Oleh BADLISHAH MAT

PEMUDA Pas menggesa kepimpinan parti itu untuk segera memuktamadkan siapa kawan dan siapa yang harus mereka berlawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, mereka mahukan satu panduan yang jelas dan segera diturunkan kepada jentera, bersama pengarahan taktikal berstrategi untuk menghadapi pilihan raya itu.

“Dengan pilihan raya sudah sangat hampir, Pas sudah tentu perlu memuktamadkan soal pembahagian kerusi dan penentuan calon.

“Biar jelas siapa yang boleh dihadap, siapa yang boleh dibuat kawan. Jangan nanti tabuh berbunyi, baru keris mahu diasap, baru tanjak mahu dicari.

“Gelanggang telah lama ditari oleh musuh, rentak dan gendang sudah lama beraksi, anak muda kita sedang menunggu arahan pimpinan, sebarang isyarat dan arahan akan kami junjung atas batu jemala kami,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-63 di Alor Setar, hari ini.

Pas sehingga kini masih bersifat terbuka untuk menjalin kerjasama politik termasuk dengan UMNO agar dapat mengekalkan Muafakat Nasional (MN) yang ditubuh beberapa tahun lalu.

Namun, parti itu baru-baru ini menegaskan untuk menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here