Author: Wartawan WartaRakyat

  • Polis tahan 2 lelaki samun pelajar di kedai dobi

    Polis tahan 2 lelaki samun pelajar di kedai dobi

    POLIS menahan dua lelaki selepas menyamun seorang pelajar perempuan di sebuah kedai dobi di Taman Mawar, Sandalan pada Isnin lalu.

    Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kedua-dua suspek ditahan kurang 24 jam selepas melakukan jenayah tersebut pada pukul 10.30 malam Selasa lalu selepas mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis.

    Beliau berkata, laporan dibuat mangsa iaitu pelajar perempuan berusia 16 tahun terhadap suspek masing-masing berusia 24 dan 25 tahun.

    “Dalam kejadian samun itu, telefon bimbit mangsa telah dilarikan oleh dua suspek yang menaiki motosikal.

    “Kejadian itu turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan video berdurasi 71 saat itu turut tersebar di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Berikutan kejadian itu, beliau berkata, kedua-dua suspek berjaya dikesan dan ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sandakan di perkampungan setinggan Kampung Sundang Laut di Sandakan.

    “Ketika tangkapan dilakukan, turut dirampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah samun berkenaan.

    “Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sebelum itu, dalam rakaman video CCTV memaparkan seorang suspek lelaki yang memakai helmet dilihat berlegar-legar di hadapan kedai dobi layan diri sebelum bertindak melakukan samun terhadap seorang remaja perempuan yang sedang menggunakan telefon bimbitnya ketika itu.

  • Shila Amzah mohon maaf ‘buat perangai’ atas pentas

    Shila Amzah mohon maaf ‘buat perangai’ atas pentas

    PENYANYI Shila Amzah tampil membuat permohonan maaf selepas video memperlihatkan beliau membuang gula-gula daripada mulut ketika membuat persembahan menerusi konsert Merdeka ke-65 yang disiarkan secara langsung pada malam kelmarin.

    Shila atau nama sebenarnya Nushahila Amir Hamzah, 32, menjelaskan, ketika persembahan itu beliau berada dalam keadaan kurang sihat.

    “Minta maaf sebab buang gula-gula sekali lagi. Kesan selepas demam, makan buat batuk, selesema dan panadol, kemudian minum kopi pukul 11.30 malam,” katanya menerusi instagram, memetik laporan portal MStar, hari ini.

    Menerusi video yang tular itu, Shila memusingkan badan sebelum mengeluarkan gula-gula dalam mulutnya dan melemparkan ke belakang pentas.

    Pada masa itu Shila memakai Busana merah sedang asyik menyampaikan lagu berjudul Khilaf Asmara.

    Susulan itu ramai peminat melahirkan rasa kurang senang dengan tindakan tersebut apatah lagi bukan kali pertama berbuat demikian.

  • Pasangan penuntut IPT ditahan khalwat di hotel bajet

    Pasangan penuntut IPT ditahan khalwat di hotel bajet

    PENUNTUT institusi pengajian tinggi (IPT) antara dua pasangan yang dicekup kerana disyaki berkhalwat di hotel bajet di Bukit Beruang dan Bachang, Melaka.

    Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, penuntut masing-masing berusia 19 tahun itu ditangkap dalam operasi Ambang Merdeka yang bermula pukul 11.30 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam.

    Menurutnya, mereka ditahan dalam serbuan pertama pada jam 12.30 tengah malam selepas gagal menunjukkan sebarang bukti hubungan mahram atau suami isteri ketika disoal siasat pegawai JAIM.

    Katanya, ketika serbuan, lelaki terbabit tidak memakai baju manakala kekasihnya berbaju tidur.

    “Mereka mengaku menginap bersama dengan si lelaki mendakwa mahu berehat selepas penat bermain futsal sambil menemani teman wanitanya itu menyelesaikan tugasan universiti.

    “Namun, tiada pakaian sukan ditemui ketika pemeriksaan di bilik hotel terbabit sebelum kedua-dua mereka dibawa ke pejabat JAIM untuk tindakan lanjut kerana disyaki berkhalwat,” katanya, lapor Harian Metro.

    Che Sukri berkata, dalam serbuan kedua di sebuah hotel bajet di Bachang, pihaknya menahan lelaki berusia 25 tahun dan pasangannya berumur 22 tahun pada pukul 2.45 pagi.

    Menurut beliau, pasangan itu memberi alasan berehat di situ selepas kepenatan walaupun lelaki terbabit hanya tinggal di Cheng manakala teman wanitanya menetap di Jasin.

    “Kedua-dua pasangan disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu bersekediaman atau berkurung (khalwat) yang mendatangkan syak melakukan maksiat sebelum dibebaskan dengan jaminan.

    “Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • ‘’Denda RM970 juta tak pernah berlaku dalam sejarah’’ – Peguam Rosmah

    ‘’Denda RM970 juta tak pernah berlaku dalam sejarah’’ – Peguam Rosmah

    PEGUAM Rosmah Mansor, Jagjit Singh mengkritik denda RM970 juta yang dikenakan selepas Datin Seri Rosmah Mansor didapati bersalah atas pertuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

    Beliau berkata denda seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini, dan adakah itu adil untuk Rosmah.

    “Hari ini hukuman itu telah dijatuhkan dan jumlah denda mencecah RM970 juta iaitu hampir RM1 bilion.

    “Beritahu saya, siapa di antara kamu semua yang mampu memiliki wang seperti itu. Beritahu saya. Saya tidak mampu walaupun RM1 juta,” katanya pada sidang media hari ini selepas Rosmah dijatuhkan hukuman di Mahkamah Tinggi, lapor FMT.

    Jagjit berkata, notis rayuan sudah diberikan kepada mahkamah.

    Terdahulu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah selepas didapati bersalah atas pertuduhan dikenakan terhadapnya.

    Rosmah, 70, dijatuhi hukuman itu selepas didapati bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berhubung projek berkenaan.

    Denda RM970 juta adalah jumlah minimum diperuntukkan bawah Seksyen 24(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Mahkamah juga membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

    Jagjit berkata, hampir RM1 bilion perlu dibayar Rosmah yang tiada punca pendapatan.

    Beliau mempersoalkan adakah itu keadilan untuk rakyat.

    “Denda dikenakan tidak pernah berlaku sebelum ini dan terbesar dalam sejarah perundangan Malaysia. Kami memohon supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri tetapi permohonan ditolak,” katanya.

    Dalam pada itu, Jagjit memohon maaf jika kenyataannya pada sidang media hari ini kelihatan agak beremosi.

    Katanya, kenyataan dikeluarkan itu adalah daripada hatinya.

    “Ini daripada hati. Saya hanya memberitahu anda bagaimana saya rasa. Perlu ada keadilan untuk semua. Keadilan untuk semua orang. Kami melakukan kerja kami secara profesional,” katanya.

    Rosmah keluar dari Mahkamah Tinggi pada 4.50 petang tadi.

    Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu hadir di Mahkamah Tinggi pada 8.54 pagi.

    Rosmah yang kelihatan mengalirkan air mata selepas disabitkan tuduhan rasuah tetap mengaku tidak bersalah, menyatakan beliau menjadi mangsa ketika memberikan kenyataan dari kandang tertuduh.

  • Kami di sini untuk beri keadilan – Hakim Mohamed Zaini

    Kami di sini untuk beri keadilan – Hakim Mohamed Zaini

    HAKIM Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, sempat membuat jenaka sebelum memutuskan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya beliau menarik diri daripada mendengar dan memberikan keputusan kes rasuah dihadapi isteri bekas perdana menteri itu.

    “Maaf kerana membuat semua orang menunggu. Saya tidak dapat mencari seseorang untuk menulis penghakiman jadi saya terpaksa menulis (penghakiman) sendiri,” katanya lapor Berita Harian.

    Kata-katanya menyebabkan semua orang yang berada di mahkamah ketawa.

    Rosmah memohon supaya Mohamed Zaini digugurkan kerana mendakwa dua dokumen kononnya ‘deraf penghakiman’ yang tular menunjukkan penghakiman itu disediakan oleh pihak lain untuk hakim terbabit, yang boleh menyebabkan bahaya nyata berat sebelah terhadap kes rasuah dihadapinya.

    Ketika menolak permohonan itu, Mohamed Zaini memberi jaminan kepada semua, bahawa beliau tidak mempunyai prasangka buruk terhadap Rosmah atau sesiapa sahaja yang hadir di hadapannya dalam mahkamah.

    Hakim itu menjelaskan, jika beliau salah dalam keputusan itu, Mahkamah Rayuan akan membetulkan keputusannya.

    “Dengan ini, permohonan ditolak,” katanya.

    Mohamed Zaini berkata, deraf penghakiman itu adalah pendapat daripada Bahagian Penyelidikan yang bukan disediakan untuknya atau diminta olehnya untuk disediakan

    Beliau berkata, kandungan dua dokumen itu bukan alasan dan keputusannya dan berharap bahagian penyelidikan akan memaafkannya kerana terpaksa menyatakan bahawa beliau tidak membaca pendapat mereka.

    Katanya, beliau sentiasa melakukan kerja sendiri, tidak kira betapa susahnya kerja itu, dan sudah menulis banyak penghakiman.

    “Sesiapa sahaja boleh membuat pendapat mereka sendiri tetapi yang penting ia adalah pendapat saya sendiri. Kebanyakan orang tidak menyedari betapa sukarnya peranan hakim.

    “Kami di sini bukan untuk menjadi popular, mahupun kami di sini untuk membuat keputusan popular. Kami di sini untuk memberikan keadilan,” katanya.

  • ‘’Tolong jadi lebih belas ihsan…kami menangung sengsara’’ – Rosmah

    ‘’Tolong jadi lebih belas ihsan…kami menangung sengsara’’ – Rosmah

    DATIN SERI Rosmah Mansor menitiskan air mata ketika memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur agar bersikap belas ihsan terhadap beliau setelah didapati bersalah meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

    Dalam keadaan teresak-esak dengan linangan air mata isteri bekas Perdana Menteri, Najib Razak itu berkata, dia tidak pernah meminta rasuah atau menyeleweng wang daripada mana-mana pihak.

    “Tolong jadi lebih belas ihsan, jadi lebih berperikemanusiaan. Jika ini boleh berlaku kepada saya, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, kepada isteri anda, anak anda atau sesiapa sahaja pada masa hadapan. Mereka telah lakukannya (hukum) kepada suami saya agar kami menanggung sengsara.

    “Kami sedang menanggung sengsara, anak-anak saya sengsara. Tolong lihat saya sebagai seorang wanita kini yang terpaksa memikul tugas seorang bapa. Tolong jadi lebih berperikemanusiaan,” katanya lapor Malaysiakini.

    Menurut Rosmah, beliau  tidak pernah mengambil walau satu sen daripada projek projek solar hibrid. Begitu juga dengan jutaan dana untuk Permata dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).

    Sambil mengakui beliau amat sedih dengan keputusan hari ini tetapi menghormati penghakiman yang telah dibuat mahkamah itu.

    Katanya lagi, beliau sentiasa memberitahu peguamnya untuk hanya bercakap benar, seperti mana beliau mengajar perkara yang sama kepada anak-anaknya.

    Peguam utamanya, Jagjit Singh dalam hujahannya untuk hukuman yang ringan berkata bahawa Rosmah telah melakukan apa yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana isteri Perdana Menteri sebelum ini, iaitu menubuhkan program Pusat Anak Permata Negara (Permata).

    Beliau berkata program itu adalah buah fikiran Rosmah dan diiktiraf di dalam dan luar negara atas peranannya dalam mendidik kanak-kanak.

    Jagjit berkata pendakwaan telah bergantung kepada keterangan bekas pembantunya Rizal Mansor, yang didakwanya sebagai seorang yang mengaku dirinya korup dan menjadi saksi pendakwaan untuk menyelamatkan diri.

    Menurut Jagjit merupakan kesalahan pertama Rosmah dan kemudian mencadangkan tempoh penjara sehari selain hukuman ringan lain yang boleh dijatuhkan kepada Rosmah.

    Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram membantah dan memohon mahkamah memberi hukuman maksimum, atau hampir maksimum, terhadap Rosmah.

    Beliau berkata, hukuman maksimum bagi menghantar mesej kepada semua pihak yang mungkin berisiko melakukan kesalahan sama, bahawa rasuah adalah sesuatu yang memudaratkan dan perlu dibanteras.

    Sri Ram yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan berkata, setiap tiga pertuduhan terhadap Rosmah membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai rasuah.

    Beliau juga memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM970 juta terhadap Rosmah.

    Katanya lagi, jika Rosmah gagal membayar denda itu, hukuman penjara terhadapnya perlu ditambah 30 tahun lagi.

    Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

    Sesyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi

  • Abdul Latiff sudah beri keterangan kepada polis

    Abdul Latiff sudah beri keterangan kepada polis

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad sudah memberikan keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

    “Susulan laporan polis yang dibuat terhadap Rafizi Ramli oleh pegawai saya pada 30 Ogos lalu, saya sudah didatangi pegawai polis pagi tadi, untuk diambil keterangan.

    “Saya tegaskan bahawa Rafizi adalah seorang pembohong yang memfitnah dan mentohmah saya dan keluarga saya hanya semata-mata untuk kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Kelmarin, Dr. Abdul Latiff dilaporkan membuat laporan polis terhadap Rafizi yang didakwa memfitnahnya dalam isu berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS).

    Laporan polis itu dibuat pegawai khasnya, Sayed Ahmad Muizzuddin Al Sayed Mohamad, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

    Rafizi didakwa menyiarkan empat kenyataan dan tohmahan pada 22, 25, 26 dan 29 Ogos lalu di blog dan menyiarkan semula di Facebook, Twitter dan Tiktok.

    Fitnah Rafizi itu kononnya Dr. Abdul Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd. Salleh yang mendapat kontrak jutaan ringgit dengan Kementerian Pertahanan untuk projek LCS.

    Semalam pula, polis dilaporkan akan memanggil Rafizi untuk dirakam keterangan susulan laporan polis dibuat terhadapnya berkaitan dakwaannya mengenai projek LCS membabitkan Dr. Abdul Latiff.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, dilaporkan berkata polis menerima laporan dibuat pegawai khas menteri berkenaan pada pukul 9.28 malam kelmarin.

    Pada 22 Ogos lalu, Dr. Abdul Latiff yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan dilaporkan menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS adalah isterinya.

  • Polis tahan tokan, rampas dadah RM611,515

    Polis tahan tokan, rampas dadah RM611,515

    SEORANG lelaki ditahan dan dadah berjumlah 11.5 kilogram (kg) jenis ketamin bernilai RM611,515 dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Persiaran You City, Cheras pada Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, rumah berkenaan dijadikan lokasi pembungkusan dadah secara pukal.

    Katanya, sebelum itu suspek yang ditahan itu merupakan lelaki warga tempatan berusia 34 tahun selepas dilihat berada dalam mencurigakan di sebuah kereta jenis Proton Saga BLM di tepi Jalan Gasing, Petaling Jaya.

    “Lelaki yang bekerja sebagai pembeli peribadi itu ditahan kira-kira pukul 3.30 petang.

    “Hasil pemeriksaan dijalankan menemui beberapa bungkusan dipercayai mengandungi dadah jenis ketamin.

    “Antara yang ditemui adalah satu beg berwarna kuning mengandungi tiga peket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis ketamin,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

    Polis turut merampas sebuah kereta, wang tunai sebanyak RM600 dan satu beg silang mengandungi kad pengenalan, kad akses dan beberapa barangan milik lelaki terbabit.

    Kata Mohamad Fakhrudin, siasatan lanjut kemudian membawa kepada satu serbuan rumah di Jalan Persiaran You City pukul 5.18 petang.

    “Antara yang dirampas adalah dua peket plastik berwarna merah dan hitam seberat lima kilogram dan lima peket plastik mengandungi dadah jenis ketamin.

    “Selain itu, turut dirampas adalah peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah seperti alat penimbang, mesin pembungkusan vakum, bekas plastik, acuan plastik dan pelbagai peralatan lain,” katanya.

    Menurut beliau, siasatan dijalankan mendapati suspek merupakan pengedar dadah secara besar-besaran.

    “Suspek ini menjual dadah dalam kuantiti yang banyak berdasarkan rampasan yang dijalankan.

    “Suspek dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah ini sejak enam bulan lalu,” jelasnya.

    Ujar Fakhrudin, semakan rekod mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah.

    “Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada terdapat individu lain terlibat bersama suspek menjalankan aktiviti pengedaran dadah ini.

    “Siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah diperoleh suspek,” katanya.

    Tambahnya, suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Hamzah enggan ulas nama Najib tiada dalam pangkalan data Jabatan Penjara

    Hamzah enggan ulas nama Najib tiada dalam pangkalan data Jabatan Penjara

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin enggan memberikan sebarang ulasan berhubung dakwaan yang mengatakan bahawa nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini masih tiada dalam pangkalan data Jabatan Penjara Malaysia.

    Beliau sebaliknya mempersoalkan sama ada maklumat mengenai setiap pangkalan data yang dimiliki pihak penjara selama ini diketahui umum atau tidak.

    “Sebelum ini ada tahu ke pangkalan data? Kalau tidak tahu, macam mana ada dakwaan? Kalau bab dakwaan atau surat layang, usah dengar,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Sebelum ini timbul persoalan mengenai dakwaan nama Najib tidak dimasukkan dalam pangkalan data Jabatan Penjara Malaysia dan ditularkan dalam media sosial.

    Najib dihukum penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun bersama denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

  • Rosmah bersalah tiga pertuduhan projek solar

    Rosmah bersalah tiga pertuduhan projek solar

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mendapati Datin Seri Rosmah Mansor bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya berhubung projek solar di Sarawak.

    Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, pihak pembelaan isteri bekas Perdana Menteri itu gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Berita lanjut menyusul