Author: Wartawan WartaRakyat

  • Hantaran jelik terhadap PM:Lokman Nor Adam berdepan 2 pertuduhan

    Hantaran jelik terhadap PM:Lokman Nor Adam berdepan 2 pertuduhan

    BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua tuduhan membuat hantaran jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri smail Sabri Yaakob.

    Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam satu kenyataan memberitahu, pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Jenayah (Siber) Kuala Lumpur.

    “Pertuduhan itu membabitkan dua kes yang kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Dua kes itu membabitkan penghantaran video berniat jahat dan kenyataan menghina kerajaan dan Perdana Menteri melalui akaun Facebook Lokman Noor Adam Official,” kata kenyataan itu, lapor Berita Harian.

    Lokman sebelum ini dilaporkan melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan kerajaan sekarang dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan 12 tahun susulan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atasnya berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd.

  • PKR Johor mahu tanding 14 kerusi pada PRU-15

    PKR Johor mahu tanding 14 kerusi pada PRU-15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Keadilan Rakyat ( PKR) Johor akan bertanding 14 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Namun Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, Rafizi Ramli tidak menolak lebih banyak kerusi disasarkan kerana negeri itu merupakan tumpuan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15.

    Katanya, ini kerana jumlah kerusi Parlimen yang ditandingi tentu akan bertambah.

    “Cuma saya tidak boleh umumkan di mana PKR hendak bertanding di Johor. Ini kerana agihan kerusi masih belum diputuskan.

    “Ini akan dibincang terlebih dahulu dalam kalangan parti komponen PH. Rundingan kerusi di peringkat Pusat akan bermula pada Khamis.

    “Rundingan kerusi di peringkat PH Pusat melibatkan kerusi ditinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka selesai akhir September,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri ( MPN) Johor di Ibu Pejabat PKR Johor di Johor Bahru malam tadi.

    Pada PRU-14, parti itu bertanding pada lapan kerusi parlimen dan menang enam daripadanya iaitu Tebrau, Pasir Gudang, Johor Bahru, Sekijang, Segamat, Batu Pahat dan Ledang.

    Rafizi berkata, kerusi yang ditandingi parti komponen PH iaitu PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP pada PRU-14 akan kekal.

    Jelasnya, rundingan cuma libatkan kerusi yang dahulunya ditandingi Bersatu.

    “Proses rundingan kali ini jauh lebih mudah berbanding sewaktu PRU-14. Disebabkan itu, saya yakin rundingan kerusi akan selesai dalam tempoh sebulan. Menjelang akhir September, PH akan selesai agihan kerusi seluruh negara,” katanya.

    Tambah Rafizi, rundingan kerusi turut mengambil kira soal kebolehmenangan setiap parti komponen PH di sesuatu kawasan.

    “Contoh rekod menunjukkan PKR menang di Parlimen Batu Pahat. Ini membuktikan PKR sudah bertapak di situ sejak 2013 dan 2018 manakala di Parlimen Segamat dan Tebrau pula PKR merupakan parti pertama bukan daripada BN yang menang di kerusi itu.

    “Soal calon ‘melompat’ itu soal lain daripada faktor kemenangan. Sebab itu rundingan berdasarkan kekuatan dan potensi parti untuk menang bukannya individu,” katanya.

    Seramai tiga Ahli Parlimen PKR di Johor beralih arah menyertai Bersatu dan menyokong Perikatan Nasional (PN) iaitu Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr R. Santhara Kumar (Segamat) dan Steven Choong (Tebrau).

    Pada November tahun lalu, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik menyertai PKR.

  • Suami isteri maut, kereta terbabas

    Suami isteri maut, kereta terbabas

    SEPASANG suami isteri meninggal dunia selepas kereta dinaiki terbabas ke bahu jalan di Kilometer (km) 292.4 Lebuhraya Utara-Selatan (LRUS) hala utara di Kampar, tengah malam tadi.

    Pihak polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan kejadian kemalangan pada pukul 12.34 tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pemandu, Tsia Kwai Weng, 61, yang parah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk rawatan lanjut.

    “Namun dimaklumkan meninggal dunia ketika menerima rawatan Unit Kecemasan hospital berkenaan, 5.40 pagi tadi.

    “Sementara penumpang Hooi Lai Kwean, 53, maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihak Balai Bomba Penyelamat (BBP) Gopeng menerima panggilan pada pukul 12.02 tengah malam.

    “Anggota mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas seterusnya menyerahkan mangsa yang cedera kepada pihak ambulans, manakala mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya, dengan operasi tamat pada 1.29 pagi.

  • Pemuda gesa Pas muktamad segera siapa kawan, siapa lawan

    Pemuda gesa Pas muktamad segera siapa kawan, siapa lawan

    Oleh BADLISHAH MAT

    PEMUDA Pas menggesa kepimpinan parti itu untuk segera memuktamadkan siapa kawan dan siapa yang harus mereka berlawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

    Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, mereka mahukan satu panduan yang jelas dan segera diturunkan kepada jentera, bersama pengarahan taktikal berstrategi untuk menghadapi pilihan raya itu.

    “Dengan pilihan raya sudah sangat hampir, Pas sudah tentu perlu memuktamadkan soal pembahagian kerusi dan penentuan calon.

    “Biar jelas siapa yang boleh dihadap, siapa yang boleh dibuat kawan. Jangan nanti tabuh berbunyi, baru keris mahu diasap, baru tanjak mahu dicari.

    “Gelanggang telah lama ditari oleh musuh, rentak dan gendang sudah lama beraksi, anak muda kita sedang menunggu arahan pimpinan, sebarang isyarat dan arahan akan kami junjung atas batu jemala kami,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-63 di Alor Setar, hari ini.

    Pas sehingga kini masih bersifat terbuka untuk menjalin kerjasama politik termasuk dengan UMNO agar dapat mengekalkan Muafakat Nasional (MN) yang ditubuh beberapa tahun lalu.

    Namun, parti itu baru-baru ini menegaskan untuk menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15.

  • Pas tidak lupa RUU355

    Pas tidak lupa RUU355

    Oleh BADLISHAH MAT

    PAS menegaskan mereka tidak pernah lupa terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 setelah bergelar kerajaan.

    Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pas kini sedang mempergiat usaha menyediakan draf RUU berkenaan bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.

    “Pelbagai sudut telah dilihat khususnya aspek perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak agar RUU355 tersebut lebih komprehensif, seterusnya dapat memperkasa bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.

    “Kita juga di dalam usaha untuk memperkasa dan memartabatkan kedudukan mahkamah syariah setanding dengan mahkamah sivil,” katanya ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-63 di Alor Setar, hari ini

    Ahmad Fadhli berkata, aspek pemerkasaan mahkamah syariah meliputi pelbagai perkara penting seperti meningkatkan tahap kompetensi hakim syarie, pendakwa syarie dan pegawai penguat kuasa agama.

    Selain itu, penambahbaikan aspek tadbir urus dan prasarana mahkamah syariah, penggubalan dan pindaan undang-undang syariah sedia ada dan penyeragaman dan penyelarasan undang-undang syariah antara diberi perhatian.

    “Malah, langkah yang telah diambil untuk memperkasa dan menaik taraf mahkamah syariah supaya sesuai dengan perkembangan semasa adalah dengan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji dan menggubal RUU Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2022.

    “Pas bukan sekadar beretorik tentang Islam. Apabila diamanahkan dengan kepimpinan, keindahan dan kesyumulan Islam akan diterjemahkan dalam pemerintahan dan urusan negara.

    “Inilah komitmen dan usaha yang ditunjukkan oleh Pas. Alhamdulillah kesannya, rakyat semakin yakin dengan kemampuan Pas di dalam tadbir urus serta kepimpinan berkualiti yang ditonjolkan oleh kepimpinan dan ahlinya,” katanya.

    Tambah beliau, kewibawaan dan kemampuan urus tadbir yang cemerlang serta integriti tinggi ditunjukkan di negeri-negeri yang ditadbir serta di kementerian-kementerian yang diamanahkan memberikan suatu ‘vibe’ yang sangat positif kepada rakyat Malaysia.

    Katanya, Pas telah membuktikan walau hanya separuh penggal di dalam kerajaan, pencapaian urus tadbir yang ditunjukkan adalah ‘commendable’ dan membanggakan yang menandakan parti itu mampu memimpin.

  • PRU-15:Rafizi nafi mahu bertanding di Johor

    PRU-15:Rafizi nafi mahu bertanding di Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat ( PKR), Rafizi Ramli menolak dakwaan akan bertanding kerusi Parlimen di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Beliau menafikan pelantikan dirinya sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor baru-baru ini adalah bagi memudahkannya bertanding nanti.

    Tegas bekas Ahli Parlimen Pandan itu, pelantikannya bukan bertujuan mencari kerusi Parlimen yang akan ditandingi di negeri ini sebaliknya perlu memantapkan gerak kerja PKR neger.

    “Ini kerana Johor adalah negeri tumpuan pada PRU15. Saya tidak akan bertanding di Johor, itu muktamad. Keputusan pimpinan Pusat memilih saya sebagai Pengerusi MPN Johor bukan bermaksud untuk saya bertanding di sini.

    “Cuma dalam kalangan pimpinan Pusat yang lain, saya mempunyai rekod lebih lama bekerjasama dengan pimpinan dan cabang di negeri ini. Maka kelebihan itu dilihat mampu memudahkan penyelarasan kempen PRU15 dari peringkat pusat ke Johor,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri ( MPN) Johor di Ibu Pejabat PKR negeri di Johor Bahru, malam tadi.

    Hadir sama, Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

    Sebelum ini timbul spekulasi bekas Rafizi akan bertanding di Johor selepas dilantik sebagai Pengerusi MPN bagi Wilayah Persekutuan dan Johor pada 4 Ogos lalu.

    Sementara itu, Rafizi berkata kemelut politik yang melanda Wanita PKR Johor susulan lantikan Ketua Wanita negeri yang baharu, akan dibawa ke pucuk pimpinan untuk dibincangkan bersama Ketua Wanita PKR Pusat.

    “Isu ini antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat malam ini (malam tadi). Bagi saya, isu ini melibatkan pandangan yang berbeza-beza dalam Wanita PKR Johor, namun ia bukan masalah yg besar.

    “Saya yakin sehari dua lagi kemelut ini akan dapat diharmonikan. Cuma nasihat saya, kalau pun kepimpinan itu, mungkin tidak puaskan hati semua dalam keadaan PRU-15 semakin dekat, keutamaan perlu diberikan untuk stabilkan parti dan beri ruang kepada semua untuk jalankan tugas masing-masing.

    “Disebabkan itu, saya akan kembali ke Johor dalam tempoh dua minggu lagi, untuk bermesyuarat bersama kepimpinan negeri, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita. Saya harap semua pihak bersedia dan tumpu kepada persiapan berdepan PRU-15 pada mesyuarat itu nanti,” katanya.

    Semalam, sebanyak 10 daripada 14 sayap wanita PKR di negeri ini dilaporkan mempersoalkan pelantikan Ketua Wanita PKR Johor Bahru, Zuraidah Zainab sebagai Ketua Wanita PKR Johor yang baharu.

    Ketua Wanita PKR Cabang Pasir Gudang, Norfazilah Mohamad Nor berkata, ini kerana majoriti sayap wanita di negeri ini memilih Ketua Wanita PKR Cabang Kluang, Haryati Abu Nasir sebagai ketua sayap negeri yang baharu.

  • Keputusan kes Rosmah diputuskan hari ini

    Keputusan kes Rosmah diputuskan hari ini

    KEPUTUSAN akhir kes pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, akan diketahui hari ini.

    Isteri bekas Perdana Menteri itu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini bagi mendengar keputusan perbicaraan kes rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Rosmah yang berpakaian baju kurung dan selendang warna kuning tiba pada pukul 8.55 pagi menaiki kereta berwarna hitam, lapor Sinar Harian.

    Beliau kelihatan tenang ketika diiringi masuk ke lobi mahkamah akan mengetahui sama ada beliau akan dibebaskan atau didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

    Bagaimanapun, Rosmah telah memfailkan permohonan di saat-saat akhir supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan ke atas kes itu berikutan dakwaan berlaku kebocoran dokumen penghakiman kes beliau yang disediakan pihak lain dan ditularkan di media massa dan elektronik, 26 Ogos lepas.

    Rosmah, berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.
    Rasuah terbabit didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan (KPM) secara rundingan terus.

    Pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram sementara Peguam Datuk Jagjit Singh mengetuai pihak pembelaan.

  • Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kedah sasar 100,000 pengunjung

    Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kedah sasar 100,000 pengunjung

    JELAJAH Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) peringkat negeri Kedah yang bakal berlangsung pada 2 hingga 4 September ini menyasarkan kehadiran pengunjung seramai 100,000 orang.

    Justeru penduduk di wilayah Utara Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dipelawa memeriahkan dan memanfaatkan pelbagai tawaran sepanjang tiga hari JAKM di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, JAKM itu menampilkan 117 program bersesuaian dengan aspirasi Keluarga Malaysia meliputi pelbagai aspek.

    “Acara yang dijangka paling dinanti-nantikan ialah cabutan bertuah sebuah motosikal untuk dimenangi setiap hari dan sebuah kereta sebagai hadiah utama pada hari terakhir menanti pengunjung bertuah”, katanya kepada media selepas melakukan tinjauan persiapan JAKM di pekarangan Stadium Darul Aman di Alor Setar, semalam.

    Menurut Mahdzir, antara keunikan yang diperkenalkan pada JAKM Kedah ialah jualan ‘Happy Hour’ yang diadakan dua kali sehari menawarkan barangan keperluan asas seperti beras dan ayam yang dijual pada harga murah.

    “Jangan lepaskan peluang untuk dapatkan beras 5 kilogram (kg) dan seekor ayam pada harga RM10, berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat.

    “Sebanyak 2,000 pek beras dan ayam ditawarkan pada setiap sesi, pada 11 pagi dan 4.30 petang, sepanjang tiga hari itu sebanyak 6,000 pek ayam dan beras ditawarkan.”

    Jelas Mahdzir, penganjuran kali ini mengetengahkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebagai Kementerian Peneraju menampilkan beberapa kelainan.

    “Antaranya, elemen Mini Karnival Usahawan Desa menerusi Pavilion Usahawan Desa KPLB yang memaparkan program keusahawanan seperti Program Rural Business Challenge (RBC), Program Start Right (PSR), Program Skim Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB), Program Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dan Program Desamall.

    “Rakan strategik Program Pendigitalan Usahawan (PPU) dan 60 usahawan bimbingan agensi bawah KPLB turut memasarkan produk bagi kategori makanan dan minuman, kesihatan dan kecantikan, fesyen dan aksesori. Pavilion Usahawan Desa menyediakan ruang memasarkan pelbagai produk jualan selain sebuah bistro sebagai tarikan pengunjung,” katanya.

    Turut diketengahkan tambah Mahdzir, elemen kebudayaan Orang Asli menerusi penglibatan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sebagai tarikan memeriahkan lagi JAKM Kedah meliputi kaunter informasi dan aktiviti kebudayaan seperti persembahan tarian.

    “Program menarik lain, penglibatan pelajar GiatMARA, gunting rambut percuma dan membaiki motosikal percuma. Turut diadakan ceramah perdana oleh penceramah terkenal, selain program hiburan untuk anak muda, jadi kita harap semua program ini dapat menarik ramai pengunjung.”

    Mahdzir turut memaklumkan golongan pencari kerja dan belia di negeri ini boleh mengambil peluang mengintai tawaran pekerjaan dalam Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena JAKM Kedah berikutan terdapat lebih 4,000 kekosongan jawatan ditawarkan menerusi 35 majikan yang mengesahkan penyertaan.

    “Terdapat dua karnival kerjaya, satu untuk melanjutkan pelajaran dalam TVET, satu lagi yang ditawarkan syarikat. Jelajah AKM Kedah sesuai dikunjungi semua lapisan masyarakat kerana ia meliputi pelbagai aspek.”

    Perasmian JAKM Kedah akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pukul 3.30 petang esok.

  • Penduduk terjejas banjir di Baling gesa kerajaan tubuh RCI

    Penduduk terjejas banjir di Baling gesa kerajaan tubuh RCI

    PENDUDUK kampung yang terjejas akibat banjir di Kupang, Baling menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi di Kampung Iboi pada 4 Julai lalu yang meragut tiga nyawa dan merosakkan lebih 1,000 rumah.

    Memetik laporan Malaysiakini, mereka juga menggesa supaya semua kertas kerja, surat kelulusan, laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), perjanjian, keputusan pembalakan untuk pemaju swasta dan negeri, dan laporan daripada agensi terlibat didedahkan kepada umum.

    Jurucakap mereka Hamirudin Hasan berkata, penduduk kampung dan mangsa banjir berhak mengetahui semua maklumat kerana mereka yang menderita akibat pembangunan itu.

    “Kita tidak menolak pembangunan hutan dan pembalakan, kerana kita faham ia juga antara sumber wang kerajaan yang akhirnya akan kembali kepada rakyat. Tetapi biarlah pembangunan yang dijalankan itu mampan dan menjaga ekosistem semula jadi dan masyarakat.

    “Kita menentang segala pembangunan yang hasilnya hanya untuk mereka yang tertentu, sedangkan rakyat dan masyarakat menderita.

    “Kami menggesa pakar-pakar yang mengeluarkan laporan mengenai punca kepada banjir untuk memberi jaminan masa hadapan, untuk menyiasat dengan teliti, sebelum mengeluarkan laporan yang boleh mengelirukan orang ramai,” kata Hamirudin semasa perhimpunan ‘Memerdekakan Gunung Inas’ hari ini.

    Himpunan yang berakhir jam 5 petang itu diadakan dengan tujuan untuk menyampaikan memorandum kepada kerajaan negeri dan persekutuan.

    Wakil dari Kampung Iboi, Kampung Bukit Iboi, Kampung Bendang Bechah, Kampung Hangus, Kampung Tanjung, Kampung Sadek, Kampung Kuala Kuang, Kampung Sineyek, Pekan Kupang, Kampung Masjid, Kampung Bok Bak, Kampung Pisang, Taman Mesra Kupang dan Kampung Jerai menghadiri majlis tersebut.

    Penduduk kampung turut menggesa kerajaan menghentikan sepenuhnya penanaman projek ladang durian Musang King dan menggantikannya dengan spesies pokok yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan.

    Mereka juga mahu Jabatan Perhutanan bersama Jabatan Alam Sekitar lebih proaktif dan telus dalam memantau dan membenarkan pembangunan hutan simpan Gunung Inas.

    Tambah mereka, Gunung Inas merupakan kawasan tadahan air dan sumber minuman untuk penduduk kampung maka ia perlu sentiasa dilindungi tanpa sebarang kompromi.

    Hamirudin berkata mereka akan menyerahkan memorandum tersebut kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan Adun Bayu Abd Nasir Idris, Kupang Najmi Ahmad dan Kuala Ketil Mansor Zakaria.

    “Kita mahu kerajaan mengembalikan status ladang durian Musang King kepada hutan simpan kekal Gunung Inas. Ini bagi memastikan keseimbangan semula jadi di kawasan penempatan kekal terjamin,” katanya.

    Hamirudin berkata mereka juga mahu kerajaan menghentikan semua pembangunan hutan di kawasan yang mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah dan ketinggian melebihi 1,000 kaki. Ini kerana 70 peratus kawasan pergunungan itu merupakan kawasan bercerun.

    Dia berkata zon penampan sungai dan kawasan tadahan di situ hendaklah dilindungi sepenuhnya daripada sebarang gangguan tangan manusia atas nama pembangunan.

    Tambahnya, penduduk kampung juga ingin kerajaan menyegerakan pembaikan infrastruktur yang runtuh dan rosak teruk akibat runtuhan banjir seperti jambatan, jalan raya, longkang, sumber air bersih dan sistem kumbahan penduduk.

    “Naiktarafkan kolam tadahan air bagi menjamin kemudahan air bersih dan selamat untuk penduduk kampung.

    “Sejak projek pembalakan dan penanaman durian Musang King, penduduk mempunyai bekalan air yang sangat kotor dan tidak sesuai untuk kegunaan harian mereka.

    “Wartakan kawasan tadahan air bagi memastikan tiada pembalakan yang akan dijalankan pada masa hadapan.

    “Kami juga menggesa kerajaan negeri meluluskan segera pemberian hak milik kekal kepada pemilik tanah pertanian di petak 8 yang tertangguh sejak sekian lama, seperti yang dijanjikan kerajaan negeri sejak 2012,” katanya.

    Tambahnya, tanah-tanah tersebut sudah lebih 60 tahun diusahakan oleh penduduk kampung, namun masih belum mendapat status hak milik kekal oleh kerajaan negeri.

    Dia berkata pemilik tanah di sini telah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk mengukur secara terperinci tanah-tanah yang telah diusahakan dengan persetujuan Jabatan Perhutanan Kedah pada 2012, tetapi kerajaan negeri masih belum menyelesaikan perkara ini.

    “Kami mahu Jabatan Perhutanan respons mengenai perkara ini, namun ia terus mengambil pendekatan berdiam diri dan lepas tangan atas apa yang terjadi.

    “Oleh itu, kami ingin menuntut perkara ini diselesaikan segera,” katanya.

  • Lelaki Rohingya lemas semasa seberang sungai selepas menjala ikan

    Lelaki Rohingya lemas semasa seberang sungai selepas menjala ikan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki etnik Rohingya ditemukan lemas dihanyutkan arus semasa menyeberang Sungai Melayu di Kilometer 6.6 Jalan Ismail Sultan, Gelang Patah, Iskandar Puteri, hari ini.

    Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Anayatullah Habi Rahman, 27, berjaya menemukan mayatnya pada pukul 7 petang tadi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainuddin berkata, sebelum itu Anayatullah yang berusia 27 tahun pergi menjala bersama-sama rakannya pada pukul 9 pagi.

    Menurut Mohd Khairi, semasa menyeberang sungai untuk pulang ke rumah, mangsa hanyut dibawa arus dan hilang.

    Pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 3 petang sebelum tujuh anggota dari BBP Iskandar Puteri dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Mayat Anayatullah ditemukan kira-kira pada pukul 7 petang. Mayat ditemukan tersangkut pada ranting-ranting dan kayu yang hanyut pada jarak kira-kira 15 meter dari kawasan dia dihanyutkan arus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.