Author: Wartawan WartaRakyat

  • Polis kesan individu terlibat insiden pukul tular

    Polis kesan individu terlibat insiden pukul tular

    SUSULAN tular video yang merakamkan serangan terhadap dua lelaki dalam kejadian dipercayai berlaku berdekatan sebuah pusat beli-belah di Jalan Hang Tuah, polis sedang mengesan semua individu terlibat dalam klip berkenaan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellham Yahaya, pihaknya mengesan video berdurasi satu minit 27 saat itu yang memaparkan kejadian tersebut di Facebook.

    Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima laporan berkaitan kejadian tersebut pada 10 Ogos kira-kira pukul 9.17 malam.

    “Siasatan awal mendapati, kejadian tersebut berlaku lebih kurang jam 4.45 petang susulan satu kemalangan melibatkan tiga kereta dan tiga motosikal,” katanya dalam satu kenyataan.

    Noor Dellhan bagaimanapun berkata, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kesemua individu terlibat sedang dikesan polis.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

    Beliau meminta mana-mana individu atau saksi mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan.

    Mereka boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03 26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03 21159999.

  • Pindaan Akta Pendidikan 1996 perlu ditimbang secara mendalam – Radzi

    Pindaan Akta Pendidikan 1996 perlu ditimbang secara mendalam – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) perlu menimbang secara mendalam cadangan beberapa pihak termasuk ahli akademik dan pakar perundangan yang mahu kerajaan meminda Akta Pendidikan 1996 bagi mewajibkan persekolahan sehingga ke Tingkatan Lima.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata  banyak perbincangan sudah dibuat kerana ia melibatkan pelbagai sudut.

    “Banyak perkara kita teliti daripada perspektif yang berbeza. Jadi sebab itu apabila kita bercakap mengenai akta pendidikan ini, ia tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya, ” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Wacana Dr Radzi Jidin bertajuk Eksplorasi Dunia Pertanian di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS)

    Beliau menjelaskan, apabila pindaan akta ingin dibuat, ia perlu dilakukan dengan sebaik-baiknya kerana apa-apa yang menyalahi akta akan diambil tindakan.

    “Jadi kita kena teliti satu persatu apabila kita bercakap tentang akta pendidikan. Sebab itu apabila kita dengar perbincangan di luar sana, kita memang sentiasa melihat apakah penambahbaikan yang boleh dibuat.

    “Bagaimanapun pada masa sama, kita melihat daripada pelbagai sudut, bukan sahaja boleh lihat secara umum tapi kita perlu lihat secara mendalam berkaitan dengan akta pendidikan dalam mengambil kira pelbagai aspek termasuk nanti aspek penguasaannya,” katanya

    Dalam perkembangan lain ditanya media mengenai penggabungan sekolah murid, Radzi berkata perkara itu perlu diteliti berikutan membabitkan banyak proses.

    “Pelbagai aspek perlu diteliti sebelum kita membuat sebarang keputusan berkaitan dengan penggabungan itu.

    “Sebab kita tidak mahu perkara ini dipolitikkan. Apabila bercakap penggabungan, bukan proses baharu kerana ia memerlukan kajian dan penelitian,” katanya.

  • LCS: SPRM saran Jabatan Peguam Negara tuduh beberapa individu

    LCS: SPRM saran Jabatan Peguam Negara tuduh beberapa individu

    SURUHANJAYA  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan menyarankan pertuduhan dikenakan terhadap beberapa individu berkait projek kapal tempur pesisir (LCS).

    Dalam kenyataannya, SPRM mengesahkan sudah melengkapkan beberapa kertas siasatan terhadap individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian LCS.

    “Kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan daripada SPRM untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.

    “Seterusnya, SPRM akan menerima arahan lanjut hasil daripada kajian Pejabat Peguam Negara terhadap kertas siasatan tersebut,” menurut kenyataan itu, lapor FMT.

    Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, JEMAAH Menteri hari ini menggesa SPRM  supaya menyegerakan siasatan berhubung isu Kapal Tempur Pesisir (LCS),.

    Beliau berkata perkara berkenaan yang dibincangkan secara terperinci pada Mesyuarat Jemaah Menteri turut meminta Peguam Negara agar membuat pendakwaan sekiranya terdapat bukti kukuh serta membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

    “Saya bagi pihak kerajaan, memberi jaminan bahawa siasatan berhubung isu ini dijalankan dengan telus dan kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ismail Sabri berkata beliau telah memanggil Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki selepas mesyuarat itu dan meminta mereka untuk segera bertindak selaras dengan keputusan mesyuarat.

    Menegaskan bahawa kerajaan memandang serius isu LCS, Perdana Menteri berkata Mesyuarat Jemaah Menteri juga memutuskan agar Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.

    Selain itu, Jemaah Menteri juga mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada 2019 dinyahklasifikasikan, namun proses itu perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.

  • Datuk Seri antara 25 ditahan berparti liar dadah

    Datuk Seri antara 25 ditahan berparti liar dadah

    POLIS menahan seramai 25 individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri yang menyertai parti liar di sebuah rumah banglo di Janda Baik, Bukit Tinggi, Bentong Pahang awal pagi tadi.

    Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek terdiri daripada 15 lelaki dan 10 wanita itu mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata, serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu hasil maklumat orang awam.

    Katanya, dalam serbuan dan pemeriksaan itu, polis menjumpai dadah jenis ketamin seberat 2.18 gram serta 1.43 gram pil ekstasi dianggarkan bernilai RM800.

    “Semua suspek yang ditahan terdiri daripada 17 rakyat tempatan dan lapan warga asing berusia antara 18 hingga 64 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Zaiham berkata, kesemua suspek kini direman empat hari bermula hari ini hingga 14 Ogos.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

    Tegas beliau, polis tidak akan berkompromi dalam menangani isu dadah di daerah Bentong dan akan mengambil tindakan tegas.

    Tambahnya, beiau turut mengucapkan terima kasih khususnya kepada penduduk sekitar yang membantu menyalurkan maklumat kepada polis.

  • Air hujan tidak lagi selamat untuk diminum

    Air hujan tidak lagi selamat untuk diminum

    SATU kajian baharu oleh saintis dari Universiti Stockholm mendedahkan air hujan di seluruh dunia tidak lagi selamat untuk diminum.

    Ia disebabkan tahap baharu bahan kimia toksik dikenali sebagai PFAS yang melepasi garis panduan terbaharu.

    PFAS yang dikenali sebagai ‘forever chemicals’ kerana mengambil masa amat lama untuk terurai, ia pertama kali ditemui dalam bahan pembungkusan barang, syampu atau alat solek.

    Bagaimanapun ia kini telah tersebar ke seluruh alam sekitar termasuk air dan udara.

    “Tiada tempat di dunia ini di mana air hujan selamat untuk diminum, berdasarkan sukatan yang telah kami ambil,” kata pensyarah universiti berkenaan Ian Cousins.

    Beliau yang mengetuai kajian diterbitkan dalam Environmental Science and Technology kepada AFP berkata, kompilasi data dihimpunkan pasukannya sejak 2010 menunjukkan ‘tahap air hujan di Antartika atau dataran Tibet telah melepasi garis panduan air minuman dicadangkan Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) AS.

    Dua kawasan berkenaan yang lazimnya dianggap paling bersih masih merekodkan tahap PFAS ’14 kali lebih tinggi’ berbanding garis panduan air minuman ditetapkan EPA.

    Menurut Cousins, EPA baru-baru ini menurunkan garis panduan PFAS secara signifikan selepas mendapati bahan kimia berkenaan berupaya menjejaskan tindak balas imun kanak-kanak terhadap vaksin.

    PFAS yang diserap tubuh manusia akan terus terkumpul dalam badan.

    Menurut beberapa kajian lagi, pendedahan kepada PFAS juga boleh membawa kepada masalah kesuburan, merencatkan pertumbuhan kanak-kanak, meningkatkan risiko obesiti atau kanser tertentu selain meningkatkan tahap kolesterol.

    Beliau menambah, PFAS kini “sangat giat” dan ada di mana-mana sehinggakan mereka tidak akan hilang dari planet ini.

  • Haji: Tarikh akhir tinggalkan Arab Saudi 13 Ogos

    Haji: Tarikh akhir tinggalkan Arab Saudi 13 Ogos

    TARIKH akhir bagi jemaah yang menunaikan haji tahun ini untuk meninggalkan Arab Saudi ialah pada Sabtu ini atau 13 Ogos.

    Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata, syarikat Tawafah yang menyediakan perkhidmatan kepada jemaah haji dari luar negara perlu mematuhi jadual pelepasan jemaah.

    Lapor Saudi Gazette, syarikat itu juga perlu memastikan prosedur perjalanan jemaah haji yang datang ke Arab Saudi dilengkapkan mengikut perancangan operasi yang dilaksanakan sepanjang musim haji 2022.

    Kementerian itu memaklumkan kepada syarikat terlibat tentang kepentingan memudahkan kepulangan kumpulan terakhir jemaah haji.

    Pada masa sama, kementerian itu mengingatkan semua jemaah yang masih berada di Arab Saudi agari menyemak butiran pengangkutan dan penginapan mereka daripada syarikat yang mengatur perjalanan mereka.

    Sementara itu, kementerian berkenaan turut menyatakan kepentingan mempunyai kontrak yang didokumenkan untuk perkhidmatan yang akan diterima oleh jemaah sepanjang perjalanan umrah.

    Sebagai tambahan, mereka juga perlu mengetahui butiran perkhidmatan tersebut melalui syarikat penganjur.

  • 3 maut kereta dinaiki terjatuh dari puncak Gunung Taif

    3 maut kereta dinaiki terjatuh dari puncak Gunung Taif

    TIGA orang maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan jatuh dari puncak Gunung Hada di Taif , Arab Saudi yang dianggarkan mempunyai ketinggian kira-kira 2,000 meter pada Isnin.

    Menurut sumber Pasukan Pertahanan Awam Taif, ketika kejadian, terdapat kabus tebal yang menghalang penglihatan di lokasi dan menyebabkan kenderaan itu terjatuh ke dalam gaung.

    Saudi Gazette melaporkan, pihak Pertahanan Awam Taif menerima laporan kemalangan membabitkan sebuh kereta Mazda dinaiki tiga orang yang jatuh dari kawasan pemandangan gunung di Al-Hada.

    Pasukan Pertahanan Awam kemudian bergegas ke tempat kejadian dan memulakan pencarian besar-besaran untuk mengesan kedudukan kereta dan penumpang.

    Semasa pencarian, mereka menemukan mayat mangsa di pelbagai lokasi berbeza.

    Mayat ketiga hanya ditemui pada pagi Selasa.

    Sementara itu, pihak berkuasa telah membuka semula jalan Hada yang ditutup dari kedua-dua arah sejak beberapa hari lalu berikutan cuaca buruk dan hujan yang menjejaskan jarak penglihatan.

  • Hishammuddin perlu jelaskan kemampuan kewangan Boustead Naval Shipyard, kata Chin Tong

    Hishammuddin perlu jelaskan kemampuan kewangan Boustead Naval Shipyard, kata Chin Tong

    KERAJAAN perlu berterus-terang sekiranya sekiranya kontraktor utama projek kapal tempur pesisir (LCS), Boustead Naval Shipyard (BNS) pernah meminta komitmen penyenggaraan kapal berkenaan dengan nilai RM53 bilion untuk tempoh 30 tahun.

    Bekas Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berkata, selain itu, berdasarkan rekod, BNS juga pernah mencuba untuk menerbitkan sukuk bernilai RM4 bilion bagi membiayai projek tersebut, namun tanpa sebarang cagaran atau jaminan.

    Katanya lagi, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein perlu menjelaskan kepada Dewan Negara minggu hadapan, tentang situasi kewangan terkini BNS, serta kemampuan syarikat itu untuk meneruskan projek LCS bernilai kira-kira RM9 bilion.

     “Kami ingin memahami apa rancangan kewangan kerana dalam satu cadangan kepada kerajaan tahun lepas, BNS bercadang untuk sukuk bernilai RM4 bilion untuk diterbitkan. Bermakna BNS pergi ke pasaran sukuk untuk meminjam RM4 bilion bagi meneruskan LCS. Tetapi BNS tak ada apa yang boleh dicagarkan atau jaminan.

    “Maka BNS meminta kerajaan supaya beri RM53 bilion order book, untuk kerajaan commit atau bersetuju untuk memberi kontrak MRO (perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) atau kontrak senggaraan kepada BNS selama 30 tahun,” katanya kepada Astro AWANI.

    Justeru, Chin Tong berkata, Hishammuddin perlu menerangkan kepada Dewan Negara dan kepada rakyat sekiranya BNS masih mampu untuk menghormati kontrak projek tersebut.

    Awal hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jemaah Menteri telah mencadangkan supaya laporan pengauditan forensik projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan.

    Beliau berkata, ia merupakan antara komitmen dan jaminan kerajaan tentang siasatan telus, tanpa melindungi sesiapa pun.

    Selain itu Ismail Sabri berkata, Jemaah Menteri juga memutuskan agar laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan Dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang untuk disiarkan kepada umum.

    Hishammuddin dalam kenyataan susulan berkata, beliau dan Kementerian Pertahanan (Mindef) akan melakukan apa sahaja bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan, serta memberikan kerjasama penuh kepada semua badan berkuasa yang melakukan siasatan.

    Katanya lagi, beliau dan barisan kepimpinan Mindef tiada sebarang perkara yang hendak disembunyikan.

    Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, selain dua dokumen itu, kerajaan juga perlu menyahklasifikasi sepuluh surat yang ditulis oleh bekas Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

    “Surat itu akan menjelas kenapa design Perancis atau Gowind-class tidak patut digunakan. Itu adalah salah satu sebab sejak awal projek ini mengalami masalah kerana pertukaran sistem.

    “Pertukaran itu tidak dipersetujui oleh TLDM sendiri, dan mereka tidak dimaklumkan tentang pertukaran reka bentuk, sehinggalah mereka mendapat maklumat itu dari kontraktor, bukan dari Menteri atau Timbalan Menteri ketika itu,” katanya lagi.

    Berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa kemajuan projek terganggu ketika Pakatan Harapan mengambil alih Kerajaan pada 2018, Chin Tong berkata, beliau dan Menteri Pertahanan PH ketika itu, Mohamad Sabu dimaklumkan projek tersebut tidak dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.

    Beliau berkata, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan cadangan Mohamad untuk ditubuhkan Jawatankuasa Siasatan Khas yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang untuk melihat beberapa projek di bawah Mindef, termasuk LCS.

    Katanya lagi, mereka telah dimaklumkan BNS telah berhutang dengan jumlah original equipment manufactures (OEM) yang banyak, dan ramai pekerja OEM terpaksa berhenti kerja kerana tidak mendapat bayaran yang sepatutnya daripada BNS.

    “Pada bulan Ogos 2019, Tan Sri Ambrin bentang siasatan. Selepas bentang siasatan, Kementerian cuba selesaikan masalah, dan pada 11 Februari, Kementerian bentangkan siasatan dan cadangan untuk selesaikan masalah LCS kepada Perdana Menteri.

    “Pada masa itu Dr Mahathir mengarahkan Kementerian untuk menyediakan kertas Jemaah Menteri bagi menyelesaikan masalah ini. Tetapi selepas itu kerajaan (PH) telah tumbang,” katanya lagi.

    Sehubungan itu, Chin Tong berkata, dakwaan Najib bahawa PH telah menyebabkan kemajuan projek LCS terhenti, tidak lebih daripada sekadar bermotifkan politik.

  • PM jangan takut, tubuh segera RCI – Wan Saiful

    PM jangan takut, tubuh segera RCI – Wan Saiful

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa segera mengambil tindakan tegas dan pantas berhubung isu projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Ismail Sabri tidak perlu takut dan berasa tertekan kerana ia adalah satu amanah daripada rakyat kepada Perdana Menteri.

    “Saya menyeru PM supaya terus menubuhkan dan mengusahakan penubuhan RCI ini dengan segera.

    “Jangan terlalu tertekan oleh mereka yang cuba melarikan diri, jangan takut-takut, ini adalah satu amanah daripada rakyat kepada PM,” katanya pada Sidang Media selepas menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan Baginda untuk menubuhkan RCI, di Istana Negara, hari ini.

    Serahan memorandum disampaikan Wan Saiful kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Setiausaha Sulit Kanan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim.

    Dalam pada itu katanya, RCI wajar ditubuhkan bagi memastikan ketelusan siasatan isu berkenaan demi kepentingan rakyat.

    “Bagi saya, saya rasa RCI satu perkara yang wajar ditubuhkan, kalau kita nak harapkan pihak eksekutif menyiasat kes ini, kita kena sedar, bahawa yang nama-nama yang disebut dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), merupakan nama-nama yang berpengaruh dalam badan eksekutif hari ini.

    “Kita agak bimbang sekiranya siasatan dijalankan di peringkat eksekutif sahaja, ada tangan-tangan ghaib yang akan menganggu dan menyebabkan siasatan itu diragui kewibawaan,” katanya.

    Isu LCS menjadi perhatian ramai apabila PAC, baru-baru ini, mengumumkan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek berkenaan selepas dua tahun disiasat.

    Rumusan berkenaan, termasuk kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

    PAC dalam laporannya berhubung projek itu turut memaklumkan kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan kerajaan terhadap syarikat BNS untuk pembinaan lima kapal LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat itu.

    Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

  • ‘’Tohmahan Najib satu penipuan’’- Mat Sabu, Chin Tong

    ‘’Tohmahan Najib satu penipuan’’- Mat Sabu, Chin Tong

    BEKAS Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya ketika itu, Liew Chin Tong menafikan dakwaan Najib Razak bahawa Pakatan Harapan (PH) telah membekukan projek kapal tempur pesisir (LCS) ketika mereka berkuasa.

    Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pemimpin PH itu menegaskan, projek bernilai RM9 bilion itu telah mengalami masalah kewangan sebelum PH mengambil alih kerajaan.

    “Tohmahan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa PH telah membeku projek LCS selama 15 bulan untuk siasatan adalah satu penipuan,” kata kenyataan tersebut mereka.

    Mereka juga menegaskan,  hakikatnya syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) yang diberikan projek itu telah berhutang dengan institusi kewangan sebanyak RM869 juta, sementara RM767 juta kepada pengilang peralatan asal (OEM) setakat Ogos 2019.

    “Hutang-hutang lain adalah RM 102.2 juta. Jumlah hutang pada Ogos 2019 adalah sebanyak RM 1.738 billion. (Ia menyebabkan) Ramai sub-kontraktor dan OEM tidak lagi teruskan kerja kerana hutang. Kerajaan PH tidak ‘membeku’ projek LCS,” kata mereka.

    Kenyataan itu bagi menjawab tohmahan Najib yang mengatakan  PH “tengok sahaja” dan “membisu” ketika LCS pertama gagal diserahkan pada 2019.

    Bekas Perdana Menter itu juga mendakwa, PH telah melewatkan projek dan membekukan sepenuhnya projek LCS pada 2019.

    Dalam kenyataan bersama tersebut, Mohamad dan Chin Tong juga  meminta Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan sama ada penggunaan dana LCS untuk membiayai hutang lapuk projek Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV) sebagai satu kesalahan jenayah.

    “Kami terkejut dengan kenyataan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ahmad Nazim Abdul Rahman bahawa sebahagian daripada dana LCS digunakan untuk membiayai hutang lapuk BNS untuk projek lama, iaitu NGPV yang bermula pada 1998 dan berakhir pada 2010 dengan ‘rescue fund’ daripada kerajaan sebanyak RM1.4 bilion tanpa sebarang pertambahan peralatan mahupun ‘scope of work’.

    “Hishamuddin mesti jawab adakah dia bersetuju dengan Ahmad Nazim bahawa dana LCS boleh digunapakai untuk membayar hutang NGPV,’’ tegas mereka.

    Terdahulu, Nazim di Facebook berkata BNS terpaksa menggunakan sebahagian daripada dana perolehan LCS untuk membayar hutang lapuk projek lain.

    Ini kerana BNS – yang pemegang saham terbesarnya adalah LTAT – terpaksa mengambil alih PSC Industries Bhd yang dibebani hutang, sebuah syarikat yang gagal menunaikan kontrak RM9 bilion untuk membina enam kapal peronda luar pesisir (OPV).

    “Selepas kegagalan projek penswastaan pembinaan kapal-kapal tentera laut yang diberi kepada syarikat PSC satu ketika dulu, BNS terpaksa mengambil alih syarikat ini demi menyelamatkan kerugian di seluruh rantaian kewangan dan ekonomi,” kata Nazim.

    Kontrak NGPV dikeluarkan pada 1998 dan BNS mengambil alih PSC pada 2005.

    Justeru, Mohamad dan Chin Tong menggesa  Hishammuddin menjelaskan perkara berbangkit itu di Dewan Negara pada minggu depan.