Author: Wartawan WartaRakyat

  • Ada orang politik ulang-alik jumpa bomoh sebelum PRU?

    Ada orang politik ulang-alik jumpa bomoh sebelum PRU?

    guane

    CERITA-CERITA misteri dan tahyul berkaitan kewujudan makhluk halus seperti hantu dan jembalang sememangnya agak sinonim dalam kehidupan masyarakat Melayu, khususnya ketika zaman nenek moyang kita dahulu.

    Sejak zaman kanak-kanak lagi, penulis sudah terdedah dengan alam ‘perbomohan’ ini menerusi pemerhatian yang dilakukan masyarakat kampung nelayan seperti pemujaan laut dan buang ancak bersama pulut kuning serta telur merah.

    Selain unsur-unsur ritual seperti amalan perubatan dan perbomohan, orang dahulu juga sentiasa dikaitkan dengan ‘pemakaian’ hantu syaitan.

    Antaranya saka, hantu raya,  pelesit, pontianak, polong dan toyol.

    Ketika itu, kepercayaan terhadap kewujudan makhluk halus bukan sekadar tercetus dari ungkapan dan penceritaan secara tradisi oleh orang tua-tua semata-mata.

    Sebaliknya, ada pihak tertentu turut mengamalkan kepercayaan karut dengan mengaitkan sesuatu penyakit itu berlaku akibat serangan dan kemarahan hantu.

    Wanita lambat dapat jodoh dikatakan akibat kena sihir, perniagaan tidak laku disebabkan ada orang khianat, kalah dalam pilihan raya kerana dikatakan pihak lawan guna bomoh.

    Malah, sekiranya anak-anak menangis waktu malam, ia dikatakan telah ditegur atau ternampak hantu syaitan.

    Kalau golongan wanita tidak berkahwin selepas tiga kali gagal dirisik keluarga pihak lelaki, ia dikaitkan pula dengan ‘perbuatan’ orang yang sakit hati.

    Begitu juga dengan peristiwa bot karam, mati lemas, kemalangan jalan raya atau hasil tanaman tidak menjadi dikaitkan dengan angkara kemarahan penunggu atau lokasi tersebut terlalu keras dan berpuaka.

    bomoh
    Gambar hiasan.

    Bagi orang politik pula, tidak lama dahulu penulis pernah diberitahu ada dalam kalangan pemimpin parti tertentu yang sanggup berulang-alik bertemu pawang dan bomoh untuk membantunya memenangi dalam pilihan raya umum (PRU).

    Ia berlaku sekitar akhir tahun 1980-an, memang banyak cerita seperti itu diperbualkan oleh pihak-pihak tertentu, cuma ia terhenti begitu sahaja kerana ketika itu belum ada media sosial seperti WhatsApp, Telegram, Facebook dan TikTok.

    Maklumlah, ketika itu dunia komunikasi masyarakat hanya perbualan dari mulut ke mulut, tidak secanggih hari ini.

    Disebabkan pemujaan itulah, menyebabkan hantu dan jembalang sentiasa popular dan terus bermain di bibir masyarakat.

    Manakala pawang, dukun dan bomoh pula begitu terangkat kedudukannya melebihi kewibawaan seorang pemimpin.

    Malah, kebanyakan masyarakat ketika itu terlalu bergantung harap kepada kebolehan dan kepakaran pawang, dukun dan bomoh walaupun mereka tahu ada di antara golongan terbabit ‘mengguna pakai’ makhluk halus seperti hantu raya, pelesit, toyol, puaka, polong dan pontianak.

    Setiap kali terdapat anggota keluarga dihidapi penyakit sama ada diserang histeria, demam atau penyakit buah (barah), mereka tetap mengharapkan ‘air  penawar’ atau jampi mentera daripada bomoh.

    Perkara ini berlaku mungkin disebabkan ketika di zaman kehidupan nenek moyang kita dahulu belum ada golongan cerdik pandai yang berjaya menjadi doktor selain ketiadaan kemudahan hospital dan pusat perubatan seperti mana sekarang.

    Sebab itulah dalam kehidupan masyarakat Melayu tradisi kita, rata-rata penduduk terlalu percaya dan berpegang kuat kepada alaman-amalan misteri dan tahyul yang boleh membawa kepada syirik.

    Namun, apa yang dikesalkan apabila kepercayaan karut seperti itu tidak sahaja terhenti ditelan zaman, sebaliknya masih lagi menular dalam masyarakat Melayu sekarang yang dikatakan semakin moden dan mewah.

    Walaupun kepercayaan itu dikatakan hanya  melibatkan segelintir masyarakat sahaja, terutama bagi mereka yang tinggal di kampung serta kawasan pedalaman, tetapi apa yang membimbangkan sesetengah orang bandar turut teruja dengan perkara tersebut terutama melibatkan pemakaian ‘ilmu pengasih’, pelaris perniagaan dan juga rawatan histeria.

    Malah, sehingga ini kejadian melibatkan anak-anak terutama pelajar sekolah diserang histeria sentiasa dikaitkan dengan gangguan makhluk halus, disampuk hantu serta lokasi keras yang mempunyai penunggu.

    Kejadian histeria melibatkan pelajar sekolah di negara ini bukan perkara baharu, sebaliknya ia dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini menyebabkan pihak pengurusan sekolah terpaksa melakukan pelbagai ikhtiar bagi membendung masalah berkenaan.

    Dalam menangani masalah ini, kita berharap semua pihak terutama pengurusan sekolah mencari pendekatan terbaik apatah lagi soal hantu dan jembalang ini masih lagi menjadi kepercayaan, amalan serta ‘pemakaian’ (pemeliharaan) segelintir golongan tertentu dalam masyarakat hari ini.

    Paling menyedihkan apabila masih ada dalam kalangan wanita Melayu yang pergi bertemu bomoh untuk merawat penyakit akhirnya terjerat dengan kejadian cabul dan rogol oleh bomoh terbabit.

  • Tajuddin tuduh Nur Jazlan biadab kritik PM secara terbuka

    Tajuddin tuduh Nur Jazlan biadab kritik PM secara terbuka

    KETUA UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman menyifatkan Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai biadab kerana mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara terbuka.

    Memetik laporan FMT hari ini, Ahmad Tajuddin berkata, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu tidak layak mengkritik keputusan Ismail Sabri berhubung isu jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang disandang Datuk Zuraida Kamaruddin.

    Menurut beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Lepar, Nur Jazlan sendiri tidak diterima pengundi apabila gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    “Lewat atau tidak (menggugurkan Zuraida daripada Jemaah Menteri) adalah budi bicara yang bergantung kepada keperluan dan kewajaran, yang mana perdana menteri saja memahaminya.

    “Kenyataan dia (Nur Jazlan) langsung tidak wajar malah biadap. Nur Jazlan tidak layak buat kenyataan sebegitu sedangnya dirinya kalah pada PRU lepas,” katanya kepada FMT.

    Beliau berkata demikian selepas Nur Jazlan menggelar Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana berlengah berhubung kedudukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu walaupun sudah meninggalkan Bersatu sejak 26 Mei lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Pada 22 Jun lalu, Nur Jazlan yang juga ketua UMNO Bahagian Pulai mendakwa Ismail Sabri menjadi ‘tebusan’ pihak tertentu ekoran lewat membuat keputusan mengenai kedudukan Zuraida dalam Kabinet.

    Pada PRU-14, Nur Jazlan gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pulai apabila tewas kepada Datuk Seri Salahuddin Ayub mewakili Pakatan Harapan (PH) dengan perbezaan undi besar sebanyak 28,924.

    Tajuddin menambah, tindakan Nur Jazlan membuat kenyataan terbuka mengkiritik kepimpinan Ismail Sabri hanya akan mengeruhkan keadaan, malah memperlihatkan UMNO sebagai parti tidak bermaruah.

    “Perdana Menteri mempunyai budi bicara penuh terhadap apa jua keputusan yang perlu dibuat dan di sini, UMNO juga mempunyai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang bertanggungjawab bersama perdana menteri memutuskan sebarang perkara penting.

    “Membuat kenyataan terbuka seperti ini hanya mengeruhkan keadaan dan tidak sedikit pun membantu agar parti dilihat bermaruah,” jelasnya.

  • Ibu dan 2 anak maut, kereta terjunam masuk sungai

    Ibu dan 2 anak maut, kereta terjunam masuk sungai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG ibu bersama dua anaknya maut setelah kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai berdekatan Jambatan Syed Omar, dekat Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil, Baling, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mayat ibu berkenaan, Masyitoh Ibrahim, 37 bersama dua anaknya iaitu Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq Sharudin, 5, ditemukan masih berada dalam kereta Proton Persona dinaiki mereka sebaik kenderaan yang terjunam tersebut dibawa ke darat kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.

    Menurutnya, pihaknya terlebih dahulu menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.10 petang semalam.

    “Siasatan awal mendapati kereta mangsa terbabas lalu terjatuh ke dalam Sungai Muda yang terletak di kawasan sempadan Baling dan Sungai Petani.

    “Kesemua mangsa dijumpai masih berada dalam kereta tersebut. Mayat kesemua mereka dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat dengan kes tersebut kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    terjunam
    Sebuah kren digunakan bagi mengangkatnya ke darat dan kereta itu berjaya dinaikkan sepenuhnya kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.

    Difahamkan mangsa merupakan seorang guru agama di Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata, bangkai kereta tersebut ditemukan oleh empat penyelam yang melakukan pencarian kira-kira pukul 1.41 pagi.

    “Kereta itu ditemukan di kedalaman tujuh meter kira-kira pukul 1.41 pagi. Sebuah kren digunakan bagi mengangkatnya ke darat dan kereta itu berjaya dinaikkan sepenuhnya kira-kira pukul 3.30 pagi,” katanya.

  • Laporan polis dibuat terhadap Guan Eng, Syed Saddiq kerana subjudis

    Laporan polis dibuat terhadap Guan Eng, Syed Saddiq kerana subjudis

    DUA laporan polis telah dibuat terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara berasingan susulan komen dibuat mengenai kes mahkamah melibatkan dua pemimpin tersebut.

    Portal Free Malaysia Today (FMT) melaporkan, kedua-dua laporan itu dibuat di Balai Polis Putrajaya, menurut sumber rapat.

    Laporan pertama, yang dibuat terhadap Guan Eng, adalah berdasarkan artikel di mana bekas Menteri Kewangan itu dipetik sebagai berkata, keterangan saksi dalam perbicaraan rasuahnya adalah semata-mata satu rekaan dan konspirasi politik.

    Pengadu mendakwa, tindakan Guan Eng adalah subjudis kerana perbicaraannya masih belum selesai.

    Kata sumber itu, pengadu mahu Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan terhadap Guan Eng kerana menghina mahkamah.

    Guan Eng dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk meminta komisyen 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion, dan menerima RM3.3 juta sogokan daripada seorang ahli perniagaan.

    Beliau  juga didakwa atas dua pertuduhan menyalahgunakan tanah negeri bernilai RM208.7 juta secara tidak jujur kepada dua syarikat.

    Laporan kedua dibuat terhadap Syed Saddiq dan peguam kepada bekas menteri belia dan sukan itu.

    Ini selepas peguamnya dalam video YouTube mendakwa, pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Muar itu bermotifkan politik.

    Syed Saddiq menghadapi empat pertuduhan pecah amanah jenayah, penyelewengan dana, dan pengubahan wang haram lebih RM1 juta milik Pemuda Bersatu.

  • Dicap musuh politik, ramai lagi akan dipecat daripada UMNO -Annuar

    Dicap musuh politik, ramai lagi akan dipecat daripada UMNO -Annuar

    AHLI Parlimen Ketereh Tan Sri Annuat Musa berkata, terdapat beberapa nama lagi berada “dalam senarai menunggu” untuk dipecat selepas dicap sebagai musuh politik.

    Sehubungan itu beliau memberi amaran bahawa tindakan menggugurkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan mengundang kepada krisis dan perpecahan dalam parti.

    Katanya, tindakan menggugurkan Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu bercanggah dengan semangat dan resolusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan Perhimpunan Agung UMNO Khas.

    “Meskipun ada peruntukan bagi Presiden memecat ahli MKT yang dilantik, namun tindakan itu tidak membawa kebaikan malah jarang dilakukan oleh mana-mana Presiden UMNO.

    “Ketika Tun M (Dr Mahathir Mohamad), terdapat menteri, timbalan menteri dan MKT yang menentang beliau secara terbuka, namun tiada sesiapa digugurkan hanya kerana tidak menyokong presiden,” katanya dalam satu kenyataan mala mini.

    Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan keputusan menggugurkan Tajuddin daripada MKT disebabkan tindak-tanduk beliau yang mengkritik parti.

    Bagaimanapun, Zahid tidak menghuraikan punca pengguguran itu, sebaliknya meminta wartawan mengajukan soalan berkenaan kepada Ahli Parlimen Pasir Salak tersebut.

    “Kena tanya beliau sendiri. Apa kenyataan beliau telah buat, apakah bahan-bahan ucapan beliau atau ceramah atau bahan-bahan yang telah beliau nyatakan dalam mesyuarat tertutup,” katanya

  • Harga ayam tidak diapung, tarif elektrik dan air Semenanjung kekal

    Harga ayam tidak diapung, tarif elektrik dan air Semenanjung kekal

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memutuskan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan.

    “Harga siling baharu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Pada masa yang sama, beliau berkata, kerajaan telah memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung.

    Menurut Ismail Sabri, dengan keputusan itu, kerajaan terus komited menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion, meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan kos penjanaan lain.

    Beliau menambah, keputusan yang dibuat itu membuktikan keprihatinan kerajaan demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia agar tidak terbeban dengan peningkatan harga dan cabaran kos sara hidup.

  • Isham mungkin ganti tempat Tajuddin dalam MT UMNO?

    Isham mungkin ganti tempat Tajuddin dalam MT UMNO?

    BEKAS Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur malam ini.

    Menurut beliau, jemputan itu adalah daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Sehubungan itu, timbul spekulasi dalam kalangan netizen tentang kemungkinan Isham dilantik sebagai Ahli MT UMNO bagi menggantikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang digugurkan.

    “Terima kasih kerana sudi jemput saya untuk menghadiri sesi mesyuarat bagi badan tertinggi parti pada malam ini. Saya akan hadir,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Beliau yang pernah berkhidmat sebagai pegawai khas Perdana Menteri ketika era Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini digugurkan daripada jawatan Ketua Penerangan BN Selangor.

    Isham juga dikenali sebagai penyokong tegar Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Tajuddin pula digugurkan atas alasan ingin memberi ruang kepada Ahli Parlimen Pasir Salak itu memberi tumpuan kepada tugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

    Umum mengetahui Tajuddin merupakan antara pemimpin UMNO yang lantang mengkritik tindak-tanduk Ahmad Zahid dan Najib.

  • Dipukul  kerana ‘enggan pungut sampah’ bukan bahan kitar semula

    Dipukul  kerana ‘enggan pungut sampah’ bukan bahan kitar semula

    SEORANG pemungut ungut sampah di Berkshire dipukul dengan kayu hoki selepas tidak mengambil sampah seorang penduduk.

    Menurut BerkshireLive, mangsa dihentak dengan sebatang kayu hoki sebelum ditanduk pada Rabu lalu namun hanya mengalami kecederaan ringan.

    Pekerja tersebut dikatakan sedang mengutip bahan kitar semula namun, penduduk tersebut meminta dia mengambil sampah lain-lain dalam tongnya.

    Pemungut sampah itu berkata tidak boleh mengutip sampah tersebut kerana ia mengandungi barang yang tidak boleh dikitar semula. Berang ditolak, penyerang kemudian ‘menanduk’ pekerja tersebut selepas memukulnya dengan kayu hoki.

    Sebelum ini, seorang lagi tukang pungut sampah juga menjadi mangsa serangan tersebut beberapa minggu yang lalu di kawasan sama.

    Majlis Slough Borough sudah dimaklum tentang kejadian tersebut.

    Salah seorang ahli majlis itu , Mohammed Nazir berkata, “Kami tidak akan membiarkan pekerja-pekerja kami diserang. Mereka sama dengan penjawat awam seperti kakitangan NHS, khidmat kecemasan dan ahli majlis yang lain.”

    “Mereka hanya melakukan kerja mereka untuk dapatkan rezeki dalam keadaan yang susah. Mereka tidak layak untuk dicaci maki atau dipukul,” katanya.

  • Isteri ditipu  ‘suami’  sebenarnya perempuan rugi hampir RM90,000

    Isteri ditipu ‘suami’ sebenarnya perempuan rugi hampir RM90,000

    Seorang wanita terkejut selepas mendapat tahu bahawa suaminya merupakan seorang perempuan di Jambi, Inndonesia.

    Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai NA sudah berkahwin dengan Ahnaf Arrafif selama 10 bulan selepas berkenalan di atas talian pada Mei 2021.

    Ahnaf juga pernah tinggal bersama NA untuk menjaga ibu bapanya yang tidak sihat ketika itu. Selepas berkahwin, NA berkata dia ditipu oleh suaminya dan telah mengambil hampir 300 juta rupiah (RM88,993) daripada keluarganya.

    Ibu NA berasa curiga dengan menantunya kemudian menyuruh dia membuka baju untuk ‘buktikan dia seorang lelaki’.

    Ahnaf kemudian mengaku dia seorang wanita bernama Erayani. Sebelum ini, dia mendakwa bekerja sebagai pakar neurologi yang menghabiskan pelajaran di New York dan bekerja sebagai ahli perniagaan dalam industri arang.

    Bekas pasangan tersebut juga tidak boleh mendaftar perkahwinan mereka kerana pengantin ‘lelaki’ itu tidak boleh menyediakan dokumen yang sah.

    NA juga pernah bertanya tentang ‘dua ketulan’ di dada ‘suaminya’ namun Erayani memberitahu bahawa ia masalah hormon.

    NA mendedahhkan bahawa sepanjang berkahwin Erayani mengawal segala urusan kewangan mereka. Erayani kini ditahan atas kesalahan memalsukan kelayakan sebagai doktor dan jantinanya.

  • Zahid Hamidi gugurkan Tajuddin sebagai Ahli Majlis Tertinggi

    Zahid Hamidi gugurkan Tajuddin sebagai Ahli Majlis Tertinggi

    DUTA Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan daripada Majlis Kerja Tertinggi Umno.

    Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan, merakamkan terima kasih kepada Tajuddin atas khidmat beliau sebagai ahli majlis tersebut, lapor FMT.

    “Presiden (Datuk Ahmad Zahid Hamidi) melalui surat ini menamatkan pelantikan Datuk Seri sebagai ahli MKT UMNO,” katanya dalam surat bertarikh 21 Jun.

    Bagaimanapun Ahmad tidak menyatakan sebab Tajuddin dipecat dalam surat itu. Sumber dihubungi FMT mengesahkan kesahihan surat itu.

    Ahmad menulis UMNO berharap Ahli Parlimen Pasir Salak itu akan meneruskan khidmat sebagi ahli parti yang komited. Turut dirakamkan ucapan tahniah atas pelantikan beliau sebagai duta besar.

    Tajuddin pada Ahad mengesahkan terima watikah pelantikan sebagai Duta besar Malaysia ke republik itu. Beliau menggantikan Datuk Zainal Abidin Bakar yang bersara pada 4 April 2021.

    Sebelum ini, Tajuddin digugurkan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO. Beliau juga dilihat sering bercanggah pandangan dengan kepimpinan tertinggi parti dalam beberapa isu termasuk masa sesuai untuk PRU15 diadakan.

    Tajuddin juga pernah dipecat sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd pada Mei 2021, beberapa hari selepas kenyataannya berhubung kemalangan LRT yang mengundang kritikan orang ramai.