengan DAP,PKR – Sanusi

    PAS konsisten menolak kerjasama politik bersama DAP dan PKR berbanding Umno yang didakwa bersikap ‘talam dua muka’ apabila menjalin ‘hubungan sulit’ dengan PKR seperti didedahkan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Annuar Musa.

    Pengarah Pilihan Raya Pas Datuk Seri Sanusi Md Nor berkata, disebabkan itu Pas menolak pembentukan ‘khemah besar’ yang didakwa akan turut disertai oleh Pakatan Harapan (PH).

    Menurutnya, keputusan itu muktamad dan dinyatakan oleh Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

    “Itu pendirian Pas, maka tidak timbul lah isu kononnya Pas belum bersedia berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) disebabkan tiada ‘khemah besar’.

    “Sebelum UMNO atau mana-mana pihak dapat hidu mengenai cadangan ‘khemah besar’ itu, Abdul Hadi dan Jawatankuasa Harian Pas Pusat telah mengambil pendirian menolak sebarang kerjasama politik dengan DAP dan PKR,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, pendedahan Annuar pada tahun lalu mengenai akuan bersumpah (SD) membabitkan sokongan pengerusi BN dan beberapa kepimpinan UMNO terhadap Datuk Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri membuktikan sikap sebenar parti itu.

    “Berbeza dengan Umno kononnya menolak kerjasama dengan DAP dan Anwar seperti dinyatakan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tetapi Presiden sendiri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) adakan ‘hubungan secara sulit’ dengan Anwar.

    “Ia didedahkan melalui perbualan telefon dan surat SD kepada Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan Umno sokong Anwar sebagai perdana menteri.

    “Hal itu didedahkan sendiri oleh Anwar, hasil pertemuan sulit beberapa tokoh dalam Umno dengan beliau antaranya pada 13 Oktober tahun lalu,” ujarnya lagi.

    Sehubungan itu, Sanusi tegaskan adalah lebih baik untuk UMNO melihat apa yang dilakukan oleh mereka berbanding menuding jari menyalahkan pihak lain.

    “UMNO Perak juga mengadakan kerjasama dengan DAP di Perak, ini bukan rahsia lagi,” katanya.

    Kerjasama itu antara lain yang dipersetujui untuk berikan peruntukan sama rata kepada ADUN kerajaan, iaitu BN, PAS dan Bersatu selain DAP dan PH.

    “Drama pembentukan kerajaan Perak selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ditumbangkan bukan rahsia. Jangan fikir rakyat tak tahu,” katanya lagi.

    Sanusi berkata demikian ketika mengulas kenyataan UMNO Kedah yang mendakwa Pas belum bersedia berdepan pilihan raya menyebabkan parti itu menolak untuk diadakan PRU15 lebih awal.

    Penolakan PAS itu dikaitkan dengan kemungkinan parti itu belum mendapat tempat dalam formula ‘khemah besar’ melibatkan PH yang turut disertai DAP dan Amanah.

    Pada Sabtu, Sanusi dilaporkan berkata, Malaysia akan hancur sekiranya rakyat memilih ‘satu atau dua pemimpin gila kuasa’ yang hanya mahu menyelamatkan diri mereka untuk mentadbir negara.

    Ia susulan kenyataan yang dibuat Ahmad Zahid bahawa Pas tidak berminat mengadakan PRU15 lebih awal kerana bimbang kehilangan 18 kerusi dimiliki parti itu ketika ini.

  • Penggodam Malaysia ‘serang’ laman web kerajaan India

    Penggodam Malaysia ‘serang’ laman web kerajaan India

    KUMPULAN penggodam Malaysia dilaporkan menggodam beberapa laman web kerajaan India susulan kenyataan menghina dibuat dua ahli Parti Bharatiya Janata (BJP) terhadap Nabi Muhammad.

    Memetik portal FMT, Kumpulan itu dikenali sebagai ‘DragonForce Malaysia’, melancarkan serangan siber mensasarkan laman web Kedutaan India di Israel, Institut Pengurusan Pelanjutan Pertanian Kebangsaan India, Majlis Penyelidikan Pertanian India, termasuk beberapa lagi.

    The Times of India melaporkan, sejumlah 70 laman web digodam kumpulan itu, termasuk laman milik persendirian, selain laman institusi pendidikan seperti Institut Sains Nagpur.

    Menurut laporan itu, berlaku juga cubaan untuk menggodam laman web membabitkan bank utama.

    Kumpulan penggodam berkenaan juga menggesa penggodam Muslim dan juga pertubuhan hak asasi manusia memulakan kempen terhadap India berhubung kenyataan menghina dibuat dua ahli BJP, parti yang memerintah kerajaan India.

    Dalam pada itu, The New Indian Express, melaporkan polis negara berkenaan sudah melancarkan siasatan berhubung tindakan godam.

    Dua ahli BJP yang membuat kenyataan berupa penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad sudah digantung atau dipecat, manakala Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, berkata kenyataan dibuat tidak mencerminkan pandangan kerajaan India.

    Pesuruhjaya berkenaan dipanggil ke Putrajaya oleh Kementerian Luar, minggu lalu, berhubung perkara itu.

    Kerajaan India berdepan tindak balas dari dunia Islam, termasuk Emiriah Arab Bersatu, Oman, Indonesia, Jordan, Iraq, Maldives, Bahrain, Turkiye, termasuk Malaysia.

    Qatar sebelum ini menuntut permohonan maaf daripada kerajaan India berhubung kenyataan dikeluarkan.

    DragonForce Malaysia menarik perhatian sejak tahun lalu, selepas didakwa mencuri dan membocorkan maklumat peribadi hampir 300,000 penuntut Israel dari AcadeMe, satu daripada jaringan rekrut terbesar bagi pelajar dan lepasan universiti.

    Dalam tangkap layar mengandungi mesej daripada penggodam itu, mereka menggelar operasi berkenaan sebagai “#OpsBedil 2.0” dan menyeru “penggodam, pertubuhan hak asasi manusia dan aktivis” bersatu dan memulakan kempen menentang Israel.

    DragonForce Malaysia berkata, pembocoran maklumat itu susulan konflik Israel-Hamas selama 11 hari, di mana Hamas menguasai Semenanjung Gaza.

    Kumpulan itu turut dilaporkan menggodam pelbagai jaringan kamera litar tertutup Israel, termasuk di residensi dan agensi kerajaan, bulan lalu.

  • UMNO patut insaf, taubat nasuha depan rakyat

    UMNO patut insaf, taubat nasuha depan rakyat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEKAS parti kerajaan yang memegang rekod terlalu lama mentadbir negara ini perlu mengambil peluang berbaki untuk mempamerkan keinsafan dan taubat nasuha di depan rakyat serta melunaskan amanah dalam kerajaan bersama hingga berakhir penggal bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd. Azam Abd. Samat berkata, golongan itu tidak sepatutnya bersikap gopoh dan rakus untuk menghadap Pilihan Raya Umum ke-15 ketika pelbagai masalah masih membelenggu rakyat.

    Meskipun tidak menyebut mana-mana parti, namun ‘pesanan’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau itu dipercayai merujuk kepada UMNO yang mana beberapa kepimpinannya kebelakangan ini dilihat seakan sudah tidak sabar menuntut supaya Parlimen dibubarkan segera.

    “Sepatutnya tempoh yang ada dimanfaatkan untuk melaksanakan tanggungjawab dan mensejahterakan rakyat. Natijah PRU-14 lalu, kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi mimpi ngeri rakyat mesti jangan diberi peluang untuk diulang.

    “Semua agenda yang dirancang meskipun dalam tempoh masa singkat ini mestilah diterjemahkan dalam agenda bertindak kerajaan. Masalah rakyat mestilah diselesaikan semaksimum mungkin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    MOHD AZAM ABD SAMAT

    Mohd. Azam menambah, Pas Kedah komited dengan arahan Pas Pusat untuk memperteguhkan Muafakat Nasional (MN) dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN).

    “‘Khemah’ besar mahu pun ‘jajaran baharu’ langsung tidak akan membangkitkan selera Pas untuk bersama lantaran Pas menolak DAP sebagai rakan sekutu berikutan sikap mereka terhadap Islam.

    “Berhubung PRU, Pas meletakkan keyakinan kepada janji Allah untuk kemenangan Islam dengan semampu mungkin usaha dan ikhtiar dilaksanakan. Apa jua keputusan yang Allah tentukan adalah yang terbaik, justeru ia tidak menjadi sebab untuk kita bersikap resah-gelisah seolah-olah tirai besi penjara sedang berada di depan mata,” katanya.

    Tambahnya, seluruh ahli Pas sentiasa bermotivasi tinggi dan hanya mengharapkan reda Allah dalam apa jua gerak kerja dilaksanakan.

    “Kami mengajak semua pihak untuk berbakti kepada rakyat dan beramal soleh sebagai bekalan kita di akhirat nanti,” katanya.

  • MMU serah sumbangan 23 pelajar terjejas banjir

    MMU serah sumbangan 23 pelajar terjejas banjir

    UNIVERSITI Multimedia (MMU) menyampaikan bantuan berjumlah RM8,510 kepada 23 pelajar yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

    Mangsa-mangsa yang berasal dari Selangor, Pahang, Perak dan Johor itu menerima sumbangan tersebut bagi meringankan beban keluarga mereka.

    Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud pada Majlis Serahan Bantuan Banjir MMU anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar (STAD) dan Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) di Kampus MMU Cyberjaya, baru-baru ini.

    Penerima bantuan, Ammar Abd. Manaf, 22, berkata, sumbangan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarganya selepas rumah mereka di Lengga Muar Johor, rosak teruk akibat banjir pada awal Januari 2022.

    “Peralatan elektrik, perabot dan lain-lain telah rosak menyebabkan kerugian lebih RM5,000 apabila rumah digenangi air setinggi paras dada,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Pemasaran itu.

    AMMAR ABD MANAF

    Rakannya, Muhammad Yusri Azpansyah IrwanSyah yang merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Telekomunikasi dari Kampung Pauh Behrang Perak pula melahirkan rasa kesyukuran di atas keprihatinan MMU dalam membantu mangsa-mangsa banjir.

    “Semasa musim banjir pada Disember 2021, kami semua belajar secara online di rumah. Walaupun begitu, MMU tetap prihatin membantu kami. Dengan sumbangan ini, boleh lah saya serahkan kepada keluarga untuk membeli cat untuk mengecat semula rumah dan membeli barang keperluan lain,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

    MUHAMMAD YUSRI

    Penerima-penerima bantuan tersebut ditemui pada majlis serahan berkenaan yang turut dihadiri oleh Naib Presiden Pembangunan Keusahawanan dan Pengalaman Pelajar, Prof. Dr. Wong Eng Kiong, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (STAD), Puan Sri Kusumawati Mohd Daud dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Siti Jamila Syuhada Jailani.

  • Perjuangan suci PN tidak mudah, kata Muhyiddin

    Perjuangan suci PN tidak mudah, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta setiap peringkat kepimpinan Bersatu dan PN agar memberi perhatian terhadap dapatan post-mortem Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Beliau yang juga Presiden Bersatu mengingatkan bahawa perjuangan suci itu tidak mudah dan kejayaannya tidak boleh dilihat dalam jangka masa yang singkat.

    Walau bagaimanapun, beliau percaya bahawa selagi mereka masih berpegang kepada prinsip dan semangat perjuangan, insya-Allah mereka dapat berhadapan dengan apa juga cabaran politik, ekonomi dan sosial sebagaimana yang berlaku sekarang.

    “Saya suka mengingatkan semua ahli, dalam situasi sekarang ini dengan pelbagai masalah terutama yang berkaitan dengan peningkatan kos hidup rakyat, kita tidak boleh bergerak dan bertindak seperti biasa lagi.

    “Kita perlu melipat ganda usaha bagi membantu golongan yang terkesan dengan cara apa sekali pun mengikut kemampuan kerana ini merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama.

    “Inilah perkara penting yang harus menjadi keutamaan kita dan bukannya memikirkan tentang bila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu diadakan.

    “Saya menyeru seluruh kepimpinan dan ahli parti agar dapat menggerakkan program yang boleh membantu rakyat yang ketika ini berada dalam situasi paling sukar.

    “Semoga dengan sedikit usaha yang diadakan secara berterusan ini dapat membantu golongan atau kumpulan yang terkesan teruk dengan pandemik COVID-19 dan situasi ekonomi semasa negara,” katanya dalam hantaran Facebook.

    Sementara itu, beliau gembira melihat ramai tetamu yang datang pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Bersatu Johor semalam walaupun Syawal baru sahaja berlalu.

    Muhyiddin berkata, ia sekali gus membuktikan semangat sama ada di peringkat kepimpinan atau sesama ahli Bersatu serta PN Johor terus bersemarak walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran mutakhir ini.

    “Ini merupakan petanda yang cukup baik bahawa walau dalam apa juga situasi, perpaduan sesama kita terus kukuh dan utuh,” jelasnya.

  • Jangan heret rakyat dalam konflik perebutan kuasa, PAS ingatkan Zahid

    Jangan heret rakyat dalam konflik perebutan kuasa, PAS ingatkan Zahid

    PAS menyeru Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berhenti seketika daripada berpolitiking kerana takut dengan bayang-bayang sendiri dan kehilangan jawatan.

    Ketua Penerangan PAS, Ir Kharil Nizam Khirudin berkata, Ahmad Zahid seharusnya berikan fokus menggerakkan jentera UMNO untuk bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan hari ini dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat terutamanya aspek ekonomi yang menekan akhir-akhir ini.

    “Masalah utama yang dihadapi oleh negara pada hari ini bukanlah isu parti mana atau siapa yang perlu dominan dalam kerajaan tetapi masalah utama kini ialah krisis ekonomi.

    “Peningkatan inflasi semakin menghimpit rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Khairil Nizam turut menyeru kepada semua Ahli Majlis Tertinggi UMNO untuk menasihati Presiden mereka yang seringkali memberikan tekanan kepada Perdana Menteri untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut beliau, sebagai ketua parti besar orang Melayu yang berpengalaman, Ahmad Zahid haruslah berjiwa besar bersama-sama kerajaan pada hari ini untuk teruskan agenda kesejahteraan rakyat dan bukan meletakkan kepentingan diri sendiri sebagai keutamaan.

    “Tujuan PAS menyokong kerajaan pada hari ini adalah untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara dan negara ini dapat ditadbir dengan lebih baik berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH). Jangan diheret rakyat dalam konflik perebutan kuasa dalam parti,” jelasnya.

    Khairil Nizam menambah, sepertimana Ahmad Zahid mahu menangguhkan pemilihan parti demi perpaduan dan kestabilan UMNO, begitulah juga hasrat kerajaan pada hari ini untuk meletakkan kestabilan negara sebagai keutamaan tertinggi.

    “Jangan dihancurkan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan parti-parti lain dalam kerajaan hanya untuk menyelamatkan diri sendiri.

    “Berikan sokongan tidak bersyarat kepada YAB Perdana Menteri untuk beliau dan Kabinet beliau pulihkan negara ini dan membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.