Author: Wartawan WartaRakyat

  • RISDA peruntuk RM800,000 setahun bantu anak pekebun kecil

    RISDA peruntuk RM800,000 setahun bantu anak pekebun kecil

    DATUK Seri Mahdzir Khalid berkata, RISDA menyediakan dana sebanyak RM800,000 untuk Skim Bantuan Pendidikan Yayasan RISDA tahun ini.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar itu, berkata, dana tersebut meliputi Skim Insentif Pelajar RM500 secara one-off, Bantuan Sara Hidup Pelajar RM450 sebulan sepanjang pengajian dan Biasiswa Pelajar RM6,800 hingga RM13,800 setahun kepada pelajar Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM).

    “Melalui yayasan yang sama, RISDA turut menyediakan Skim Bantuan komputer riba UCAM secara one-off dan Anugerah Yayasan RISDA berbentuk dermasiswa bernilai RM2,000 kepada pelajar cemerlang.

    ”Saya yakin, dengan inisiatif yang disediakan ini, ia dapat menjadi pemangkin kepada generasi muda anak-anak pekebun kecil RISDA untuk terus menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi serta dapat membantu dalam melancarkan pengajian mereka di UCAM,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di Alor Gajah hari ini.

    Turut serta Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, Exco Pendidikan dan Teknologi Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.

    RISDA kata Mahdzir, memberi fokus kepada bidang pendidikan sejak 65 tahun lalu lagi dengan melalui pelbagai evolusi selaras dengan perkembangan sistem pendidikan dan keperluan tenaga kerja dalam sektor pertanian negara khususnya perladangan getah.

    ”Bermula dengan Sekolah Latihan Getah pada tahun 1957, RISDA kini mempunyai Kolej Universiti Agrosains Malaysia atau UCAM yang merupakan satu-satunya Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), khusus dalam bidang pertanian.

    “Saya difahamkan UCAM setakat ini telah berjaya melahirkan lebih daripada 10,000 graduan yang bukan hanya berkhidmat di dalam agensi pertanian dan perladangan kerajaan serta swasta, malah tidak kurangnya ada juga yang kini bergelar usahawan dan jutawan.”

    Sementara itu pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman antara pihak UCAM dan tiga rakan industri iaitu GrasiCili Plt, Uwais Cendawan Agrotech Enterprise dan Bitara Emas (M) Sdn. Bhd.

    MOU itu berkaitan program latihan industri dan penempatan kerja graduan UCAM, latihan profesional, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kerjasama komersial.

  • Wanita pakai ihram memang berpakaian lelaki sepanjang masa

    Wanita pakai ihram memang berpakaian lelaki sepanjang masa

    WANITA yang memakai ihram ketika mengerjakan umrah baru-baru ini memang berperwatakan tomboi dan berpakaian lelaki sepanjang masa.

    Perkara itu dimaklumkan oleh seorang penduduk di salah satu kawasan perumahan di Titi Gantong, Bota.

    ‘’ “Dia memang perempuan tetapi sejak dulu berperwatakan tomboi dan berpakaian lelaki sepanjang masa,” katanya  tinggal di kawasan perumahan sama dengan keluarga seorang wanita mengaku lelaki dikenali sebagai ‘Mohd Syahid’ atau ‘Ayid’.

    Wanita berperwatakan lelaki itu mencetuskan kontroversi  apabila memakai ihram ketika mengerjakan  umrah baru-baru ini.

    Memetikan laporan Berita Harian, penduduk yang enggan dikenali itu berkata,  keluarga wanita yang dikenali sebagai Ayid itu sudah belasan tahun tinggal di kawasan tersebut dan mendakwa ketika berpindah ke situ, Ayid berusia kira-kira 13 tahun.

    Katanya, sejak itu dia melihat Ayid tidak pernah memakai pakaian wanita, melainkan memakai selendang tanpa menutup rambut pada hari pengebumian seorang daripada ahli keluarganya.

    “Dari dulu lagi dia tidak pernah berpakaian wanita, sebaliknya hanya memakai seluar dan t-shirt (seperti lelaki). Ketika hari raya juga dia balik ke kampung, tetapi tetap berpakaian seperti lelaki,” katanya.

    Katanya, sejak kes mengenai Ayid tular, keluarganya meninggalkan rumah itu dan mengesahkan ibunya sedih dengan kejadian tersebut.

  • KPN arah siasat ancaman terhadap Ketua Hakim Negara

    KPN arah siasat ancaman terhadap Ketua Hakim Negara

    KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat sebarang elemen ancaman dan ugutan terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

    Ancaman terhadap Tengku Maimun dikesan dalam pelbagai medium laman sosial, termasuk aplikasi Twitter dan Facebook sejak tengah malam tadi.

    Acryl Sani berkata, perkara itu adalah satu isu yang serius dan siasatan terhadap kes ancaman berkenaan sedang dilaksanakan walaupun tiada sebarang laporan polis dibuat.

    “Saya sudah mengarahkan JSJ Bukit Aman memulakan siasatan dengan meneliti segala ancaman serta ugutan terhadap Ketua Hakim Negara dan siasatan sama turut membabitkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).

    “Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah semestinya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perkara membabitkan isu keselamatan dan ketenteraman awam yang boleh mengganggu-gugat keamanan,” katanya kepada Berita Harian.

    SEMENTARA itu, Pengerusi Biro Media Sosial DAP Syahredzan Johan menempelak kempen Internet yang menyerang Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

    “Lihatlah betapa terdesaknya mereka?  Serang keluarga ketua hakim dan buat ancaman jelas tentang pertumpahan darah,” tulisnya di Facebook sebentar tadi.

    Syahredzan turut berkongsi tulisan pengguna maya berkaitan ancaman itu serta yang mengaitkan keputusannya dengan suaminya.

  • Pensyarah USM, adik dipenjara 3 tahun, denda lebih RM800,000 kes salah guna kedudukan

    Pensyarah USM, adik dipenjara 3 tahun, denda lebih RM800,000 kes salah guna kedudukan

    SEORANG pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dan adiknya masing-masing dipenjara selama tiga tahun dan didenda sebanyak RM807,475 selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan kira-kira 10 tahun lalu.

    Tertuduh iaitu Prof. Badaruddin Mohamed, 56, dan adiknya, Mustafa Kamal Mohamed, 50, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Zulhazmi Abdullah hari ini selepas pihak pembelaan gagal membuktikan wujudnya keraguan munasabah pada akhir pembelaan terhadap kedua-dua

    Mahkamah turut mengarahkan mereka dipenjara antara satu hingga enam bulan mengikut pertuduhan yang dikenakan jika gagal membayar denda berkenaan.

    Bagaimanapun, Zulhazmi membenarkan hukuman itu ditangguhkan dan kedua-dua tertuduh dibenar diikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang.

    Ia susulan peguam tertuduh, Shamsul Sulaiman mengemukakan rayuan untuk pihaknya memfailkan notis rayuan bagi kes itu di Mahkamah Rayuan.

    Mahkamah kemudian turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport selain melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan sehingga kes rayuan mereka selesai.

    Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri.

    Badaruddin sebelum ini mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama pada Oktober 2018 atas sembilan pertuduhan salah guna kuasa dan kedudukan yang dimilikinya.

    Ia bertujuan mendapatkan suapan dengan meluluskan syarikat milik adik kandungnya iaitu MK Urusniaga (M) Sdn. Bhd. bagi membekalkan pelbagai barangan untuk jabatan tempat dia bekerja membabitkan pembelian barangan seperti kamera dan barangan pejabat yang keseluruhannya bernilai RM160,163.

    Badaruddin didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Komunikasi Strategik dan Sustainable Tourism Research Cluster, USM di Georgetown dekat sini antara September 2011 hingga November 2012.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

    Sementara itu, Mustafa Kamal pula didakwa atas pertuduhan bersubahat di tempat dan lokasi sama mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama.

  • Lelaki ugut bunuh isteri fail cerai ditahan

    Lelaki ugut bunuh isteri fail cerai ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki yang mengugut mahu membunuh dan menjadikan isterinya  cacat seumur hidup dalam satu serbuan, semalam.

    Suspek berusia 35 tahun itu ditahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas Ampang pada pukul 9 malam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak,  lelaki yang mempunyai satu rekod lampau dadah itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada wanita terbabit.

    Katanya, sebelum itu, suspek menghubungi mangsa menyatakan ketidakpuashatiannya dengan tindakan wanita tersebut memfailkan cerai.

    “Lelaki itu mengugut mahu membunuh dan menjadikan isterinya cacat seumur hidup. Mangsa yang ketakutan kemudiannya membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. 

    “Jika disabitkan kesalahan suspek boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Najib tahu wang masuk akaun dan gunakannya- Pendakwa

    Najib tahu wang masuk akaun dan gunakannya- Pendakwa

    HAKIKAT tidak dapat disangkal bahawa RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak dan bekas Perdana Menteri itu secara sedar menggunakannya untuk faedah peribadi, walaupun jika transaksi wang dilaksanakan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

    Usaha Najib yang mahu mahkamah mempercayai bahawa beliau tidak mengetahui wang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya yang sudah tentu bukan satu jumlah yang kecil, adalah sia-sia.

    Dalam hujahannya terhadap rayuan terakhir Najib bagi mengenepikan sabitan hukuman kes SRC International, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram, berkata antara Jun 2014 dan Februari 2015, Najib sedar bahawa dia hanya mempunyai RM49 juta melalui dakwaannya bahawa ia adalah derma Arab yang keempat.

    Sithambaram berkata, wang itu pun dihabiskan Najib kecuali kira-kira RM6 juta yang terdiri daripada deposit tunai RM5 juta (bukan derma Arab) sebelum kemasukan RM42 juta.

    Oleh itu, katanya ia menjadikan RM42 juta yang masuk ke dalam akaun bekas Perdana Menteri itu adalah peningkatan sebanyak 100 peratus.

    “Namun, perayu ‘menutup mata’ dan menyatakan bahawa dia tiada pengetahuan mengenai RM42 juta ini dan mendakwa tidak mengetahui dana yang dibelanjakannya. Kami menyatakan malah derma Arab yang dikatakan habis tidak dapat membantu naratif perayu.Fakta bahawa perayu mengeluarkan cek atau memindahkan dana keluar, malah kadang-kadang sebelum dana itu benar-benar masuk ke dalam akaunnya menunjukkan dia mempunyai pengetahuan mengenai dana yang masuk,” katanya lapor Berita Harian.

    Sithambaram juga berkata, khidmat pesanan ringkas (SMS) Blackberry menunjukkan bahawa Najib menggunakan Jho Low untuk mengesahkan baki wang dalam akaunnya, untuk memastikan bahawa dia mempunyai kredit mencukupi bagi perbelanjaan kad kredit dan cek yang sudah atau yang akan dikeluarkan.

    Beliau berkata, SMS diterima Najib membuktikan dia mengetahui baki dalam akaun bank dan baki kad kredit, lantas adalah mustahil tidak mengetahui jumlah kredit dan debit sebanyak RM606,510,436.66 dalam tiga akaun semasa yang dikendalikan selama tiga tahun sebelum menutup semua akaun pada 9 Mac 2015 seperti terzahir dalam semua penyata akaun.

    “Responden berhujah bahawa keterangan ini jelas membuktikan bahawa perayu mempunyai pengetahuan sebenar berhubung status dan transaksi dalam akaunnya.

    “Hakim menimbangkan kaitan di antara SMS Blackberry dan nilai pembuktian dan mendapati ia adalah bukti yang tidak dapat dipertikaikan yang menunjukkan pembabitan Jho Low dalam menguruskan akaun bank perayu seawal tahun 2011.

    “Perbualan Blackberry menimbulkan inferen kukuh bahawa perayu sudah semestinya mengetahui status, transaksi keluar masuk yang tidak terkira banyaknya dalam akaunnya dan baki sebenar untuk membolehkan dia menggunakan dana itu termasuk wang SRC yang masuk ke dalam akaun banknya,” katanya.

  • ‘’Najib cuba tangguh kes supaya dilihat ‘tak bersalah’ dalam PRU’’ – Tun M

    ‘’Najib cuba tangguh kes supaya dilihat ‘tak bersalah’ dalam PRU’’ – Tun M

    TUN  Dr Mahathir Mohamad menyindir Datuk Seri Najib Tun Razak kerana cuba menangguhkan rayuan akhir perbicaraan berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta milik Syarikat SRC International Sdn Bhd.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Pekan itu ialah untuk memastikan beliau masih ‘tidak bersalah’ pada pilihan raya akan datang.

    “Apa dilakukan ialah untuk tangguh semuanya. Jadi pada pilihan raya (Pilihan Raya Umum Ke-15), dia masih ‘tidak bersalah’. Dia dalam rayuan,” katanya lapor Astro AWANI.

    Pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Presiden Gerakan Tanah Air (GTA) di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya, hari ini.

    Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, bagaimanapun pada masa ini semuanya terletak kepada pihak mahkamah.

    Ini kerana, dakwa Dr Mahathir, seluruh dunia tahu bahawa bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah di Amerika Syarikat (AS).

    “Anda boleh lihat selepas empat tahun dia dihadap ke mahkamah, (Najib) masih bebas. Semua dunia tahu dan AS telah mendapati dia bersalah.

    ”Tetapi di Malaysia, dia masih memakai tie (tali leher) dan boleh pergi ke Parlimen dan beritahu kerajaan apa nak buat, macam mana nak buat, macam man nak curi duit. Dia adalah penasihat kepada kerajaan,” kata Dr Mahathir dalam nada sinis.

    Ditanya mengenai kebebasan kehakiman di Malaysia, Dr Mahathir berkata, setiap negara mengamalkan sistem kehakiman yang berbeza.

    Di Perancis misalnya, beliau berkata, seseorang itu didapati bersalah sehingga tertuduh berjaya membuktikan dia tidak bersalah.

    “Sistem British ini, anda tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan apabila anda dibuktikan bersalah pun ada perbezaan. Di negara lain walaupun anda merayu dan dibuktikan bersalah, anda masuk penjara dan boleh tunggu sampai rayuan di mahkamah sehingga kata anda tak bersalah.

    “Tetapi di Malaysia ini apabila kamu merayu saja, seolah-olah berkata dia tak bersalah tetapi dia didapati bersalah dan sepatutnya dia jalani hukuman. Tetapi entah macam mana dunia ketawa melihat banduan bukan main tinggi (diberi) layanan… dia boleh nasihat kepada kerajaan bagaimana nak memerintah,” tegas Dr Mahathir lagi.

    Dalam masa sama, Dr Mahathir berpendapat, konsep pengasingan kuasa di negara ini seolah-olah menampakkan perundangan dan eksekutif (pemerintah) adalah bersama.

    “Umpamanya kalau kita kena bayar cukai pendapatan, satu orang itu dapati perlu bayar (lambat). Tetapi kita dapati ada orang yang perlu bayar dan ditekan agar segera (bayar). Tetapi Najib tak payah bayar…,” katanya lagi.

  • Alumni FSR UiTM beri imbuhan tambahan kepada Aniq Kasdan, Nurul Ain

    Alumni FSR UiTM beri imbuhan tambahan kepada Aniq Kasdan, Nurul Ain

    PEMENANG pingat emas acara angkat berat Sukan Komanwel Birmingham, Aniq Kasdan dan pemenang perak acara Lawn Bowls, Nurul Ain Nabilah menerima imbuhan tambahan atas kejayaan mereka pada temasya itu.

    Terbaharu, kedua-dua atlet itu menerima imbuhan kewangan berjumlah RM5,000 daripada alumni Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali sebagai Qobin

    Qobin berkata, sebagai alumni FSR UiTM, beliau percaya adalah wajar untuk merasa bangga dan berbesar hati di atas kejayaan kedua-dua atlet berkenaan yang juga pelajar FSR.

    “Jadi dengan rezeki yang ada, saya terpanggil untuk menyumbangkan imbuhan kewangan (RM 3,000 untuk Aniq) dan (RM 2,000 untuk Nurul Ain).

    “Ia bagi menyuntik semangat mereka untuk terus belajar dan pada masa yang sama kekal fokus dalam latihan agar mereka dapat mencapai kejayaan yang lebih gemilang di sukan Olimpik dan lainnya nanti,” kata Qobin dalam satu kenyataan.

    Majlis itu dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof. Emeritus Tan Sri Ibrahim Abu Shah yang juga juga mentor kepada Qobin sewaktu beliau bergelar mahasiswa.

    Menurut Qobin, sebagai atlet sukan rekreasi dan ahli perniagaan, beliau selagi mampu akan membantu atlet sukan yang berpotensi untuk membawa nama Malaysia dan memperoleh pingat.

    Katanya, beliau akan turun padang memberikan sokongan dan semangat buat mereka.

    “Saya harap agar lebih ramai individu dan tokoh korporat lainnya termasuklah alumni UITM yang berjaya, dapat mendukung atlet sukan UITM yang mewakili Malaysia di persada antarabangsa,” tambah beliau.

    Qobin merupakan mahasiswa Malaysia pertama bersama Ahmad Reduan Rozali yang sampai ke puncak Everest pada tahun 2004 selain meneruskan kejayaan berbasikal dan bermotosikal merentasi 22 negara.

    Beliau juga menjadi Penjelajah Grand Slam (Last Degree) pertama Malaysia iaitu menamatkan pendakian di 7 puncak tertinggi di 7 benua antara 2010-2014 dan berski (last degree) dari titik 89 ke titik 90 darjah di Kutub Utara dan Kutub Selatan pada 2017-2018.

    Qobin juga berjaya membawa 7 pendaki termasuk 5 anak Felda ke puncak Everest pada 2013 dan berjaya menghantar 7 perenang ke Selat Inggeris (2012) selain pernah berjaya membawa 8 penjelajah merentasi pulau Greenland dan beberapa kejayaan lain di dalam dan luar negara.

  • Bas terbalik, 23 maut 36 cedera

    Bas terbalik, 23 maut 36 cedera

    SEKURANG-kurangnya 23 orang maut, manakala 36 lagi cedera dalam nahas sebuah bas di wilayah tengah Maghribi, semalam.

    Menurut pihak berkuasa kepada AFP, bas itu terbalik semasa melalui selekoh berhampiran bandar Khouribga di tengah Maghribi.

    Bas itu dalam perjalanan dari Casablanca ke wilayah Azilal.

    Laporan awal mengatakan 15 penumpang maut namun Pengarah kesihatan kemudiannya menyemak semula angka kematian kepada 23 orang manakaka 36 lagi cedera.

    Mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital di wilayah Khouribga untuk menerima rawatan.

    Siasatan berhubung punca kejadian sedang dijalankan.

    Ia merupakan nahas bas terburuk di negara itu dalam beberapa tahun.

  • Menyamar Raja Muda Perak di Pejabat Sultan Kedah

    Menyamar Raja Muda Perak di Pejabat Sultan Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG individu ditangkap polis selepas dia menyamar sebagai Raja Muda Perak ketika berurusan di Pejabat Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar di sini pada hujung Jun lalu.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek ditangkap semalam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, kira-kira pukul 5.30 petang.

    Katanya, kejadian terbabit berlaku pada pukul 11.30 pagi, 28 Jun lalu, semasa suspek hadir dengan dua lagi wanita sambil memperkenalkan diri menggunakan sekeping kad berwarna kuning.

    “Pengadu telah ambil kad tersebut untuk membuat pemeriksaan dan mendapati butiran yang tertera adalah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Perak Tuanku Tun Mamat Fadhil Duke Of Royal Malaysia British Bin Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Sheikh Tengku Lope Salleh Of Royal Irish Fusiller Princess Victoria.

    “Pengadu telah membuat semakan dengan Bahagian Protokol dan Istiadat Negeri Perak dan telah disahkan bahawa tiada kerabat Diraja Perak Darul Ridzuan dengan nama, gelaran dan nombor kad pengenalan sedemikian,” katanya.

    Ahmad Shukri berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari mulai hari ini hingga 21 Ogos bagi membantu siasatan termasuk mengetahui motif kejadian.