PEGUAM Rosmah Mansor, Jagjit Singh mengkritik denda RM970 juta yang dikenakan selepas Datin Seri Rosmah Mansor didapati bersalah atas pertuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Beliau berkata denda seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini, dan adakah itu adil untuk Rosmah.

“Hari ini hukuman itu telah dijatuhkan dan jumlah denda mencecah RM970 juta iaitu hampir RM1 bilion.

“Beritahu saya, siapa di antara kamu semua yang mampu memiliki wang seperti itu. Beritahu saya. Saya tidak mampu walaupun RM1 juta,” katanya pada sidang media hari ini selepas Rosmah dijatuhkan hukuman di Mahkamah Tinggi, lapor FMT.

Jagjit berkata, notis rayuan sudah diberikan kepada mahkamah.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah selepas didapati bersalah atas pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Rosmah, 70, dijatuhi hukuman itu selepas didapati bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berhubung projek berkenaan.

Denda RM970 juta adalah jumlah minimum diperuntukkan bawah Seksyen 24(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Jagjit berkata, hampir RM1 bilion perlu dibayar Rosmah yang tiada punca pendapatan.

Beliau mempersoalkan adakah itu keadilan untuk rakyat.

“Denda dikenakan tidak pernah berlaku sebelum ini dan terbesar dalam sejarah perundangan Malaysia. Kami memohon supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri tetapi permohonan ditolak,” katanya.

Dalam pada itu, Jagjit memohon maaf jika kenyataannya pada sidang media hari ini kelihatan agak beremosi.

Katanya, kenyataan dikeluarkan itu adalah daripada hatinya.

“Ini daripada hati. Saya hanya memberitahu anda bagaimana saya rasa. Perlu ada keadilan untuk semua. Keadilan untuk semua orang. Kami melakukan kerja kami secara profesional,” katanya.

Rosmah keluar dari Mahkamah Tinggi pada 4.50 petang tadi.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu hadir di Mahkamah Tinggi pada 8.54 pagi.

Rosmah yang kelihatan mengalirkan air mata selepas disabitkan tuduhan rasuah tetap mengaku tidak bersalah, menyatakan beliau menjadi mangsa ketika memberikan kenyataan dari kandang tertuduh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here