JABATAN Kesihatan Negeri Selangor melalui Cawangan Penguatkuasaan Bahagian Perkhidmatan Farmasi (CPF JKNS) membuka kertas siasatan ke atas 32 kes cecair vape yang disyaki mengandungi racun nikotin dengan anggaran nilai rampasan RM1.65 juta.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, rampasan dibuat CPF JKNS sepanjang tempoh dari 2019 sehingga Julai tahun ini.

“Dari bilangan kes rampasan tersebut, sejumlah 31 kes berjaya didakwa di mahkamah dengan jumlah denda yang dikutip RM108,400,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Sha’ari berkata, CPF JKNS sentiasa menjalankan penguatkuasaan berterusan ke atas aduan orang ramai berkaitan penjualan cecair vape mengandungi racun nikotin.

Menurutnya, cecair vape yang mengandungi racun nikotin ini dikawal mengikut Jadual Pertama Akta Racun 1952

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai agar menyalurkan aduan berkaitan penjualan cecair vape bernikotin kepada Program Perkhidmatan Farmasi.

“Aduan dibuat menerusi laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam di alamat http://moh.spab.gov.my.

“Selain itu, aduan boleh dikemukakan kepada mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya diambil,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here