Author: Wartawan WartaRakyat

  • Perjanjian PM-PN: Hamzah jumpa Ismail Sabri esok

    Perjanjian PM-PN: Hamzah jumpa Ismail Sabri esok

    SETIAUSAHA Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok bagi membincangkan perjanjian berkaitan “terma-terma penting” antara Perikatan Nasional (PN) dan perdana menteri.

    “InsyaAllah saya akan bertemu dengan perdana menteri esok hari,” kata Hamzah yang juga setiausaha agung PN dipetik berkata dalam laporan Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan “Aviation Against Trafficking In Persons Conference”.

    Pada 28 Jul, PN menyatakan kekecewaan mereka terhadap Ismail Sabri kerana dilihat “tidak bersungguh” memenuhi “terma penting” itu, yang menyokong beliau menjadi perdana menteri.

    Hamzah dalam kenyataan berkata, PN mahu menghantar wakilnya untuk bertemu Ismail bagi membincangkan pelaksanaan “terma-terma perjanjian” dalam masa terdekat.

    Sebelum ini didedahkan bahawa Ismail Sabri menandatangani perjanjian dengan PN sebelum naib presiden UMNO itu dilantik sebagai perdana menteri ke-9 pada Ogos 2021.

    Menurut salinan perjanjian yang dibocorkan baru-baru ini, jawatan timbalan perdana menteri telah dijanjikan kepada tonggak PN, Bersatu.

    Pada 2 Jul, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah bertemu dengan Ismail untuk membincangkan pelantikan politik, termasuk jawatan timbalan perdana menteri, seperti yang dipersetujui sebelum ini apabila gabungan itu memutuskan untuk menyokong kerajaan Ismail.

    Beliau juga berkata, pelantikan timbalan perdana menteri adalah antara syarat perjanjian antara PN dan Ismail Sabri.

  • JKN Selangor rampas cecair vape bernilai RM1.65 juta

    JKN Selangor rampas cecair vape bernilai RM1.65 juta

    JABATAN Kesihatan Negeri Selangor melalui Cawangan Penguatkuasaan Bahagian Perkhidmatan Farmasi (CPF JKNS) membuka kertas siasatan ke atas 32 kes cecair vape yang disyaki mengandungi racun nikotin dengan anggaran nilai rampasan RM1.65 juta.

    Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, rampasan dibuat CPF JKNS sepanjang tempoh dari 2019 sehingga Julai tahun ini.

    “Dari bilangan kes rampasan tersebut, sejumlah 31 kes berjaya didakwa di mahkamah dengan jumlah denda yang dikutip RM108,400,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Dr Sha’ari berkata, CPF JKNS sentiasa menjalankan penguatkuasaan berterusan ke atas aduan orang ramai berkaitan penjualan cecair vape mengandungi racun nikotin.

    Menurutnya, cecair vape yang mengandungi racun nikotin ini dikawal mengikut Jadual Pertama Akta Racun 1952

    Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai agar menyalurkan aduan berkaitan penjualan cecair vape bernikotin kepada Program Perkhidmatan Farmasi.

    “Aduan dibuat menerusi laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam di alamat http://moh.spab.gov.my.

    “Selain itu, aduan boleh dikemukakan kepada mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya diambil,” tambahnya.

  • Umrah: Arab Saudi alihkan pengadang lindungi Kaabah

    Umrah: Arab Saudi alihkan pengadang lindungi Kaabah

    PENGADANG yang melindungi kawasan sekeliling Kaabah di Masjidilharam dialihkan selepas dua tahun.

    Saudi Gazette melaporkan, arahan itu dikeluarkan oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud semalam menerusi satu dekri Diraja selaras permulaan musim umrah baharu.

    Mengumumkan perkara itu, Presiden Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais berkata, langkah itu menunjukkan kesungguhan kepemimpinan Arab Saudi untuk memudahkan jemaah serta pelawat Masjidilharam menunaikan ibadah dalam suasana tenang dan selamat.

    Ini didorong oleh peningkatan kehadiran umat Islam sempena musim baharu umrah.

    “Pihak kami sedang bekerjasama dengan kesemua sektor beroperasi di Masjidilharam untuk menerima kedatangan jemaah dan menyediakan segala perkhidmatan dan kemudahan diperlukan,” katanya.

    Pengadang terbabit ditempatkan di sekeliling Kaabah bermula 1 Julai 2020 selaras arahan Pusat Kebangsaan Untuk Pencegahan Coronavirus, sebagai langkah mencegah penularan pandemik COVID-19.

    Larangan itu menghalang jemaah haji dan umrah serta pelawat daripada menyentuh mahupun mencium Kaabah dan Hajarul Aswad.

    Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Haji dan Umrah mengesahkan jemaah dari luar negara yang mahu menunaikan umrah, tidak lagi perlu mengemukakan keputusan negatif ujian saringan pantas antigen atau Polymerase Chain Reaction (PCR) untuk memasuki Arab Saudi.

    Bagaimanapun kementerian itu memaklumkan, insurans bagi menampung kos rawatan sekiranya dijangkiti COVID-19, masih menjadi antara syarat kemasukan jemaah dari luar negara untuk menunaikan umrah.

    Tambahnya, tempoh tinggal bagi mereka yang datang dengan visa umrah adalah 90 hari sahaja dan mereka boleh melakukan pergerakan dan perjalanan antara Mekah dengan Madinah serta semua bandar lain di Arab Saudi sepanjang tempoh berkenaan.

  • AS bunuh pemimpin Al-Qaeda, Al-Zawahiri guna serangan dron

    AS bunuh pemimpin Al-Qaeda, Al-Zawahiri guna serangan dron

    PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada petang Isnin mengumumkan bahawa pemimpin al-Qaeda Ayman al-Zawahiri terbunuh dalam satu serangan dron di Kabul, Afghanistan pada hujung minggu.

    “Saya meluluskan serangan tepat bagi menghapuskannya dari medan perang. Tiada orang awam terbunuh ,” lapor Agensi Berita Xinhua, memetik sidang media Biden dari Anjung Bilik Biru, Rumah Putih.

    Al-Zawahiri, 71, mengambil alih kepemimpinan al-Qaeda pada 2011 selepas pemimpin terdahulu, Osama bin Laden terbunuh dalam serangan tentera AS di Abbottabad, Pakistan.

    Pengumuman Biden dibuat hampir setahun selepas tentera AS berundur dari Afghanistan yang ditaklukinya sebagai tindak balas terhadap serangan 9/11 pada 2001.

    Menurut Biden, al-Zawahiri turut terlibat dalam komplot merancang serangan 9/11.

    “Dia menyelaras cawangan dan pergerakan al-Qaeda di seluruh dunia termasuk menentukan cawangan mana yang perlu diberikan tumpuan dalam memberikan panduan operasi mengikut keperluan selain merancang serangan ke atas sasaran AS,” katanya.

    Menurut Xinhua, seorang pegawai pentadbiran menerangkan kepada pemberita serangan dron itu dilakukan di Kabul pada pagi Ahad. Dron berkenaan membedil bertubi-tubi ke arah al-Zawahiri yang ketika itu berdiri di anjung rumah tempat dia bersembunyi.

    Persediaan untuk operasi itu dikatakan mengambil masa berbulan-bulan. Biden meluluskan serangan itu pada 25 Julai semasa beliau dikuarantin di Rumah Putih kerana jangkitan COVID-19, menurut pegawai itu.

    Lebih 929,000 orang maut selepas insiden serangan 9/11 akibat serangan dan keganasan berkaitan kejadian itu. Dianggarkan AS membelanjakan lebih US$8 trilion dalam kempen berkenaan.

    — BERNAMA

  • Najib ikrarkan aset RM4.49 juta pada mahkamah

    Najib ikrarkan aset RM4.49 juta pada mahkamah

    DATUK Seri Najib  Razak membuat pemfailan di mahkamah bahawa beliau mempunyai aset bernilai RM4.49 juta setakat 30 Jun.

    Bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan itu mendedahkannya susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sebagai sebahagian daripada perintah injunksi mareva terhadapnya.

    Peguam Najib Muhammad Farhan Muhammad Shafee memberitahu portal Malaysiakini pemfailan itu dibuat pada 20 Julai kepada

    Berdasarkan surat perakuan eksibit, Najib mengikrarkan aset, antaranya seperti berikut:

    Tanah dan bangunan: RM460,987

    Kenderaan bermotor: RM252,000

    Akaun bank: RM1,248,938

    Amanah Saham Nasional Berhad: RM2,528,849

    Bafi hartanah, Najib mengikrarkan beliau mempunyai tanah di Kuantan, Pekan, Bentong serta bangunan di Semenyih dan Awana Condo, Genting Highland yang dianggarkan bernilai antara RM30,000 hingga RM150,000.

    Najib juga mempunyai lima buah kereta Mercedez Benz yang diperoleh sebagai hadiah, selain motosikal Kawasaki ZG.

    Hanya motosikal Honda EX5 yang dianggarkan bernilai RM2,000 dan sebuah Mercedez Benz diperoleh sendiri.

    Kesemuanya menggunakan nombor pendaftaran 11, selain sebuah kereta dengan nombor pendaftaran 1 dan motosikal Kawasaki ZG dengan nombor 1100.

    SRC International Sdn Bhd dan sebuah anak syarikatnya pada 24 Mac memperoleh perintah injunksi mareva untuk menghalang Najib daripada memindahkan atau melupuskan aset bernilai sehingga RM42 juta.

    Mahkamah juga mengarahkan Najib mendedahkan kepada peguam SRC (plaintif) secara bertulis asetnya dalam atau luar Malaysia dalam tempoh 30 hari selepas perintah itu diserahkan.

    Bekas perdana menteri hanya dibenar mengeluarkan dan membelanjakan wang daripada sebuah akaun bank atau sumber lain tidak melebihi RM100,000 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup dan guaman.

  • Sultan Kelantan berkenan isytihar Che Puan Nur Diana Petra Abdullah sebagai isteri baginda

    Sultan Kelantan berkenan isytihar Che Puan Nur Diana Petra Abdullah sebagai isteri baginda

    SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengisytiharkan isteri baginda, Che Puan Diana Petra Abdullah sebagai Sultanah Kelantan berkuat kuasa hari ini.

    Pelantikan itu membawa gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.

    Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob membacakan pengisytiharan tersebut di Istana Balai Besar yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad.

     Menurut Ahmad, pengisytiharan dilakukan menurut Fasal (1) Perkara 43 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) bagi pemakluman kepada negeri dan rakyat amnya.

    Baginda juga memperkenankan Che Puan Sofie Louise Johansson Petra iaitu isteri Tengku Mahkota Kelantan sebagai Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan.

    Kurniaan pangkat itu berkuat kuasa hari ini.

  • ‘’Minat saya ialah memastikan Najib tanggung kesalahan, jalani hukuman penjara’’

    ‘’Minat saya ialah memastikan Najib tanggung kesalahan, jalani hukuman penjara’’

    TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli, menegaskan beliau ‘tidak meminati’ Datuk Seri Najib Razak, sebaliknya hanya mahu memastikan bekas Perdana Menteri itu menanggung kesalahan yang didakwa dan meringkuk dalam penjara dengan disabitkan oleh mahkamah.

    Beliau menempelak sindiran Najib yang memaklumkan dirinya tidak berminat pada bekas Ahli Parlimen Pandan itu, susulan Rafizi dilihat menjadikan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) berkenaan sebagai sasaran serangan selepas kembali aktif berpolitik.

    Rafizi berkata, beliau juga tidak berminat pada Najib, namun terpaksa menggalas tanggungjawab untuk terus mendedahkan dakwaan kesalahan dan taktik Ahli Parlimen Pekan itu, kepada rakyat.

    “Saya tidak berminat dengan Najib. Sebagai pimpinan utama parti pro-rakyat di negara ini, memang menjadi tanggungjawab saya untuk terus mendedahkan kesalahan Najib.

    “Fokus kepada kesalahan Najib yang membebankan rakyat ini, telah menjatuhkan Najib pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. Minat sebenar saya ialah memastikan Najib menanggung kesalahan-kesalahannya kepada rakyat dan berakhir dengan menjalani hukuman penjara,” dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Pada Konvensyen BN Selangor semalam, Najib menyifatkan Rafizi berlagak seperti pejuang rakyat selepas lebih tiga tahun menghilangkan diri daripada arena politik.

    Sebelum ini, Rafizi secara terbuka memaklumkan enggan lagi aktif berpolitik, kira-kira setahun selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14, dan ketika gabungan itu mula dihimpit pergolakan dalaman susulan isu jawatan Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Namun pada 15 Mac lalu, Rafizi mengumumkan hasrat untuk kembali aktif dalam arena politik selepas PH dan PKR tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Mengulas lanjut, Rafizi turut menggesa semua pimpinan pembangkang untuk terus membalas tindakan dikatakan propaganda Najib, khususnya dalam media sosial, yang didakwa bertujuan untuk menggambarkan dirinya tidak bersalah.

    Pada masa sama, beliau berkata, pembangkang perlu membentangkan idea untuk memperbaiki kebajikan dan menyelesaikan masalah rakyat, sekali gus menunjukkan bahawa sebahagian besar masalah terbabit didakwa berpunca daripada salah tadbir Najib ketika menjadi Perdana Menteri.

    “Keupayaan pimpinan PKR dan PH mengutarakan kedua-dua perkara ini secara serentak adalah kunci kemenangan PKR/PH pada PRU akan datang,” katanya.

  • Jurulatih penerbangan maut, seorang lagi cedera pesawat ringan terhempas di Ipoh

    Jurulatih penerbangan maut, seorang lagi cedera pesawat ringan terhempas di Ipoh

    SEORANG jurulatih penerbangan maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng di Ipoh malam ini.

    Mangsa yang maut ialah Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor manakala mangsa yang cedera ialah Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada kira-kira 8.10 malam dan siasatan awal mendapati kedua-dua jurulatih penerbangan bertolak dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran.

    “Mereka dipercayai menaiki pesawat jenis Piper 28 dan cuaca adalah baik ketika kejadian. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan membuat siasatan untuk mengetahui punca kejadian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

    Beliau berkata kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun tindakan lanjut.

    Difahamkan, pihak syarikat penerbangan BATS Aviation sudah menghubungi keluarga mangsa terlibat bagi memaklumkan kejadian.

  • Najib pura-pura bodoh,perbodohkan penyokongnya – Tun Mahathir

    Najib pura-pura bodoh,perbodohkan penyokongnya – Tun Mahathir

    BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa tindakan Datuk Seri Najib Razak berpura-pura ‘bodoh’, dan cuba memutar belit isu berkaitan dana RM2.6 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), sebagai sesuatu yang ‘mengagumkan’.

    Berikut catatan Dr.Mahathir dalam Facebook beliau hari ini;

    Amatlah mengagumkan bagaimana Datuk Seri Najib berjaya berpura-pura bodoh dan cuba putar belit isu berkait saya menerima RM2.6 juta dari UKSB.

    Najib cuba untuk menyamakan dengan isunya menerima RM2.6 billion yang masuk ke dalam akaunnya dan mendakwa diberi oleh Raja Arab yang sehingga hari ini tidak wujud atau tampil membuktikan kenyataan Najib.

     Selain itu, dua mahkamah dan empat hakim telah dapati dia bersalah tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC, sebuah anak syarikat 1MDB.

    Najib juga sedang dibicara di dalam mahkamah berkaitan kes 1MDB di atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk peroleh suapan berjumlah RM2.3 billion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 billion tersebut.

    Kesemua aliran wang tersebut ada paper trail dan digital footprint dan kesemuanya terkait dengan Najib. Ini berbeza keadaan dengan kenyataan David Tan dari UKSB di dalam mahkamah iaitu duit itu diberi melalui anak saudara saya Tan Sri Rahmat dan bukannya kepada saya.

    Tidak ada bukti duit masuk akaun saya atau saya terima duit itu atau David Tan melihat duit itu diserah pada saya. Yang ada hanyalah kenyataan David Tan yang bersandar pula kepada ledgernya digelar Buku 555.

    Tan Sri Rahmat telah keluar kenyataan nafi dia serah apa-apa duit pada saya. Tan Sri Rahmat juga terangkan dia ada terima wang RM1.3 juta tetapi ini adalah imbuhan untuk jawatan sebagai pengerusi dan penasihat UKSB.

    Dia telah letak jawatan di UKSB tidak lama kemudian dan serah kembali wang RM1.3 juta. Tan Sri Rahmat juga ada surat dan dokumen berkait dengan apa yang dinyatakannya. Memang pun saya tidak pernah terima duit tersebut.

    Ini sesuatu yang amat mudah di faham dan Najib memang faham. Dia berpura-pura tidak faham kerana dengan itu dia dapat terus bohong dan tipu untuk tutup kesalahannya menyamun wang rakyat. Malangnya, dengan berpura-pura bodoh, Najib dapat terus perbodohkan penyokongnya.

  • ‘’Bersatu tak terkejut, sejak awal tahu Zafrul ahli UMNO’’ – Razali

    ‘’Bersatu tak terkejut, sejak awal tahu Zafrul ahli UMNO’’ – Razali

    PARTI Bersatu tidak terkejut dengan pelantikan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Senator Datuk Razali Idris, berkata walaupun Tengku Zafrul dikatakan mesra Bersatu selepas dilantik menteri semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau tidak pernah menghadiri program parti itu.

    Beliau berkata, Bersatu sejak awal mengetahui Tengku Zafrul adalah ahli UMNO dan Muhyiddin tidak pernah mensyaratkan beliau perlu menyertai Bersatu untuk dilantik sebagai Menteri Kewangan.

    “Saya tidak terkejut kerana Tengku Zafrul tidak mesra Bersatu sebagai contoh beliau tidak pernah hadir dalam aktiviti parti,” katanya kepada portal FMT.

    Sehubungan itu Razali menolak dakwaan kononnya  Bersatu gagal menjadi tarikan selepas Tengku Zafrul memilih terlibat secara aktif dalam UMNO dan BN dengan memegang jawatan dalam parti, sambil menjelaskan Bersatu berjaya menarik ramai profesional baharu lain.

    “Ramai ahli baru Bersatu daripada kalangan professional cuma kita tidak pernah memujuk Tengku Zafrul sertai Bersatu. Bersatu terbuka kepada sesiapa yang sehaluan dalam perjuangan tolak rasuah, salah guna kuasa dan prihatin rakyat.

    “Tengku Zafrul boleh ke mana saja yang beliau suka, beliau tidak terikat dengan Bersatu. Beliau hanya dilantik menteri kewangan dan tidak diminta masuk Bersatu,” katanya.