Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kalau berani buatlah pemilihan…Zahid patut berundur – Nazri

    Kalau berani buatlah pemilihan…Zahid patut berundur – Nazri

    AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, mendesak supaya pemilihan UMNO diadakan secepat mungkin.

    Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, berkata buat masa ini pemilihan parti adalah lebih penting untuk diadakan berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi mengelakkan UMNO dibubarkan.

    “Buatlah pemilihan parti kalau berani, …nak hadapi PRU berani …(perlu berani) hadapi pemilihan parti juga. Apa yang perlu dibuat UMNO ketika ini adalah pemilihan bukannya PRU.

    “Saya risau kalau tidak dibuat sebelum Disember, UMNO akan dibubar sebab kita ada 18 bulan bermula Jun tahun lalu untuk adakan pemilihan,” katanya lapor Berita Harian.

    Jun tahun lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan UMNO menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selama 18 bulan.

    Ahmad Maslan dilaporkan berkata, sudah menemui dan menulis surat kepada Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

    Mei lalu, UMNO meminda perlembagaan bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas PRU-15.

    Mengulas mengenai perkara itu, Mohamed Nazri berkata, pindaan itu difahaminya terpakai untuk digunakan pada masa akan datang.

    “Fahaman saya sebagai seorang peguam, pindaan digunakan untuk masa depan bukan sekarang. Apa yang UMNO perlu buat adalah mengadakan pemilihan parti,” katanya.

    Beliau mengulas mengenai gesaan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya secara terhormat demi kepentingan parti.

    Mengulas mengenai gesaan itu, Mohamed Nazri berkata, amalan dalam UMNO sebelum ini memutuskan mana-mana pemimpin yang mempunyai kes di mahkamah perlu berundur sebagai presiden parti.

    Beliau berkata, atas dasar itu, Ahmad Zahid juga perlu membuat tindakan sama dengan menarik diri seperti dilakukan pemimpin dalam UMNO sebelum ini.

    “Ahmad Zahid patut tarik diri, …amalan lepas menunjukkan siapa ada kes perlu berundur seperti mana Dr Mohamad Khir Toyo (bekas Menteri Besar Selangor); Tan Sri Muhammad Muhd Taib (bekas Naib Presiden UMNO) dan Tan Sri Rahim Tamby Chik (bekas Ketua Menteri Melaka).

    “Malah, sebelum ini, UMNO buat keputusan sesiapa ada kes perbicaraan perlu mengundurkan diri bagi fokus kepada kes supaya kes peribadi tidak dijadikan kes parti.

    “Tetapi tak undur diri pula (Ahmad Zahid) itu yang jadi masalah sekarang,” katanya.

    Mohamed Nazri berkata, pihaknya menyokong tindakan Tajuddin mendedahkan perkara itu bagi membolehkan ahli parti membuat keputusan sebaiknya.

    “Ia kebebasan bersuara, …Tajuddin dah bukan ahli MKT, jadi orang tidak boleh marah beliau. Beliau cakap benda betul. Biar rakyat dan ahli UMNO membuat keputusan,” katanya.

  • 13 maut, lebih 250 cedera kebocoran gas di pelabuhan Jordan

    13 maut, lebih 250 cedera kebocoran gas di pelabuhan Jordan

    SEKURANG-kurangnya 13 terkorban manakala lebih 250 lagi cedera selepas terhidu gas klorin di Pelabuhan Aqaba di Jordan semalam.

    Menurut pihak berkuasa, penduduk di kawasan sekeliling diarah menutup tingkap dan kekal di rumah.

    Insiden kebocoran gas itu dipercayai berlaku ketika sebuah tangki berisi 25 tan gas klorin terjatuh dari kren semasa proses memuat barang dalam kapal.

     Kejadian turut menyebabkan satu letupan di kawasan berkenaan. Tangki gas klorin itu dijadual dieksport ke Djibouti.

    Klorin sering digunakan sebagai agen disinfektan serta dalam proses penyulingan air, namun jika dihidu, gas berkenaan akan bertukar menjadi asid hidroklorik yang boleh menyebabkan organ dalaman terbakar.

    Menurut Pengarah Suruhanjaya Maritim Jordan, Jeneral Muhammad Salman, trafik di Pelabuhan Aqaba tidak dihentikan, namun kapal-kapal dinasihati tidak menghampiri kawasan kejadian.

    “Kami meminta kapal-kapal berdekatan dengan kawasan letupan tangki untuk tidak menghampiri kawasan tersebut,” katanya lapor Astro AWANI.

    Pelabuhan Aqaba yang terletak di kawasan utara Laut Merah merupakan laluan utama barangan import dan eksport Iraq.

    Ketika ini satu pasukan khas sedang mengendalikan insiden kebocoran gas tersebut, kata Perkhidmatan Pertahanan Sivil dalam satu kenyataan di akaun Facebook rasmi.

    Perdana Menteri Bisher al-Khasawneh tiba di Aqaba bagi melawat mangsa yang dirawat di hospital.

    Beliau turut mengarahkan pasukan siasatan khas yang diketuai Menteri Dalam Negeri bagi menyiasat punca kejadian.

  • Kluster mahkamah UMNO mulanya tak sokong Ismail Sabri jadi PM

    Kluster mahkamah UMNO mulanya tak sokong Ismail Sabri jadi PM

    AHLI-AHLI Parlimen dari UMNO sendiri pada mulanya tidak sebulat suara menyatakan sokongan terhadap Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri dahulu.

    Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuat pendedahan tersebut dalam sidang media khas di sebuah hotel di Petaling Jaya, hari ini.

    Beliau turut menceritakan isu-isu dalaman yang ditimbulkan kluster mahkamah sehingga menyebabkan usaha untuk menaikkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri berdepan pelbagai kesukaran.

    “UMNO berpecah, ada yang setuju ada yang tidak setuju. 15 orang Zahid Hamidi dan Bossku pegang jangan sign, jangan mereka nak nafi.

    “Kita nak kumpulkan tu 38 Ahli Parlimen UMNO, tak boleh dapat. Tiap-tiap malam kita cari jalan bagaimana nak pujuk.

    “Presiden nak bawa empat nama termasuk nama dia dan Tengku Razaleigh,” jelasnya.

    Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak kesal dengan sikap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu kerana selaku Presiden UMNO, beliau sepatutnya menjadi wakil parti mencadangkan nama Ismail Sabri.

    Katanya, situasi berbeza berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) di mana Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju dengan pencalonan Ismail Sabri manakala PAS bersedia menyokongnya.

    Krisis politik tercetus di negara ini tahun lalu apabila Ahmad Zahid dan 15 Ahli Parlimen dari UMNO termasuk yang bergelar menteri Kabinet menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

    Akibatnya, Muhyiddin terpaksa meletak jawatan Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu ketika negara sedang berperang dengan krisis pandemik COVID-19.

    Walaupun tidak mendapat sokongan padu daripada partinya sendiri, Ismail Sabri akhirnya dinamakan sebagai Perdana Menteri kesembilan sekali gus mengembalikan teraju pentadbiran negara kepada pemimpin UMNO.

    Namun, sehingga kini, Ismail Sabri masih berdepan tekanan yang hebat daripada partinya sendiri termasuk desakan membubarkan Parlimen dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal.

    Tajuddin merupakan antara pemimpin UMNO yang teguh menyokong kepimpinan Ismail Sabri namun beliau telah digugurkan dari jawatan Ahli MT UMNO Jumaat lalu.

    Tempatnya diganti oleh Isham Jalil yang dikenali sebagai penyokong tegar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

  • Zahid masih nak jadi PM, patut rehat selesai kes mahkamah – Tajuddin

    Zahid masih nak jadi PM, patut rehat selesai kes mahkamah – Tajuddin

    AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak akan berpuas hati selagi tidak dilantik menjadi Perdana Menteri.

    Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata, beliau tidak faham dengan sikap Ahmad Zahid yang masih ‘bising-bising’ mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilangsungkan lebih awal walaupun Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini menerajui jentera pentadbiran negara.

    “Tak puas hati lagi? Apasal tak puas hati? Tak puas hati pasal dia nak jadi tu.

    “Zahid tu, saya boleh kata di sini. Dia tak puas hati kerana dia tak dapat jawatan itu.

    “Teruk… bukan untuk parti. Yang diperjuangkan dia hendak kembali berkuasa,” katanya dalam sidang media khas di sebuah hotel di Petaling Jaya, hari ini.

    Pada masa yang sama, Tajuddin mencadangkan agar Ahmad Zahid ‘berehat’ daripada menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.

    Menurut beliau, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berdepan jumlah kes yang banyak sehingga menjejaskan kemampuannya menerajui sebuah parti yang besar seperti UMNO.

    “Kita akan mengadakan pilihan raya. Lebih baik, orang kata, tumpu… selesaikan masalah dia. Kita doakan yang terbaik,” jelasnya.

    Tajuddin percaya Ahmad Zahid akan berdepan kesukaran untuk memberi tumpuan terhadap tugasnya selaku Presiden UMNO sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.

    “Pening kepala dia nak memikirkan turun naik mahkamah. Lebib baik dia tumpukan terhadap masalah peribadi dia.

    “Jangan masalah peribadi dia itu membebankan UMNO,” ujarnya.

    Tajuddin juga meluahkan kekesalan dengan layanan yang diberikan oleh kepimpinan UMNO terhadapnya sekarang walaupun beliau berkerja keras menaikkan semula parti selepas kalah teruk pada PRU-14.

    Beliau telah menggunakan wang sendiri bagi mencetuskan gelombang perpaduan orang Melayu dan umat Islam sehingga menyaksikan UMNO dan PAS tidak bertembung pada beberapa pilihan raya kecil.

    “Kalau nak tau, satu sen pun UMNO tak bagi saya untuk menganjurkan semua itu,” jelasnya.

    Tajuddin berkata, Presiden atau Bendahari UMNO bersikap ‘selamba sahaja’ dan tidak pernah bertanya berapa wang yang telah dibelanjakannya.

    Beliau menambah, sikap itu berterusan sehingga kini di mana jentera Jalinan Rakyat (JR) UMNO diminta berkhidmat tanpa sebarang bantuan kewangan.

    “Suruh JR buat kerja, nak ke sana ke mari, kena adalah jugak duit minyaknya,” katanya.

  • Tajuddin dedah UMNO terlibat jajaran baharu sokong Anwar jadi PM

    Tajuddin dedah UMNO terlibat jajaran baharu sokong Anwar jadi PM

    BEKAS Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan, UMNO pernah menghantar akuan bersumpah (SD) yang menyokong pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kepada Istana Negara.

    Malah, beliau mengakui turut menandatangani SD tersebut secara ‘terpaksa’ setelah didesak berbuat demikian berulang kali.

    Namun, kata Ahli Parlimen Pasir Salak itu, perkara tersebut tidak pernah dimaklumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada akar umbi parti.

    “Jajaran baru, kata No Anwar, No DAP, No PKR. Come on, saya saksi hidup. Tak usah nafilah, memang ada SD sign nak menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

    “Surat ditulis kepada istana, memang ada. Saya digesa-gesa. Saya kata saya tak nak.

    “Tapi dah sampai nak bermasam muka, saya sign jugaklah,” katanya dalam sidang media khas di sebuah hotel di Petaling Jaya, hari ini.

    Pendedahan Tajuddin yang baru dipecat daripada jawatan Ahli MT UMNO Jumaat lalu itu sekali gus mengesahkan desas-desus tentang komplot segelintir pemimpin tertinggi UMNO untuk menyokong pencalonan Anwar sebagai Perdana Menteri.

    Sehubungan itu, beliau mendakwa, slogan ‘No Anwar, No DAP, No PKR’ yang pernah dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dahulu adalah satu pembohongan.

    “Dia berbohong kepada ahli UMNO, kepada orang ramai yang tak tahu. Kasihan ahli-ahli UMNO di bawah. Kena hormat Presiden kan. Ikutlah,” katanya.

    Beliau turut mendakwa sebelum ini hampir 130 ketua bahagian UMNO mahu Ahmad Zahid berundur.

    Menurut Tajuddin, timbul gerakan mendesak Ahmad Zahid melepaskan jawatan Presiden pada 2020, diketuai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, namun gerakan tersebut tidak berhasil.

    “Mohamad takut bila kena sergah dengan orang Zahid,” katanya.

    Beliau menambah, antara pemimpin yang terlibat dalam gerakan itu adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Naib Presiden, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin; bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; dan Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

    “(Mesyuarat) dibuat di rumah saya. Masa itu keputusan perjumpaan ini, kita nak buat satu memorandum meminta Zahid supaya turun dengan baik demi kepentingan UMNO,” katanya.

    Tajuddin juga berkata, tidak takut dipecat oleh UMNO selepas membuat pendedahan pada hari ini.

    Katanya, beliau sudah beberapa kali dipecat dalam UMNO dan sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

    “Saya banyak kali kena pecat. Dulu pernah kena pecat dengan Anwar (pada) 1995. Biasa lepas kena pecat, lepas tu orang yang pecat terus masuk ‘jail’ (merujuk kepada Anwar),” katanya.

  • Lelaki berkhalwat dengan isteri orang maut jatuh tingkat empat

    Lelaki berkhalwat dengan isteri orang maut jatuh tingkat empat

    TINDAKAN  seorang lelaki cuba melarikan diri selepas perbuatan berdua-duaan dengan isteri orang terbongkar, membawa padah apabila maut terjatuh dari tingkat empat sebuah pangsapuri di Jasin, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 11.47 pagi itu, lelaki itu yang juga duda berusia 46 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas jatuh tertiarap dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, lapor Asto AWANI.

    Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas lelaki itu yang berada di dalam rumah kekasihnya di pangsapuri itu panik apabila suami wanita berkenaan pulang ke rumah secara tiba-tiba.

    “Menurut saksi yang juga kekasih kepada si mati itu, lelaki itu datang bermalam di rumahnya sebelum secara tiba-tiba suaminya pulang ke rumah kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

    “Menyedari ada individu lain di dalam rumahnya, suami wanita itu kemudian bertindak mengunci pintu jeriji hadapan rumah menyebabkan pasangan berkenaan tidak boleh keluar dan suaminya turut menghubungi pihak polis.

    “Wanita tiga anak yang merupakan isteri kedua itu kemudian meminta si mati berunding dengan suaminya, namun lelaki itu nekad mengambil seutas dawai ampaian dan mengikat pada besi palang di bahagian koridor untuk melarikan diri,” katanya.

    Sejurus itu katanya, secara tiba-tiba wanita itu terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian luar koridor dan mendapati kekasihnya telah tertiarap di atas tanah dan tidak bergerak.

    Ujar Mispani, lelaki itu telah bercerai pada tahun 2017 lalu dan kemudian mencari semula bekas kekasihnya untuk meneruskan hubungan walaupun mengetahui bahawa wanita itu telah berkahwin.

    “Pada tahun 2005 si mati telah berkenalan dan bercinta dengan saksi, namun mereka tiada jodoh dan apabila bercerai dengan isterinya pada tahun 2017 lalu, lelaki ini telah mencari semula saksi untuk meneruskan hubungan.

    “Hubungan si mati dengan saksi adalah secara sembunyi tanpa pengetahuan suami wanita itu,” katanya.

    Katanya mayat lelaki itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • 3 negeri bawah PH mungkin pilihan raya serentak dengan PRU-15

    3 negeri bawah PH mungkin pilihan raya serentak dengan PRU-15

    TIGA negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor mungkin mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika Parlimen dibubarkan selepas November ini.

    Memetik laporan Malaysiakini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada Majlis Presiden PH.

    Sebelum ini, Majlis Presiden PH menetapkan pendirian agar ketiga-tiga negeri terbabit menghabiskan penggal pemerintahannya jika PRU-15 diadakan lebih awal.

    “Sebelum ini kita kita jangka dibuat pilihan raya mengejut tetapi kini kita lihat kebarangkaliannya rendah.

    “Ada banyak spekulasi mengatakan paling awal, pilihan raya umum hanya akan diadakan akhir tahun ini, selepas pembentangan belanjawan.

    “Jika ia diadakan akhir tahun, hanya tinggal beberapa bulan untuk tamat penggal (pentadbiran) engeri. Jadi jika PRU diadakan pada akhir tahun, saya berpandangan yang kita tidak patut buat pilihan raya berasingan,” katanya dalam sidang media di Seremban hari ini.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah berpandangan, jika jurang masa antara PRU-15 dan pilihan raya di negeri ditadbir PH terlalu kecil, kemungkinan ada beberapa perkara yang tidak berpihak kepada mereka.

    “Jika pilihan raya dibuat berasingan dan (perbezaan) tempoh masa tidak lama, mungkin ada pengundi rasa kita bazirkan sumber.

    “Saya akan cadangkan kepada Majlis Presiden PH agar kalau PRU diadakan selepas November, maka (pilihan raya di) Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang juga seharusnya dibuat serentak,” jelasnya lagi.

    Pada masa ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdepan tekanan yang amat hebat daripada UMNO untuk membubarkan Parlimen segera.

    Perjanjian Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan PH menetapkan bahawa Parlimen tidak akan dibubar sebelum 31 Julai 2022.

    Walau bagaimanapun, UMNO yang tidak terlibat dengan MoU tersebut secara langsung telah mencetuskan PRN Melaka dan Johor sehingga menimbulkan kebimbangan parti itu akan melakukan langkah yang serupa terhadap kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Naib Presiden parti itu sendiri.

  • PRU-15: PAS Kelantan mahu logo bulan, Kedah belum pasti

    PRU-15: PAS Kelantan mahu logo bulan, Kedah belum pasti

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Keputusan sama ada PAS akan tampil dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan menggunakan logo sendiri atau logo Perikatan Nasional (PN) bakal dibincangkan dalam mesyuarat PN.

    Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, perbincangan berhubung perkara itu akan dibuat berikutan terdapat pandangan daripada pimpinan parti itu yang mahu PAS tampil dengan logo ‘bulan’ seperti sebelum ini.

    Beliau yang baru pulang dari Kelantan semalam juga memaklumkan, pimpinan PAS di negeri Cik Siti Wan Kembang itu juga merasakan logo ‘bulan’ patut kekal digunakan di sana.

    “Begitu pun di negeri-negeri lain termasuk di Kedah, rasanya tak ada masalah untuk kita gunakan mana-mana logo sama ada PN atau logo tradisi PAS.

    “Apa pun kita akan bincangkan perkara tersebut dalam mesyuarat PN nanti,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kerjasama antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) bagi membangunkan Fasa 2, Taman Perindustrian Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

    Muhammad Sanusi berkata, setiap logo digunakan dalam pilihan raya memainkan peranan penting terhadap pengundi dan rakyat.

    “Kalau logo itu menggambarkan kita dalam satu pakatan, ia akan beri lebih besar keyakinan kepada rakyat atau pengundi yang kita ini sememangnya berada di bawah satu pakatan.

    “Dan jika gunakan logo yang menggambarkan parti sendirian, itu akan beri kesan lain dari segi psikologi kepada pengundi,” katanya.

  • Nazri tak mahu jadi Luncai macam Nur Jazlan

    Nazri tak mahu jadi Luncai macam Nur Jazlan

    AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan sikap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed seperti ‘Si Luncai’.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain agar tidak mempedulikan Nur Jazlan yang dikatakan cuba meraih simpati setelah kalah teruk sehingga gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    “Dia umpama Luncai yang terjun dengan labu-labunya. Jadi tidak perlu peduli, biarkan… biarkan.

    “Saya tidak mahu jadi Luncai macam Nur Jazlan,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Sebelum ini, Nur Jazlan mempelawa Mohamed Nazri serta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong untuk bertanding di kerusi Parlimen Pulai.

    Beliau yang kalah teruk dengan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub telah mengumumkan tidak akan bertanding di Pulai pada PRU-15.

    Mohamed Nazri juga yakin boleh menang jika bertanding di kerusi Parlimen Pulai kerana beliau sentiasa bercakap benar dan perkara itu diterima dengan baik oleh pengundi pelbagai kaum.

    “Saya bukan seorang yang menyombong tetapi selalu bercakap benar berdasarkan fakta.

    “Jika bertanding di Parlimen Pulai, saya boleh menang di situ kerana rakyat suka saya bercakap benar dan tidak menyombong.

    “Di Padang Rengas itu memang kerusi UMNO yang tidak pernah kalah sejak dulu lagi.

    “Ada tsunami pun tetap UMNO menang dengan selesa dan saya sudah maklumkan saya akan serah kepada pengganti saya,” jelasnya.

    Beliau turut mengingatkan Nur Jazlan agar tidak bersifat perkauman dengan menyalahkan pengundi bukan Melayu yang didakwa tidak menyokongnya.

    “Sudah lah, jangan lah nak salahkan kaum lain bila kalah. Bila kalah nak salahkan pengundi Cina dan India yang tidak memberi sokongan.

    “Jangan main isu kaum kerana nak mempertahankan kelemahan kamu,” ujarnya.

  • Takiyuddin mungkin bertanding kerusi Parlimen Sik?

    Takiyuddin mungkin bertanding kerusi Parlimen Sik?

    BENARKAH Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan bertanding di kawasan Parlimen Sik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

    Jika desas-desus itu benar, ia bermakna beliau akan meninggalkan kerusi Parlimen Kota Bharu yang disandangnya ketika ini.

    Bagaimana pula dengan penyandang kerusi tersebut, Ahmad Tarmizi Sulaiman?

    Namun, Takiyuddin mengesahkan perkara itu hanyalah khabar angin.

    Memetik laporan Sinar Online, Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu apabila ditanya pihak media.

    “Nama pun ura-ura (bertanding di Parlimen Sik) jadi ura-ura,” katanya kepada media ketika hadir dalam Program Kesedaran Sistem Amaran Awal Aliran Puing bersama Komuniti Jerai Geopark di Titi Hayun, di sini pada Ahad.

    Sebelum ini, terdapat desas-desus mengatakan beliau bakal mewakili PAS dan Perikatan Nasional (PN) bertanding di Sik yang merupakan tempat kelahirannya.