KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) perlu menimbang secara mendalam cadangan beberapa pihak termasuk ahli akademik dan pakar perundangan yang mahu kerajaan meminda Akta Pendidikan 1996 bagi mewajibkan persekolahan sehingga ke Tingkatan Lima.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata  banyak perbincangan sudah dibuat kerana ia melibatkan pelbagai sudut.

“Banyak perkara kita teliti daripada perspektif yang berbeza. Jadi sebab itu apabila kita bercakap mengenai akta pendidikan ini, ia tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Wacana Dr Radzi Jidin bertajuk Eksplorasi Dunia Pertanian di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS)

Beliau menjelaskan, apabila pindaan akta ingin dibuat, ia perlu dilakukan dengan sebaik-baiknya kerana apa-apa yang menyalahi akta akan diambil tindakan.

“Jadi kita kena teliti satu persatu apabila kita bercakap tentang akta pendidikan. Sebab itu apabila kita dengar perbincangan di luar sana, kita memang sentiasa melihat apakah penambahbaikan yang boleh dibuat.

“Bagaimanapun pada masa sama, kita melihat daripada pelbagai sudut, bukan sahaja boleh lihat secara umum tapi kita perlu lihat secara mendalam berkaitan dengan akta pendidikan dalam mengambil kira pelbagai aspek termasuk nanti aspek penguasaannya,” katanya

Dalam perkembangan lain ditanya media mengenai penggabungan sekolah murid, Radzi berkata perkara itu perlu diteliti berikutan membabitkan banyak proses.

“Pelbagai aspek perlu diteliti sebelum kita membuat sebarang keputusan berkaitan dengan penggabungan itu.

“Sebab kita tidak mahu perkara ini dipolitikkan. Apabila bercakap penggabungan, bukan proses baharu kerana ia memerlukan kajian dan penelitian,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here