Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘’Tak perlu lantik TPM, saya sudah ada empat menteri kanan’’

    ‘’Tak perlu lantik TPM, saya sudah ada empat menteri kanan’’

    WALAUPUN Perikatan Nasional (PN) mendakwa ada perjanjian antara gabungan itu dan Perdana Menteri berhubung pelantikan bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri, namun Ismail Sabri menegaskan, beliau tidak ada keperluan berbuat demikian kerana sudah pun disokong oleh empat menteri kanan dalam Jemaah Menteri.

    “Saya dah ada empat menteri kanan yang membantu saya. Maknanya, seolah-olah ada empat timbalan perdana menteri. Seolah-olah saja walaupun tidak. Benda (kemudahan) yang diperolehi hampir sama – ada ‘rider’ (pengiring berkenderaan), ada ‘bodyguard (pengawal peribadi), macam-macam lah. Lebih kurang TPM.

    “Jadi setakat ini, tidak menyusahkan (atau) membebankan saya lah tanpa TPM sebab keempat-empat menteri kanan saya sudah pun mewakili parti yang dah ada,” kata Ismail yang juga naib presiden UMNO, kepada FMT dan wakil beberapa media lain dalam temubual sempena setahun Keluarga Malaysia.

    Empat menteri kanan dalam Jemaah Menteri Ismail Sabri adalah DatuK Sewri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Radzi Jidin dari Bersatu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (UMNO) dan Datuk Seri Fadilah Yusof (Gabungan Parti Sarawak).

    Ismail Sabri menegaskan,  secara umum, komposisi Jemaah Menteri yang ada sekarang diterima baik “semua orang” dan tidak mahu perkara itu dijadikan “isu besar yang boleh merosakkan hubungan antara kita.”

    “Yang cakap banyak tu orang di luar. Yang dalam Jemaah Menteri tak pernah timbul isu pun,” kata Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera.

    Kalangan pemimpin Bersatu sebelum ini menyelar Ismail Sabri kerana dikatakan tidak mematuhi perjanjian yang diikat dengan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perlantikan TPM dan beberapa perkara lain.

    Perjanjian itu dikatakan dimeterai sebelum Ismail dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos 2021.

    Khamis lalu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata beliau telah menulis surat memohon tarikh baharu untuk mengadakan pertemuan rasmi dengan Ismail.

    Hamzah turut mengesahkan pertemuan beberapa pemimpin PN dengan Ismail sebelum ini secara tidak rasmi dan lebih kepada sembang santai.

  • Hubungan saya dengan Zahid amat rapat, biar mahkamah tentukan kes – PM

    Hubungan saya dengan Zahid amat rapat, biar mahkamah tentukan kes – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri  Ismail Sabri Yaakob menyifatkan hubungannya dengan  Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai amat rapat, namun, tegas menolak sebarang persepsi yang cuba mengaitkan beliau kepada perjalanan perbicaraan rasuah Presiden UMNO itu.

    “Presiden saya dengan saya tiada isu. Saya tiada isu. Saya kenal presiden dah lama, waktu saya sekolah lagi. Presiden macam abang saya dan kawan baik. Kalau saya ponteng sekolah pun tumpang tidur bilik dia. Saya kenal keluarga dia. Isu peribadi tidak timbul. Orang luar sahaja yang bercakap soal pecah dalam UMNO ini.

    “Jadi kalau orang nak kata saya ‘drag’ (heret) kes dia, sampai dia kena, tak kena; itu kita tak tahu. Itu (hak) mahkamah pun. (Hanya) Mahkamah boleh buat keputusan,” kata Ismail Sabri laporn FMT.

    Ismail ditanya soalan itu ketika wawancara khas bersama pelbagai media sempena genap setahun beliau menjadi Perdana Menteri mengenai spekulasi bahawa beliau mengambil kira “pergolakan dalam parti” dan isu beliau dengan Zahid dalam perkiraan pilihan raya, kononnya kes-kes mahkamah akan “diheret” untuk peluang beliau sendiri.

    Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akal Budi.

    Beliau juga berdepan 33 tuduhan kes rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan tujuh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, berkaitan Sistem Visa Luar Negara.

    Beliau mengaku tidak bersalah.

    Hubungan Zahid dan Ismail menjadi tumpuan dan sering mencetuskan pelbagai spekulasi kerana ini kali pertama dalam sejarah Umno, seorang naib presiden UMNO menjadi perdana menteri, bukannya presiden parti.

    Dua pemimpin itu turut menjadi fokus ketika Umno mempersiapkan diri untuk menghadapi PRU15 dan kemudiannya pemilihan parti yang terbuka kepada segala kemungkinan mengenai persaingan yang boleh berlaku di peringkat tertinggi parti.

    Pada wawancara itu, Ismail berpegang kepada pendirian UMNO-Barisan Nasional untuk bertanding secara bersendirian pada PRU15.

    “Parti sudah buat keputusan. Kita akan ‘go solo’. Maknanya, kita akan pergi sendiri. Kita akan bersama dalam kerajaan seperti ini sehingga pilihan raya. Setakat hari ini lah. Tapi ‘direction’ parti saya tak boleh nak cakap lebih. Sebab saya nombor tiga (dalam parti sebagai naib presiden), saya ada bos. Soalan itu perlu (diajukan) kepada Presiden parti saya.”

    Kerajaan pimpinan Ismail dibentuk Ogos tahun lalu dengan sokongan Barisan Nasional, Perikatan Nasional, dan beberapa parti dari Sabah dan Sarawak serta Ahli Parlimen bebas.

    UMNO secara rasmi menolak kerjasama dengan Bersatu yang menjadi tonggak PN bawah pimpinan Muhyiddin Yassin. Hubungan Umno dengan PAS, yang juga parti komponen PN, juga disifatkan renggang ketika ini.

  • Anggota pasukan kecemasan beri bantuan dirempuh kenderaan lain, 32 orang maut

    Anggota pasukan kecemasan beri bantuan dirempuh kenderaan lain, 32 orang maut

    SEKURANG-kurangnya 32 orang maut di tenggara Turki semalam dalam dua kejadian berasingan apabila pasukan kecemasan yang memberi bantuan kepada mangsa kemalangan di lebuh raya dirempuh kenderaan lain yang tidak dapat mengelak.

    Dalam kejadian pertama di wilayah Gaziantep, tenggara negara itu, 16 orang termasuk petugas kecemasan dan wartawan maut apabila sebuah bas merempuh lokasi kemalangan sebelum itu.

    Gabenor Davut Gul berkata, 20 orang cedera dalam kejadian itu dan diberikan rawatan.

    “Kira-kira pukul 10.45 pagi, sebuah bas terbabit kemalangan di sini,” kata Gul dari lokasi kejadian.

    Ketika anggota bomba, pasukan perubatan dan agensi lain sedang memberi bantuan kepada mangsa, sebuah lagi bas terbabit nahas 200 meter dari belakang.

    Namun bas itu tergelincir ke lokasi pertama kemalangan merempuh anggota kecemasan dan mangsa yang cedera di atas jalan raya.

    Sementara itu, dalam satu lagi kejadian di timur daerah Derik di Mardin, sebuah trak merempuh pasukan kecemasan yang memberi bantuan kepada mangsa kemalangan sebelum itu.

    Akibat kemalangan itu, Menteri Kesihatan Turki, Fahrettin Koca berkata, seramai 16 orang terbunuh manakala 29 lagi cedera dengan lapan daripadanya kritikal.

  • Hotel diserang pengganas, 20 orang maut, 40 lagi cedera

    Hotel diserang pengganas, 20 orang maut, 40 lagi cedera

    SEKURANG-kurangnya 20 orang maut manakala 40 lagi cedera berikutan serangan kumpulan pengganas al-Shabab ke atas sebuah hotel terkenal di ibu negara Somalia, Mogadishu.

    Menurut pihak berkuasa, pengganas menyerbu hotel berkenaan kelmarin dan mencetuskan kejadian berbalas tembak dengan pasukan keselamatan.

    Buat masa ini, kepungan pengganas ke atas Hotel Hayat masih berlangsung.

    Menurut jurucakap polis, dua bom kereta menyasarkan hotel berkenaan dalam kejadian pada Jumaat, insiden yang memerangkap ramai orang awam.

    Abdikadir Abdirahman, pengarah dan pengasas perkhidmatan ambulans Aamin di Mogadishu berkata, mereka sudah menghantar sembilan mangsa cedera dari hotel itu ke hospital.

    “Pasukan keselamatan masih berusaha menumpaskan pengganas yang bersembunyi di bilik hotel. Kebanyakan mangsa berjaya diselamatkan dengan sekurang-kurangnya lapan orang awam maut setakat ini ” katanya.

    Sementara itu, kawasan sekitar hotel empat tingkat itu dipenuhi orang awam yang ingin mengetahui nasib orang kesayangan mereka.

    Al-Shabaab melancarkan serangan untuk menjatuhkan kerajaan Somalia lebih 10 tahun. Ia mahu menubuhkan kerajaan sendiri berdasarkan tafsiran ketat undang-undang Islam.

    Hotel Hayat ialah tempat yang popular dengan penggubal undang-undang dan pegawai kerajaan.

    Ini adalah serangan besar pertama sejak Presiden Hassan Sheikh Mohamud berkuasa pada Mei lalu.

    Al-Shabaab pernah melancarkan serangan seumpama ini. Pada Ogos 2020, kumpulan itu mengaku menyerang sebuah hotel di Mogadishu yang meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa.

  • Zahid mahu segera, Ismail Sabri kata bubar Parlimen tergesa-gesa ibarat bunuh diri

    Zahid mahu segera, Ismail Sabri kata bubar Parlimen tergesa-gesa ibarat bunuh diri

    BEBERAPA Jam selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera bagi menggelakkan Barisan Nasional (BN) tewas, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menegaskan, pembubaran Parlimen tergesa-gesa ibarat ‘perbuatan bunuh diri’.

    Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pelbagai aspek perlu diambil kira termasuk persediaan rapi dan dapatan kajian sama ada BN boleh menang atau kalah dalam pilihan raya berkenaan.

    Sehubungan itu Perdana Menteri berkata, tiada guna beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sedangkan BN belum tentu boleh menang.

    Beliau menegaskan, pembubaran Parlimen akan dibuat jika terdapat bukti kukuh BN boleh menang dan kekal berkuasa selepas PRU15 nanti.

    “Tarikh PRU15 bukan boleh diumumkan begitu sahaja, banyak perkara perlu diambil kira termasuk, pertama hasil kajian sikap dilakukan oleh Wanita UMNO.

    “Jika kita adakan PRU15 tanpa mengambil kira sama ada BN boleh menang tiada gunanya. Bagi saya jika nak adakan PRU15 kita wajib menang jangan jadi macam PRU14 kita kata menang tapi akhirnya kalah teruk. Kalau nak sedap kita kena jadi Perdana Menteri, kalau saya jadi Ketua Pembangkang semula tidak sedap,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap  pada perasmian berkelompok Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Bahagian Bera 2022, di Bera, hari ini.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera turut menegaskan, PRU15 bukan boleh diadakan begitu sahaja kerana tanpa persiapan rapi, BN akan kalah teruk dan menjadi pembangkang semula.

    “Kalau kita silap masuk dan tiada bukti boleh menang PRU15 dan akhirnya kita menjadi pembangkang adalah satu kerugian kepada BN. Sebab itulah saya katakan saya hanya akan bubarkan Parlimen jika ada bukti kukuh BN boleh menang PRU15.

    “Saya pernah cakap semasa Konvensyen BN baru-baru ini bahawa saya sedia membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15 jika kajian sikap dilakukan Wanita UMNO, MIC dan MCA menunjukkan kita akan menang PRU15 nanti. Tiada guna kita masuk PRU15 jika kita tidak boleh menang,” ujarnya.

    Ismail Sabri berkata, BN juga perlu mengambil kira impak pelbagai isu yang timbul ketika ini termasuk soal kelewatan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang hangat diperkatakan.

    “Adakah isu ini boleh menyebabkan kemerosotan undi dan BN kalah dalam PRU15 ini? Jadi kita kena tengok kajian sikap adakah orang kampung peduli atau tidak kapal LCS berkenaan belum siap.

    “Kalau kajian menunjukkan kesan isu kelewatan pembinaan kapal LCS adalah sama seperti kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dulu, maka kemungkinan kita terpaksa tangguh niat nak adakah PRU15 dalam masa terdekat,” katanya.

    Susulan itu, Ismail Sabri mengarahkan UMNO Bahagian Bera supaya mula membuka bilik gerakan pilihan raya mulai 1 September ini.

  • Remaja 17 tahun tunggang motosikal curi tanpa lesen dari Perak ke Pulau Pinang

    Remaja 17 tahun tunggang motosikal curi tanpa lesen dari Perak ke Pulau Pinang

    TINDAKAN berani seorang remaja berusia 17 tahun menunggang motosikal curi dari Batu Gajah, Perak pulang ke rumahnya di Balik Pulau, Pulau Pinang semalam memakan diri selepas dia ditahan polis semalam.

    Malah, ketika ditahan di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, remaja berkenaan yang tidak mempunyai lesen turut membonceng seorang lagi remaja lelaki berusia 13 tahun manakala seorang lagi rakan mereka berusia 16 tahun menunggang sebuah motosikal lain.

    Kedua-dua buah motosikal itu ditahan polis selepas ditunggang dalam keadaan mencurigakan selain tidak mengikut lorong motosikal di jambatan kedua Pulau Pinang terbabit.

    Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, siasatan lanjut mendapati motosikal yang ditunggang remaja berusia 17 tahun itu merupakan motosikal curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

    “Semakan mendapati motosikal itu dilaporkan hilang di Teluk Kumbar bulan lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya hari ini.

    Menurut Fisol, dua remaja iaitu berusia 13 dan 17 tahun didapati masih bersekolah manakala remaja berusia 16 tahun tidak bersekolah.

    Bagaimanapun tambahnya, remaja berusia 16 tahun memiliki lesen dan motosikal yang digunakan didaftarkan atas namanya sendiri.

    “Polis mengeluarkan empat saman ke atas remaja terbabit tersebut kerana beberapa kesalahan termasuk mengubah suai motosikal yang tidak mengikut spesifikasi dibenarkan,” katanya.

    Tambahnya, ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah dan polis turut menyita kedua-dua motosikal untuk siasatan lanjut.

    Ujar beliau, remaja berusia 17 tahun ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan manakala dua lagi remaja dibebaskan dengan jaminan polis.

  • Lesap RM13,000 sekelip mata, doktor kecewa tahap keselamatan bank terkenal

    Lesap RM13,000 sekelip mata, doktor kecewa tahap keselamatan bank terkenal

    SEORANG pakar perunding perubatan dan nefrologi, Dr Rafidah Abdullah mendakwa sebuah bank terkenal tidak mempunyai tahap keselamatan sewajarnya setelah wang simpanannya sebanyak RM13,000 lesap dalam tempoh 30 minit sahaja.

    Berikutan itu katanya, dia amat kecewa dengan perkhidmatan bank berkenaan dan mahu menutup akaunnya setelah 30 tahun menggunakannya.

    “Takkan lah 3 transaksi melalui bank berjumlah RM13 ribu pada pukul 2-2:30 pagi tidak ada trigger langsung? Langsung tidak ada minta TAC. Lesap dalam sekelip mata.

    “Ini mengarut. Nampaknya duit sudah tidak lagi selamat dengan bank itu,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

    Mengulas lanjut kata Dr Rafidah, beliau sudah membuat laporan dengan bank, polis dan pihak berkaitan lain.

    Namun jelasnya, maklum balas diterima adalah kalau scammer sudah keluarkan duit, duit itu tidak akan dapat dipulangkan. 

    “Tidak apa. Saya redha.Yang pastinya saya langsung hilang kepercayaan dengan bank berkenaan. Saya akan tutup akaun saya di dalam masa terdekat ini. 

    “Hati-hati, mungkin berlaku kepada anda!,” tambahnya.

  • Tiga orang rentung dalam kebakaran rumah di Sandakan

    Tiga orang rentung dalam kebakaran rumah di Sandakan

    Tiga ditemukan rentung dalam tragedi kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Taman Rajawali, Lorong 11, di sini semalam.

    Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, ketiga-tiga mangsa ditemukan di tingkat bawah, dipercayai gagal keluar selepas rumah mereka terbakar.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.35 malam.

    “Katanya, seramai 18 anggota dan pegawai bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran.

    “Pasukan bomba mendapati sebuah rumah dua tingkat jenis kekal telah terbakar dan operasi memadam segera dilakukan,” katanya dalam kenyataan media, lapor UtusanBorneo.

    Menurutnya, pasukan bomba menggunakan tiga pancutan dari sumber air jentera dan pili bomba berhampiran.

    “Sebaik pemeriksaan dilakukan, pasukan bomba menemukan tiga mangsa, seorang lelaki dan dua wanita rentung di bahagian tingkat bawah rumah tersebut.

    “Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis, sebelum dibawa ke Hospital untuk proses bedah siasat,” katanya.

    Jimmy berkata, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kejadian selamat sebelum menamatkan operasi pada jam 1.21 pagi.

    “Pasukan bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.

  • UMNO menang besar jika PRU diadakan tahun ini – Tun Mahathir

    UMNO menang besar jika PRU diadakan tahun ini – Tun Mahathir

    TUN Dr.Mahathir Mohamad berkata, jika PRU-15 diadakan secara tergesa-gesa pada tahun ini,UMNO akan  menang besar.

    Bekas Perdana Menteri berkata, pendirian UMNO yang mahukan PRU-15  diadakan lebih awal kerana yakin rakyat masih memandang tinggi terhadap parti itu.

    Dalam wawancara bersama The Associated Press yang disiarkan Astro Awani, Ahli Parlimen Langkawi itu, berkata pada masa ini pembangkang sudah berpecah-belah, sekali gus memberi ruang kepada UMNO untuk menang besar.

    “Saya fikir mereka (UMNO) mahu mengadakan PRU tahun ini. Kalau boleh mungkin seawal dua tiga bulan dari sekarang kerana mereka merasakan ketika ini rakyat masih memandang tinggi terhadap mereka. Malah, pembangkang pula sudah berpecah belah,” katanya.

    Sehubungan itu kata beliau, UMNO berkemungkinan akan menang besar jika PRU15 diadakan secara tergesa-gesa.

    “Jadi dari sudut kerajaan, pilihan raya awal adalah satu perkara yang baik kerana kerajaan sudah bersedia dan pembangkang pula tidak bersedia,” katanya.

    Beberapa pemimpin kanan mendesak Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon membubarkan Parlimen secepat mungkin bagi memberi laluan kepada PRU.

    Mereka memberi alasan mandat perlu diserahkan kembali kepada rakyat dalam usaha mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil.

    Bagaimanapun terdapa juga dalam kalangan pemimpin UMNO yang tidak bersetuju PRU diadakan lebih awal.

    Sebaliknya mereka berkata adalah lebih wajar Ismail Sabri yang genap setahun menjadi Perdana Menteri meneruskan tugas untuk bersama kerajaan sedia ada sehingga penggal berakhir.

    Mereka melihat desakan supaya PRU diadakan lebih awal boleh membangkitkan kemarahan yang sedang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup.

  • Jangan perasan kuat – kata Nazri kepada MIC

    Jangan perasan kuat – kata Nazri kepada MIC

    AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menempelak sikap parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC yang mahu kerusi selamat untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

    Mohamed Nazri menegaskan, isu pengagihan kerusi sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat bukan membuat kenyataan terbuka seolah-olah mengugut UMNO.

    Bercakap kepada Astro Awani Mohamed Nazri juga menggesa Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran menilai prestasi parti itu sebelum membuat tuntutan yang tidak masuk akal.

     “MIC kena sedar diri bahawa pengundi India lebih percaya kepada pemimpin kaum itu dalam DAP dan PKR berbanding parti mereka. Menuntut kerusi-kerusi yang selamat ini seolah-olah mahu mengugut UMNO, macam MIC sudah terlalu kuat untuk masuk pilihan raya.

    ”Kena ukur baju di badan sendiri, jangan perasan kuat tetapi hakikatnya masih tidak diterima oleh kaum sendiri. Jangan cuma mahu kerusi selamat tetapi tidak buat kerja dan harapkan jentera UMNO semata-mata untuk menang,” katanya.

    Baru-baru ini, Vigneswaran memberitahu, MIC bercadang untuk bertanding di 12 kerusi Parlimen pada PRU15 dan perkara itu telah diserahkan kepada kepimpinan tertinggi BN untuk dipertimbangankan.

    Beliau berkata, cadangan berkenaan melibatkan bukan hanya kerusi tradisi MIC tetapi juga kawasan yang mempunyai peratusan tinggi untuk parti itu menang.

    Mengulas lanjut, Mohamed Nazri menegaskan, MIC sudah terkubur tanpa sokongan UMNO dan pengundi Melayu di Tapah.

    Tegas beliau, disebabkan masyarakat India sudah tidak mempercayai MIC, maka kerusi yang sebelum ini milik BN kini sudah berpindah ke tangan Pakatan Harapan (PH).

    “Sepatutnya mereka (MIC) kena sedar bahawa pengemis tidak boleh memilih. Ini bukan masa untuk meminta ihsan dari mana-mana pihak tetapi kena tahu kekuatan sendiri.

    “Saya desak pemimpin BN dan UMNO tidak melayan permintaan dari MIC ini”, katanya lagi.